webnovel

Kesuntukan Masa!

編輯: EndlessFantasy Translation

'Empat Kecil, trajektori serangan mecha B,' Ling Lan meminta dengan tenang, 'Dan tinggikan kereta apung yang kedua.' Semakin berbahaya situasi ini, semakin penting untuk dia kekal tenang. Nyawa Ling Qin bergantung padanya.

Ling Lan bersyukur kerana dia mendapat bantuan sahabat yang baik seperti Empat Kecil. Selepas Empat Kecil mengambil alih kawalan kereta yang mengancamnya itu, dia juga memberitahu Ling Lan yang dia telah mengambil alih kawalan dua buah kereta yang lain. Maklumat ini membawa harapan pada Ling Lan, memberikannya idea yang hebat dan berharga, yang mungkin boleh membantu Ling Qin dan Ling Lan untuk bertahan sehingga bantuan tiba.

Walaupun dia lega, dia juga berasa agak sedih. Buat pertama kalinya, dia menyedari betapa lemahnya dia. Pada saat ini, dia hanya boleh melihat orang yang dia kasihi, berjuang untuk hidupnya. Jika bukan kerana Empat Kecil, Ling Qin mungkin sedang berlumuran darah di tempat ini.

Tepat pada ketika ini, Ling Lan tidak menyedari keinginan untuk menjadi bertambah kuat telah mula disemai dan berakar di dalam hatinya. Pada masa akan datang, apabila dia menghadapi kesukaran dan berasa letih atau sesat, keinginan ini akan memberikannya semangat untuk meneruskan usaha...

Tindakan Empat Kecil sangat sempurna. Bukan sahaja dia berjaya mengira dan memberitahu semua trajektori serangan mecha B, dia juga secara automatiknya telah mengalihkan kereta apung kedua untuk menghalang trajektori tersebut.

Empat Kecil adalah seorang yang rajin, Ling Lan hanya perlu memberi arahan padanya sekali sahaja untuk Empat Kecil mengingat arahannya. Oleh itu, tanpa perlu diberitahu dua kali, dia telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan arahan Ling Lan.

'Empat Kecil, bagus.' Walaupun dia tidak pernah membesarkan seorang anak sebelum ini, Ling Lan masih tahu yang kanak-kanak suka dipuji. Jadi, dia memuji Empat Kecil sehabis baik, sehingga menyebabkan Empat Kecil malu dan tersenyum lebar sehingga mengecilkan matanya.

********

Apabila kedua-dua kereta apung itu sekali lagi menghalang trajektori serangan, oranhg yang bodoh sekalipun akan menyedari yang sesuatu tidak kena.

"Habislah! Pasti ada sesuatu telah berlaku." Mecha B menurunkan senapangnya, mukanya serius.

"Ketua, saya masih ingat yang semua orang di dalam kereta apung itu sudah keluar. Tidak ada seorang sekalipun yang berada di dalam kereta itu." Mecha A juga telah menyedari perkara sebenar, teringat tentang orang-orang yang pada mulanya berada di dalam kereta itu, kini terlibat di dalam pertempuran dengan pihak lawan.

"Habislah, mereka sudah tahu." Memikirkan tentang bagaimana serangan mereka dipatahkan, mecha B merasakan peluh sejuk mula mencurah keluar daripada liang-liang romanya. Setiap langkahnya mungkin sedang dipantau oleh pihak lawan.

"Ah... Ke-Ketua, apa yang harus kita lakukan?" Mecha A mula panik. Jika identiti mereka benar-benar telah didedahkan, maka mereka tidak akan dibenarkan untuk terus hidup. Walaupun dia tidak tahu siapa ketua atasan mereka, daripada sedikit maklumat yang dia dapat daripada Ketua, dia tahu yang ketua atasan itu ialah seseorang yang mempunyai kuasa untuk memindahkan gunung dan membelah lautan. Menghapuskan mereka berdua ibarat memijak semut sahaja bagi seseorang seperti itu.

"Tembak dua kereta apung itu," kata mecha B tanpa belas kasihan. Jika mereka menarik diri sekarang, mereka masih tidak akan disambut kembali. Mereka patut ambil sahaja risiko ini, dan mungkin akan mencapai sesuatu yang berguna buat mereka.

"Baiklah, Ketua." Mecha A terlalu takut untuk tidak mengikut arahan. Dia sekali lagi mengangkat senapang penembak hendap untuk dihalakan pada salah satu kereta apung.

********

'Empat Kecil, cepat datang sini.' Ling Lan nampak pihak lawan mengangkat senapangnya dan tahu yang mereka bukannya bermain-main. Dia bimbang atas keselamatan Empat Kecil, dan dengan cepat meminta Empat Kecil untuk kembali.

Sudah tentu, Ling Lan berasa sedikit kesal. Dia sebenarnya ingin memberi amaran kepada pihak lawan dengan menggunakan kereta apung itu, membiarkan mereka sedar yang mereka sedang dipantau, dan berharap mereka akan memilih untuk berundur atas sebab mahu berhati-hati. Tanpa diduga, rancangan itu tidak berjaya. Nampaknya pihak lawannya tidak akan menyerah kalah, dan akan bertarung sehingga akhir.

Jika begitu, datanglah! Ling Lan menggenggam tangannya, wajahnya penuh dengan keazaman. 'Empat Kecil, alihkan kereta apung terakhir ke kedudukan yang boleh menyekat serangan kedua-dua mecha.'

Selepas Ling Lan selesai berkata-kata, dua bunyi perlanggaran boleh didengari.

"Bum!""Bum!"

Kedua-dua bunyi itu kedengaran hampir serentak. Seperti yang dijangkakan, pihak lawan telah menekan pemicu mereka, menembak dua kereta apung di hadapan. Namun begitu, kereta apung ini telah diubahsuai dan sangat kuat. Walaupun terdapat lubang yang besar pada badan kereta itu hasil daripada tembakan senapang, dan satu sisi kereta itu sudah melengkung ke dalam, litar dalamannya masih utuh. Jadi kereta apung itu masih boleh terapung di udara.

'Baguslah, kereta yang diubah suai ini agak kukuh.' Ling Lan memandang kereta-kereta yang sedang terapung di udara dan melindungi Ling Qin, dan hatinya lega. Pada mulanya, dia masih bimbang yang kereta-kereta apung ini tidak cukup kuat, dan akan dimusnahkan dengan satu serangan. Tetapi sekarang ini nampaknya kereta apung itu masih boleh bertahan lagi.

Memandangkan Ling Qin telah melepaskan suar isyarat, Ling Lan tahu yang jika mereka itu boleh bertahan selama tiga hingga empat minit lagi, bantuan akan sempat sampai di sini.

'Kereta apung, tolonglah kekal kuat dan bertahan sekejap,' Ling Lan hanya mampu berdoa sahaja.

********

"Jahanam, siapa yang buat kereta apung ini menjadi sangat kukuh?" mecha B menyumpah-nyumpah. Dia berpaling dan terus memberi arahan, "Jangan berhenti, teruskan menembak. Kita perlu jatuhkan kereta itu secepat mungkin. "

"Ya, Ketua!" jawab mecha A sambil menekan pemicu dengan penuh kebencian.

Bum! Bum! Bum! Senapang penembak hendap menembak lagi dan lagi. Pada satu tembakan tertentu, satu kesan retak akhirnya muncul di salah sebuah kereta apung, dan terus merebak sehingga kereta itu pecah...

BUM! Salah sebuah kereta apung itu telah ditembak sekali lagi, dan kali ini akhirnya kereta itu menyala terang seperti bola api, dan jatuh ke tanah.

Seketika kemudian, sebuah lagi kereta apung itu terkena beberapa lagi tembakan dan meletup seperti kereta tadi yang kini di atas tanah.

"Jahanam, kenapa ada kereta lain? Bila masa kereta ini bergerak ke sana?" Mecha B akhirnya berjaya menghapuskan kereta apung yang menyekat penglihatannya, tetapi ketika dia mula bertenang dan bertumpu ke arah Ling Qin, dia mendapati yang sekali lagi dia tidak dapat melihat Ling Qin. Ini kerana terdapat sebuah lagi kereta apung lain yang muncul berhampiran Ling Qin.

Dan tidak seperti dua kereta yang kosong tadi, ada orang di dalam kereta ini. Orang-orang di dalam kereta itu memandang dua kereta apung yang telah ditembak jatuh dan sedang berapi-api itu, dan memahami nasib yang bakal menimpa mereka. Dalam keadaan panik, mereka menghentak pintu dan tingkap kereta itu, tetapi malangnya, semuanya telah ditutup dengan ketat oleh Empat Kecil. Mereka langsung tidak boleh membukanya.

Secara logiknya, mereka terfikir untuk menghancurkan tingkap-tingkap yang terbuka, tetapi malangnya kereta-kereta itu telah diubahsuai sepenuhnya. Senapang penembak hendap yang telah dipertingkatkan pada mecha itu sekalipun hanya boleh memusnahkan kereta itu selepas sepuluh tembakan. Apa yang boleh mereka lakukan hanya dengan tangan mereka?

Sementara itu, Ling Qin telah membunuh dua orang lagi lelaki. Kini hanya tinggal seorang anggota pasukan dan pemimpin pasukan yang bersembunyi di belakang.

Ling Lan sangat gementar. Dia berharap yang kereta apung ini dapat menahan serangan sehingga Ling Qin berjaya menghapuskan dua orang lelaki itu. Pada ketika itu, walaupun tidak ada lagi yang boleh menghalang trajektori mecha, Ling Qin seharusnya dapat memanfaatkan ciri-ciri geografi tanah di tempat itu untuk mencari tempat lain untuk bersembunyi. Contohnya, di kawasan semak yang lain.

Tiba-tiba, kereta apung itu berundur dan dua meriam plasmanya menembak. Cahaya plasma itu meningkat naik ke udara.

Ling Lan sangat terkejut. 'Empat Kecil, apa yang sedang berlaku?'

Empat Kecil menjawab dengan serta-merta, 'Hehe, saya tidak membuang masa tadi. Saya sudah tahu sistem kecerdasan buatan di dunia ini. Saya tidak menjangka yang manusia telah berjaya menggunakan cara matematik seperti ini untuk mencipta kecerdasan buatan yang menyerupai kami. Namun tahap kemiripan ini sangat kecil, kerana A.I. di sini tidak boleh dibandingkan dengan kami…' Empat Kecil tersenyum bangga sambil memuji dirinya sendiri.

Dahi Ling Lan berkerut, dan dia marah, 'Cakap sahajalah!' Budak ini tidak tahukah keadaan mereka sekarang? Membuang masa bercerita pula...

'Saya telah mencipta dua sistem buatan kecil, dan telah menanamkannya ke dalam sistem navigasi meriam plasma.' Empat Kecil memuncungkan bibirnya, memberitahu maklumat ini dengan susah payah sebelum berpaling daripada Ling Lan. Aduhai, nampaknya budak nakal ini merajuk sekali lagi.

下一章