webnovel

Harapan Memiliki Menantu Perempuan

編輯: EndlessFantasy Translation

Puan Lu memerhatikan pasangan bapa dan anak lelaki itu yang kaku seperti kayu. Sedih hati ibu melihat keadaan itu. "Tingxiao, awak dengar apa yang Mak cakap tadi? Kenapa dengan Si Cilik? Dia tidak makan sebiji beras pun sepanjang malam. Cucu kesayangan Mak ini hanya merenung telephone bimbit sahaja!"

Lu Jingli masih mengunyah tulang rusuk yang dimasak masam manis. Apabila dia membuka mulut untuk bercakap, ia tidak berapa jelas. "Si Cilik sedang menunggu panggilan dari mak cik cantik itu!"

Puan Lu keliru. "Siapa mak cik cantik?"

Lu Jingli melambaikan tangannya. "Aiya, ayah dan ibu, awak tidak perlu risau. Abang saya ini sudah jumpa orang yang dia suka!"

Puan Lu amat terkejut tetapi masih tidak percaya. "Awak cakap betul? Angah, jangan tipu kami!"

Tuan Besar Lu serius apabila dia meletakkan penyepitnya ke bawah untuk memerhati Lu Jingli.

"Kenapa saya perlu tipu? Ini memang betul. Kalau tak percaya, tanyalah abang saya ini!" Lu Jingli berkata sambil melihat abangnya.

"Tingxiao, adakah apa yang Jingli itu cakap benar?" Tuan Besar Lu bertanya dengan suara yang garang.

"Tingxiao, kenapa kamu tak jawab?" Puan Lu mendesak.

Lu Tingxiao : "Ya."

Puan Lu rasa mahu mati kerana tidak sabar, dia seperti tunggu separuh hari hanya untuk mendengar satu perkataan "Ya". Perutnya penuh dengan kemarahan. "Budak ni! Kamu tak boleh bercakap lebih dari satu perkataan? Susah betul bercakap dengan kamu!"

Lu Tingxiao berkata, "Betulkah?"

Baik, jadi dia boleh bercakap lebih dari satu perkataan.

Namun, Puan Lu masih tidak yakin, dan bertanya dengan curiga, "Tingxiao, orang yang kamu suka itu…lelaki ke perempuan?"

Muka Lu Tingxiao menjadi gelap. Sambil mengetap gigi, dia berkata, "Perempuan."

Lu Jingli ketawa terbahak-bahak, sehingga hampir jatuh dari kerusi. "Sudah tentu seorang perempuan. Seorang perempuan yang amat cantik. Si Cilik kita ini amat menyukainya dan masih menunggu panggilan dari dia!"

Puan Lu mendengar ini, dia amat gembira. "Nenek moyang telah berkati kita, nenek moyang telah berkati kita! Tingxiao, perempuan ini dari keluarga mana? Berapa umurnya? Dari mana tempat asalnya? Dia kerja apa? Berapa besar rumahnya? Kenapa tak beritahu lebih awall…"

Lu Jingli memintas ibunya. "Mak, tolong bertenang! Tiada apa-apa pun yang berlaku antara mereka berdua! Kami tidak beritahu awak kerana takut awak akan campur tangan dan merosakkan segala-galanya!"

Sekiranya mereka tahu siapa Ning Xi, reputasinya yang kurang baik, dan hakikat bahawa dia bekerja dalam industri hiburan, rancangan mereka pasti akan hancur.

Pada masa ini, Tuan Besar Lu berkata, "Jika Tingxiao suka perempuan ini, sudah tentu dia perempuan ini baik. Jangan terlalu risau."

"Jangan risau? Kamu tak risau? Siapa yang terlalu risau sampai tidak boleh tidur malam dan perlu keluar ke anjung untuk merokok?" Puan Lu tanpa belas kasihan mendedahkan suaminya.

Namun, selepas mendengar pendapat suaminya, dia menjadi lebih tenang. "Citarasa Tingxiao sangat tinggi. Jadi, gadis yang dia suka ini pasti cukup baik. Si Cilik juga suka padanya!"

Setelah semua orang telah bertenang, tiba-tiba telefon bimbit di tangan Si Cilik berbunyi.

Ini merupakan telefon bimbit peribadi Lu Tingxiao. Jadi, tidak ramai orang yang tahu nombor itu.

Lu Jingli bergegas untuk melihat. Nombor telefon Ning Xi terpapar pada skrin telefon bimbit itu.

"Gadis itu yang membuat panggilan?" dengan semangat Puan Lu bertanya. Dia bergegas seperti mahu bertemu dengan menantu perempuannya.

Lu Jingli mengangguk kepalanya lalu membantu Si Cilik menjawab panggilan itu. Si Cilik tidak reti menggunakan telefon bimbit. Lu Tingxiao pernah membelikan telefon bimbit kepada dia sebelum ini. Namun, dia tidak suka gunakan dan entah ke mana dicampak.

Pada waktu itu, semua yang duduk di meja menumpukan perhatian sepenuhnya pada telefon bimbit itu.

Lu Jingli yang paling tidak malu, meletak telinganya di sebelah telefon bimbit untuk mencuri dengar.

下一章