webnovel

Mayat Rong Xuan

Editor: EndlessFantasy Translation

"Rong Haiyue?" Dahi Song Yifan berkerut. "Macam nama artis."

"Mejar Jeneral," kata Li Sicheng.

"Oh, saya pernah dengar tentang dia."

"Nama keluarga mereka sama dan mereka ada di hospital pada masa yang sama. Mungkin mereka… abang dan adik? Bukankah Ayah kata dia ada abang?" tanya Su Qianci.

Song Yifan menggeleng. "Mustahil. Dia tinggal di sini selama tiga tahun.Dia tak pernah sebut tentang abangnya sepanjang tempoh itu. Lagipun ramai orang ada nama keluarga yang sama. Mungkin cuma kebetulan. Atau kamu mungkin silap orang."

"Tak, tak mungkin!" Su Qianci begitu yakin. "Saya bercakap dengan dia. Dia suruh saya jangan panggil dia dengan nama Rong Xuan dan kata ia menjijikkan."

Li Sicheng memandang isterinya dan bertanya, "Kamu pasti?"

"Ya!"

Li Sicheng mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi Luo Zhan. Luo Zhan seperti biasa masih tidur pada ketika itu. Sebaik mendengar nada deringnya, dia terus melemparkan telefon bimbitnya dengan jengkel. Walau bagaimanapun, pemanggil itu tidak berputus asa. Luo Zhan berasa marah dan sudah bersedia untuk menyumpah apabila menjawab panggilan itu. Namun dia berasa gerun sebaik melihat nama Li Sicheng lalu segera menjawab, "Helo?"

"Boleh kau tolong semak rekod hospital kedua Kingstown… Su Qianci, di mana kamu jumpa dia?"

"Hari pertama saya… Eh silap, hari kedua saya di hospital…"

"Cuba periksa rakaman CCTV pada 15 dan 16 haribulan. Cari seorang wanita yang mirip dengan Su Qianci."

Luo Zhan menggaru kepalanya sambil menyarung selipar lalu berjalan ke bilik air. "Kawan, hari ini hari perayaan. Tak bolehkah aku berehat?"

"Aku akan bayar kau macam biasa."

"Okeylah, aku buat sekarang."

Li Sicheng tidak berkata apa-apa.

Su Qianci berkata, "Wanita itu pakai pakaian mewah. Kot warna emerald bersama baju qipao hijau di dalamnya. Dia sangat anggun. Rambutnya dipin ke atas seperti gaya 30-an."

"Kau dengar?" tanya Li Sicheng.

Luo Zhan menjawab, "Okey dapat. Bila kau nak?"

"Aku perlukannya secepat mungkin."

"Okey!"

Luo Zhan memutuskan talian lalu terus mandi sebelum memulakan kerjanya. Dia menggodam CCTV hospital itu dan memeriksa rakaman pada hari yang diberitahu Li Sicheng. Dia berjaya menemui wanita itu. Dia merasakan seolah-olah sedang melihat Su Qianci. Walaupun umur mereka jauh berbeza, Su Qianci dan wanita itu kelihatan seperti adik-beradik kembar. Luo Zhan terus menyunting rakaman itu dan menghantarnya kepada Li Sicheng. Dia berasa agak kagum. Jadi memang ada dua orang yang wajah sangat mirip di dalam dunia ini?

Li Sicheng menerima video itu lebih satu jam selepas panggilannya kepada Luo Zhan. Song Yifan sedang membawa pasangan itu ke beberapa tempat yang terkenal dengan pemandangan cantik di Kota Dan. Disebabkan semua tempat itu dipenuhi orang ramai, mereka hanya melihat dari dalam kereta. Sebaik melihat video itu, Su Qianci terus dapat mengecamnya. "Betul, itu dia! Ayah, tengok ni!"

Song Yifan sangat terkejut sebaik melihat wajah Rong Xuan. Dia terus menzum masuk sehingga habis. Betul, ini memang dia! Memang Rong Xuan! Song Yifan tahu dia dapat mengenalpasti wajah Rong Xuan bila-bila masa sahaja. Tetapi, mana mungkin? Bukankah wanita itu sudah meninggal dunia? Sewaktu di Gunung Shiwan, pegawai perubatan itu telah sepenuhnya pasti bahawa mayat itu adalah Rong Xuan selepas melakukan ujian DNA. Tetapi bagaimana pula wanita itu tiba-tiba muncul di dalam satu rakaman CCTV yang terkini?