webnovel

Tiga Hari Bebas

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Tang Mengying tersenyum gembira dan mengangguk. Dia berpuas hati mendengar jawapan itu. "Dah tentulah. Hobi kamu sama seperti saya. Saya juga suka melatih anjing. Malangnya, saya tak dapat lakukannya dalam masa beberapa hari selepas ini."

Jing Sao sedikit terkejut dan bertanya, "Cik Tang, kamu mahu ke trip perniagaan lagi?"

"Ya, saya dipanggil oleh pihak pengurusan, jadi saya perlu pergi. Saya akan bertolak ke Guangxi esok pagi. Disebabkan saya bakal tiada selama tiga hari, kamu perlu awasi dia baik-baik. Jangan biarkan dia berjaya lepaskan diri macam tempoh hari."

Jing Sao tersenyum dingin dan berkata dengan kejam, "Kalau dia lepaskan diri, dia mesti menikmati kesan tidak mendapat dadah. Jika dia tak kembali ke sini, dia hanya akan terseksa di pusat pemulihan dadah."

Tang Mengying sangat menyukai kata-kata Jing Sao itu. Sambil tersenyum kejam, dia masuk ke dalam. Jing Sao mengekorinya dari belakang dan berkata, "Saya baru berikan dia dadah, sekarang dia sedang tidur. Tadi dia melompat ke sana sini dan buatkan kepala saya berserabut."

Tang Mengying membuka lampu dan melihat satu susuk tubuh sedang terbaring di dalam kurungan itu. Susuk tubuh itu memusingkan tubuhnya dengan marah apabila mendengar bunyi bising, kemudian meneruskan tidurnya dengan bantal diletakkan di atas muka.

"Bukankah saya suruh kamu beri dia dadah mengikut masa?" Tang Mengying berkata perlahan. Nadanya kedengaran agak tidak gembira.

Jing Sao kelihatan malu dan berkata, "Cik Tang, tadi kamu cadangkan untuk saya bercuti kan? Apa kata kamu biarkan saya berada di sini selama tiga hari dan jangan peduli bagaimana saya seksa dia, boleh?"

Tang Mengying tersenyum dan bertanya, "Bagaimana kamu mahu bermain dengan dia?"

Jing Sao kelihatan teruja apabila melihat Tang Mengying benar-benar berminat dengan cadangannya. "Ada berjuta cara!" Tetapi kemudian Jing Sao cuba bertenang lalu berdehem dan menundukkan kepalanya.

Senyuman Tang Mengying bertambah lebar. Dia menepuk bahu Jing Sao dan berkata, "Pastikan dia hidup. Bukan senang untuk selamatkan dia. Lihat saja muka saya."

"Ya, saya tahu apa yang perlu saya lakukan."

"Bagus. Jadi saya tinggalkan dia di tangan kamu," kata Tang Mengying lalu berpaling untuk pergi.

Jing Sao menjeling lelaki di atas katil itu kemudian menutup kembali suis lampu. Selepas itu, dia menutup kesemua pagar yang mengarah ke kurungan itu dan berkawal di pintu utama.

Li Sicheng bangun dari katilnya dengan mata yang bersinar kegembiraan. Tang Mengying tiada selama tiga hari? Dalam kata lain, selama tiga hari ini…

——————————

Pagi Sabtu itu, Li Jianyue bergegas ke bilik Su Qianci ketika jam belum pun menunjukkan pukul 8 pagi.

Su Qianci masih tidur. Li Jianyue menanggalkan selipar rumah yang dipakainya lalu naik ke atas katil ibunya dan menjerit, "Mama Mama Mama bangun. Jom ke taman tema hari ini, taman tema! Mama Mama Mama!"

Su Qianci yang sedang tidur nyenyak terjaga sebaik mendengar suara anaknya, tetapi sengaja membatukan diri. Apabila Li Jianyue memanjat ke atas tubuhnya, dia segera menerkam kanak-kanak itu dan menjerit, "Mama dah tangkap kamu!"

"Ahh!!" jerit Li Jianyue tetapi dalam masa yang sama ketawa tidak henti. "Mama raksasa, jangan tangkap saya. Abang, tolong!"

Su Qianci memeluk anak kecil itu dan membuat wajah garang. "Mama akan makan kamu. Abang kamu tak akan datang selamatkan kamu!"

"Oh tidak, saya akan dimakan!" kata Li Jianyue lalu berpura-pura pengsan. Tetapi dia cepat-cepat 'sedar' kembali dan berkata dengan nada serius, "Mama ni macam budak-budaklah. Sekarang saya dah main dengan Mama, jadi Mama mesti bawa kami ke taman tema!" Ini adalah tugas yang diberikan oleh Tok Ayah kepadanya, jadi dia mesti melaksanakannya!

Chương tiếp theo