webnovel

Melarikan Diri

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Cik dan Puan tidak sama…

Hati Yu Lili bertambah pedih. Dia berpaling ke arah Ou Ming dengan mata kemerahan. Kemudian dia mengambil bantal di katilnya dan melemparnya kepada Ou Ming sambil menjerit, "Tak guna kau penyangak. Seluruh keluarga kau penyangak!"

Doktor dan jururawat yang turut berada di wad itu menundukkan kepala dan tidak berani memandang Yu Lili dan Ou Ming. Mereka seperti sudah dapat menjangka hubungan antara kedua-dua orang itu dan tidak dapat mengelak daripada berasa agak menyesal.

Ou Ming menangkap bantal yang dilempar Yu Lili. Dia kelihatan gembira mendengar jeritan marah Yu Lili dan tersenyum sambil berkata, "Nampaknya kau dah bersemangat. Kau masih ada kekuatan seperti itu selepas terbaring selama tiga hari, bermakna kau sangat sihat. Aku tunggu perkembangan kau seterusnya."

Terbaring selama tiga hari??

Mata Yu Lili terbeliak dengan rasa tidak percaya.

Patutlah badan saya sakit-sakit dan saya rasa sangat lemah. Rupa-rupanya saya tak sedarkan diri selama tiga hari?

Tetapi selepas mendengar kata-kata Ou Ming, Yu Lili memandangnya dengan senyuman yang berbaur jengkel dan jijik.

Ou Ming turut memandang Yu Lili, kemudian menoleh ke arah doktor dan jururawat di sebelahnya. "Lakukan pemeriksaan itu. Dia belum makan apa-apa, bolehkah dia lakukannya?"

Doktor itu mengangguk dan menjawab, "Ya, saya akan pergi buat persediaan. Sekejap lagi kamu bawa cik ini."

"Baik Doktor," jawab jururawat itu dan memandang Yu Lili. Dia mengisi segelas air dan menghulurkannya kepada Yu Lili. "Minum air sedikit."

Yu Lili mengambilnya, tetapi mulutnya terasa pahit. Dia hanya menghirup air itu sedikit sebelum meletakkan gelas itu ke atas meja dengan wajah berkerut. Tetapi sebaik sahaja gelas itu diletakkan, sebiji bantal dilempar tepat kepada gelas itu.

Yu Lili menjerit dan berasa pening. Dia rebah ke katilnya tanpa kekuatan untuk duduk. Ou Ming memandangnya sekilas, kemudian bangun dari sofa dan keluar dari wad itu.

Yu Lili dibawa menjalani beberapa siri pemeriksaan. Bagi pemeriksaan terakhir, dia perlu menjalani ujian air kencing. Yu Lili membawa bekas kecil itu ke tandas. Namun ketika keluar, dia mendapati tiada doktor dan jururawat di sekitarnya. Yu Lili membuang bekas kecil di tangannya dan keluar dari unit VIP itu dengan kepala yang ditundukkan.

Yu Lili tidak mampu berjalan pantas kerana tubuhnya yang masih lemah. Dia tiba di tingkat dua dan ternampak satu lif terbuka lalu segera masuk sambil menundukkan kepalanya. Lif itu membawanya dan beberapa orang lain ke tingkat satu.

Kelihatan ramai orang di tingkat itu. Yu Lili berjalan di tengah-tengah orang ramai dan keluar dari pintu utama sambil berjalan di belakang seorang wanita tua. Sebaik melihat cahaya lampu jalan yang terang di luar, jantungnya terus berdegup laju. Selepas melihat sekeliling dan memastikan tiada sesiapa menyedarinya, dia cuba berlari dengan tubuhnya yang tidak bermaya. 

Walau bagaimanapun, lariannya membuatkan tubuhnya bertambah lemah. Malah dia tidak mampu berlari walau hanya sepantas kanak-kanak. Angin sejuk bertiup dan membuatkannya menggeletar. Tetapi… dia akhirnya telah berjaya keluar!

Yu Lili berjalan sambil menggeletar kesejukan. Tiba-tiba dia teringat ada satu sungai berdekatan hospital itu. Matanya kelihatan tenang. Dia berjalan ke arah sungai itu berpandukan ingatannya.

Tetapi dia sudah berjalan terlalu lama. 10 minit, 20 minit, atau mungkin lebih. Ketika itu jam hampir tujuh petang dan ia waktu yang sibuk. Banyak kereta dan orang yang berada di jalan.

Yu Lili merasakan dia sudah berjalan agak jauh. Apabila akhirnya melihat sungai yang dicarinya, dia melihat orang ramai yang berada di sekelilingnya untuk mencari tempat bagi menyembunyikan diri.

Chương tiếp theo