webnovel

Semasa pemuda itu berkata-kata, dia lantas tersedar yang perkara yang telah disebut-sebutnya itu salah. Memandangkan Chu Qiao telah mengkhianati Yan Bei, bagaimana mungkin dia masih boleh dipanggil Jeneral?

"Jeneral, saya... saya..." Ah Jing tidak berkata apa-apa lagi ketika dia berpaling untuk beredar. Cahaya bulan yang bersinar pada tubuhnya itu membuatkan ia kelihatan sepucat warna putih pucat.

Bukan pemuda itu sahaja yang merinduinya, malah Yan Bei juga merindui kehadirannya. Takdir seringkali tidak dapat diputarkan kembali seperti mata anak panah yang telah dilepaskan..

Ah Jing menggelengkan kepalanya sedikit ketika dia memakai jubahnya yang terasa berat di bahu untuk merasai kehangatan.

Hongye lantas terkejut daripada tidurnya oleh disebabkan bunyi hujan yang kuat menghentam bumbung istana pada waktu senja. Dia lalu terduduk di atas permaidani mewah di dalam istana yang kesepian itu sambil memakai jubah kehijauannya telah menjadi sedikit lembap dek peluh. Wanita itu kemudiannya menggigil kedinginan ketika angin sejuk meniup ke arahnya dan lantas mengeringkan peluh yang membasahi badannya itu. Dia menggosok-gosok kulitnya perlahan, namun ia hanya telah membuatkan hujung jarinya bertambah sejuk saja.

Sehelai kepala surat berwarna putih bersih yang berkeronyok menandakan ia telah dibelek beberapa kali sedang terdampar di bahagian lain tikar itu. Mata wanita itu kelihatan dingin semasa setitik demi setitik hujan jatuh ke tanah. Loceng angin di tingkap itu mula berkerincing lantang manakala tirai di istana itu pula beralun sedikit dengan penuh anggun bagaikan seorang penari yang sedang melenggokkan pinggulnya.

Isi surat tersebut berbunyi:

"Keadaan dah menjadi kritikal. Saudara, awak mempunyai tiga pilihan. Pertama sekali, awak boleh menghapuskan seluruh keluarga Nalan dan juga maharaja mudanya sebelum memenjarakan puteri sulung dan membunuh Raja Pujiang. Dengan cara ini, awak boleh menguasai seluruh kuasa politik di Song. Keduanya, awak boleh berkahwin dengan puteri sulung dan menerima gelaran 'Raja Shezheng'. Dengan cara ini, awak boleh berurusan dengan Raja Pujiang, meninggalkan wilayah-wilayah di sepanjang kawasan timur dan memelihara tanah di ibu kota. Ketiga, awak boleh menjalinkan sebuah ikatan melalui perkahwinan dengan Xia, tetapi awak tak boleh menimbulkan kemurkaan kaum kerabat maharaja Xia, sekiranya mereka digulingkan dan diganti. Orang ini haruslah mempunyai pengaruh kuasa ketenteraan yang besar, bersesuaian usianya dan juga dilahirkan daripada keluarga bangsawan atasan di sana dengan sokongan daripada kuasa puak yang besar. Paling penting, orang ini perlulah bercita-cita tinggi dalam medan politik untuk memimpin Empayar Xia. Apabila undangan perkahwinan dihantar, Raja Pujiang pasti tak akan berani menghantar pasukannya ke arah ibu kota. Apabila musim bunga berakhir, apabila Jiang Yong menghantar tenteranya ke kawasan timur, krisis itu pasti akan dapat dielakkan. "

Segala isi surat itu telah pun dihadam Hongye tanpa perlu membacanya sehingga ke akhir surat di bawah nyalaan lampu. Wanita itu bersandar di sisi katilnya dengan senyap sementara matanya merenung jauh. Sebenarnya terdapat satu cara lain, iaitu dengan perkahwinan Yan Bei dengan Song sebagai satu bentuk penggabungan kuasa. Bukan sahaja krisis mengenai pemberontakan Raja Pujiang akan dapat dielakkan, malah pasukan tentera Yan Bei akan dapat diperkukuh lagi. Mereka akan dapat mengepung Xia dari arah timur dan barat, menguatkan satu sama lain. Walau bagaimanapun, pemuda itu sememangnya enggan berbuat demikian lalu dia tidak pernah memikirkan hal ini sebelum ini.

Seorang lelaki yang bersesuaian umur dengan pengaruh kuasa ketenteraan yang besar, dilahirkan dalam keluarga bangsawan mulia Xia dan juga mendahagakan kuasa. Berapa ramaikah orang sebegitu yang wujud di dunia ini?

Hongye meraih sisi bibirnya, lantas mendedahkan sebuah senyuman yang suram.

'Saudara, awak sememangnya tak boleh lepaskan dia pergi.'

Pada masa ini, Xia dan Yan Bei sedang terlibat dalam peperangan. Kaum etnik minoriti telah menyebabkan pergolakan di timur laut. Terdapat pergolakan pengaruh kuasa dalaman di dalam negara dan ternyata, keluarga maharaja kini sedang berada di ambang ketidakstabilan. Song dan Xia tidak berperang selama bertahun-tahun yang menyebabkan hubungan diplomatik mereka lebih kuat berbanding dengan Song dan Tang.

Tambahan pula, Empayar Song merupakan pusat perdagangan penting yang sungguh makmur, jadi sudah semestinya Xia tidak akan melepaskan peluang dari membentuk sebuah penggabungan dengan Song pada masa ini. Walau bagaimanapun, pemuda yang mengawal kuasa ketenteraan dan juga merupakan Marsyal Besar Pasukan Tentera Xia, adalah Raja Qinghai. Dia juga mempunyai sokongan yang kuat daripada keluarganya. Bagaimanakah dia dapat dimanipulasi dengan senang oleh orang lain?

Selepas kedua-dua konflik besar yang berlaku di Yan Bei itu, siapa yang tidak tahu akan kesetiaan Zhuge Yue kepada Jeneral Pasukan Tentera Xiuli? Mungkin di mata orang biasa, dilemanya antara kekuasaan dan kasih sayang. Perasaan manakah yang akan mengawal diri Zhuge Yue apabila berhadapan dengan keputusan ini? Walau bagaimanapun, Hongye tahu penggabungan kuasa melalui perkahwinan ini telah ditakdirkan untuk gagal, bukan kerana dia mengenali isi hati Zhuge Yue, tetapi kerana dia mengenali isi hati Yan Xun dengan baik.

'Bagaimana mungkin awak akan melihat saja saingan cinta awak membentuk sebuah perikatan dengan Song, lalu menjadi Raja Shezheng. Dengan membuat cadangan ini, awak pastinya sedar betapa susahnya untuk berurusan dengan orang ini."

Dengan melancarkan rancangan ini, konflik Song pasti akan dapat dihindarkan buat sementara waktu. Zhuge Yue akan dipisahkan dari politik Xia setelah menyinggung perasaan para pegawai Xia dan Song. Lagipun, jika dia berani menolak lamaran perkahwinan tersebut, pengaruh ekonomi keluarga Zhuge di Song pasti akan disekat oleh keluarga maharaja Song. Dengan cara ini, kedudukan Zhuge Yue dalam keluarganya juga pasti akan terjejas. Walaupun pemuda itu mempunyai pengaruh kuasa mutlak di Xia, namun dia masih akan terkena tempiasnya.

Konflik di antara Qinghai dan Xia juga telah menjadi peluang yang sempurna bagi Yan Bei untuk menyerang dan menyebabkan kerugian yang besar terhadap kedua-dua pasukan tentera mereka.

Hongye telah memikirkan pelbagai senario sebelum ini, tetapi tidak pernah memberi sebarang tindak balas buat masa yang lama.

Yan Xun memang hebat. Kata-katanya sahaja cukup untuk menyebabkan ribut petir di Xia. Walau bagaimanapun, pemuda itu tidak menjangkakan satu perkara, iaitu saudaranya, Xuan Mo, sebenarnya puteri sulung Song, Nalan Hongye.

Wanita itu mengecilkan matanya dalam kegelapan untuk memandang ke arah ufuk dan serta-merta dapat meramalkan ribut yang akan tiba. Segala emosinya tiba-tiba meluap-lupa di dalam jiwanya. Pemuda itu tidak tahu Xuan Mo sebenarnya Hongye. Wanita itu berfikir sendirian berulang-ulang kali, 'Kalau dia tahu, dia pasti tak akan mempergunakan aku untuk rancangannya.'

Walau bagaimanapun, kepahitan dan kesayuan masih lagi meruntut dirinya. Apatah lagi apabila pemuda itu telah memintanya supaya berkahwin dengan orang lain.

'Saudara, awak ini memang seorang yang licik. Kita dah berkenalan selama 12 tahun, tapi awak begitu cuai. Xuan Mo sebenarnya bukan Xuan Mo. Awak masih belum menyedarinya ke?'

Wanita itu lantas mengumpul segala kekuatanya di hujung jari untuk menggenggam kepala surat putih itu dengan ketat. Dengan suara yang rendah, dia berrkata pada dirinya sendiri, "Saudara, semenjak awak dah ada hasrat itu, apa salahnya kalau saya yang membantu awak?"

Bandar Zhen Huang kemudiannya bertukar menjadi huru hara. Seseorang sudah tidak lagi dapat menentukan apa yang sedang berada di dalam periuk setelah airnya mendidih dengan sebegitu dahsyat.

Selepas pengisytiharan perkahwinan oleh Song selesai, berita tersebut telah mengegarkan bandar maharaja ini. Walaupun ini bukan kali pertama seorang puteri telah berkahwin dengan seorang lelaki di bawah statusnya tetapi bila ia berlaku ia hanyalah kerana tiada putera yang bersesuaian umurnya untuk dikahwinkan. Kini, terdapat ramai putera yang telah cukup umur, termasuklah Zhao Che dan Zhao Yang, terutamanya Zhao Yang yang berkedudukan stabil. Dengan pengaruh kuasa yang banyak di dalam genggamannya, dia jelas sekali pilihan utama untuk memimpin Xia.

Akan tetapi, pengaruh kuasa Song juga kurang stabil berbanding masa lalu. Oleh kerana Nalan Heqing masih muda, Nalan Hongye telah mengambil alih kuasa kerajaan selama bertahun-tahun lamanya. Walaupun dia hanyalah seorang puteri secara sah, namun secara teknikalnya wanita itu maharaja wanita Song. Suaminya bukan sekadar akan menjadi suami biasa, tetapi pemuda itu mungkin akan menjadi Raja Shezheng. Dalam situasi ini, ia tidak wajar untuk menggabungkan kuasa keluarga maharaja mereka dengan empayar lain. Namun, pengaruh kuasa mereka kini dalam keadaan yang goyah dan mereka memerlukan sumber luar untuk mengawal Shezheng supaya dapat menstabilkan keadaan. Dengan perspektif ini, semuanya akan kelihatan lebih munasabah. Namun, apabila pengutus Song membacakan nama Zhuge Yue di istana Xia, seluruh arena politik empayar itu telah digegarkan sekali lagi.

Dua tahun yang lalu, berita tentang kematian Zhuge Yue telah sampai ke telinga Xia. Reputasi pemuda itu juga telah hancur apabila Pasukan Tentera Xia di Sempadan Yanming juga mengalami kekalahan berat. Tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan yang dia mampu merancang kebangkitan semulanya di Qinghai dua tahun kemudian, lantas membawa tenteranya kembali ke tanah airnya dengan penuh megah. Apatah lagi apabila pemuda itu menjadi orang yang paling berkuasa di majlis persidangan Empayar Xia. Malah Zhao Yang juga harus menghormatinya. Pada masa ini, puteri Song telah menawarkan lamaran perkahwinan kepadanya. Di saat Zhuge Yue mengahwini puteri tersebut, puak keluarganya pasti akan melonjak naik dalam status empayar setelah seluruh tanah kawasan Xia, Pasukan Tentera Qinghai dan juga sokongan Song jatuh ke dalam tangan mereka. Zhuge Yue pasti akan menjadi pegawai yang paling berkuasa di Xia. Walaupun potensi akibat-akibat buruk yang boleh berlaku disebabkan hal ini agak menakutkan, namun keluarga Zhao tidak dapat menolak peluang yang berisiko ini.

Tanpa mempedulikan tentang keadaan ekonomi semasa mereka dan juga konflik di sebelah barat laut, memang jelas sekali terdapat beberapa hubungan yang tidak diketahui antara Yan Bei, Song dan Tang berdasarkan peperangan terdahulu yang berlaku di utara. Setelah pemergian Jeneral Pasukan Tentera Xiuli, Chu Qiao, dari Yan Bei pada masa ini, hubungan mereka dengan Tang telah terjejas. Bagaimana dengan Song? Jika Xia mengisytiharkan perang terhadap Yan Bei, apakah sikap yang akan diambil oleh Song terhadap situasi ini? Lagipun, jika puteri sulung Song berkahwin dengan Zhuge Yue, adakah situasi itu akan terbalik?

Walaupun begitu banyak ketidakpastian yang boleh berlaku pada masa depan, Xia tidak mempunyai pilihan lain dari melibatkan diri mereka dalam keadaan ini. Lagipun, kebimbangan mereka itu dianggap remeh berbanding konflik di barat laut. Apabila ais telah mencair dalam masa sebulan lagi, pasukan tentera Yan Bei akan cuba untuk melepasi sempadan itu lagi.

Pada petang itu, tiga orang utusan yang membawa perutusan maharaja, surat-surat rahsia antara keluarga serta maklumat risikan swasta dari orang-orang suruhan Zhuge Yue semuanya telah berangkat dari Zhen Huang untuk bergerak ke Rabung Nuanshui.

Zhao Yang melabuhkan pinggulnya di dalam dewan besar sambil menghirup teh sementara cahaya matahari bersinar ke dalam dewan dari luar ke wajahnya yang kacak. Putera ke-16, Zhao Xiang, terduduk di sampingnya sambil dihiburkan oleh burung nuri yang bercakap. Burung itu memakan biji padi di tapak tangan Zhao Xiang dengan ghairah sambil mengucapkan beberapa patah perkataan secara rawak. Ini menimbulkan kemarahan Zhao Xiang yang mencarut pada burung tersebut sekali-kala.

"Adik ke-16, apa pandangan adik terhadap perkara ini?" Zhao Yang membuka mulutnya untuk bertanya. Bahagian dalaman dewan besar itu terasa hangat dengan sehelai permaidani tebal yang diletakkan di atas tanah. Rempah-ratus yang wangi diletakkan di dalam periuk setanggi. Tanpa mengalihkan kepalanya, Zhao Xiang menjawab dengan malas, "Perkara apa?"

"Yang berkaitan dengan perkahwinan puteri Song itu."

Perhatian Zhao Xiang sekaligus tertarik ketika dia berpaling sambil membalas dengan marah, "Lelaki Zhuge itu sangat bernasib baik. Sudahlah dia mati sekali, bahkan dia bawa kembali ratusan ribu tentera yang setia. Sekarang, dia nampaknya bernasib baik sekali lagi. Menyakitkan hati betul. "

Zhao Yang bertanya tanpa emosi, "Betul ke sebab dia bernasib baik?"

Zhao Xiang tidak memahami niat di sebalik perkataan abangnya itu. Dengan suara yang rendah, dia menjawab, "Pada pandangan saya, puteri Song sepatutnya memilih abang ke-14 untuk menjadi suami dia. Kalau bukan abang, abang ke-7 pula sepatutnya yang dipilih. Kenapa Zhuge Yue pula yang terlibat? Saya dengar yang rakyat Qinghai menggelarkannya sebagai pemerintah mereka. Pada pendapat saya, dia akan menjadi Raja Shezheng dalam masa yang singkat. Maharaja-maharaja Song masa depan pasti akan menukar nama keluarga mereka kepada Zhuge juga. Abang ke-14, abang rasa Xia dah satukan Song ke?"

Zhao Yang tergelak ketika dia berkata, "Ini sememangnya cara yang menakjubkan untuk melakukannya. Abang rasa keluarga Zhuge akan menjadi masalah yang lebih besar pada masa akan datang berbanding dengan keluarga Nalan. "

Zhao Xiang berfikir seketika sebelum berkata, "Walaupun Zhuge Yue itu agak unik, tapi perwatakannya tidak jahat. Dia setia dan cinta kepada negaranya. "

"Setia dan cinta kepada negaranya?" Zhao Yang menatap Zhao Xiang dari hujung matanya sambil berkata berat, "Kamu benar-benar percaya semua itu?"

"Saya berada dalam kelas yang sama dengannya untuk seketika di Dewan Shang Wu. Dia gigih, tidak seperti aristokrat lain. Dia juga rasional. Saya rasa dia sesuai untuk membantu pertabalan maharaja seterusnya. "

"Sesuai untuk membantu?" Zhao Yang menggelengkan kepalanya dengan tidak percaya ketika dia meneruskan, "Bagaimana mungkin dia akan menurut kata orang lain? Sekalipun dia mencintai negaranya, dia tidak akan setia kepada kamu atau abang."

Zhao Xiang memandang Zhao Yang dengan penuh bingung.

Zhao Yang tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut dan memilih untuk membebel, "Perkara ini tidak semudah itu. Sudah pasti terdapat beberapa orang tokoh yang berpengaruh untuk memberi arahan di belakang tabir. Tapi…" Dia tiba-tiba tergelak dingin sebelum meneruskan, "Semua orang berpendapat yang peluang ini diberikan kepadanya dengan mudah, tetapi Zhuge Yue tak fikir begitu. Akhirnya, seseorang sedang mendedahkan siapa diri dia sebenarnya. Abang nak tengok bagaimana Raja Qinghai Raja bertindak dalam keadaan ini. "

Beginilah suasana yang tenang sebelum ribut melanda. Ribut yang sememangnya kuat...

Malam itu, Zhuge Yue tidur lewat. Apabila langit bertukar terang, dia bersandar di sisi katilnya dengan penuh lelah oleh kerana fikirannya yang telah mengembara jauh. Dia seolah-olah telah kembali ke dalam mimpi buruknya, mengenang kembali kenangan yang telah dilupakan. Dia melihat bayang-bayang yang tidak terkira banyaknya sedang mengelilingi dirinya dan lantas merasakan seluruh badannya membeku keras. Tangan berwarna kehijauan serta-merta merenggut dan mendorongnya ke atas dengan aliran arus. Darah merah mengalir keluar, tersebar ke seluruh air yang berais.

Mata Yue Jiu merah ketika dia mengerahkan semua askar untuk menarik pemuda itu ke atas. Matahari bersinar melalui retakan yang terdapat pada permukaan tasik, menyebabkan cahaya bersinar ke dalam air. Pemuda itu dapat mendengar suara dialog manusia di permukaan air yang kedengaran kuat dan jelas ketika ia melintasi air dan masuk ke dalam telinganya.

"Hidup Tuanku!"

Dia tahu apa yang sedang berlaku. Rakyat-rakyat Yan Bei telah menganggap dirinya telah terkorban. Sorakan-sorakan itu telah direka oleh para pahlawan Yan Bei yang memberi penghormatan kepada maharaja mereka.

Sorakan itu semakin bergema kuat sehingga pada satu tahap, dia tidak lagi dapat mendengar apa-apa bunyi selain dari sorakan tersebut. Dia telah dikalahkan oleh lawannya. Sejak dia muda lagi, dia tidak pernah dikalahkan dengan cara sebegini. Namun, oleh kerana kekalahannya jugalah dia akan membayar hutang itu dengan seluruh jiwa dan raganya.

Kepada para Pembaca,

Versi terbaru Webnovel membenarkan anda mengepos komen kepada perenggan yang khusus.

Untuk menggunakan ciri ini, sila ketik dengan lama kepada perenggan yang anda mahu komen dan pilihan mengepos berkenaan akan muncul.

Selamat berbual!

dracarys3064creators' thoughts
下一章