webnovel

Saya Janji akan Terimanya dengan Rela

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Mata Su Qianci terkebil-kebil. Dia tidak memahami apa yang dimaksudkan suaminya.

"Saya dah musnahkan keluarga Tang, jadi Tang Zhenghao tak akan pernah berputus asa untuk balas dendam. Lagipun tanpa penyertaan Tang Zhenghao sekalipun, kumpulan itu memang dah lama perhatikan kita." Li Sicheng berhenti dan pandangannya bertukar tajam. "Atau lebih tepat lagi, perhatikan kamu. Ingat kejadian tembakan di ibu kota haritu?"

Su Qianci merenung Li Sicheng dan kelihatan luar biasa tenang. "Mereka bekerjasama?"

"Ya." Li Sicheng mengangguk. "Hati-hati dengan Rong Anna dan Bo Xiao. Saya syak lelaki yang jadikan kamu tebusan haritu ialah Bo Xiao."

Su Qianci langsung tidak kelihatan terkejut mendengarnya. Jelas dia telah memikirkan kemungkinan itu.

Li Sicheng menarik Su Qianci ke dalam pelukannya dan berbisik, "Kamu dah agak?"

"Ya, saya dah agak tentang itu. Mereka takut saya akan cam mereka, jadi waktu kita di ibu kota, mereka cuba bunuh saya."

Mata Li Sicheng seolah mengiyakannya. Dia mengangguk dan berkata, "Saya ada hantar beberapa orang untuk ekori mereka, tapi mereka sangat berhati-hati. Mereka selalu hilang betul-betul di hadapan mata orang-orang saya. Selama sembilan hari saya langsung tak dapat apa-apa bukti. Musuh kita masih sukar ditemui. Kumpulan ini memang hebat, mereka sentiasa boleh melarikan diri daripada polis dan masih selamat."

"Lebih baik kita ambil inisiatif untuk menyerang daripada berdiam diri."

"Syarikat Li syarikat persendirian. Semakin gah kita kelihatan dan semakin baik reputasi kita, kita akan menjadi semakin penting kepada pihak berkuasa. Ditambah pula dengan pangkat Atuk, Ayah dan Abang, kumpulan itu tak akan berani sentuh kita tak kira betapa beraninya mereka."

Li Sicheng sangat berkeyakinan. Matanya kelihatan bersinar. Wajah kacaknya seolah-olah menunjukkan wajah seorang pemenang.

"Jadi sekarang dah jadi macam ni…" Su Qianci sedikit bingung, dia tidak sepenuhnya memahami kata-kata suaminya.

Li Sicheng membelai rambut isterinya itu. "Kamu tak perlu tahu tentang ini. Apa yang penting, kamu perlu tahu yang setiap keputusan yang saya buat, saya akan pastikan kamu dan keluarga kita selamat."

Dia sedang menunggu. Apabila Tang Zhenghao sudah tidak mampu bertahan dan mendedahkan dirinya, dia akan mengambil peluang itu untuk membunuh lelaki itu. Sama ada Tang Zhenghao, Rong Anna atau Bo Xiao. Jika salah seorang daripada mereka jatuh ke tangan dia atau polis, maka bererti dia sudah mencapai kejayaan yang besar. Ketika itu, mereka akan dapat ditumpaskan selama-lamanya dan dia akan dapat berehat dengan tenang.

Su Qianci mendongak ke arah suaminya. Menyedari renungan itu, Li Sicheng tunduk dan merenung mata isterinya. Dia melihat sepasang mata yang besar itu dan mendengar satu pertanyaan, "Macam mana dengan kamu?"

Suara Su Qianci kedengaran perlahan. Li Sicheng memegang tangan isterinya itu dan tersenyum. "Saya akan baik-baik saja."

"Hari tu waktu saya tiba-tiba tak dapat hubungi kamu, saya teramat risau. Saya ingat kamu kemalangan."

"Mana mungkin? Saya lebih kuat daripada apa yang kamu sangka." Li Sicheng mencium dahi isterinya. Melihat riak wajah isterinya yang jelas amat risau, dia mula ketawa. "Lain kali saya tak akan buat lagi. Kalau saya hilangkan diri secara tiba-tiba macam haritu, kamu boleh tunggu saya balik kemudian hukum saya. Saya janji akan terimanya dengan rela."

Chương tiếp theo