webnovel

Azimat Perisai, Azimat Pedang dan Azimat Penghalau Kejahatan!

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Shuhang menemui tempat yang tidak dilalui oleh orang ramai dan membuka kotak itu.

Kotak kecil itu diisi dengan beberapa azimat berwarna kuning terang. Setiap azimat diwarnakan dengan peta metafizik dan peta pendinding dengan pigmen berwarna emas kemerahan. Terdapat juga nota dari 'Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa', yang menerangkan fungsi-fungsi azimat ini.

Kesemuanya ada dua puluh azimat.

Lima azimat teratas adalah 'azimat perisai'. Seperti nama yang ditunjukkan, ia boleh menyekat satu serangan pertapa di bawah Alam Tahap Tiga dengan mengaktifkan tenaga dalam azimat dan menjadikannya sebagai perisai yang sesuai.

Ia sangat mudah digunakan. Seseorang boleh memanggil perisai hanya dengan menekan pusat peta pendinding dengan ibu jari, membimbing qi rohani dalam azimat dengan tenaga mental dan memanggil 'Perisai'.

Lima azimat ini hanya boleh digunakan sekali sahaja. Sekiranya digunakan dengan betul, ia boleh melindungi Song Shuhang sebanyak lima kali.

Lima azimat di tengah adalah 'azimat pedang', yang digunakan untuk menyerang. Kaedah pengaktifannya sama dengan azimat perisai. Ia boleh diaktifkan dengan memanggil 'Pedang'.

Sebaik sahaja ia diaktifkan, ia boleh melancarkan tahap pedang qi Perolehan Pertarungan Raja Tahap Tiga yang dapat membelah gunung dan menghancurkan batu. Sekiranya musuh itu seorang pertapa Tahap Kedua Mahaguru Agung Perolehan, tanpa sebarang pertahanan khas, dia pasti akan hampir mati dengan serangan ini.

Azimat ketiga dan merupakan azimat yang paling banyak adalah azimat penghalau kejahatan. Ada sebanyak sepuluh di situ.

Menurut Mahaguru Istana Tujuh Azimat Nyawa, memandangkan musuhnya ada pertapa hantu jahat yang dapat memanipulasi hantu dan roh jahat untuk menyerang, sukar untuknya mempertahankan diri dengan lebih efektif.

Hantu serta roh-roh jahat kebal kepada serangan fizikal yang normal dan sesetengah daripada mereka mempunyai kemahiran 'halimunan' dan 'penyembunyian' yang khusus. Semua itu akan menyukarkan pertapa yang tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, sepuluh azimat penghalau kejahatan dapat membantu Shuhang untuk mengalahkan hantu dan roh jahat!

Song Shuhang memegang kotak azimat itu. Dengan pemberian ini, Mahaguru Istana Tujuh Azimat Nyawa bukan hanya menghantar dia batuan arang dalam cuaca bersalji. Dia sebenarnya telah menghantar satu bungkusan perkhidmatan penuh termasuk pakaian, makanan, rumah dan kenderaan!

'Ini memang satu kejutan.' Song Shuhang memegang azimat itu dengan erat.

Dengan azimat ini, dia mempunyai keyakinan untuk melawan 'Mahaguru Altar'. Sudah tentu, dia bukanlah sebodoh itu untuk terlibat dalam pertempuran dengan Mahaguru Altar hanya dengan azimat ini walaupun dengan kekuatan sebenarnya sekarang ini.

Dia boleh melakukan apa sahaja asalkan dia dapat menyingkirkan Mahaguru Altar.

Dia hanya mahukan hasilnya, tidak kira bagaimana proses itu berlaku, selagi dia boleh membunuh lelaki itu!

Dia menanggalkan azimat itu dengan hati-hati. Sekarang semuanya sudah siap, kecuali satu elemen yang sangat penting...

❄❄❄ 

Sekarang sudah masuk tujuh tiga puluh pagi.

Pertandingan sukan Kolej Jiangnan telah bermula secara rasmi.

Sebelum pembukaan, pengetua sekolah akan memberikan ucapan. Ucapan daripada seorang ketua ialah sesuatu yang ajaib. Ucapan itu tidak berubah walaupun teknologi telah membangun dengan pesat.

Ia biasanya bermula dengan ucapan permulaan, "Sekarang, saya akan bercakap selama beberapa minit di sini" kemudian akan ditambah lagi dengan 'beberapa minit' sebanyak beberapa kali lagi dalam ucapan. Semasa pengetua sibuk bercakap, para pelajar yang mendengar itu akan pengsan dan sedar semula, kemudian pengsan dan sedar semula beberapa kali sebelum pertandingan akhirnya dimulakan.

Pada jam lapan empat puluh, perlumbaan larian lima kilometer lelaki bermula.

Song Shuhang, diiringi oleh tiga rakan sebiliknya dan tujuh atau lapan rakan sekelas lain, datang ke trek.

Rakan-rakan sebiliknya dan rakan-rakan sekelasnya semua mempunyai senyuman kejam di wajah mereka, kerana mereka datang ke sini bukannya untuk bersorak untuk Song Shuhang. Malah, mereka datang untuk meraikan keletihan Shuhang seperti seekor anjing tua di trek. Lebih baik sekiranya mereka dapat melihat Shuhang muntah di hadapan mereka selepas menamatkan larian.

Perlumbaan larian lima kilometer sebenarnya satu perlumbaan yang menyakitkan.

Trek itu sepanjang empat ratus meter, jadi mereka perlu berlari sebanyak dua belas pusingan dan setengah pusingan lagi.

Itu benar-benar meletihkan sekiranya tidak ada semangat berlari atau keseronokan dari larian berganti-ganti campuran. Jarak itu sangat panjang dan kelajuannya perlahan. Penonton tidak ramai dan gadis-gadis yang menonton permainan itu bahkan lebih sedikit.

Tanpa perhatian dari gadis, lelaki yang menyertai larian itu pasti tidak bersemangat.

Sewaktu pelari lain memilih kedudukan mereka dan berdiri untuk bersedia, Song Shuhang menguap dan berdiri di kedudukannya.

"Shuhang, bersemangatlah!" suara yang jelas menerpa ke telinganya. "Dapatkan tempat pertama!"

Suara manis itu terdengar sangat menyenangkan.

Song Shuhang memandang dan melihat gadis itu, yang suka berada di sampingnya sejak akhir-akhir ini. Gadis itu melambaikan tangannya dengan senyuman yang riang di wajahnya.

Terdapat empat gadis lain di sekelilingnya. Nampaknya mereka seperti baru sahaja melihat pertandingan lain dan cuma lalu di situ.

Adakah namanya Lu Fei?

Song Shuhang ketawa dan memberikan tanda isyarat bagus kepadanya.

Rakan sebilik dan rakan sekelasnya mengambil peluang untuk mengejek Song Shuhang.

Tubo dan Gao Moumou bercakap dengan suara yang sama dan meniru nada Lu Fei, "Shuhang, bersemangatlah!"

"Dapatkan tempat pertama!" Lelaki lain juga meniru nadanya dengan suara yang comel.

Song Shuhang berpaling dan memberikan dua jari tengah kepada mereka. "Pergi jahanam!"

Pada masa ini, pelajar berkulit gelap dan kuat yang berdiri di sebelah Song Shuhang menyeringai ke arahnya. "Ahaha, tempat pertama? Hei, anak ikan, apa yang buat kau percaya kau boleh menang perlumbaan 5 kilometer ini? Menang dengan wajah cantik kau itukah?"

Ketika dia bercakap, dia menghayunkan kakinya yang berotot. Kakinya nampak teguh berotot kerana dia telah berlatih dan berlari untuk masa yang lama. Lihatlah lengan dan kaki kurus anak ikan di sebelahnya. Dia boleh bertaruh lelaki lembut itu tidak dapat menyelesaikan satu kilometer, apalagi sejauh lima kilometer.

"Anak ikan? Adakah kau bercakap tentang aku?" Song Shuhang bertanya sambil menyentuh wajahnya sendiri. Kulitnya menjadi lembut dan lebih putih kerana kesan cecair penguat badan itu.

Nampaknya wajah yang kacak memang akan menyebabkan masalah bukan?

"Adakah kau cemburu dengan kulit aku?" Shuhang bertanya sambil mengangguk senyap.

"...Cemburu dengan wajah perempuan kau! Buat apa aku perlu cemburu dengan kau? Aku cemburu dengan seorang anak ikan?!" pelajar berkulit gelap sangat marah sehingga urat biru di dahinya mula menonjol keluar.

"Haha, tak apa, lelaki berkulit gelap ini cemburu terhadap awak kerana dia tidak mempunyai seorang gadis untuk bersorak pada dia. Ah, adakah awak dipaksa bersaing dalam perlumbaan ini juga?" Tanya pelajar di sebelah Shuhang dengan senyuman. Dia mempunyai pipi yang gemuk dan kelihatan seperti gek komputer.

"Nama saya Yang Shangfa. Saya dari Jabatan Kejuruteraan Komputer."

"Lebih kuranglah. Tiada siapa yang mahu mengambil bahagian dalam perlumbaan lima kilometer, dan saya juga sedang bercuti, itulah sebabnya saya di sini. Nama saya Song Shuhang," dia menjawab dengan senyuman.

"Samalah!" Mata Yang Shangfa dipenuhi dengan air mata.

Semasa mereka bercakap, guru yang bertanggungjawab terhadap senapang pemula itu berteriak.

"Semua orang, bersedia~!"

Semua pelari berada dalam kedudukan sedia.

"Oh anak ikan, biar aku tunjukkan seksaan perlumbaan 5k yang sebenar! Aku akan tinggalkan kau di belakang sekurang-kurangnya sejauh satu jalan!" pelajar berkulit gelap itu mengetap giginya.

"Tinggalkan satu jalan? Satu jalan itu sekurang-kurangnya sejauh lapan ratus meter. Maknanya lebih daripada dua pusingan?"

Song Shuhang berfikir seketika dan memberikan nasihat yang sangat bijak kepada pelajar itu, "Nah, itu mustahil. Lebih baik kau menyerah."

"Kahkah!" Yang Shangfa si gemuk itu tidak dapat menahan diri daripada mengekek.

"..." Pelajar berkulit gelap itu hampir membuatkan giginya rongak kerana menggerit dengan kuat.

"Bang!"

Pistol isyarat pemula dibunyikan.

Pelajar berkulit gelap menggerakkan badannya dan mula berlari pada kelajuan pecut 100 meter. Dia mempunyai stamina yang baik dan tahapnya jauh melebihi purata pelajar kolej yang lain! Dalam pertandingan kampus seperti ini, staminanya sudah mencukupi untuknya bermula dengan kelajuan pecut 100 meter dan mengatasi pelari lain, kemudian mengekalkan kelebihan itu hingga ke garisan penamat!

'Pfft. Terkejut? Anak ikan, aku cuba merendah diri dengan mengatakan 'meninggalkan kau sejauh satu jalan'. Sekiranya aku tunjukkan kekuatan sebenar aku, aku akan tinggalkan anak ikan seperti kau sekurang-kurangnya sejauh empat pusingan!' pelajar berkulit gelap itu berfikir dengan penuh kemenangan.

Dalam perlumbaan lima kilometer, pelari perlu mengekalkan kelajuan. Tiada siapa yang akan berlari pada kelajuan 100 meter pecut pada peringkat awal. Oleh itu, pelajar berkulit gelap dengan cepat melangkaui pelari lain secara purata.

'Macam mana, anak ikan? Tertekan?' pelajar berkulit gelap itu berpaling dengan yakin untuk melihat sejauh mana anak ikan itu berada di belakangnya. Dengan wajah yang lembut dan putih, lelaki itu pasti ketinggalan dan tersedak debu yang ditinggalkan pelari lain!

Walau bagaimanapun, dia berpaling dan mendapati lelaki berwajah lembut itu hanya kira-kira satu meter di belakangnya. Dia mengikutinya dengan rapat dan pada kelajuan yang stabil!

Berani betul anak ikan itu boleh mengikutinya dengan kelajuan pecut ya?

"Hah? Kau ni bodohkah? Berani kau ikut aku pada kelajuan memecut dari awal? Dengan kekuatan kau, kau pasti akan kepenatan selepas satu pusingan." Pelajar berkulit gelap itu mengetap giginya.

"Pecut?" Song Shuang berhenti sebentar, kemudian tersenyum lembut. "Tidak, aku hanya berlari pada kelajuan biasa. Jangan risau pasal aku. Aku tidak sangka kau akan bertimbang rasa walaupun kau nampak bodoh."

'Tak guna!' Pelajar berkulit gelap sangat marah.

"Ya, teruskan dengan sikap berlagak kau. Kita akan tengok berapa lama kau boleh bertahan! Aku harap kau tidak akan jatuh ke tanah selepas satu pusingan!" sambil mengetap giginya, pelajar berkulit gelap menganggarkan kekuatan fizikalnya yang masih ada dan mempercepatkan lariannya sedikit.

Anak ikan itu pasti seorang amatur untuk perlumbaan jarak jauh. Tetapi, dia tetap tidak akan membenarkan lelaki itu mengalahkannya.

'Aku akan buat dia berhenti mengekori aku dan tinggalkan dia jauh-jauh!'

Pelajar berkulit gelap itu mula memecut lagi.

Selepas berlari sejauh hampir seratus meter, dia merasakan yang dia hampir mencapai kekuatan fizikalnya dan sudah tiba masanya untuk dia melambatkan lariannya sedikit.

Dengan jarak yang jauh ini, dia pasti telah meninggalkan lelaki berwajah cantik itu di belakang bukan?

Dia berpaling untuk melihat di belakangnya.

Kemudian matanya terbeliak dengan kejutan. Anak ikan itu yang sepatutnya tercekik dengan debu di belakangnya seperti yang dia bayangkan masih mengikuti dia, hanya satu meter di belakang!

Situasi itu bagaikan seorang peranan tambahan dalam sebuah filem yang masih hidup tetapi akan mati tidak lama lagi berdasarkan skrip apabila filem hampir berakhir!

"Bagaimana boleh jadi begini? Adakah aku sedang berhalusinasi?" pelajar berkulit gelap itu menggumam kepada dirinya sendiri.