webnovel

Pertempuran Hermes (Bahagian II)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Tetapi pertarungan yang dinanti-nantikan tidak kunjung tiba.

Seseorang mendekati perwira wanita itu dan menurunkan tangan pedangnya.

"Berundur", kata suara itu dengan lembut dan jelas. Alicia mendapati orang itu adalah salah seorang askar yang kekal berdiri dalam barisan tadi. Di keliling lengannya, ada lingkaran lencana Komander Rejimen. "Perajurit Agama Tentera Tuhan sudah tiba".

Alicia memusingkan kepalanya dan melihat satu pasukan terdiri daripada askar tinggi lampai, berpakaian baju zirah berkilauan dari kepala hingga kaki, sehingga memantulkan sinar keperak-perakan walaupun hujan lebat. Mereka berkawad melalui Gerbang Utara. Mereka semua memakai mantel merah di belakang dan membawa pelbagai senjata dalam tangan mereka. Ada yang memegang pedang dan perisai, ada pula yang memegang kapak lembing, ada yang memegang tombak serta kapak besi. Mereka tidak menyerang dalam barisan selepas menyeberangi jambatan tarik tetapi terus menyerang melulu ke arah makhluk iblis itu.

'Apa jenis strategi ini? Macam budak-budak! Makhluk iblis ada kekuatan dan kepantasan melebihi manusia, jadi satu-satunya cara untuk melawan mereka adalah bertarung dalam barisan dan bergabung tenaga! Mereka ada hati mahu melawan makhluk iblis seorang diri? Patutkah saya berpeluk tubuh dan melihat sahaja Perajurit Agama Tentera Tuhan itu menyerang musuh?' Semua ini berlumba-lumba dalam fikiran Alicia.

"Kita mesti bantu mereka!"

"Tidak ada gunanya". Kapten Rejimen tadi menggeleng kepala dengan wajah suram. "Kita patut lihat sahaja. Kalau kita masuk campur, kita hanya akan memburukkan keadaan."

'Memburukkan keadaan?' Alicia merenung lelaki itu dengan rasa tidak percaya. 'Mungkinkah saya sudah tersalah menilai dia? Adakah dia pengecut?' Alicia mengemaskan genggaman pedangnya dan mula berjalan meninggalkan dia untuk menyertai pertarungan. Walaupun dia sudah tidak pasti dengan nasib yang menanti Kota Suci Baru, dia tetap akan memerangi musuh sehingga ke titisan darah terakhir.

Belum sempat perwira wanita itu melangkah, dia melihat sesuatu yang luar biasa.

Seekor makluk iblis kacukan terbang menyergap dari langit. Sayapnya terbentang luas selebar hampir 4 meter dan kelihatan seolah-olah ia dilahirkan dari perut neraka. Kepalanya mirip burung dengan tanduk kambing jantan serta dua pencakar dengan duri-duri yang boleh menembusi baju besi mana-mana askar.

Mereka sudah biasa menyerang dengan menyerbu sambil terjun. Strategi ini sangat licik dan sukar dipatahkan. Perisai berat tidak mampu menahan gerombolan askar yang meloncat dari atas musuh. Kekuatan serbuan mereka akan mematahkan tulang-temulang musuh serta tulang rusuk pemegang perisai. Mustahil ada sesiapa selamat daripada serangan ini. Satu-satunya cara untuk mengelak daripada serangan maut ini adalah dengan berguling sejurus sebelum makhluk kacukan itu mendarat.

Tetapi tiada seorang pun anggota Perajurit Agama Tentera Tuhan berguling. Seorang perwira berbaju zirah perak menghulurkan kedua-dua tangannya sebaik sahaja makhluk iblis itu menerkam dia dan dia menepis pencakar raksasa itu dengan tangan kosong. Bunyi hentaman tubuh mereka begitu kuat, seperti bunyi mercun. Salji bersemburan antara perwira dan raksasa itu. Baju zirahnya turut berkeriut apabila menerima beban itu.

Perwira itu hanya merendahkan badannya dengan membengkokkan kaki kanan dan memastikan belakangnya lurus. Pada saat itu, makhluk iblis kacukan itu tidak dapat menindih dia. Seorang lagi perwira membaling lembingnya ke arah raksasa itu dan mata Alicia hanya sempat menangkap satu kilasan cahaya – selepas itu dia hanya nampak kepala raksasa itu pecah berkecai.

Perwira pertama tadi mencampakkan bangkai itu ke tanah. Tangannya seakan-akan terbalik ke arah berlawanan. Nampaknya dia cedera juga akibat serangan tadi. Tetapi walaupun tangannya patah, dia mengeluarkan sebilah kapak dari tali pinggangnya dan terus meluru ke arah makhluk iblis lain.

Alicia seperti tidak percaya manusia biasa mampu menewaskan makhluk iblis. Ratusan anggota Perajurit Agama Tentera Tuhan berkejar ke arah gerombolan makhluk iblis. Mantel merah mereka sudah tidak jauh berbeza daripada warna darah dan ini membuat musuh mereka mula rasa teragak-agak. Kini baru Alicia faham kenapa Komander Rejimen tadi berkata mereka mungkin "akan memburukkan keadaan." Setiap seorang anggota perajurit itu cukup kuat untuk melawan sepuluh ekor makhluk iblis, kerana kekuatan, ketangkasan, serta kelajuan mereka hampir setanding dengan makhluk iblis – tidak, malah lebih baik lagi. Makhluk iblis biasa tentu akan dikerjakan lumat-lumat oleh mereka.

"Hebatnya mereka!" Alicia tersenyum girang. Dengan angkatan sehandal ini, Katedral Hermes tidak akan jatuh ke tangan musuh. "Tuan kapten, saya tidak tahu nama tuan lagi. Saya Alicia Quinn, Kapten bagi salah satu platun Perajurit Agama. Nampaknya tuan sudah cukup tahu tentang kekuatan sebenar Perajurit Agama Tentera Tuhan?"

Lelaki itu memandang Alicia tetapi matanya dingin, sedingin hujan yang membasahi mereka. Dia tidak memberitahu namanya tetapi hanya membalas, "Abang saya salah seorang perwira Perajurit Agama Tentera Tuhan."

*******************

"Nampaknya kita sudah menang", kata Ketua Biskop Mayne sambil memegang sebatang teleskop yang ditilik dari atas kubah katedral itu. Inilah pusat pentadbiran Kota Suci Baru. Berbekalkan sebuah teleskop milik saudagar laut dari utara, mereka boleh melihat hampir separuh daripada seluruh medan pertempuran dari sana. "Arahkan pelontar berhenti melastik batu. Perajurit Agama Tentera Tuhan akan tiba ke puncak tembok kota tidak lama lagi."

"Bukankah kita semua sudah yakin dengan kemenangan kita?" jawab seorang lagi. Dia memakai jubah keemasan ketua biskop yang sama seperti Mayne. Tetapi suaranya kedengaran tua. "Yang penting, angkatan tentera keempat-empat kerajaan sudah tumbang."

"Bagus. Jadi barisan pertahanan mereka di sempadan tentu sudah dilemahkan," kata orang terakhir yang ada bersama mereka. Antara mereka bertiga, dia yang paling muda, berusia tidak lebih daripada 30 tahun dan satu-satunya ketua biskop wanita. "Seluruh angkatan seramai 5,000 askar terlatih dan dilengkapi senjata serta hampir 1,000 kesateria. Walaupun mereka cuba membentuk angkatan baru sekarang, mereka masih akan perlu empat ke lima tahun untuk itu. Wah…" Sekarang suaranya kedengaran teruja. "Ini rancangan yang sangat bijak dan keji!"

"Tetapi untuk mencapai tahap ini, kita sudah kehilangan ramai askar Perajurit Agama. Mereka adalah kuasa teras gereja ini." Mayne mengeluh. "Kalaulah rancangan lain boleh berkesan sepantas ini, saya tidak perlu mengorbankan mereka semua."

Ketua biskop yang paling tua mengurut janggutnya lalu berkata, "Kita sudah tiada pilihan lain. Seperti yang dinyatakan dalam Kitab Suci, Makhluk Terkutuk sudah muncul. Kita sudah tidak banyak masa lagi. Jika kita tidak boleh menyatukan seluruh benua dan menggabungkan semua angkatan tentera, kita semua akan binasa."

"Apa salahnya kalau dunia binasa?" Wanita itu tersenyum penuh makna. "Kaum manusia sangat tamak, jahat, dan berfikiran pendek. Perkara yang mereka lakukan jauh lebih dahsyat daripada makhluk iblis. Mungkin syaitan sendiri lebih berperikemanusiaan berbanding manusia."

"Heather!" Biskop tua tadi menengking marah. "Kata-kata awak itu bidaah! Awak mahu mungkar kepada Tuhan?"

"Awak tak perlu risau tentang itu, Tayfun." Heather setakat mengangkat bahu tanda tidak peduli. "Saya bertanggungjawab untuk Penghakiman, bukan awak! Lagipun, bukankah Tuhan sudah memerintahkan kita berbuat apa sahaja untuk meneruskan hidup? Siapa tahu mungkin Dia lebih mengasihani syaitan?"

"Awak…!"

"Sudah! Tayfun! Heather!" Mayne merenung tajam kepada mereka berdua. "Cukup untuk hari ini. Nanti saya akan laporkan situasi ini kepada paus. Sekarang awak berdua selesaikan urusan masing-masing."

...

Apabila Tayfun dan Heather keluar, Mayne berdiri di hadapan jendela tinggi dan melihat ke arah utara. Di sebalik Banjaran Puncak Langit, terletaknya Tanah Everwinter yang dilitupi salji dan di belah baratnya pula Rantau Orang Gasar, tempat di mana semuanya bermula.

Dia tahu kata-kata Ketua Biskop Tayfun ada benarnya. Perajurit Agama Tentera Tuhan sangat jarang ditemui. Mereka dilatih khas dan dipilih daripada kalangan penganut paling setia kepada Gereja Inggeris dan mempunyai ketahanan diri tertinggi. Walaupun gereja sudah mengabdikan hampir 100 tahun untuk membina angkatan ini, ia masih ada kurang daripada 1,000 orang sahaja dan jumlah ini tidak memadai langsung untuk berlawan dengan iblis.

Tetapi itu sahaja yang boleh dibekalkan dari utara. Jika mereka mahu lebih ramai askar lagi, tiada pilihan lain selain menyatukan semua negara atas benua ini.

Namun kata-kata Ketua Biskop Heather juga ada betulnya. Dia sudah membicarakan sepuluh ribu penjenayah dan ahli sihir. Tetapi kekejaman proses penghakiman mereka tidak tertanding dengan tindakan zalim mereka hari ini semata-mata untuk mencapai kemenangan.

Lebih tinggi kedudukan seseorang dalam Gereja Inggeris, lebih kuat naluri mereka mengatakan Tuhan bukan baik mahupun jahat.

"Siapa tahu mungkin Dia lebih mengasihani syaitan?" Kata-kata Heather terngiang-ngiang di telinganya dan Mayne tergelak besar. Hanya dia seorang boleh membuat si tua Tayfun marah tidak terkata. 'Cuma…', fikirnya dalam hati, 'Tuhan tidak mengasihani manusia di bumi, mahupun syaitan di neraka.'

'Tuhan hanya mengasihani pihak yang menang.'

Chương tiếp theo