webnovel

Dia akan Menjadi Puan Li Tidak Lama Lagi

編輯: EndlessFantasy Translation

Su Qianci cepat-cepat berjalan keluar dari kampusnya. Dia menahan teksi untuk pergi ke rumah di Jiang Zhou dengan hati yang tidak keruan.

"Ibu, saya tahu. Abang Sicheng ada di sini dengan saya, jadi saya tentulah akan jaga diri dengan baik," kata Tang Mengying dengan suara yang manja. Matanya yang besar memandang Li Sicheng tanpa berkelip.

Li Sicheng bersandar pada sofa dengan beberapa dokumen di hadapannya. Mendengar suara manja dibuat-buat Tang Mengying, mata Li Sicheng kelihatan menunjukkan perasaan jijik.

Tang Mengying langsung tidak menyedari perkara itu. Ketika itu, Puan Tang menyebut sesuatu yang memalukan kepadanya. Wajah Tang Mengying merah padam dan dia berkata, "Ibu! Apa yang Ibu cakap ini? Okeylah, saya perlu pergi sekarang. Selamat tinggal." Pipinya kemerahan dan wajahnya kelihatan ghairah. Sebagai seorang wanita yang sedang mengandung, dia kelihatan matang dan menggoda.

Li Sicheng langsung tidak tertarik kepadanya dan berkata, "Sekarang kamu dah beritahu ibu bapa kamu, jadi kamu boleh tinggal di sini bermula hari ini. Mereka akan menjaga keselamatan kamu." Li Sicheng menunjuk ke arah sekumpulan pengawal peribadi seramai 20 orang yang berdiri berhampiran mereka. Kemudian dia memandang sekumpulan wanita yang berumur dalam lingkungan 20-30 tahun yang berdiri di satu sudut lain. Mereka kelihatan baik. "Mereka pula akan uruskan rumah ini dan makanan kamu." Orang gaji itu juga seramai 20 orang.

Tang Mengying berkata dengan riang, "Abang Sicheng… Kamu betul-betul maksudkannya? Anak kita masih belum lahir dan kamu dah habiskan banyak wang untuk dia. Selepas dia lahir, adakah kamu akan manjakan dia?"

Anak kita!

Li Sicheng tidak dapat mengelak daripada berasa jijik. Dia cuba bersabar untuk tidak terus pergi dan merenung Tang Mengying dengan mendalam. Pandangannya begitu rumit dan membuatkan perasaan sebenarnya sukar untuk ditafsir.

Tang Mengying merasakan jantungnya berdegup kencang. Dia menoleh ke arah lain dan berkata dengan malu-malu, "Apa.. apa dia?"

Adakah dia terlalu cantik hari ini? Benarlah kata orang, hati yang gembira akan membuatkan wajah kelihatan bercahaya. Tang Mengying menyentuh wajahnya dan tidak berhenti tersenyum.

"Ia bukan percuma, " Li Sicheng berkata dingin sambil cuba memberi isyarat. "Tak lama lagi, semua kos ini akan dibayar kembali."

Mendengar kata-kata itu, Tang Mengying mengangguk dan berkata perlahan, "Kalau anak kita ikut perangai kamu, pasti dia akan jadi sangat berjaya dan dapat bayar semua ini kembali."

Li Sicheng menjeling Tang Mengying dan tidak menjelaskan maksud sebenarnya. Dia berdiri dan berkata, "Saya perlu ke hospital untuk salin balutan luka. Kamu rehatlah dan jaga diri."

"Okey, " kata Tang Mengying dengan berat hati lalu memaut lengan Li Sicheng. "Kamu… datang malam ini?"

Li Sicheng menjeling tajam tangan yang memaut lengannya dan membuatkan Tang Mengying terus mengalihkannya seolah-olah ia terbakar. "Saya akan datang selepas urusan saya selesai," kata Li Sicheng dengan dingin sebelum berpaling dan pergi.

Tang Mengying berasa kecewa. Walau bagaimanapun, apabila dia memikirkan perkara yang telah diberikan Li Sicheng kepadanya, dia berasa sangat gembira. Tunggu dan lihat sahaja. Dia akan menjadi Puan Li tidak lama lagi.

Sebuah teksi diparkir berhampiran rumah itu. Ketika Su Qianci baru hendak melangkah keluar, pagar hitam gaya Eropah rumah itu terbuka. Sebuah kereta Maybach perlahan-lahan keluar dan Su Qianci jelas dapat melihat lelaki yang berada di tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki itu kelihatan dingin dan sangat dikenalinya. Su Qianci menoleh ke arah rumah itu dan melihat Tang Mengying berdiri di pintu sambil memandang kereta Li Sicheng yang berlalu pergi dengan pandangan penuh cinta…

下一章