webnovel

Li Sicheng melemparkan senyuman yang jarang dapat dilihat kepada abangnya. Dia berkata, "Jika teman wanita abang setuju untuk berkahwin, abang boleh pamerkan kemesraan sebanyak mana yang abang nak."

Li Beixing berasa pedih dalam hatinya. Kalaulah ia semudah itu…

Tang Zhengbao kelihatan tidak gembira dengan kelakuan isteri dan anak-anaknya. Li Beixing yang cukup mengenalinya yakin akan berlaku pergaduhan di rumah keluarga Tang apabila mereka balik nanti.

"Itu nampak sedap." Li Sicheng mengambil buku menu daripada tangan Su Qianci dan tiba-tiba teringat sesuatu. "Pesan minuman panas juga. Ia boleh bantu legakan kekejangan kamu."

Wajah Su Qianci sedikit kemerahan ketika dia mengangguk dan berkata malu-malu, "Pesanlah untuk saya." Li Sicheng mengangguk.

"Oh Tuhan!" Li Beixing terasa bulu romanya meremang lalu menoleh ke arah Qin Shuhua. "Ibu, ibu nak makan apa?"

Setelah semua orang selesai memesan makanan, Tang Mengqing berasa menyampah melihat wajah gembira Su Qianci. Kenapa perempuan ini yang dapat Li Sicheng? Jika bukan kerana dia, pasti Mengying dapat mengahwini Li Sicheng! Dia menoleh ke arah kakaknya dan Tang Mengying mengenyitkan mata kepadanya. Tang Mengqing berasa lega kembali. Dia tahu kakaknya mempunyai perancangan tersendiri. Walau bagaimanapun, apabila makanan sampai, rancangan Tang Mengying dan Tang Mengqing hancur sama sekali.

Mereka menyangka Su Qianci tidak tahu tatatertib makan malam rasmi. Namun begitu, Su Qianci makan dengan penuh tatatertib tanpa sebarang cacat cela. Puan Tang menoleh ke arah Qin Shuhua yang kelihatan gembira melihat cara menantunya, dan berasa geram. Dia lantas bertanya kepada Tang Mengqing dengan suara yang sengaja dikuatkan, "Tang Mengqing, kamu ada bertemu Su Qianci berdekatan sekolah kamu baru-baru ini bukan?"

Sebaik mendengar pertanyaan itu, Su Qianci segera mendapat firasat tentang sesuatu yang buruk. Tang Mengqing terus mengangguk dan berkata, "Ya. Dia sedang berseronok dengan seorang lelaki."

Tang Mengying berpura-pura marah dan berkata, "Qianci dah berkahwin. Berhenti merepek."

"Betul!" Tang Mengqing berkeras. "Dia asyik ketawa dan nampak gembira dengan lelaki itu. Saya ada gambar!"

Gambar! Wajah Qin Shuhua mula berkerut. "Gambar apa?"

Jantung Su Qianci seperti dihempas batu, dan dia menjeling Li Sicheng di sebelahnya. Li Sicheng merenung Su Qianci dengan dalam sebelum berkata kepada ibunya, "Ia cuma gambar yang diambil dari sudut mengelirukan."

Tang Mengying tidak menyangka lelaki itu akan menjelaskan bagi pihak Su Qianci. Ia sangat berlawanan dengan sikap Li Sicheng yang biasa. Jadi mereka sudah begitu rapat sekarang hinggakan gambar seperti itu tidak lagi menimbukan syak wasangka? Tang Mengying berasa cemburu tetapi cuba menyembunyikannya. "Nampaknya Mak Cik nak tahu. Tunjuklah gambar itu, Mengqing."

"Oh ya," Su Qianci tiba-tiba menyampuk, "Bagaimana keadaan kamu sekarang, Mengqing? Kamu perlu jaga diri sebaiknya dalam masa tiga bulan selepas keguguran… Saya sendiri sudah merasainya…"

Tang Mengqing terus terbangun dari kerusinya dan melenting, "Apa yang kamu cakap ini?"

Wajah Tang Zhenghao terus berubah ketika dia bertanya, "Apa maksudnya? Keguguran apa?"

下一章