webnovel

Jilat Sampai Bersih!

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Sejak bila sesiapa saja boleh masuk ke bar ini?" Ou Ming meneguk wainnya dan menoleh ke arah Tuan Muda Kedua Qu. "Kamu tak rasa nilai tempat ini jatuh bila orang seperti ini boleh masuk?"

Kata-kata itu ibarat panah tajam yang menusuk ke lubuk hati Yu Lili dan membuatkan ia berdarah. Siapa yang dimaksudkan oleh Ou Ming? Yu Lili memandang lelaki itu sambil mengetap giginya dan tidak bergerak.

"Kau tak dengarkah, kau jatuhkan nilai bar kami. Berambus." Seorang wanita dengan bulu mata palsu yang panjang dan sedang memegang segelas wain memandang Yu Lili dengan pandangan menghina.

"Dihalau begini juga masih tak mahu keluar? Teruknya perempuan jalang ini," kata seorang wanita lain.

"Kau siapa? Diamlah!" Yu Lili memandang mereka dengan wajah berang. "Aku sedang bercakap dengan Ou Ming. Kau boleh mewakili Ou Ming kah?"

Kedua-dua wanita itu terdiam dan menoleh ke arah Ou Ming. Ou Ming bersandar pada sofanya dengan malas sambil bersilang kaki. Dia kelihatan seolah-olah tidak mendengar kata-kata mereka dan bermain dengan telefon bimbitnya. Tiada sesiapa tahu apa yang sedang dilihatnya.

Tuan Muda Kedua Qu mahu Yu Lili terus berada di situ, jadi dia cuba mententeramkan keadaan. "Okey, berhenti bergaduh. Disebabkan hari ini hari jadi saya, semua orang patut hormati perasaan saya dan jangan bercakap terlalu banyak. Pelayan, bawa kek ke sini!"

Pelayan itu mendengarnya dan segera membawa kek yang telah disediakan. Kemudian kumpulan lelaki dan wanita itu menyanyi lagu selamat hari jadi bersama-sama, tetapi tiada sesiapa menjemput Yu Lili untuk duduk.

Sebaik Tuan Muda Kedua Qu memotong kek itu, wanita yang duduk di sebelah Ou Ming terus mengambil sepotong dan menghulurkannya kepada Ou Ming. "Tuan Muda Ou, makanlah kek ini."

Ou Ming berasa jijik dan menjauhkan diri dari kek itu. Dia menoleh ke arah Yu Lili yang sedang berdiri berhampirannya dan berkata, "Kau belum pergi? Kau sedang cuba perangkap aku disebabkan kau mahu bersendirian bersama aku, bukan?" Kata-kata Ou Ming membuatkan semua di situ ketawa.

Yu Lili memandang Ou Ming dengan wajah yang tekad. "Saya ada banyak perkara untuk diberitahu kepada kamu."

"Kau boleh cakap sekarang." Ou Ming duduk tegak dan memandang Yu Lili. "Selepas cakap, kau mesti terus keluar dari sini."

Yu Lili berasa gementar dan matanya mula basah. Dia memandang tepat ke wajah Ou Ming dan berkata dengan serius, "Saya benar-benar ada sesuatu untuk beritahu kamu. Hanya kita berdua."

"Nampaknya kau benar-benar nak perangkap aku. Kau patut pergi kerana aku tak berminat dengan pelacur seperti kau," kata Ou Ming lalu memeluk kedua-dua wanita di sebelah kiri dan kanannya. Kedua-dua wanita itu terkejut dan memandang satu sama lain lalu bergerak semakin rapat ke arah Ou Ming. "Jangan biarkan aku nampak muka kau lagi selepas ni kerana kau menjijikkan."

"Ou Ming!" Yu Lili melangkah ke hadapan. Tiba-tiba tangannya terlanggar satu tangan yang sedang memegang sepotong kek.

Wanita yang duduk di sebelah kanan Ou Ming menjerit dan kek di tangannya terus jatuh ke atas kasut Ou Ming. Buat seketika, semua orang terdiam kaku.

Mata Yu Lili terbeliak. Dia melihat kek pada kasut itu dan berasa gementar.

Walaupun Ou Ming kelihatan acuh tidak acuh, tetapi dia amat serius dengan bab kekemasan. Kereta, baju dan kasutnya dijaga rapi. Jadi seperti dijangka, Ou Ming terus naik darah apabila melihat kek pada kasutnya.

Wanita yang menjatuhkan kek itu amat takut sehingga wajahnya pucat. Dia segera mengutip kek itu dan berkata, "Maaf, maaf, Tuan Muda Ou, saya minta maaf sangat-sangat!"

"Berambus!" Suara Ou Ming kedengaran amat dingin. "Bukan urusan kau!"

Wanita itu terkaku memandang Ou Ming. Walau bagaimanapun, Ou Ming menoleh ke arah Yu Lili yang berdiri di tepinya dan berkata dengan nada yang dingin, "Jilat sampai bersih!"

Chương tiếp theo