webnovel

BAB 13

TANGANNYA sedari tadi memegang pen merah bersama sebuah buku latihan Sains salah seorang pelajarnya di atas meja. Tapi, hujung pen masih tidak mencecah permukaan kertas. Walaupun mata dan bibirnya membaca setiap jawapan yang ada, namun mindanya sudah kembali melolosi dinding bilik guru itu. – terbang ke arah timur.

Hampir dua bulan dia tidak bersua muka dengan Shadrina. Dia terlalu rindukan wanita itu. Sejak Shadrina bekerja, sukar untuk dia bertemu dengan gadis itu secara bersemuka. Jika bertemu pun sekadar di warung Mak Jemah sahaja. Itu pun tidak lama.

Hari biasa memang sukarlah untuk dia bertemu dengan Shadrina kerana gadis itu tersekat dengan tugas dan perniagaan kuihnya. Dia pun tidak mahu menganggu. Jika dia bertandang ke rumah gadis itu pun, dia tidak berkesempatan untuk berbicara dengan Shadrina. Setiap hari Ahad gadis itu sibuk menjual kuih muih dan nasi lemak di warung Mak Jemah. Pulang sahaja, wanita itu pasti sudah keletihan. Dia tidak mahu menganggu waktu rehat Shadrina.

Keluhan halus dihembus keluar. Satu kesaratan jiwa yang terlalu menyesakan dada cuba dihambur keluar. Tetapi tidak berjaya. Apa yang bisa dia lakukan ketika ini selain pasrah dengan kehendak dan ketentuan Illahi? Shadrina tidak bisa menerima dia di dalam hidupnya.

Dan, sejak beberapa bulan ini juga, dia merasakan Shadrina seolah cuba menjauhinya. Jika terserempak di warung Mak Jemah pun, perbualan mereka sudah tidak sama seperti sebelum ini. Seolah ada batas-batas yang menghalang. Seperti Shadrina sudah membuat satu jurang di tengah-tengah perhubungan mereka. Memikirkan hal itu membuatkan dadanya bertambah sendat.

Keluhan berat lagi sarat dihembus lagi. Buku latihan pelajarnya ditutup. Tiada mood dia mahu menanda lagi. Terdetik di hatinya mahu bertandang ke rumah Mak Timah hujung minggu ini. Hampir dua minggu dia tidak menjenguk wanita tua itu. Walaupun hatinya terkadang pedih setiap kali ke rumah Mak Timah, dia tetap gagahkan diri beralaskan niat ikhlasnya untuk membantu Mak Timah.

Dompet duit di dalam poket kemejanya dikeluarkan. Dia melihat isi dompetnya. Semalam, dia terlupa mahu ke bank untuk mengeluarkan duit. Semasa dia memeriksa isi dompetnya, dia terpandang kad nama yang terselit di sebalik slot kad yang ada. Pelahan-lahan dia mengeluarkan kad nama itu.

Macam manalah dia boleh terlupa akan kad itu?

Perlu ke aku call dia? Tapi untuk apa? Dia tertanya sendirian.

# # # #

"AMBOI, susun resit pun nak tersengih-sengih sumbing?" perli Fiza sambil tergelak kecil.

Shadrina terkejut kecil lalu memandang Fiza di meja sebelah.

"Eh, mana ada. Kau ni saja nak mengusik aku, kan? Sehari kalau tak mengusik aku tak sah angaknya."

"Mengusik? Bila masa pula aku mengusik kau? Apa yang aku cakap ni adalah kenyataan. Bukan auta, tau?"

"Kenyataan apa pula?"

"Eleh, jangan nak berdrama sangatlah! Nak berlakon konon-konon tak tahulah kan? Hei Rin," Fiza memusing kerusinya mengadap Shadrina. "Kau ingat aku buta? Sejak dua bulan lepas, kau dengan bos dah mula bercintan-cintun, kan?"

"Isy, mana ada? Kau ni, tak baik buat andaian palsu."

"Kau ingat aku buta? Sejak bos duk angkut kau bila dia ada meeting dekat luar dah macam kau ni setiausaha dia, wajah kau dengan wajah bos nampak semakin berseri-seri gitu. Siap lunch sama-sama lagi dekat pantri setiap hari. Sebelum kau berkerja dekat sini, bos tu tak pernah jejak pantri tu tau? Sejak kau bekerja dekat sini, bukan main lagi dia membungkus makanan nak makan dengan kau. Kau dengan bos, bercinta kan? Kan? Kan?"

Berjela Fiza membebel.

"Isy, kau ni. Sejak dari aku masuk kerja sampai sekarang, asyik fikir hal tu aje, kan?" tepis Shadrina sambil menyambung kerjanya.

Ya, dia akui dia merasakan sesuatu pada ketuanya yang terlalu baik, mesra dan ambil berat terhadapnya. Tapi, perasaan itu hanya dia yang rasa. Dia tidak tahu perasaan Shafiz bagaimana. Masakan dia mahu mengaku dia dan Shafiz bercinta sedangkan lelaki itu tidak pernah berkata apa-apa mengenai hubungan mereka?

"Ah! Balik-balik jawapan artis tu juga kau kasi aku. Sudahlah Rin, jangan nak bohong aku. Aku tahu kau pun suka dekat bos, kan?" Fiza cuba memprovok hati Shadrina. Dia mahu kawannya itu mengaku!

Shadrina tidak memandang Fiza. Sebaliknya terus menyusun resit-resit di tangannya.

"Kalau aku suka bos sekalipun, bos pula tak suka aku. Tetap tak akan menjadi juga, kan?"

"So, maknanya, kau suka bos dalam diamlah ya? Akhirnya mengaku jugak kau, kan?"

"Ya, kalau aku suka bos pun, aku bukan boleh buat apa-apa. Dia bukannya suka dekat aku pun. Betul tak Fi…"

Kata-kata Shadrina terhenti mendadak bila melihat Shafiz yang sudah tersenyum-senyum memandangnya di belakang Fiza. Sejak bila lelaki itu berada di situ?

Dia dengar kata-kata aku tadi ke? Ya Allah… malunya aku. Dengan pantas Shadrina terus menundukkan wajahnya menahan malu. Merah padam terus wajahnya.

"Eh, yang kau tiba-tiba nak malu-malu kucing ni apa hal? Dah macam bos kat depan mata kau pula, kan?" Tanya Fiza yang masih tidak perasan yang majikannya sedang berdiri di belakangnya. Dengan rasa menyampah dia kembali mengadap skrin komputernya.

"Oh mak kau!" Fiza terlatah saay dia memusingkan tubuhnya, wajah Shafiz yang sedang tersengih terpacul di hadapannya.

"Eh, bos. Selamat pagi tengah hari bos," ucap Fiza malu sendiri. Ayatnya sudah tunggang-langgang dek kekalutan.

Shafiz tertawa kecil sambil menggeleng kepala beberapa kali. Geli hatinya melihat gelagat mengelabah Fiza. Hatinya terasa kembang dan bahagia mendengar pengakuan Shadrina tadi.

"Selamat pagi tengah hari," balas Shafiz.

"Saya ada taklimat tender di UITM Segamat tengah hari nanti. Kalau ada orang call cari saya, cakap saya keluar ya?" pesan Shafiz dengan senyuman.

"Baik bos," akur Fiza dengan senyum malu.

Shafiz memandang pula ke arah Shadrina yang sedang menahan malu.

"Rin, petang nanti awak jangan balik dulu ya? Tunggu saya balik ofis. Saya nak jumpa awak." Pesanan itu khas untuk Shadrina.

Shadrina yang masih menahan malu angguk akur.

"Saya pergi dulu. Assalamualaikum," pamit Shafiz lalu meninggalkan pejabat itu. Sempat dia mengenyit mata ke arah Shadrina sebelum melangkah keluar.

"Ya Allah, malunya aku," keluh Fiza sambil menutup muka selepas kelibat ketuanya hilang di sebalik pintu utama pejabat.

"Kau sengaja tak bagi tahu aku yang bos ada dekat belakang aku, kan?"

Tidak tentu pasal Shadrina dipersalahkan.

"Apa pula? Aku pun tak perasan sejak bila dia ada dekat belakang kau. Bila aku toleh aje, dia dah ada dekat situ. Aku lagi malu tau? Sebab dia dengar pengakuan aku tadi. Rasa macam nak masukan muka aku dalam sinki aje sekarang ni."

"Tak perlu, masukan aje dalam tong sampah besar kat depan tu."

"Fiza!"

Pecah ketawa Fiza. Dia sekadar bergurau. Beberapa saat kemudian, interkom di atas mejanya berbunyi. Nombor pada angka dua berkelip-kelip menandakan panggilan dari pejabat Zenia.

"Syh… call dari Cik Zenia." Fiza menyuruh Shadrina diam sebelum mengangkat gagang.

Shadrina akur lalu mendiamkan diri. Hatinya tiba-tiba diulit resah. Dia hanya memasang telinga dan menanti Fiza menghabiskan perbualannya dengan Zenia. Tidak sampai tiga puluh saat, gagang kembali diletak.

"Rin, Cik Zenia nak jumpa kau. Dia suruh kau bawa segala resit-resit yang kau dapat dari pembekal masa keluar dengan bos tadi," maklum Fiza.

Semakin kuat debaran di dada Shadrina selepas dimaklumkan tentang arahan itu. Walaupun sudah lebih setengah tahun berkerja di syarikat ini, dia masih janggal untuk berhadapan dengan Zenia. Apa yang pasti, Zenia memang tidak pernah sukakannya.

"Cepatlah, yang kau terhegeh-hegen lagi tu kenapa? Tak fasal-pasal naik hantu pula perempuan syok sendiri tu," ujar Fiza bila melihat Shadrina masih termangu.

"Ya, aku pergilah ni."

Segala resit yang sudah difotostat tadi dibawa ke pejabat Zenia. Langkah disusun dengan debaran yang memuncak. Dia berharap, semuanya baik-baik sahaja.

Hazel Jay - penulis dari Malaysia.

Cik_Bintangcreators' thoughts
Chương tiếp theo