webnovel

Memori Terindah

SEPANJANG perjalanan pulang ke kediaman Yan, genggaman tangannya tidak dilepaskan walaupun hanya sesaat. Dia merasakan genggaman itu begitu erat bagaikan tidak mahu dilepaskan.

Ketika mereka berpisah di kediamannya, wajah Shu Yan seperti ingin memberitahu sesuatu. Langkah lelaki itu juga seperti berat untuk beredar dari situ. Senyuman itu juga berbeza dari sebelum itu. Menunjukkan lelaki itu seperti bahagia dengan pertemuan hari ini.

Ying Hua menghela nafas perlahan. Bukan ingin mengeluh tetapi dia tiba-tiba rasa kasihan dengan Shu Yan. Pelukan dan air mata Shu Yan membuatkan dadanya terasa begitu sebak.

Mengapa orang yang benar-benar mencintai sering dikhianati? Kelakuan Shu Yan itu seperti ingin terus berada di situ. Seperti mahu menghentikan masa agar luka lama tidak menoreh hati lelaki itu lagi.

Andai Shu Yan adalah putera mahkota, mungkin lelaki itu tidak akan derita. Xiao Hua sudah tentu tidak akan berpaling arah dari Shu Yan. Pasangan itu akan hidup bahagia tanpa ketamakkan kuasa.

Pandangan mata Shu Yan juga tidak pernah menipu. Sejauh mana pun lelaki itu ingin berlaku kejam pada Xiao Hua tetapi sebenarnya hati itu mengharapkan wanita itu berubah. Mengharapkan wanita itu kembali seperti dahulu, sentiasa berada di sisi Shu Yan.

Sebenarnya dia tahu, Shu Yan sebenarnya begitu sayangkan Xiao Hua. Dia juga tahu lelaki itu sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagian Xiao Hua. Cinta itu tidak pernah pudar. Cumanya lelaki itu kecewa dengan apa yang berlaku.

Tidak mungkin dia mampu untuk memberitahu bahawa dirinya bukan Xiao Hua. Sama ada Shu Yan akan kecewa ataupun Shu Yan akan menghukum dia kerana menyamar sebagai Xiao Hua. Boleh melayang nyawanya nanti.

Dia inginkan yang terbaik untuk Shu Yan tetapi pada masa yang sama dia juga ingin yang terbaik untuk dirinya sendiri. Berterus terang tentang apa yang berlaku mungkin satu kerja yang gila. Lebih baik dia perlu berfikir lebih panjang dan menyediakan pelan untuk menyelamatkan diri dan juga menyelamatkan lelaki itu daripada kebencian.

Andaikan dia tidak tahu perangai sebenar Xiao Hua, dia juga akan kasihankan wanita itu. Kisah tragis membuatkan Xiao Hua kehilangan keluarga. Jadi tidak terkejut pun kalau wanita itu berpura-pura jadi manusia yang meruntunkan hati sesiapa yang melihatnya termasuklah Shu Yan.

Sedihnya cinta Shu Yan tidak dihargai. Andai dia adalah Xiao Hua, sudah tentulah dia adalah perempuan yang paling bahagia. Layanan Shu Yan penuh dengan kelembutan dan keprihatinan. Kalau berterusan begitu, barangkali dia juga akan jatuh cinta dengan putera keempat itu.

Dia bingung. Bingung untuk memikirkan jalan seterusnya. Kerana pertemuan romantik malam ini, dia merasakan hubungan mereka berdua kembali erat. Kalau berterusan sebegitu, mungkin dia tidak perlu memikirkan ugutan itu lagi.

Nyawanya selamat. Hidupnya pun tidak terancam lagi. Cumanya dia perlu memikirkan bagaimana ingin kembali ke dunianya semula.

Dia melepaskan keluhan berat. Mulutnya dimuncungkan seketika. Dalam gembira sebenarnya dia sedang berduka. Entah apa yang sedang berlaku di dunianya ketika ini. Apa yang dia lalui ketika ini bukan lagi satu mimpi.

Andai ada Shen Xin, pasti kawan baiknya itu akan memberi pendapat dan pandangan. Tak adalah dia terkontang kanting sendirian mencari jalan penyelesaian.

"Kenapa tuan puteri?" tegur Xin Xin apabila mendengar tuannya mengeluh.

Ying Hua hanya menggeleng kepala. Kalau dia ceritakan keajaiban yang berlaku pada dirinya ketika itu, mungkin Xin Xin akan berlari ke kediaman utama meminta pertolongan Shu Yan untuk merawat otaknya yang sudah tidak waras.

"Xin Xin rasa tuan puteri dengan Putera Yan pulang tadi dengan wajah gembira. Putera Yan pun macam tak nak beredar ke kediaman utama. Kenapa tuan puteri tiba-tiba sedih pula?" tanya Xin Xin lurus.

Mana tidaknya, dia melihat Putera Yan berdiri di halaman sambil menunggu tuannya masuk. Senyuman itu pun lebih manis daripada biasa. Tuan puterinya juga nampak gembira. Tetapi kenapa tiba-tiba sekarang berubah sikap pula?

"Bukan sedih. Saya cuma kasihan Shu Yan," ujar Ying Hua perlahan.

"Emm?" Xin Xin mengerut dahi.

"Shu Yan betul-betul cintakan Xiao Hua. Tapi kenapa Xiao Hua tergamak buat begitu pada Shu Yan? Apa yang Xiao Hua nak sebenarnya sehingga hancurkan hati Shu Yan?" soal Ying Hua bertalu-talu.

Tidak habis fikir sebenarnya dengan apa yang sedang berlaku. Selama dia mendengar cerita Xin Xin dan Shu Xian, di mata mereka Xiao Hua adalah wanita yang begitu baik dan sopan santun.

Mungkin apakah benar manusia ini dibutakan dengan pangkat dan harta. Tetapi mengapa berubah dengan tiba-tiba? Apa sebenarnya yang berlaku? Dia ingin tahu. Dia ingin mencari jawapan tetapi semuanya seperti tiada sebarang petunjuk pun.

Xin Xin terdiam lama, seperti terkejut dengan pertanyaan tuan puterinya. Mungkin nampak aneh dengan persoalan itu tetapi sebenarnya dia mengerti tuan puterinya sedang berperang dengan ingatannya sendiri.

"Saya tak tahu kenapa. Tapi saya yakin tuan puteri ada sebabnya yang hanya tuan puteri seorang sahaja yang tahu."

Kata-kata Xin Xin membuatkan Ying Hua mengangguk perlahan tanda setuju.

Iya... yang tahu segalanya adalah Wu Xiao Hua. Dia hanyalah sekadar 'pengganti' yang tersesat dalam hidup wanita itu.

********************

SAAT anak panah itu tepat mengenai sasaran di tengah-tengah itu membuatkan Shu Yan terdiam untuk seketika. Sepertinya dia terkaku dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Bukan satu anak panah tetapi tiga.

Shu Yan memandang tepat ke arah isterinya yang sudah tersenyum puas melihat kemenangan itu. Hampir tidak percaya sebenarnya.

"Wu Xiao Hua, saya tak tahu awak ada bakat terpendam selama ni," ujar Shu Yan lalu mendekati wanita itu. Dicapai busur itu dari tangan Ying Hua.

Ying Hua sudah tersengih. Mananya tak hebat, dia dulu jaguh sukan memanah sebenarnya. Padahal waktu itu tak adalah dia minat memanah sangat pun. Tapi sebab Shen Xin paksa dia masuk ke kelab semata-mata nak mengintai senior yang dicintai dalam diam. Tak pasal-pasal dia pun terpaksa relakan diri.

Tak sia-sia juga sebenarnya. Tak adalah dia terkena kejutan budaya waktu Shu Yan menghulurkan busur itu. Tetapi sebab nak jaga hati Shu Yan waktu itu, sengaja dia membiarkan lelaki itu mengajarnya memegang busur dengan cara yang tepat.

Paling seronok dia dapat melihat wajah Shu Yan yang terkaku sewaktu melihat panahannya yang tepat itu. Sudah tentulah lelaki itu tidak pernah menyangka dia akan melepaskan panahan tepat di tengah tanpa sebarang cacat cela.

Cumanya dia sendiri tidak menyangka akan mendapat hasil yang tepat sedangkan sudah begitu lama dia tidak memanah.

"Xiao Hua, adakah awak mempunyai bakat yang awak tak pernah bagitahu saya?" Shu Yan mengapai tangan wanita itu dan mengusap perlahan.

Dia merasakan Xiao Hua benar-benar berbeza. Dari sikapnya, percakapan dan diri wanita itu sendiri. Terlalu banyak perkara yang mengejutkan. Apakah mungkin kerana kesan lupa ingatan?

Ying Hua terkedu dengan pertanyaan itu. Adakah kerana panahan itu membuatkan Shu Yan curiga dengannya kembali? Ah sudah! Baru sahaja dia merasakan hubungan mereka mula erat, sudah timbul isu lain pula.

Melihat wanita itu membisu, Shu Yan melemparkan senyuman kecil. "Saya tak kisah pun. Cuma agak terkejut sebab awak mampu memanah dengan tepat untuk kali pertama. Mungkin juga awak ada bakat tanpa awak sedar," ujarnya sekadar ingin meredakan suasana suram itu.

Shu Yan sekadar ingin bersangka baik tentang wanita itu. Mungkin dia sahaja yang terlebih fikir. Namun dia tahu, sejauh mana pun dia cuba untuk mempercayai Xiao Hua kembali, dia masih mempunyai sedikit rasa ragu-ragu pada wanita itu.

'Wu Xiao Hua... sebenarnya berapa banyak rahsia yang awak simpan? Perubahan awak sekarang ni terlalu ketara.' Hati Shu Yan berbicara sendiri.

Dia mengharapkan Wu Xiao Hua tidak lagi menipunya. Kerana dia sudah tidak sanggup lagi dilukai untuk kali kedua. Dia bimbang andai hatinya terluka lagi, Xiao Hua takkan dapat hidup dengan aman lagi.

********************

KAKI Ying Hua hanya mengikut langkah Shu Yan menaiki bukit tinggi itu. Dia tidak tahu apa yang Shu Yan cuba lakukan. Sudah berkali-kali dia bertanya tetapi tiada jawapan dari Shu Yan.

Otaknya mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mana tidaknya, bukit itu terlalu tinggi. Shu Yan pula hanya diam semenjak tadi. Dia bimbang kerana aktiviti memanah awal pagi tadi membuatkan Shu Yan curiga.

Mana tahu tiba-tiba Shu Yan benar-benar ingin membunuhnya di atas bukit itu tanpa diketahui orang lain. Mana dia nak lari dalam hutan rimba sebegini?

"Xiao Hua..."

Mendengar namanya dipanggil, Ying Hua terus memandang Shu Yan yang sudah berdiri di hadapannya. Dia terkaku seketika sehingga tidak mampu melangkah lagi.

Shu Yan tersenyum lebar melihat reaksi wanita itu. Dia menarik tangan isterinya untuk rapat dengannya.

"Cantik?" soal Shu Yan ringkas.

Ying Hua hanya mampu mengangguk. Lidahnya seakan-akan terkelu melihat suasana malam dari atas bukit itu. Bukan sahaja terlihat kawasan wilayah itu dari atas malah suasana langit juga begitu meriah dan ceria dengan cahaya bintang yang bergemerlapan.

"Kenapa diam?" Shu Yan menyoal lagi.

"Saya fikir awak nak bunuh saya kat sini," jawab Ying Hua tanpa sedar. Tatkala itu dia segera menutup mulutnya dengan tangannya apabila menyedari keterlanjurannya berbicara. Mana tidaknya, matanya terlalu asyik melihat suasana di situ.

Shu Yan memandang tepat ke wajah isterinya. "Kenapa awak fikir macam tu?"

Adakah kerana layanannya terhadap Xiao Hua sebelum ini sehinggakan wanita itu tidak mampu membuang perasaan itu?

"Xiao Hua..."

"Saya minta maaf," ucap Ying Hua segera.

Shu Yan menarik lembut tangan Ying Hua sehingga tubuh Ying Hua rapat ke tubuhnya. Tanpa sepatah kata, dia memeluk tubuh Ying Hua membuatkan Ying Hua terkaku seketika.

"Shu Yan..."

"Saya maafkan segala kesalahan awak sebelum ni. Kita mulakan hidup baru dan lupakan segalanya," pinta Shu Yan bersungguh-sungguh.

Tiada guna untuk dia terus sangsi dengan kelakuan Xiao Hua. Dari awal lagi dia tahu Xiao Hua yang hilang ingatan itu mahu terus bersamanya. Wanita itu memilih untuk memulakan kehidupan baru. Tetapi kerana kebencian dan dendamnya, dia cuba menolak wanita itu.

Kalau mereka boleh bahagia kembali, mengapa perlu merobek hati sendiri dengan mengingati kisah lalu. Selama ini dia tidak mampu menerima hakikat bahawa Xiao Hua mencinta putera mahkota. Tetapi sekarang ini hati Xiao Hua kembali menjadi miliknya.

Shu Yan melepaskan pelukan itu. Dia memegang kedua bahu wanita itu dan tersenyum kecil.

"Kita mulakan hidup baru ya?"

Ying Hua mengangguk. Kata-kata itu benar-benar menjadi satu kemenangan buatnya. Bererti hidupnya selepas ini tiada sebarang masalah lagi. Shu Yan sudah mula menerimanya. Tiada lagi ugutan bunuh yang keluar dari bibir lelaki itu.

Saat itu Shu Yan menguis rambut Ying Hua. Mata itu menatap lembut anak mata Ying Hua. Serta merta dada Ying Hua berdebar kencang.

'Ah! Dah kenapa dengan Wang Shu Yan ni! Romantik lain macam pula,' desis hati Ying Hua penuh debaran. Makin lama makin laju punya degupan jantungnya.

Dia segera menghalakan pandangan ke arah bintang di langit. Dia ingin keluarkan dirinya daripada situasi janggal itu. Dalam keseronokkan, dia sebenarnya risau.

"Cantiknya bintang malam ni." Ying Hua bersuara, sekadar ingin memecahkan kesunyian di antara mereka.

Shu Yan turut mendongak. "Nanti saya akan selalu bawa awak ke sini."

"Emm!" Ying Hua mengangguk gembira bersama senyuman lebar.

"Xiao Hua."

Ying Hua memandang Shu Yan. Saat Shu Yan merapatkan wajah dengan wajahnya, tangannya secara automatik menolak tubuh itu. Kakinya mengundur ke belakang.

"Maaf..." Ying Hua segera memohon maaf selepas tersedar dia menolak Shu Yan waktu itu. Melihat wajah itu bertukar tegang, dia tiba-tiba jadi takut.

Shu Yan membisu. Wajahnya sedikit berubah dengan kelakuan Xiao Hua. Saat dia cuba untuk bermanja, Xiao Hua dengan tiba-tiba menolaknya.

"Shu Yan.."

Ying Hua jadi serba salah. Ikutkan hati mahu sahaja dia berterus terang dengan Shu Yan bahawa dia bukan Xiao Hua. Tetapi apa yang akan berlaku andai dia menuturkan kebenaran itu?

Wajah kecewa Shu Yan begitu jelas di mindanya. Tetapi dia bukan Xiao Hua. Mana mungkin dia mampu untuk terus berlakon menjadi isteri lelaki itu.

"Xiao Hua, awak bencikan saya." Tepat anak mata Shu Yan merenung mata wanita itu.

"Bukan."

"Saya tahu awak bencikan saya selepas apa yang saya dah buat pada awak sebelum ni."

Pantas Ying Hua menggeleng. "Bukan itu maksud saya."

"Saya tahu awak tak ingat apa yang berlaku. Saya tak salahkan awak. Mungkin awak perlukan masa," ujar Shu Yan lagi. Suara itu mendatar sahaja.

Ying Hua membisu. Tidak kira apa yang Shu Yan katakan, hanya dia seorang sahaja yang tahu kebenarannya. Dia tetap takkan dapat duduk di tempat Wu Xiao Hua walau apa cara sekalipun.

Shu Yan mencapai tangan isterinya dan dielus perlahan. Lama dia mengenggam tangan Xiao Hua bagaikan ingin membicarakan sesuatu. Namun sepertinya dia tidak mampu untuk menuturkan sepatah kata pun.

Benar kata Shu Xian, sejauh mana pun dia cuba menipu semua orang, dia takkan mampu menipu dirinya sendiri. Sejauh mana pun dia terluka, hatinya tetap sayang dan kasih pada wanita itu.

Sementara itu Ying Hua bingung dengan situasi itu sendiri. Berpura-pura menjadi isteri lelaki itu membuatkan dia tersepit. Sedangkan selama dia hidup, dia tidak pernah bercinta mahupun jatuh cinta. Apa yang dia lakukan waktu itu adalah tindakan tanpa sengaja.

"Shu Yan..."

"Saya sebenarnya mengharapkan awak takkan ingat apa yang berlaku. Supaya kita berdua berterusan hidup macam ni, macam permulaan perkahwinan dahulu," ujar Shu Yan setelah lama berdiam diri.

Ying Hua membisu. Wajah Shu Yan ketika itu seperti bersungguh-sungguh. Lelaki itu seperti ingin melupakan apa yang berlaku pada masa lalu mereka dan ingin memulakan hidup baru.

Dia membalas menggenggam Shu Yan yang memegang tangannya itu. Entah mengapa dia begitu terharu mendengar kata-kata itu. Pada masa yang sama juga, dia terasa sebak. Mata Shu Yan tidak pernah menipu. Dia tahu semua itu.

"Saya takut andai awak ingat segalanya, saya akan terluka dan kecewa lagi. Dan awak, akan tinggalkan saya," sambung Shu Yan lagi.

Serentak itu Ying Hua terus memeluk tubuh itu. Erat.

"Saya takkan tinggalkan awak. Saya akan selalu berada di sisi awak," balas Ying Hua.

Dia tidak tahu dari mana keberaniannya untuk berbicara sebegitu kepada Shu Yan. Seperti memberi sebuah pengharapan kepada lelaki itu sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apatah lagi dirinya yang tersesat itu.

Dia tahu dirinya takkan kekal berada di dunia asing itu. Dunia Shu Yan bukan dunianya. Suatu masa nanti, pasti ada jalan untuk dia kembali pada kehidupannya semula. Waktu itu mungkin Xiao Hua akan kembali. Mungkin juga Shu Yan akan terluka untuk kali kedua lagi.

Sesungguhnya dia tidak tahu semua itu. Namun hatinya tidak mampu melihat kesedihan Shu Yan berterusan. Lelaki itu adalah lelaki yang baik. Mencintai sepenuh hati biarpun dikhianati. Tetapi andai terluka lagi, dia tidak tahu apakah yang akan berlaku pada diri Wang Shu Yan.

Apakah mampu dia terus berpura-pura menjadi Wu Xiao Hua? Andai suatu hari nanti Shu Yan tahu dirinya bukan Wu Xiao Hua yang sebenar, apakah yang akan berlaku di antara mereka?

Chương tiếp theo