webnovel

Dibalut Seperti Mumia

編輯: EndlessFantasy Translation

Bagaimana ia boleh berlaku? Rong Haiyue adalah orang terakhir bersama dengan Li Sicheng. Tetapi kenapa Li Sicheng mati sedangkan Rong Haiyue hidup? Su Qianci tahu dia tidak patut berfikir begitu, tetapi peluang untuk terselamat daripada letupan besar itu amat tipis. Bagaimana Rong Haiyue berjaya menyelamatkan diri? Tiba-tiba Su Qianci merasakan dirinya kejam dan hina. Dia bertanya, "Kamu di mana?"

Rong Xuan berasa gembira mendengar soalan itu dan terus menjawab, "Hospital Tentera Pertama Kingstown."

*****

Selepas tidur nyenyak pada malam itu, Su Qianci kelihatan lebih segar. Dia menyapu sedikit solekan supaya wajahnya tidak kelihatan pucat. Dia singgah membeli sebakul buah-buahan sebelum pergi ke hospital. Rong Haiyue ditempatkan di sebuah wad persendirian yang mewah. Sebaik sahaja memasuki wad itu, Su Qianci dapat menghidu bau ubat yang amat kuat, lebih kuat daripada segala bau lain di hospital itu. Dia terkejut dan berasa mual, tetapi cuba menahan dirinya daripada termuntah.

Sebaik sahaja melihat Su Qianci, alis mata Rong Xuan sedikit bergetar. Dia mengambil bakul buah yang dibawa Su Qianci dan memandang gadis itu dengan simpati. Kemudian dia berkata lembut, "Kamu makin kurus dan nampak pucat." Rong Xuan juga mengalami keadaan yang sama. Sejak beberapa hari ini, dia sudah kehilangan banyak berat kerana menjaga Rong Haiyue.

Su Qianci tersenyum ringkas tetapi tidak menumpukan perhatian kepada Rong Xuan. Matanya tertancap pada Rong Haiyue. Hampir seluruh tubuh lelaki itu berbalut putih malah hampir kelihatan seperti mumia. Syukurlah wajahnya tidak terbakar teruk, jadi tidak sukar untuk memandangnya. Namun alis mata dan keningnya telah terbakar dan membuatkan wajahnya kelihatan sedikit aneh.

Mata Rong Haiyue masih kelihatan tajam seperti helang. Mungkin disebabkan dia baru sahaja terjaga, Rong Haiyue kelihatan sedikit muram. "Kamu datang."

Su Qianci mengangguk dan Rong Xuan menunjukkannya kerusi. "Duduklah."

Su Qianci duduk dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Rong Haiyue melihat perut Su Qianci dan berkata, "Syukur kandungan kamu baik-baik saja."

Su Qianci memegang perutnya dan tersenyum. "Bagaimana kamu berjaya keluar? Dalam api semarak itu dan letupan sebesar itu… Kamu tak… masuk selamatkan dia? Bagaimana dengan dia?"

Rong Xuan berasa agak marah mendengar pertanyaan Su Qianci. Rong Haiyue tidak berkata apa-apa, dia hanya merenung Su Qianci dengan matanya yang tajam.

Su Qianci tahu soalannya agak teruk, tetapi dia tidak dapat menahan dirinya. Dia mengetapkan bibir dan bertanya, "Kamu beritahu kamu akan bawa dia keluar untuk jumpa saya. Kenapa kamu dan dia tipu saya… Seronokkah?"

"Saya minta maaf sangat-sangat." Suara Rong Haiyue kedengaran lemah dan sayu. "Waktu saya masuk kembali, dia dah dibawa pergi."

Tangisan Su Qianci terhenti dan dia memandang Rong Haiyue dengan tidak percaya, "Apa kamu cakap?"

"Waktu saya masuk, polis yang berkawal di situ telah dibunuh. Dia ditembak di tengah-tengah kepala. Li Sicheng tiada di situ."

Satu api menyala dalam hati Su Qianci yang telah malap selama berhari-hari. Dia menahan nafas dan memandang Rong Haiyue dengan riak wajah yang terkejut.

"Saya dan polis wanita itu ekori penjahat-penjahat itu sehingga ke pintu belakang. Polis wanita itu ada di belakang saya. Tapi tiba-tiba berlaku letupan besar. Kami terus tercampak dan saya tidak sedarkan diri."

"Apa maksud kamu, Li Sicheng tidak mati, dia terselamat?" Su Qianci berdiri dengan teruja.

Rong Haiyue mengangguk. "Ya, dia dibawa lari. Bo Xiao cakap dia perlukan bantuan Li Sicheng untuk sesuatu perkara. Saya rasa Li Sicheng masih hidup."

下一章