webnovel

Ada Orang Mahu Mencederakan Dia

編輯: EndlessFantasy Translation

Majlis itu bermula pukul 7 malam, diiringi alunan muzik. Kumpulan muzik itu berada di tengah-tengah dewan dan menarik perhatian ramai.

"Bukankah itu Song Yifan? Dan itu pemain biolanya. Dan itu…"

"Hebatnya Li Sicheng dapat menjemput mereka!"

"Saya yakin kekayaan dia melebihi apa yang kita sangkakan."

Walaupun perbincangan itu semakin kuat, memikirkan status sosial keluarga Li, para tetamu itu tidaklah begitu terkejut. Memandangkan Li Sicheng tidak ada di sini, semuanya diuruskan oleh Cheng You. Kapten Li pula menjadi tuan rumah. Ramai selebriti yang jarang dilihat, hadir ke majlis itu. Para wartawan begitu teruja mencatat semuanya secara profesional.

Tiba-tiba kedengaran satu jeritan kecil. Para tetamu menumpukan pandangan mereka ke arah seorang lelaki muda dan tampan, yang sedang berjalan masuk bersama temannya. Salah seorang kawan sekelas Su Qianci berkata dengan penuh teruja, "Ou Ming!"

"Itu Ou Ming. Nampak lebih hebat daripada dalam majalah."

"Siapa gadis di sebelahnya tu?"

Sambil diperhatikan orang ramai, Yu Lili memegang tangan Ou Ming dan tersenyum tanpa gentar. Yu Lili memandang di sekelilingnya, tetapi tidak nampak satu-satunya orang yang dia cari. Sambil keningnya berkerut, dia memalingkan kepala dan menyedari Ou Ming sedang memandangnya sambil tersenyum sedikit. Jantung Yu Lili terhenti seketika dan dia cepat-cepat mengalihkan pandangannya.

Ou Ming mendekatkan diri dan berbisik pada telinga Yu Lili. Dia bertanya dengan suara perlahan, "Cari siapa?"

Yu Lili berasa tak senang hati. Adakah Ou Ming sudah tahu siapa yang Yu Lili sedang cari? Yu Lili mengubah air mukanya dan menjauhkan diri daripada Ou Ming sambil menegaskan, "Saya cari Su Qianci!"

Mata Ou Ming menjadi suram dan dia mengangkat keningnya ambil memandang Yu Lili yang berlalu pergi.

Yu Lili yang tetap mahu menegakkan alasannya, masuk ke dalam untuk berjumpa Su Qianci dan menyapanya, "Hei, Qianqian!"

Su Qianci sedang berdiri di sebelah Kapten Li dan bercakap dengan seorang kenalan lama. Mendengarkan suara itu, dia berpaling dan senyum, "Lili, kamu dah sampai."

"Lu Yihan tak datang ke majlis kamu?" Yu Lili tercari-cari di sekelilingnya.

Su Qianci menggelengkan kepala. "Dia cedera dan berada di dalam hospital."

Yu Lili terkejut dan menjadi resah. "Tercedera? Kemalangan? Atau dipanah petir?"

Su Qianci menjelaskan apa yang telah terjadi, dengan ringkas. Yu Lili menjadi takut mendengarnya.

Tiba-tiba, air muka Yu Lili berubah saat dia berkata, "Saya rasa hal ini bukan semudah itu. Kawasan perumahan kamu itu agak bagus. Jadi tidak mungkin ada perogol akan muncul di situ. Mungkinkah…"

Kata-kata Lili membuatkan Su Qianci sedar. Sejak semalam, dia menyangkakan dia hanya bernasib malang. Namun begitu, Yu Lili mengingatkan dia yang semua ini mungkin bukan hanya kebetulan.

Lu Yihan duduk jauh dari rumah Su Qianci dan Li Sicheng, jadi dia tidak akan datang mencari Su Qianci kalau tak ada hal penting. Jadi, bagaimana dia boleh berada di situ? Kata-kata Yu Lili ibarat benang yang menghubungkan segala perkara yang Su Qianci tidak faham. Ada orang yang mahu mengapa-apakan dia!

下一章