webnovel

Apa yang Penting Kamu Tahu Kamu Ada Suami yang Baik

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Walau bagaimanapun, itu mustahil… Ibunya ialah Su Han. Su Han telah dijual kepada sebuah keluarga di Gunung Shiwan dan kemudian melahirkannya. Walaupun Su Qianci tidak mahu mengakuinya, ayahnya berkemungkinan adalah seorang lelaki kampung yang tiada sesiapa mahu berkahwin dengannya, jadi dia terpaksa membeli seorang isteri. Mungkinkah ayahnya adalah Song Yifan?

Ketika jantung Su Qianci terus berdegup laju, Song Yifan menyambung, "Kamu dihantar ke rumah anak yatim tiga tahun selepas itu. Ketika itu, wanita yang meninggalkan kamu di rumah anak yatim itu adalah Rong Xuan."

Jadi, Rong Xuan tidak mati?

"Kamu pasti?"

"Ya, saya pasti." Song Yifan memandang Su Qianci dan menyambung, "Beberapa hari lepas, saya dapat pengesahan kamu ialah bayi itu. Tapi…"

Tapi, dia tidak pasti sama ada Su Qianci adalah anaknya. Kemungkinan itu sangat tipis…

"Kamu agak Su Qianci anak kamu?" Li Sicheng bertanya bagi pihaknya.

Song Yifan terdiam, begitu juga Sheng Ximing. Ia bukan agakan, tetapi lebih kepada pengharapan. Dia berharap Su Qianci adalah anaknya bersama Rong Xuan. Atau mungkin, dia berharap masih ada sesuatu yang tinggal antaranya dengan Rong Xuan… Rong Xuan sudah pergi sejak 22 tahun lalu. Dia amat merindui wanita itu. Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila Sheng Ximing menceritakan kepadanya mengenai Su Qianci. Dia tidak sabar untuk membuat ujian DNA dengannya. Walau bagaimanapun, dia tidak berani melakukannya. Song Yifan bimbang jawapannya negatif…

"Hei!" Aduo memanggil mereka dari darat, "Barbeku dah siap. Baliklah ke sini!"

Sheng Ximing mengangguk dan berkata kepada semua, "Mari pergi. Kita di sini untuk berseronok. Kita tangguhkan dulu perkara itu. Jom."

Kapal layar itu kembali ke darat. Aduo dan Ali sedang bergelak ketawa bersama, manakala Su Qianci berasa berat hati setelah mendengar penceritaan Song Yifan. Dia hanya menjamah sedikit makanan dan kemudian pulang ke hotel bersama Li Sicheng.

Jam sudah menunjukkan pukul enam petang sewaktu mereka tiba di hotel. Su Qianci duduk di atas katil sambil memikirkan kata-kata Song Yifan.

"Jangan fikir banyak sangat. Dia bukan ayah kamu," Li Sicheng berkata tenang sambil menghulurkan segelas air suam kepadanya.

"Huh?" Su Qianci mendongak. "Macam mana kamu tahu?"

"Teka saja."

"Tapi saya rasa kemungkinan besar juga… Apa patut saya lakukan? Rong Xuan sangat mirip dengan saya. Kamu tak rasa begitu?"

"Betul, tapi dia bukan Su Han."

"Saya tahu…"

Dia sudah melihat gambar Su Han. Ketika melihatnya, dia merasakan wajahnya tidak begitu mirip dengan ibunya itu. Dia menyangka wajahnya mirip ayahnya. Walau bagaimanapun, jika difikirkan kembali, keluarga Su tidak mengalukan kedatangannya ke dalam keluarga mereka mungkin kerana dia bukan anak Su Han, jadi dia tiada pertalian darah dengan mereka. Mungkin itu sebabnya, dan bukan kerana dia tidak membesar dalam keluarga itu. Su Qianci tiba-tiba merasakan ibu bapanya penuh dengan misteri.

Su Han, Rong Xuan, Song Yifan, Gunung Shiwan…

"Jangan fikir banyak. Tak kiralah ibu kamu Rong Xuan atau Su Han, dia tinggalkan kamu di rumah anak yatim sewaktu kamu masih bayi, jadi dia ibu yang tak baik. Dan seseorang yang tak lindungi isteri dan anaknya tidak layak digelar ayah yang baik."

Su Qianci mengangguk mendengar kata-kata Li Sicheng.

"Jadi, kamu tak perlukan ibu bapa. Apa yang penting kamu tahu kamu ada suami yang baik."

Chương tiếp theo