webnovel

Jun Wu Xie menggelengkan kepala dan tidak banyak bercakap. Dia membiarkan Lei Chen menghantarnya ke Lof Dewa sebelum mereka berdua berpisah.

Lei Chen tidak pernah terfikir sekali lagi dia melihat penampilan sebenar Jun Wu Xie nanti, Negara Yan sudah berubah sepenuhnya.

…..

Seperti yang dijangka, Qu Ling Yue kembali sedar pada malam itu. Selepas dia sedar, dia mendapat tahu segalanya yang telah berlaku sewaktu dia sedang koma. Qu Ling Yue amat terkejut. Dia langsung tidak teringat ada terkena serangan daripada Jun Xie! Apa yang dia ingat, sebelum dia pengsan dia ada merasakan kesakitan yang menyengat di belakang lehernya. Kemudian dia terus tidak sedar.

Sewaktu mendapat tahu yang Jun Xie masih dipenjarakan, Qu Ling Yue tidak mempedulikan kebimbangan tentang tubuhnya yang masih belum pulih. Dia berkeras mahu pergi ke penjara malam itu juga untuk membebaskan Jun Xie. Bersungguh-sungguh dia meminta maaf tentang hal tersebut tetapi Jun Xie hanya menjawab ringkas. Kemudian Jun Xie cepat-cepat kembali ke Lof Dewa.

Berita itu pantas tersebar ke Istana Diraja.

Di dalam Bilik Bacaan Diraja, Maharaja sedang duduk meneliti rekod dan petisyen. Tiba-tiba Maharaja terlihat susuk tubuh Lei Fan berlari masuk dengan panik. Maharaja terus meletakkan berus tulisan dan tersenyum lembut, "Anakanda, dah lewat ni. Ada apa Anakanda ke sini?"

"Ayahanda!" Tanpa berkata apa-apa, Lei Fan terus melutut di hadapan Maharaja.

"Apa yang dah berlaku? Berdiri dan beritahu Ayahanda." Maharaja itu terus berdiri, berniat mahu membantu Lei Fan bangun.

Wajah Lei Fan yang menawan itu kelihatan amat panik. "Qu Ling Yue dah sedar!"

"Apa?" Tangan yang Maharaja itu hulurkan terus terhenti dan senyuman di wajahnya menjadi kaku.

"Berita baru saja diterima! Orang-orang dari Bandar Seribu Binatang dah tiba di Ibu Negara Diraja hari ini dan mereka terus pergi ke rumah tumpangan Akademi Panji Perang. Tak ada siapa tahu apa sebabnya tapi Kakanda Sulung tiba-tiba bawa Jun Wu Xie dari Istana Lin Kerajaan Qi ke situ. Jun Wu Xie tu dapat sembuhkan Qu Ling Yue di depan mata wakil dari Bandar Seribu Binatang! Malah dia beritahu mereka hal sebenar di sebalik kecederaan Qu Ling Yue yang menyebabkan dia koma! Sekarang ni orang-orang dari Bandar Seribu Binatang dah tahan Tabib Diraja Li dan tabib-tabib lain di dalam rumah tumpangan tu. Mereka sendiri nak lakukan soal siasat!" kata Lei Chen. Dia hampir menangis. Sewaktu pertama kali mendengar berita itu, dia terasa seperti telah dipanah petir.

"Macam mana boleh jadi macam ni? Kerajaan Qi? Istana Lin? Macam mana Lei Chen boleh kenal dengan orang Istana Lin?" Minda Maharaja itu ligat berfikir. Sangkanya, selepas ketibaan orang-orang dari Bandar Seribu Binatang, semuanya akan berlaku seperti yang dirancang. Orang-orang dari Bandar Seribu Binatang tak akan melepaskan Jun Xie. Apabila Jun Xie sudah diseksa oleh Bandar Seribu Binatang, dia pasti akan tunduk pada permintaan Lei Fan. Bila tiba waktunya nanti, dia akan menyuruh orang menyebarkan berita bahawa Jun Xie ada hubungan rapat dengan Putera Mahkota. Ini akan memburuk-burukkan Putera Mahkota dan orang-orang Bandar Seribu Binatang pula akan berasa tidak puas hati dengan Putera Mahkota.

Ketika emosi orang-orang dari Bandar Seribu Binatang itu sedang membuak-buak marah, Maharaja akan menyuruh Tabib Diraja Li "menyembuhkan" Qu Ling Yue. Negara Yan tidak perlulah terlibat dalam pertelingkahan politik dengan Bandar Seribu Binatang.

Setiap langkah dalam rancangannya telah dipertimbangkan dengan teliti. Kalau semuanya berlaku seperti yang dirancang, Putera Mahkota dan Jun Xie akan terseksa. Namun setelah hal yang tidak dijangka ini berlaku, semua rancangannya musnah!

"Anakanda pun tak tahu! Apa yang Anakanda tahu, Qu Ling Yue dah pergi ke penjara tadi dan bebaskan Jun Xie! Ayahanda! Apa yang kita nak buat sekarang?" Walaupun Lei Fan tidak tahu keseluruhan rancangan Ayahandanya, dia tetap tahu serba sedikit. Sekarang ini semua rancangan itu telah musnah. Bandar Seribu Binatang bukan sahaja tidak marah dengan Jun Xie dan Lei Chen, mereka terhutang budi kepadanya kerana dia telah menjemput Cik Jun dari Istana Lin. Cik Jun itu pula telah menyembuhkan Qu Ling Yue.

下一章