webnovel

Saya Suami Kamu

編輯: EndlessFantasy Translation

Mereka yang mempunyai tanda-tanda seakan AIDS tidak semestinya telah dijangkiti AIDS. AIDS perlu dibuktikan dengan ujian.

Li Sicheng terjaga lagi dan membuatkan Su Qianci terkejut. Dia cepat-cepat menutup laman web itu dan memadam sejarah carian sebelum meletakkan telefonnya ke tepi. Li Sicheng berpaling dan merenungnya. Lelaki itu kelihatan misteri di dalam kegelapan.

Su Qianci bertanya, "Kenapa?"

Li Sicheng tidak menjawab tetapi meletakkan kakinya di atas Su Qianci seperti selalu dan menutup matanya kembali. Su Qianci terus bersandar pada lengan Li Sicheng dan merenung dada suaminya itu. Selepas beberapa jam, barulah dia akhirnya tertidur. Apabila dia terjaga, Li Sicheng sudah tiada di sisinya.

Selesai mandi, Su Qianci keluar dari bilik mereka dan melihat Li Sicheng sedang membuat kerja di bilik kerjanya. Lelaki itu kelihatan sibuk seperti biasa. Su Qianci tidak mahu mengganggunya dan turun ke bawah untuk bersarapan.

Tempat letak kereta ada disediakan di kampusnya, tetapi disebabkan kebanyakan pelajar di situ tidak mempunyai kereta, ia akan kelihatan seperti menunjuk-nunjuk jika dia memandu keretanya ke sana. Su Qianci menaiki teksi untuk ke kelasnya. Sekarang merupakan hujung semester dan tekanannya agak hebat. Disebabkan dia telah mengambil cuti sakit selama beberapa hari, dia telah ketinggalan banyak dalam pelajarannya dan terdesak untuk mengejar kembali. Selepas seharian menghadiri kelas, Su Qianci pergi ke perpustakaan untuk mengulangkaji.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Ia adalah panggilan daripada Li Sicheng.

"Kamu masih ada kelas?"

"Tak. Saya sedang ulangkaji untuk peperiksaan."

"Saya beritahu Atuk yang kita akan lawat dia hari ini."

Su Qianci telah lupa sepenuhnya tentang itu. Dia segera menjawab ya lalu meletakkan buku-bukunya ke dalam beg sebelum berlari keluar. Di pintu pagar, dia melihat Bugatti kepunyaan Li Sicheng sedang dikelilingi oleh beberapa orang pelajar. Sebaik melihat Su Qianci berjalan ke arah kereta itu, mereka mula faham siapa tuannya.

"Oh… kereta Encik Li rupanya!"

"Orang kaya memang berbeza. Dia tukar Maybachnya kepada kereta ini?"

"Wah… Bilalah saya akan mampu untuk beli kereta begini? Harga kereta ini lebih 20 juta!"

Pipi Su Qianci kemerahan dan dia terus masuk ke sebelah pemandu. Li Sicheng mengambil beg galasnya dan merasakan ia agak berat.

"Kerja kamu dah selesai?" tanya Su Qianci.

"Ya." Li Sicheng terus memandu ke rumah lama. "Waktu majlis hari jadi Atuk, saya suruh Ou Ming beri buah pic panjang umur itu kepadanya dan beritahu Atuk yang kamu buatnya sendiri."

Su Qianci memandang suaminya. "Apa Atuk cakap?"

"Dia sangat terkejut dan makan buah pic itu sampai habis."

Su Qianci ketawa. "Betulkah? Buah pic itu sangat besar. Bolehkah dia habiskan seorang?"

Li Sicheng mencebikkan bibirnya. "Ou Ming cakap dia belum pernah lihat orang tua yang sangat berselera seperti itu."

Su Qianci ketawa lagi. Sebaik teringat wajah Atuk yang ramah, hatinya terasa hangat. Dalam dunia ini, sebelum dia mempunyai Li Sicheng, Atuk adalah satu-satunya orang yang melayannya dengan baik.

Li Sicheng menjeling melalui cermin dan menyedari wajah Su Qianci masih agak muram walaupun ketawa. Isterinya itu telah berkelakuan seperti itu sejak beberapa hari lepas. Dia cuba berlagak biasa tetapi wajahnya jelas menunjukkan dia sedang dibebani sesuatu.

"Puan Li."

"Ya?"

"Saya suami kamu. Kamu boleh beritahu saya jika ada apa-apa yang mengganggu fikiran kamu. Jangan pendam seorang diri. Ia tak bagus untuk kamu."

"Okey."

"Kamu tak ada apa-apa mahu kongsi dengan saya?"

Su Qianci merenung Li Sicheng dengan wajah bingung. Suaminya itu kelihatan seperti telah kehilangan sedikit berat badan. Wajahnya lebih cengkung berbanding sebelum ini. Menyedari renungan Su Qianci, Li Sicheng menoleh ke arahnya…

下一章