SHADRINA menongkat basikalnya di tepi warung kecil itu. Kemudian, ikatan tali rafia pada bakul berisi nasi lemak di tempat duduk belakang dibuka. Bakul berisi kuih di hadapan basikalnya juga dicapai lalu dibawa kedua-dua bakul di tangannya ke dalam warung Mak Jemah.
"Mak Jemah, ini kuih dan nasi lemaknya," ujar Shadrina sambil meletak kedua-dua bakul di tangannya di atas salah satu meja yang ada di warung itu.
Mak Jemah melangkah ke dalam warung sebentar bagi mengambil beberapa keping pinggan.
"Ni pinggannya Rin," ujar Mak Jemah sambil menghulur beberapa keping pinggan kepada Shadrina.
Shadrina menyambut dengan senyuman. "Terima kasih Mak Jemah," ucapnya lalu mengasingkan satu persatu pinggan di atas meja.
Hari ini dia hanya sempat menyediakan donat, karipap sardin, bingka ubi dan kuih Seri Muka sahaja. Mujurlah Mak Jemah sudi menolong dia menjualkan kuih-muih dan nasi lemaknya dengan meletak setiap juadah jualannya dia atas meja yang ada di warung itu. Hasil jualannya pula akan diambil petang nanti – selepas dia pulang dari tempat kerja.
"Kamu masuk kerja pukul berapa Rin?" tanya Mak Jemah sambil mengelap pinggan di atas para.
"Pukul sembilan, Mak Jemah," jawab Shadrina sambil menyusun kuih di atas pinggan. Dia perlu naik bas pertama dari pekan menuju ke bandar jam tujuh nanti. Jika dia terlepas bas pertama itu, pukul lapan setengah nanti baru ada bas kedua. Jarak kampungnya ke tempat kerjanya memakan masa hampir 40 minit. Jadi, dia perlu cepat!
Mak Jemah memandang jam dinding yang tergantung di atas dinding para. Sudah pukul 6.45 pagi.
"Rin, kamu tinggal ajelah kuih tu atas meja, nanti Mak Jemah susunkan. Dah pukul 6.45 dah ni. Bas pertama biasanya sampai pukul tujuh pagi. Nanti terlepas bas, tak tentu fasal kamu kena buang kerja sebab datang lambat. Dahlah hari ni hari pertama kamu bekerja. Dah, tinggalkan aje kuih tu dekat situ. Kejap lagi Mak Jemah letak atas meja yang ada," ujar Mak Jemah.
"Baiklah Mak Jemah. Maaf Mak Jemah, sebab susahkan Mak Jemah." Serba salah Shadrina dengan wanita itu. Sangkanya dia keluar seawal jam 6.30 pagi dari rumah sempatlah dia menyusun kuih muih dan nasi lemaknya. Ternyata sangkaannya tidak mengena. Esok, dia perlu lebih awal keluar rumah agar hal sebeini tidak berulang lagi.
"Tak apa. Lagipun, pelanggan tak ramai lagi ni. Dah, kamu pergilah tunggu bas dekat pondok bas tu."
"Baiklah Mak Jemah, saya minta diri dulu, assalamualaikum," pamit Shadrina sambil menghulur tangan untuk bersalaman dengan Mak Jemah.
"Hati-hati Rin," pesan Mak Jemah selepas Shadrina melangkah meninggalkan warungnya.
Shadrina melangkah laju menuju ke pondok menunggu bas tidak jauh dari warung itu. Kelihatan ada beberapa orang penduduk kampung turut menanti bas di pondok itu. Dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk konkrit yang ada. Masing-masing sepi menanti ketibaan bas.
Lima minit menanti, tiba-tiba berhenti sebuah kereta jenis Proton Pesona putih betul-betul di hadapan pondok bas itu. Shadrina mengeluh halus. Cermin di bahagian depan kereta itu turun perlahan-lahan ke bawah.
"Rin, naik!" suruh pemandu kereta itu dari dalam.
Shadrina memandang mata-mata yang sedang memandangnya ketika ini. Terasa diri seperti pesalah pula. Perlukah dia akur dengan suruhan pemandu kereta itu?
# # # #
LAMA dia memandang Shafiz yang sedang enak menjamah sarapannya. Sedari tadi dia gelisah dan resah. Malam tadi, ada juga dia cuba meluahkan kegelisahan hatinya semasa dia dan Shafiz sedang menonton televisyen. Tapi, tidak sampai hati pula dia mahu meluahkan apa yang terbuku di hatinya memandangkan waktu malamlah waktu untuk anaknya itu berehat. Ini semua disebabkan anak-anak gadisnya. Jika tidak kerana mereka, pasti dia tidak segelisah sekarang.
"Mak ni kenapa? Dari tadi nampak gelisah. Duduk macam tak senang, ada bisul kat punggung mak ke apa?" tanya Shafiz sambil mengunyah habis kuih Sri Muka di tangannya. Akhbar yang dibaca sejak tadi dilipat dua lalu di letak di sisi meja.
"Huh? Bisul? Taklah." Puan Zainab menafikan.
"Dah tu, kenapa?" tanya Shafiz lagi, kemudian menghirup minumannya. Sekilas dia memandang wajah Shafinaz yang duduk di sebelah emaknya.
"Tak ada apa. Cuma…"
Bimbang pula Puan Zainab ingin meluahkan apa yang terbuku di hatinya ketika ini. Khuatir anaknya itu terasa hati.
Shafiz memandang jam di pergelangan tangan. Masih awal untuk dia ke pejabat.
"Cuma apa mak? Mak ada masalah ke?" tanya Shafiz lagi cuba mencungkil apa yang sedang emaknya itu pendam.
"Emmm… macam mana nak cakap ek?"
Puan Zainab keliru mahu meluahkan secara berlapik atau terus ke pangkal soalan?
"Aik? Dah tak pandai nak bercakap ke mak? Bisu ke apa?"
Shafinaz tergelak kecil mendengar pertanyaan abangnya itu. Sebenarnya dia tahu apa yang cuba emaknya itu tanyakan kepada abangnya.
"Isy kamu ni, dari tadi cakap yang bukan-bukan."
"Dah mak cakap ayat yang berbelit-belit. Kalau nak tanya Shaf apa-apa soalan, tanya ajelah. Shaf dah nak pergi kerja ni." Shafiz bersikap terbuka.
"Okey, mak nak tanya…"
"Kalau mak nak tanya pasal kahwin, Shaf belum boleh bagitahu jawapannya buat masa ni," potong Shafiz sebelum sempat emaknya menghabiskan kata-katanya.
"Baiklah. Mak cuma nak tanya…."
"Shaf dengan Zenia kawan aje. Tak lebih dari itu," potong Shafiz lagi.
"Ya, mak tahu. Apa yang mak nak tanya ni…"
"Shaf rasa kuih Sri Muka ni bukan Zenia yang bagi, kan? Setahu Shaf, dia tak pernah bagi kuih ni sebelum ni."
Puan Zainab sudah mengetap gigi menahan geram.
"Tak, kuih ni mak beli dekat gerai depan tu. Macam mana mak nak tanya, kalau kamu duk mencelah cakap mak aje? Ada juga yang mak sumbat mulut dia dengan cucur badak ni," Puan Zainab sudah geram.
Shafiz terus tergelak. Hafinaz jugaturut tergelak. Sengaja Shafiz ingin mengusik emaknya itu. Seketul cucur badak dicapai lalu dikunyah sedikit.
"Okey, apa mak nak tanya?"
Puan Zainab kembali gelisah. Dia perlu meluahkan persoalan di jiwanya. Jika dibiar lama, boleh sasau dibuatnya.
"Mak nak tanya ni, kamu jangan kecil hati pula ya? Mak sekadar nak tahu aje."
Puan Zainab mula bermukadimah.
"Okey, teruskan," ujar Shafiz sambil mengunyah lagi cucur badaknya.
"Mak cuma nak tanya, kamu ni gay ke?" terluah juga akhirnya apa yang dipendam Puan Zainab sejak kelmarin.
Burrrr!
Tersembur isi mulut Shafiz ke arah emaknya lalu dia tertawa berdekah-dekah. Shafinaz yang melihat wajah emaknya yang sudah penuh dengan sisa cucur badak dari mulut abangnya turut tertawa.
"Apa mak merepek ni? Shaf gay? Mak ingat Shaf lambat kahwin sebab Shaf suka lelaki? Shaf tulenlah mak!" jelas Shafiz sambil tergelak besar. Geli hatinya dengan soalan emaknya tadi.
Puan Zainab buat wajah bosan sambil mengelap mukanya. Tajam dia menjeling Shafinaz. Disebabkan anak gadisnya itu, tidak tentu fasal dia disembur sebegini. Sungguh pun begitu, hatinya tetap berasa lega bila apa yang dikhuatirkan sejak semalam tidak mengena. Harapannya mahu menyatukan Zenia dan Shafiz masih cerah! Tapi bagaimana caranya?