webnovel

Mendedahkan Rahsianya

編輯: EndlessFantasy Translation

Skrin yang sedang menunjukkan wajah Li Sicheng, tiba-tiba menjadi malap. Di dalam dewan di mana semua lampu telah dimatikan, suasana menjadi misteri. Semua orang memandang skrin dan satu jeritan tiba-tiba kedengaran melalui pembesar suara. Mereka semua terkejut mendengarnya. Walau bagaimanapun, Tang Mengying kelihatan semakin puas hati. Memandang Su Qianci yang ketakutan, dia memberikan satu isyarat dengan jarinya : pergi jahanam.

Melihatkan wajah Tang Mengying yang kelihatan yakin, Su Qianci berasa simpati. Akhirnya dia tersenyum melihatkan wajah Tang Mengying yang terlalu gembira. Ada sindiran dan kebencian dalam senyuman Su Qianci. Dia kelihatan dingin. Tang Mengying tiba-tiba berasa seram sejuk.

'Perempuan sombong. Saya nak tengok apa kamu akan buat selepas menonton video itu.'

Tang Mengying mengalihkan pandangannya dari Su Qianci ke skrin besar itu. Di skrin, kelihatan beberapa orang lelaki sedang menolak seorang perempuan ke satu sudut dan kemudiannya ketua mereka menerkam perempuan itu. Yang lain-lain mengikut jejak langkahnya. Adegan yang tidak disangka-sangka ini, membuatkan mata semua orang terbeliak.

"Adakah itu Puan Li?"

"Saya tak sangka dia begitu... bersikap terbuka."

"Bukan. Tak nampak macam Puan Li."

Wajah perempuan itu dilihat dengan jarak dekat. Penampilannya yang menggoda amat berbeza dengan wajah Su Qianci yang lembut dan naif. Jelas sekali…

"Bukankah itu Cik Tang?" kata seseorang.

Semua orang memandang Tang Mengying. Tang Mengying merasakan seperti telah dipanah petir, tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Video di skrin itu telah diedit mengikut arahannya. Dia telah meneliti setiap butiran. Kalau tak dimainkan semula, tak mungkin ada orang yang tahu video itu telah diedit. Dia amat yakin dengan adanya video itu, Su Qianci tidak boleh membersihkan namanya. Namun begitu, video yang membuatkan dia begitu yakin itu mempunyai watak utama yang lain. Tang Mengying bagai sudah hilang akal.

"Bagaimana ini boleh terjadi…"

Bagaimana ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya wajah Su Qianci? Namun begitu, setiap butiran dalam video itu begitu jelas, sehinggakan kelihatan seperti Tang Mengying benar-benar telah melakukannya.

Su Qianci memandang tajam ke arah Tang Mengying dan berkata dengan dingin menggunakan mikrofon, "Bukankah kamu kata kamu akan mendedahkan rahsia saya? Inikah yang kamu cuba tunjukkan pada kami?"

Tang Mengying menjadi pucat dan badannya berasa sejuk. "Itu bukan saya!" Tang Mengying menggigil sambil dipandang orang ramai. "Su Qianci, Su Qianci mahu memerangkap saya. Mengapa kamu lakukannya…"

Sebelum dia menghabiskan kata-katanya, imej di skrin bertukar lagi. Skrin itu menjadi gelap. Berdasarkan keadaan sekeliling dalam video itu, tempat itu ialah gudang terbiar. Seorang wanita yang seluruh tubuh badannya ditutup, sedang berdiri di sebelah seorang lelaki yang menunggang motosikal. Sejak dari saat pertemuan mereka, setiap perbualan mereka dapat didengar dengan jelas.

下一章