webnovel

Li Xun berjenaka dan memperkenalkan Su Qianci kepada para tetamu. Su Qianci memandang mereka sambil tersenyum, gayanya sungguh anggun. Gaun berwarna keemasan yang dipakainya itu menyerlahkan susuk tubuhnya dengan sempurna. Walaupun gaun itu formal, rekaannya masih lagi cantik.

Memandangkan ucapan rasmi seperti ini biasanya agak membosankan, para tetamu tidak berharap yang Su Qianci akan mengatakan sesuatu yang berbeza. Ramai yang menyangkakan dia akan menyediakan skrip untuk dibaca. Namun, sewaktu Su Qianci berucap, dia menarik perhatian mereka.

Laporan media memfokuskan pada perilaku, senyuman dan penampilan Su Qianci, dan mendapat pujian netizen. Li Xun dapat merasakan perubahan pada sikap orang ramai, daripada benci kepada hormat, dan dia berasa bangga. Ini gadis yang dipilihnya sendiri untuk cucunya. Selepas Su Qianci memberikan ucapan, lampu semakin malap. Skrin LED tiba-tiba terpasang.

Su Qianci terdengar muzik piano yang dikenalinya, lagu yang sedap tetapi sedih. Dia menjadi bingung. Itu lagu "Elegi". Su Qianci menoleh ke belakang dan nampak satu gambar yang menunjukkan piano berwarna putih di bawah lapisan bunga wisteria. Cahaya matahari memancar dari celah-celah pokok menjalar, dan mencorakkan piano itu. Seorang gadis berpakaian putih sedang duduk di hadapan piano berkenaan dan memainkan lagu ini dengan penuh perhatian, sambil air matanya mengalir di pipinya. Di belakangnya ada seorang lelaki yang tinggi, berdiri tanpa bergerak dan memberikan pandangan lembut pada gadis itu. Ramai yang terkejut melihat gambar itu.

Terutamanya Ou Ming. Dia memegang segelas wain dan berkata, "Aduhai, Li Sicheng ni betul-betul sayangkan isteri dia."

Macam mana dengan perceraian? Macam mana dengan kontrak? Ou Ming menyentuh hidungnya sambil menjeling pada Yu Lili. Yu Lili memandang susuk tubuh Su Qianci yang langsing dengan penuh kagum. Beruntung betul Su Qianci… Muzik piano itu terus dimainkan, tetapi gambar itu sudah berubah.

Di udara, Li Sicheng menundukkan kepalanya untuk mencium Su Qianci. Mata Su Qianci terbuka luas. Jelas sekali dia terkejut.

Di pantai, Li Sicheng memegang kedua-dua belah pipi Su Qianci dan menciumnya.

Di restoran, jauh di dasar lautan, Su Qianci memeluk bahu Li Sicheng. Kegembiraan terpancar dari matanya.

Semua wartawan menjadi kagum melihat gambar-gambar yang silih berganti.

Melihatkan gambar-gambar itu, Tang Mengying mencubit dirinya sendiri dengan kukunya.

"Tak guna!" Tang Mengqing juga sudah tak tahan lagi. "Kenapa Abang Sicheng begitu sukakan dia?"

"Salah tu," kata Tang Mengying. "Mustahil Li Sicheng sukakan dia. Kalau dia betul-betul sukakan perempuan jalang tu, dia tak akan sentuh Kakak. Anak dalam kandungan ini bukti terbaik tentang hal ini."

Melihatkan perasaan yang terlihat di mata Li Sicheng dalam gambar-gambar itu, Tang Mengqing tidak begitu yakin. Adakah lelaki itu hanya berpura-pura?

"Dia cuma berpura-pura demi kapten tua itu. Ini semua sebab Kaptern Li mendesaknya."

Tang Mengqing berasa lega. "Jadi macam mana sekarang?"

"Lebih banyak kegembiraan mereka dipaparkan, lebih kuat tamparan yang akan Su Qianci rasakan apabila kita tunjukkan video kita." Tang Mengying kelihatan kejam. "Mari tunggu dan lihat. Kali ini, dia tak akan terlepas begitu sahaja."

下一章