webnovel

Percutian Keluarga

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Mereka berlima berjalan ke kereta. Ketiga-tiga orang kanak-kanak itu duduk di belakang dan Su Qianci duduk di sebelah Li Sicheng yang menjadi pemandu. Su Qianci membuka penutup yogurt yang diberikan oleh Liu Sao. Li Jianyue yang melihatnya dari belakang terus berkata, "Mama, nak!"

Su Qianci menghirup sedikit sebelum menghulurkan yogurt itu ke belakang.

Tetapi belum sempat yogurt itu sampai kepada Li Jianyue, Li Sicheng menghentikannya dan berkata dengan tegas, "Ersu, Mama tak sarapan tadi, jadi kamu tak boleh ambil yogurt Mama. Kalau Mama lapar nanti Mama sakit."

"Oh," jawab Li Jianyue sambil memandang cermin pandang belakang. Dia menjilat gula-gula di tangannya sebelum menghulurkannya kepada Su Qianci. "Mama, Mama nak gula-gula?"

Su Qianci ketawa kecil lalu menggeleng. "Tak apa, Ersu makanlah."

Li Jianqian dan Li Mosen masing-masing sedang memegang model permainan. Mereka saling berhadapan dan sangat sibuk mencabut bahagian-bahagian model itu sehingga tiada masa untuk menjilat gula-gula yang masih dipegang.

Pantai Kingstown berada di hujung subbandar. Perjalanan mereka ke sana mengambil masa selama lebih satu jam. Tempat itu adalah satu-satunya pantai di Kingstown dan sentiasa dipenuhi orang ramai. Walau bagaimanapun, disebabkan ia tempat tarikan pelancong yang diuruskan oleh syarikat kerajaan, pantai itu telah dibahagikan kepada kawasan VIP dan kawasan orang ramai. Hanya ada beberapa pengunjung di kawasan VIP dan pantainya juga lebih bersih.

Hari ini matahari tidak terlalu terik dan langit juga sedikit mendung, tetapi cuaca tetap terasa panas. Angin yang bertiup dari laut membawa bersama udara yang terasa masin dan bayu lembut itu membuatkan Li Jianyue dan Li Mosen teruja. Sebaik sahaja masuk ke kawasan pantai, kedua-dua budak lelaki itu menyimpan model permainan mereka ke dalam beg. Kemudian beg itu segera diserahkan kepada Su Qianci sebelum mereka berlari ke arah air laut dengan gembira.

Li Jianyue tidak sempat mengejar mereka lalu duduk di pantai itu sambil memuncungkan bibirnya dan merungut, "Mama, Abang tak mahu main dengan saya!"

"Bangun. Mama main dengan kamu." Su Qianci memimpin tangan Li Jianyue dan memandang ke arah dua budak lelaki itu yang mendekati air laut dengan gembira namun tidak berani mencelup kaki ke dalamnya. Dia tersenyum lalu menjerit, "Mosen, Dasu, tanggal kasut dulu. Jangan biarkan kasut kamu basah."

"Baik!" Li Mosen menanggalkan kasutnya lalu meletakkannya dengan kemas di atas pasir.

Li Jianqian turut melakukan perkara yang sama. Dia menyusun kasut birunya di sebelah kasut kuning Li Mosen, kemudian mereka berdua berlari ke arah air dengan berkaki ayam. Apabila ombak berundur kembali ke laut, Li Jianqian dan Li Mosen ketawa lalu mengejar ombak tersebut. Kemudian mereka segera menjerit dan berlari ke belakang sebaik sahaja ombak menghempas.

Li Jianyue memerhatikan mereka dan mahu turut serta. Dia melepaskan tangan Su Qianci lalu berlari sambil menanggalkan kasut merah jambunya dan menjerit, "Abang!"

Li Jianqian yang sedang berseronok tidak menghiraukan adiknya. Li Jianyue mendengus dan berlari mengikuti mereka. Disebabkan tidak mampu berlari sepantas kedua-dua budak lelaki itu apabila dikejar ombak, kaki kecil Li Jianyue terus basah.

Li Jianqian mengejek, "Ersu bodoh, tak boleh lari laju!"

Li Jianyue berasa marah lalu berlari ke arah Li Mosen sambil menjerit, "Abang Mosen, saya nak main dengan kamu. Kita jangan pedulikan abang saya!"

Li Mosen tersenyum lalu berlari ke arah Li Jianyue dan memimpin tangannya. Kemudian dia menjerit, "Kami tak mahu main dengan Dasu!"

Li Mosen dan Li Jianyue berpimpingan tangan sambil berlari mengejar ombak, menjerit dan melarikan diri daripada air laut. Li Jianqian jelas tidak gembira. Dia berlari ke arah mereka lalu menarik tangan Li Jianyue yang sebelah lagi lalu berkata, "Berlari tiga orang lebih pantas!"

Su Qianci memerhatikan mereka dari kejauhan dengan senyuman yang lebar. Li Sicheng sedang berada di sebelahnya sambil memeluk pinggangnya. Kemudian Su Qianci mendengar satu suara yang perlahan bertanya, "Bila kamu ambil budak itu sebagai anak angkat?"

Chương tiếp theo