webnovel

Budak Lelaki Terlebih Peramah

編輯: EndlessFantasy Translation

Ling Lan menyangka ujian seterusnya juga akan dilakukan secara individu, tetapi nampaknya dia telah tersalah anggap ketika tiba di tempat ujian seterusnya.

Kedua-dua ujian stamina dan ujian kelajuan akan diadakan di tempat yang sama, di padang besar akademi itu.

Apabila Ling Lan dan Ling Qin tiba di padang dan cuba masuk, Ling Qin dihentikan dengan segera oleh salah seorang staf yang menunggu di pintu masuk. Dia memberitahu mereka yang ibu bapa dan penjaga tidak dibenarkan mengiringi anak mereka ke kawasan ujian.

Sebenarnya Ling Lan tidak perlukan untuk Ling Qin menemaninya. Dia hanya membiarkan Lin Qin mengiringinya kerana dia tidak dapat menolak niat baik lelaki itu. Melihatkan ada kebimbangan pada mata Ling Qin, dia cepat-cepat meyakinkannya sebelum mengucapkan selamat tinggal dan melangkah masuk ke padang itu. staf yang mengiringi Ling Lan ke padang ternampak cara Ling Lan bercakap dengan penjaganya.

"Kamu ni sangat bertimbang rasa" Staf itu memujinya. Di kalangan kanak-kanak yang datang untuk mengambil ujian, dia telah melihat ramai yang menangis, membuat kecoh, membuat perangai atau memeluk penjaga mereka. Oleh itu, dia kagum dengan Ling Lan yang berkelakuan matang.

Ling Lan hanya senyum tanpa memberikan apa-apa jawapan. Dia tidak boleh mengatakan yang dia sudah berusia lebih daripada 30 tahun, dan sebab itu jugalah dia tidak akan berkepit dengan ibu bapanya seperti kanak-kanak lain.

Sikap tenang dan mesra Ling Lan mungkin telah menawan hati staf itu, kerana dia mula memberikan penjelasan sambil menunjuk ke arah kanak-kanak lain yang sedang menunggu di padang. "Itu kanak-kanak yang sedang menunggu ujian. Kumpulan kecil di sebelah kanan itu anak-anak orang biasa, kumpulan di tengah ialah kanak-kanak yang mempunyai latar belakang tentera dan kumpulan terbesar di sebelah kiri terdiri daripada keturunan keluarga elit. "

Ling Lan memandang ke arah yang ditunjukkan dan nampak yang sudah ramai orang berkumpul di padang. Semuanya ialah kanak-kanak yang akan mendaftar tahun ini.

Di Planet Doha, terdapat banyak akademi pengakap seperti ini. Namun, akademi yang Ling Lan cuba untuk mendaftar masuk ini dianggap sebagai yang terbaik di Doha, tiada tandingannya. Hanya untuk layak menduduki ujian pendaftaran saja, seseorang harus datang dari keluarga elit atau keluarga ketenteraan. Atau mereka perlu menjadi seperti Ling Lan, pewaris manfaat premium ketenteraan. Kanak-kanak yang mewarisi manfaat premium ketenteraan boleh berasal daripada keluarga orang biasa, keluarga elit, atau ketenteraan, jadi kanak-kanak itu telah berkumpul mengikut kumpulan tertentu.

Sudah tentulah jika mereka gagal ujian pendaftaran di sini, mereka perlu mendaftar di akademi pengakap yang paling dekat dengan kediaman mereka. Inilah realitinya. Pusat Akademi Pengakap Planet Doha hanya menerima yang terbaik. Mereka tidak akan menurunkan standard mereka hanya untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan yang majoriti kanak-kanak yang gagal berasal daripada keluarga biasa. Pihak akademi telah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan kecergasan fizikal kanak-kanak itu tidak memenuhi standard akademi mereka. Sama ada kenyataan itu benar atau tidak, siapa yang tahu?

Ini kerana, setiap tahun akademi ini yang mengaku hanya menerima yang terbaik masih akan membuka dua 'Kelas Pengecualian' untuk pendaftaran. Syaratnya, calon perlu mempunyai kekayaan, kuasa, dan status!

Ling Lan tahu staf itu cuba membantunya, jadi dia menjawab dengan senyuman yang lebar. "Terima kasih!"

Perlu diingat yang Ling Lan mempunyai senyuman yang cantik. Senyuman ini telah terpahat dalam dirinya, dan selagi ada orang yang melayannya dengan baik dan ikhlas, dia akan bermurah hati untuk memberikan senyuman. Dalam kehidupan masa silamnya, senyuman ini telah menarik hati dan kasih sayang semua doktor dan jururawat yang telah merawatnya. Dan sekarang, digabungkan dengan muka yang tampan kerana gen ibu bapanya dalam kehidupan ini, senyumannya semakin manis.

Staf itu merenungnya dengan lama kerana tertawan. Kemudian, dia menggosok hidungnya sedikit, sambil menlihat-lihat ke kiri dan ke kanan. Apabila dia yakin yang tidak ada orang lain memerhatikan mereka, dia berkata pada Ling Lan, "Adik, jangan senyum seperti itu selepas ini. Ini untuk kebaikan kamu sendiri. "

Ling Lan mempunyai pengaruh sosial dan politik, jadi dia perlu berhati-hati dengan senyumannya. Mungkin sekarang ini tidak begitu berbahaya kerana dia masih muda, tetapi dalam masa lima atau sepuluh tahun lagi, senyumannya itu mungkin akan menjadi masalah.

Ling Lan terkejut dengan nasihat yang tidak dijangkakan ini. Tetapi sebelum dia sempat bertanya mengenainya, mereka sudah terlalu dekat dengan orang ramai dan tidak lagi selamat untuk bertanya. Ling Lan hanya boleh mengucapkan selamat tinggal pada staf itu.

"Empat Kecil, apa maksud orang tadi?" Ling Lan bertanya dengan dahi yang berkerut.

Empat Kecil tidak berkata apa-apa, hanya memainkan rakaman senyuman itu dalam minda Ling Lan. Sehingga kini, Ling Lan tidak pernah melihat senyuman barunya ini. Dia tahu yang senyuman pada masa silamnya cukup manis sehingga boleh menarik hati orang. Walau bagaimanapun, melihat senyumannya sekarang, dia akhirnya faham mengapa staf itu telah memberi amaran padanya.

Habislah, nampaknya kecantikan juga boleh menjadi beban. Pada masa silamnya, dia boleh dianggap cantik juga, dengan senyuman manis menambat hati orang lain. Tetapi sekarang, penampilan androgini dan mukanya yang tampan, membuatkan senyumannya lebih manis, membuatkannya kelihatan agak menggoda. Dan ini hanya ketika usianya enam tahun, kalau dia sudah semakin dewasa...

Ling Lan tidak begitu naif untuk percaya yang hubungan gay tidak wujud di era ini. Walaupun secara realitinya dia seorang gadis, dia masih tidak mahu seorang lelaki gay jatuh hati padanya.

Oleh itu, Ling Lan telah memutuskan yang dia tidak boleh senyum seperti itu lagi.

Ketika Ling Lan mendekati ketiga-tiga kumpulan tersebut, kanak-kanak dalam semua kumpulan mula memandang ke arahnya dengan rasa ingin tahu. Seperti yang telah dikatakan tadi, Ling Lan adalah seorang kanak-kanak yang sangat tampan. Di kalangan lelaki tampan dan wanita cantik di dunia ini sekalipun, dia masih dianggap sebagai antara yang memiliki kecantikan terunggul. Sebagai kanak-kanak yang naif, mereka menghargai kecantikannya dengan memberi perhatian sepenuh perhatian padanya. Kanak-kanak yang cantik selalunya memang popular.

Sebelum Ling Lan sempat membuat keputusan untuk menyertai kumpulan yang mana, seorang budak lelaki dari kumpulan tengah telah mula melambai-lambai dengan penuh semangat padanya, sambil menjerit, "Di sini, di sini! Datang cepat!"

Ling Lan pelik. Siapa budak yang sangat bersemangat ini? Dia tidak mengenalinya langsung.

Walau bagaimanapun, panggilan itu membantunya menyelesaikan salah satu masalahnya, jadi dia mula berjalan dengan perlahan ke arah budak itu. Dia sengaja berjalan dengan perlahan, manalah tahu dia tersalah anggap dan panggilan itu sebenarnya untuk orang di belakangnya? Kalau boleh, dia mahu mengelak daripada rasa malu.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, terbukti yang Ling Lan tidak perlu risau. Budak itu benar-benar telah memanggilnya, kerana dia tidak sabar menunggu dan sudah berlari untuk menarik tangan Ling Lan.

Ling Lan bingung melihat budak itu memegang tangannya. Siapa dia? Bagaimana dia boleh memegang tangan Ling Lan tanpa meminta kebenaran, seolah-olah mereka sudah berkawan lama?

Hehe, jangan bersangka buruk dengan reaksi Ling Lan. Dalam sejarah hidupnya, inilah kali pertama lelaki pelik, er... budak lelaki, telah memegang tangannya. Ling Lan, si berani itu sebenarnya berasa malu.

Mereka telah memasuki kumpulan itu, tetapi sebelum budak itu sempat berkata apa-apa, terdengar satu suara yang sombong, "Qi Long, siapa dia?"

Ling Lan memandang ke arah suara itu dan mendapati suara itu milik seorang gadis kecil yang montel. Budak itu menjelingnya dengan garang, seolah-olah Ling Lan telah merampas sesuatu miliknya yang berharga.

Ling Lan sekali lagi tidak terkata apa-apa. Adakah semua kanak-kanak era ini cepat matang? Gadis ini sudah tahu rasa cemburu? Namun, tidak patutkah dia melihat dengan lebih teliti sebelum cemburu? Tidakkah dia nampak yang Ling Lan ialah seorang budak 'lelaki' sekarang ini?

Ling Lan juga agak hairan, kerana dia merasakan yang dia mungkin kelihatan lebih tampan daripada Qi Long. Kenapa gadis ini tidak perasan hal ini, tetapi telah memilih untuk berasa cemburu secara membuta tuli dan tidak mahu mengenalinya dahulu? Adakah kerana Ling Lan bukan lelaki idaman gadis itu?

Namun, Ling Lan tidak tahu yang dunia ini tidak lagi seperti dunia masa silamnya, iaitu badan yang kurus dianggap tampan. Di sini, semua kanak-kanak itu dibesarkan dengan pemahaman yang badan yang tembam, berotot, dan sihat ialah kecantikan. Jadi rupa Ling Lan yang kurus kering tidak akan menarik hati kebanyakan wanita, tidak kira betapa tampan mukanya.

Qi Long tidak tahu yang peminatnya itu sedang cemburu, dan memperkenalkan Ling Lan pada rakan-rakannya, "Dia membuat ujian sebelum saya dalam ujian kekuatan. Jangan memandang rendah pada dia kerana walaupun dia kurus, dia sangat kuat!" Qi Long suka berkawan dengan orang yang dia rasa lebih kuat daripada dia, kerana dia merasakan yang dia boleh menjadi lebih kuat jika bergaul dengan mereka.

Ling Lan terkebil-kebil. Jadi begitulah Qi Long mengenalinya.

下一章