webnovel

Teringatkan Anak yang Gugur

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sebaik Su Qianci keluar dari bilik itu, dia dipanggil datuk ke meja makan. Sepuluh minit kemudian, barulah Li Sicheng datang ke situ untuk makan malam. Kebetulan ayah Li Sicheng turut ada di situ. Jadi keluarga itu menikmati makan malam mereka dengan meriah.

Kapten Li kelihatan gembira. Selepas berbual dengan ayah Li Sicheng, dia menoleh ke arah Su Qianci dan berkata dengan lembut, "Qianqian, bila kamu nak bagi atuk cucu?"

Su Qianci sedang menghirup sup ketika soalan itu diajukan kepadanya, dan membuatkan dia hampir tersedak. Ketika dia memikirkan jawapan, Li Sicheng mengambil sapu tangan dan mengelap mulutnya sebelum berkata perlahan, "Tak lama lagi."

Kapten Li sangat teruja dan bertanya dengan gembira, "Qianqian dah mengandung lagi?"

Tetapi, menurut Nenek Rong, pasangan itu tidur di bilik berasingan… Mungkin di belakang Nenek Rong, mereka sebenarnya tidur bersama? Kapten Li tahu cucunya boleh melakukan perkara itu.

"Belum lagi," Li Sicheng meletakkan sapu tangannya dan berkata tenang, "tapi saya akan usahakannya."

"Uhuk…" Su Qianci tersedak lagi dan batuk dengan kuat. Matanya terus berair.

"Kenapa?" Li Sicheng bertanya sambil memandang Su Qianci.

Qin Shuhua memandang anak lelakinya itu dan berkata sambil tersenyum, "Isteri kamu malu. Kamu tak sedar?"

"Kita kan keluarga, tak perlu rasa malu," kata ayah Li Sicheng yang turut kelihatan gembira. "Tapi tak perlu terburu-buru tentang perkara ini. Kami boleh tunggu sampai selepas kamu bergraduasi."

"Kenapa selepas graduasi? Su Qianci, kamu akan masuk tahun akhir nanti. Jadi kamu dah boleh bersedia untuk mengandung tahun depan," cadang Qin Shuhua.

Mendengar kata-kata itu, Li Sicheng mencebikkan bibirnya sedikit. Matanya kelihatan gelap ketika dia menghirup supnya. Dia akan berusaha untuk membuatkan isterinya itu mengandung sebelum kontrak mereka berakhir. Pada masa itu, Su Qianci tidak akan boleh melepaskan diri daripadanya walaupun dia mahu. Li Sicheng tahu dia masih ada masa. Ketika itu, jika Su Qianci masih cintakan Lu Yihan sekalipun, dia tidak akan lepaskan isterinya.

"Saya dah kenyang," Su Qianci bangun dari kerusinya dengan pipi yang sedikit kemerahan. Matanya kelihatan berair ketika dia berkata, "Saya minta diri ke tingkat atas. Jemput makan!"

"Sedikitnya kamu makan. Macam mana kamu nak bagi atuk cucu kalau tak cukup makan?" Datuk kelihatan tidak gembira, tetapi Su Qianci telah beredar dari meja makan itu tanpa menoleh ke belakang.

Melihat Su Qianci meninggalkan meja makan, seorang orang gaji datang dan berbisik kepada Li Sicheng, "Saya rasa Puan nampak sedih. Mungkin dia teringat tentang anak kamu yang keguguran. Tuan patut pergi tengok Puan."

Wajah Li Sicheng berkerut ketika dia meletakkan penyepitnya, lalu memandang ibu bapa dan datuknya. "Saya minta diri dulu."

"Pergilah. Kami terlepas cakap…" Qin Shuha menyalahkan dirinya.

Ayah Li Sicheng menepuk bahu Qin Shuhua dan berkata, "Tak apa. Su Qianci kuat."

Li Sicheng berjalan ke bilik mereka dan mendengar esakan perlahan dari sebalik pintu. Esakan itu terus terhenti sebaik sahaja dia membuka pintu bilik . Satu susuk tubuh berlari masuk ke bilik air dan menutup pintu. Adakah Su Qianci teringatkan anak mereka yang telah gugur? Li Sicheng berjalan perlahan masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Kemudian dia mengetuk pintu bilik air itu. "Kamu ada di dalam?"

Chương tiếp theo