webnovel

Masa untuk Pulang, Isteriku

編輯: EndlessFantasy Translation

Isteri…

Jantung Su Qianci terasa seperti terhenti seketika, dan satu perasaan yang sukar digambarkan menyelubungi dirinya. Lelaki itu memanggilnya? Su Qianci berasa bingung, seolah-olah sedang dipukau. Namun, dia jelas dapat merasakan suhu tubuh lelaki itu yang tersisa pada jaket di atas bahunya…

Sebaik Li Sicheng menuturkan kata-kata itu tadi, beberapa orang di situ tidak dapat menahan diri mereka daripada terjerit kecil.

"Biar betul! Suami Su Qianci adalah Li Sicheng?"

"Betulkah? Apa yang dia tertarik pada perempuan seperti itu..." Orang yang berkata itu terus terhenti, dan memandang ke arah Li Sicheng sambil tersipu-sipu.

"Encik Li..." Gadis yang baru sahaja mengutuk Su Qianci tadi tiba-tiba berasa risau. "Saya hanya bergurau dengan kawan lama... Tak ada niat untuk menghina dia."

Melihat reaksi gadis itu, Lu Yihan berasa kecewa. Meskipun Li Sicheng tidak mengatakan apa-apa dan tidak melakukan apa-apa, mereka sudah merayu dan cuba mendapat belas kasihannya. Pada saat itu, Lu Yihan merasakan dirinya seolah-olah bahan lawak.

Sungguh menyedihkan!

Li Sicheng berdiri di sebelah Su Qianci dan mereka kelihatan cukup sepadan. Sudah tentu, dengan lelaki seperti itu di sampingnya, Su Qianci tidak lagi memerlukan perlindungan dan bantuannya, bukan? Tetapi Lu Yihan tidak mahu berputus asa.

Li Sicheng seolah-olah tidak mendengar kata-kata gadis itu dan berbisik kepada Su Qianci, "Mari pergi." Tangan kasarnya memegang jari-jemari Su Qianci yang sedikit menggeletar dan menariknya pergi. Su Qianci hanya membiarkan dirinya ditarik Li Sicheng, kepalanya tunduk dan jantungnya berdegup kencang. Semua pandangan dilemparkan kepadanya. Dia seperti seorang wanita yang dicemburui oleh semua orang. Tetapi dia merasakan semuanya seakan tidak benar, seolah-olah dia telah mencuri kebahagiaan ini daripada seseorang.

Tanpa sedar, Su Qianci menoleh ke belakang dan melihat Tang Mengying berdiri di samping Liu Anan yang duduk dengan pipi membengkak. Tang Mengying juga kelihatan sedang cemburu kepada Su Qianci. Perkara itu membuatkan Su Qianci gembira. Dia melangkah lebih pantas untuk mengikuti Li Sicheng sambil memegang lengan lelaki itu dan tersenyum.

Tang Mengying yang sedang memegang beberapa dokumen di tangannya mengetapkan gigi. Kemarahan dan kebencian semakin tumbuh dalam hatinya seperti rumput liar. Jika tiada Su Qianci, pasti Tang Mengying yang akan menjadi orang yang menikmati semua kemasyhuran itu.

Sewaktu pasangan itu mula melangkah keluar dari dewan majlis, gadis yang menghina Su Qianci tadi mendapat panggilan.

"Hi ayah." Namun, dalam waktu kurang daripada dua saat, riak wajah gadis itu terus berubah sebelum dia berteriak, "Apa? Bagaimana ini boleh terjadi? Pagi tadi semuanya baik-baik saja. Bagaimana kita boleh muflis hanya dalam satu hari?"

Muflis?

Semua orang memandang ke arahnya.

"Siapa yang telah saya hina? Saya tidak..." Ketika gadis itu mahu meneruskan percakapan, dia terpandang Li Sicheng dan Su Qianci yang sedang berjalan pergi, dan wajahnya terus berubah pucat.

下一章