Awal pagi esoknya, Jun Wu Xie melangkah keluar dari biliknya dan berjalan menuju batas-batas herba di dalam Puncak Awan Tersembunyi.
Ke Cang Ju terlalu obsesi dengan pembuatan herba dan telah membuat batas herba di seluruh kawasan Puncak Awan Tersembunyi sehinggakan tempat itu dipenuhi tumbuhan herba.
Memandangkan dia tidak dapat menggunakan Nektar Jed untuk menanam Teratai Salji dan menyerap tenaga rohani tumbuhan itu, Jun Wu Xie mahu mencari alternatif lain. Sebab itulah dia menuju ke batas-batas herba itu untuk melihat jika dia dapat menyerap sedikit tenaga rohani daripada pertumbuhan herba-herba berkenaan.
Selepas kali pertama menggunakan tenaga rohaninya untuk melakukan serangan, Jun Wu Xie mula sedar tentang kekuatan unik yang terdapat di dunia ini. Walaupun dia mempunyai kemahiran yang hebat di dalam bidang perubatan, dia tidak merasakan kemahirannya itu memberikan apa-apa kelebihan kepadanya.
Arahan baru yang diberikan oleh Hua Yao membolehkan para pemuda di dalam Puncak Awan Tersembunyi itu mendapatkan kembali kehidupan yang agak normal. Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi perlu berlapar atau terlalu penat bekerja. Tugasan harian mereka biasanya hanya tertumpu pada penjagaan pelbagai jenis tumbuhan di dalam Puncak Awan Tersembunyi.
Walaupun waktu masih awal pagi lagi, berpuluh-puluh orang pemuda sedang mengangkat air dan berlari-lari di sekeliling batas herba untuk menyiramnya.
Apa yang pelik ialah baru semalam mereka tidak tahan melihat Qiao Chu dan Jun Wu Xie sehingga mahu membelasah mereka. Tetapi pada pagi yang cerah ini, pemuda-pemuda itu mengelak untuk bertembung dengan mereka dan melarikan diri seperti tikus yang ketakutan, jauh dari kedua-duanya. Jadi di tempat Jun Wu Xie berdiri itu, tidak ada siapa yang menjaga herba-herba di situ. Hanya Qiao Chu yang berada di situ, membawa baldi dan menyiram tumbuhan-tumbuhan di kawasan itu.
"Xie Kecil, daripada kita merenung pokok dan bunga di sini, apa kata kita pergi berjumpa dengan Abang Hua?" Setelah baldinya kosong, Qiao Chu berasa bosan. Dia bersandar pada sebatang pokok sewaktu dia duduk. Dia meletakkan sebilah rumput panjang ke dalam mulutnya dan meletakkan tangan di belakang kepalanya sambil memerhatikan Jun Wu Xie menjaga tumbuhan herba tersebut.
Qiao Chu langsung tidak faham kenapa seseorang yang amat bijak dan mahir dalam pembuatan eliksir, penyediaan racun serta licik dalam membuat rancangan, tidak kisah dilihat mencangkung di tepi batas herba dan menyukai tugasan menjaga batas herba berkenaan.
Jun Wu Xie tidak mempedulikan keluhan Qiao Chu dan terus menumpukan perhatian kepada batas herba di hadapannya. Herba yang ditanam di sini amat jarang ditemui dan sangat berharga. Sebelum ini, Jun Wu Xie hanya pernah melihat herba-herba ini di dalam buku. Sewaktu berada di Istana Lin, Jun Wu Xie tidak dapat menghasilkan banyak jenis ubat dan eliksir planted hanya kerana tidak mempunyai herba yang mencukupi.
Kerajaan Qi mempunyai bekalan herba yang terhad. Malah ada beberapa berharga yang Mo Qian Yuan sekalipun tidak boleh dapatkan. Jun Wu Xie telah mengeluarkan semua herba dari dalam Bilik Simpanan Diraja, tetapi dia tetap mengalami kekurangan herba yang banyak.
Dia tidak sangka akan menemui pelbagai jenis herba berharga yang telah lama dia mahukan, di dalam Puncak Awan Tersembunyi. Dengan adanya herba-herba ini, Jun Wu Xie akan dapat menghasilkan lebih banyak jenis eliksir dan ubat-ubatan.
Dia juga mendapati semakin berharga nilai sesuatu herba itu, semakin banyak tenaga rohani yang dia dapat serap sewaktu dalam proses pertapaan. Tenaga ini mungkin jauh lebih sedikit berbanding apa yang Teratai Kecil boleh bekalkan, tetapi bak kata pepatah, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga.
Penemuan baru ini menjadikan Jun Wu Xie lebih bermotivasi. Latihan dan pembangunan berkaitan kuasa rohaninya tidak berbeza dengan tugas tukang kebun. Dia tidak kisah tentang apa yang ditanamnya.
Jun Wu Xie berada di kawasan batas herba sepanjang hari sehingga Qiao Chu yang kebosanan, lari mendapatkan Hua Yao untuk mendapat sedikit perhatian.
Malam sudah pun tiba dan Jun Wu Xie masih belum lagi meninggalkan batas herba. Obor dinyalakan di sudut-sudut kawasan itu bagi membolehkan para pengikut di situ menjaga herba berharga itu walaupun hari sudah malam.
Di bawah sinaran cahaya bulan, Jun Wu Xie masih mencangkung di tepi batas herba itu sambil memerhatikan sekelompok Rumput Ais. Tiba-tiba satu kehangatan merebak dari dalam lengan bajunya. Dia menyeluk menggunakan sebelah lagi tangannya untuk menyentuh kehangatan itu dan sebiji manik berada di dalam tapak tangannya.
Manik itu ialah Manik Kayu Berukir yang Jun Wu Yao berikan kepada Teratai Kecil. Sewaktu Teratai Kecil bertukar menjadi Teratai Salji dan bertapa, manik ini ada padanya. Tetapi setelah dia kembali ke badan Jun Wu Xie, dia tidak dapat membawa manik ini bersama, jadi dia telah memberikan manik berkenaan kepada Jun Wu Xie untuk disimpan.