webnovel

Mesti Dia!

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Walaupun hari itu Ahad, Li Jinnan masih bekerja lebih masa seperti biasa. Selepas itu Su Qianci turut tiba di pejabat dan menguruskan beberapa kerja bersamanya. Kemudian Su Qianci menceritakan kepada Li Jinnan tentang L dan pertemuannya dengan Li Sicheng kelmarin dengan teruja.

Li Jinnan tersenyum dan bertanya, "Kamu pasti itu dia?" Li Jinnan dapat merasakan ia tidak semudah itu. Walaupun matanya melihat dokumen di tangannya, fikirannya telah menerawang kepada perkara lain.

Su Qianci mengangguk dan berkata, "Saya yakin."

Li Jinnan memandang Su Qianci sekilas kemudian kembali menatap kontrak kerjasama TL dan LS di tangannya. 'Syarat Perlanggaran Kontrak' dalam dokumen itu sememangnya mempunyai kelompangan. Kelompangan itu cukup untuk membuatkan TL kehilangan banyak wang, malah boleh menyebabkan mereka bankrap. Perkara yang licik dan khianat ini jelas menunjukkan ia dilakukan oleh Li Sicheng. Sudah tiba masanya untuk menyerang TL. Li Jinnan tahu abangnya juga sedang menunggu perkara itu.

Su Qianci sudah tiada mood untuk membuat kerja dan terus pulang. Dia tiba di rumah tepat pada waktu makan tengah hari. Selepas menemani tiga orang kanak-kanak itu makan, Su Qianci berlalu ke biliknya. Dia mencuba beberapa pakaian dan akhirnya memilih satu baju bercorak bunga dengan lengan yang luas.

Li Sicheng suka melihatnya memakai baju bercorak bunga. Baju yang berjenama mahal itu telah dibelinya sendiri beberapa hari lalu. Ia juga ialah baju edisi terhad. Sebaik menyarung baju itu, Su Qianci sendiri merasakan dirinya bertambah cantik. Selesai berpakaian, dia memakai solekan dan memastikan dirinya tampak sempurna.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.13 malam ketika dia selesai bersiap.

Su Qianci menyarung kasutnya sebelum bergegas memandu keluar supercar yang telah diubah suai oleh Li Sicheng. Semakin dekat dengan destinasi, semakin hatinya berasa gementar. Dia akan bertemu suaminya sekejap lagi. Dia yakin L ialah Li Sicheng. Bibir Su Qianci tidak henti menguntum senyuman. Akhirnya dia berjaya menemui lelaki itu setelah bertahun-tahun berlalu.

Jambatan Xijiang Kingstown berada di tengah-tengah Sungai Kingstown. Lampu-lampu berwarna-warni telah dipasang dan menjadikan jambatan itu berwarna seakan keemasan yang mewah. Jambatan itu terkenal sebagai tempat tarikan pelancong yang paling cantik di Kingstown. Bugatti yang dipandu Su Qianci berhenti di tepi. Su Qianci memandang jambatan itu dan matanya yang hitam bersinar memantulkan pemandangan yang cantik di hadapannya.

Hari ini jambatan dan sungai kelihatan cantik, angin terasa menyegarkan, malah langit yang tidak berbulan atau berbintang itu turut membuatkan Su Qianci gembira. Dia melihat jamnya dan mendapati baru pukul 7.38 malam. Nampaknya dia telah datang terlalu awal.

——————————

Seorang lelaki yang memakai baju kelabu gelap, sepasang kaca mata hitam dan satu topi yang besar sedang mengelak semua CCTV dan berjaya keluar dari bangunan syarikat TL itu. Tiada sesiapa tahu pengkhiatan yang telah dilakukannya terhadap syarikat TL. Malah tiada sesiapa menyedari keluar masuknya dari situ. Semuanya dilakukan secara diam-diam dan lancar. Li Sicheng berasa gembira.

Bibir Li Sicheng mengukir senyuman yang sangat kecil. Dia merendahkan topinya dan bergegas ke sebuah kereta sport berwarna putih. Dia bergegas menjauhi bangunan L dan mencelah ke dalam kesibukan kota.

Jalan mengalami kesesakan disebabkan hari itu hujung minggu. Kereta Li Sicheng tidak boleh bergerak buat masa yang agak lama. Selepas 20 minit, barulah dia boleh memandu kembali. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 7.49 malam.

Tiba-tiba kedengaran bunyi guruh yang amat kuat. Ketika itu juga, alat pendengar di telinganya berbunyi.

Li Sicheng menekan 'subang' itu dan suara Jing Sao terus kedengaran. "Kembali ke sini! Perempuan itu tiba-tiba mahu balik sekarang. Dia akan berada di sini sekejap lagi!"

Dahi Li Sicheng terus berkerut lalu dia bertanya, "Kenapa?"

"Pihak pengurusan dapat cam kamu daripada gambar di taman tema semalam!"

Chương tiếp theo