6 Calon 2

Kerana itu, Nur Husna pernah merancang. Setelah habis belajar dia mahu lengkapkan diri dengan semua ini selayaknya seorang isteri. Selepas itu, baru fikirkan hal kahwin. Siapa tak mahu kahwin? Nur Husna nak sangat kahwin.

Seronok apa? Tersengih Husna seorang diri setiap kali melihatkan ragam rumah tangga Along dan Angahnya. Masam manis mereka buatkan kasih sayang sangat erat terikat, mengukuhkan lagi hubungan pasangan suami isteri itu. Saling menghargai dan disayangi. Bagaimanalah Nur Husna tidak berangankan punya suami sendiri sementelah itulah yang dilihatnya pada kehidupan Along dan Angahnya.

Lagi-lagi di usia begini, kerana Nabi SAW juga menamatkan zaman bujangnya ketika berumur 25 tahun. Apatah lagi Nur Husna yang sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada Sang Adam. Cuma ketika itu calon tidak ada dan kekurangannya membuatkan Nur Husna berasa rendah diri sekaligus menghalangnya daripada semua itu. Kerana itulah Nur Husna merancang.

Tapi lain pula rancang keluarganya yang lain. Belum sempat Nur Husna persiapkan diri dengan sempurna, keluarganya sudah sibuk mencarikan calon buat Nur Husna. Nur Husna tak menghalang, cumanya terlalu tergesa-gesa. Seolah-olah esok juga mahu dinikahkan Nur Husna. Kerana itulah semangatnya mahu persiapkan diri sebagai seorang isteri sudah terbang pergi. Nur Husna rasa terpaksa dan kelam-kabut. Sebab itu juga dia banyak mencari alasan dan tidak bersungguh. Cuba melengah-lengahkan kemahuan keluarganya yang berkobar-kobar itu.

Wajah calon-calonnya kembali dilihat dengan keluhan yang entah keberapa. Mahu tidak mahu, itulah juga yang perlu dihadapnya. Sekarang, sudah tiba masanya untuk membuat keputusan. Pilihan harus dibuat. Kalau Nur Husna terus-terusan membantah dan berdalih, lagi banyak desakan dan paksaan daripada keluarganya. Kalau mahu terus berkeras, daripada masih punya rasa untuk berkahwin tidak fasal-fasal hilang mahunya untuk berpasangan. Jadi, ada baiknya Nur Husna ikut sahaja apa yang dirancangkan keluarga. Pasti adalah yang terbaik buat Nur Husna.

Sekeping demi sekeping matanya menilai. Senyuman Nur Husna segaris terukir saat terpandangkan wajah seseorang. Lucu. Badrul, ayah kepada anak asuhannya turut menjadi calon pilihan. Bagaimanalah Alongnya boleh terjumpa Badrul ni? Entah ya atau tidak lelaki itu mahukan Nur Husna. Menurut penilaian Nur Husna, Badrul kelihatan sangat setia pada arwah isterinya yang meninggal ketika melahirkan Zaki. Sudah tiga tahun Badrul membujang. Sudah bersediakah lelaki itu untuk membuka ruang di hatinya?

Gambar berikutnya dialih. Razman. Senior sekolah menengahnya turut menjadi calon. Nur Husna sudah ingat-ingat lupa akan lelaki itu. Seingat Nur Husna, Razman itu ketua pelajar ketika Nur Husna di tingkatan tiga sebelum kemalangan ngeri tertimpa keatasnya. Tidak pula mereka pernah menyapa apatah lagi punya hubungan. Tiba-tiba muncul jadi calon Nur Husna. Berkerut jugalah Nur Husna memikirkan kemungkinan itu. Mungkin aturan keluarga juga barangkali. Terimakah lelaki itu akan Nur Husna ini kalau dia yang menjadi pilihan?

Nur Husna melihat pula gambar yang lain. Rata-ratanya Nur Husna tidak kenal. Nur Husna hanya mengenali empat orang daripada sepuluh calon itu. Selain Badrul dan Razman, Nur Husna juga mengenali Ammar, anak tok imam kampung yang baru pulang dari timur tengah tahun lalu. Kini berjawatan ustaz di sekolah menengah berhampiran dan imam di Masjid Negeri. Selain itu, Muiz, jejaka berkulit hitam manis. Agak terkenal di kampung ini kerana dia pemilik kilang padi dan pengusaha berekar-ekar sawah padi milik keluarganya. Sering datang ke rumah ketika arwah Tuan Yusof masih hidup kerana Tuan Yusof menggunakan khidmat syarikat Muiz untuk mengimarahkan tanah sawahnya yang hanya empat petak di belakang rumah.

Mereka itu Nur Husna pernah bersua muka, berbual dan mengenali tentang mereka depan matanya sendiri. Memang semuanya Nur Husna kenal sangat berkelakuan baik, sopan santun dan berbudi. Sangat sesuai untuk dijadikan calon suami. Jadi empat gambar dan helaian biodata mereka disatukan tanda mereka menjadi pilihan Nur Husna. Nur Husna fikir, kalau yang kenal itu mungkin memudahkan lagi suai kenal mereka nanti. Tidaklah Nur Husna rasa terlalu janggal jika proses keserasian terjadi antara salah seorang daripada mereka. Nur Husna sebenarnya tidak kisah siapapun bakal suaminya nanti. Lagi pula, Nur Husna masih ingat pesan Tuan Yusof. Persiapkan hati hanya untuk suami, jangan mudah berkasih terhadap lelaki lain. Kerana itu, Nur Husna masih tidak tersangkut pada mana-mana lelaki. Pesan ayahnya masih terpahat kemas di sukmanya.

"Hurmm.. tinggal seorang sahaja lagi."

Enam keping gambar silih berganti dilihat berulang kali. Butiran biodata mereka juga sudah berkali-kali dibaca. Namun semuanya serba salah mahu dipilih. Lakunya terus diulang-ulang hinggalah terhenti pada satu gambar. Walaupun gambar itu sudah berkali-kali dilihat, tapi entah kenapa matanya tiba-tiba tertarik pada gambar itu. Raut wajah lelaki muda itu seperti pernah dilihat setelah diperhatikan betul-betul. Kertas biodatanya dilihat kembali.

"Azami Norhakim. Umur 32. Bekas pensyarah selama tiga tahun. Kini menguruskan premis sendiri yang telah bermula dari waktu ijazah. Taraf pendidikan Phd in Business Management. Bla.. bla.. bla.."

Kening Nur Husna terjungkit membacakan biodata lelaki itu. Terlalu sempurna untuknya.

"Azami Norhakim."

Nama itu kembali meniti di bibir Nur Husna. Tiba-tiba raut wajah kelat lelaki yang dikenalkan Puan Iffah di Darul Sakinah menerpa mindanya. TTak silap Nur Husna,Azam namanya. Mungkinkah Azam itu adalah Azami? Gambar dilihat dan cuba membandingkan persamaan wajah itu dengan memori wajah Azam yang samar-samar diingatan. Orang yang samakah? Nur Husna menggeleng-geleng kepalanya tiba-tiba. Kenapa pula lelaki itu yang perlu dikaitkan pula. Mustahillah. Lelaki dalam gambar ini lebih muda daripada wajah Azam yang ditemui Nur Husna tiga minggu lalu. Jadi sangat tak masuk akal. Husna! Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan.

Tanpa berfikir panjang, tangan Nur Husna meletakkan kepingan kertas berisi maklumat Azami Norhakim bersama empat calon pilihannya tadi. Dia tak tahu, walaupun rasa sangat mustahil Nur Husna layak untuk dipasangkan dengan lelaki sesempurna itu tapi tangannya ringan mahu memilih Azami Norhakim. Lagi pun, Nur Husna sudah malas mahu fikir. Sudah tiga hari dia berfikir dan ditemani kepilan kertas serta gambar-gambar itu hingga ke tidurnya. Ada baik hatinya tergerak mahu memilih. Kalau tak, bertambah hari lagilah Nur Husna harus tidur dengan semua itu. Istikharah juga sudah berkali-kali dilakukan. Entah apalah petunjuk kepada pilihannya, Nur Husna belum nampak jawapannya. Jadi, hanya bersangka baik dan bertawakkal dengan pilihannya.

"Ateh!"

"Ye, Ateh dekat bilik."

Nur Husna menyahut saat namanya dipanggil abang iparnya, Fawwaz. Pintu bilik dihampiri, dibawa bersama kepilan kertas dan gambar yang sudah diasingkan. Niatnya mahu serahkan pada Rozaimah nanti. Pintu bilik dibuka, tersembul wajah Fawwaz yang sedang berdiri di depan pintu menghulurkan Xperia milik Nur Husna di tangannya.

"Kenapa Abang Long?"

Soalan ditanya sambil menyambut huluran Fawwaz. Skrin Xperia dihidupkan dan terpandangkan tiga panggilan yang tidak dijawab daripada nombor tidak dikenali.

"Ada orang telefon dari tadi. Tengok nombor tak ada nama. Cuba telefon atau hantar mesej semula. Mana tahu penting."

"Okey, nanti Ateh telefon balik. Terima kasih Abang Long – Eh, sebelum terlupa. Nah, kasi ke Along. Ateh dah pilih macam mana yang Along nak. Lima calon kan? Boleh lah bincang dengan mak. Ateh insyaAllah terima mana yang baik daripada keputusan semua."

Tersenyum lebar Fawwaz menyambut huluran adik iparnya itu. Tersengih dia penuh usikan terhadap Nur Husna.

"Eh, tak sangka kawan abang pun Ateh pilih. Macam mana tahu dia kawan abang?"

Fawwaz bertanya saat terpandang gambar dan kertas maklumat temannya. Kepilan kertas paling atas yang dikatakan kawannya itu diambil. Nur Husna menjengket sedikit cuba melihat siapa yang dimaksudkan Fawwaz.

"Azami Norhakim ni kawan abang ke?" Persoalan dilontar dengan kerutan tak percaya.

"Haah. Kacak kan dia?" Soalan bernada usikan itu sengaja ditanya. Keningnya diangkat berkali-kali terhadap Nur Husna.

"Dia terlalu sempurnalah Abang Long. Tak setaraf dengan Ateh."

"Habis tu kenapa pilih?"

"Entah!"

Jawaban mudah daripada mulut Nur Husna itu mengundang ketawa lepas daripada Fawwaz. Mulalah idea nakal dimindanya mahu mengusik.

"Jatuh cinta pandang pertamakah?"

"Jangan nak merepeklah abang. Apa benda cinta tu pun Ateh tak tahu. Pandang pertama konon."

"Eleh, tak kenal cinta konon–"

Xperia yang kembali berbunyi memotong usikan Fawwaz yang semakin rancak mahu kenakan Nur Husna. Serentak dua pasang mata itu memandang skrin Xperia yang menyala dan melalak minta diangkat. Angka yang sama tertera di skrin telefon bimbitnya. Wajah abang iparnya yang masih dengan senyuman sumbing dijeling tidak puas hati.

"Dah sana pergi. Jangan lupa bagi tu dekat Along."

Tangannya dikibas-kibas, mengusir Fawwaz supaya pergi jauh darinya. Kalau semakin dilayan, semakin sakit hati jadinya. Setelah kedatangan Fawwaz dalam keluarganya, sememangnya abang iparnya seorang itu sangat gemar mengusik semua orang. Terutamanya Nur Husna yang selalu kalah bertikam lidah dengan Fawwaz.

"~Ku rasa ku telah jatuh cinta. Pada pandangan yang pertama~"

Sempat lagi Fawwaz mendendangkan lagu Pandang Pertama yang dinyanyikan Ran, kumpulan penyanyi dari Indonesia. Sengaja lagu itu ditujukan kepada Nur Husna meninggalkan adik iparnya sambil mencari-cari kelibat isterinya di belakang rumah. Rasanya sedang melayur dua ekor itik yang baru disembelih tadi. Mahu dijadikan kari malam nanti.

Nur Husna mencebik tidak puas hati. Mujur ada yang hubungi, kalau tak sampai ke sudah Nur Husna akan bertekak dengan Fawwaz yang terlalu kuat mengusik. Telefon yang berbunyi segera dijawab, tidak mahu si pemanggilnya ternanti-nanti lagi.

"Hello, Assalamualaikum."

Uik, suara lelaki. 

avataravatar
ตอนถัดไป