webnovel

BAB 03

"KAMU tetap mahu pergi temuduga tu?" tanya Mak Timah sambil mengemaskan susunan nasi lemak di dalam bakul selepas Shadrina muncul di ruang dapur itu.

Shadrina meletak begnya di atas meja lalu mengemaskan susunan kuih di dalam bakul kedua.

"Ya mak, Rin nak cuba nasib. Lagipun Rin dah beritahu Mak Jemah, kita nak tumpang kuih dia kat warung dia hari ni. Petang nanti Rin ambil duit jualannya," jawab Shadrina dengan senyum lebar.

"Kamu yakin kamu boleh dapat kerja pembantu tu?"

"Insya-ALLAH mak, yang penting kita berusaha, kan? Dapat atau tak, kita serahkan kepada ALLAH."

Mak Timah mengeluh halus. Tiada apa yang ingin dikatakan lagi. Hatinya sedikit terkilan bila anaknya itu menolak lamaran Shahril. Tapi, sebagai ibu dia akan usir perasaan itu dan terus mendoakan yang terbaik untuk Shadrina.

"Hati-hati naik bas nanti. Lepas temuduga terus balik, jangan nak melencong ke mana-mana pula," pesan Mak Timah selepas selesai menyusun nasi lemak di dalam bakul. Teh 'O' suam kurang manisnya diteguk sedikit.

"Baik mak. Mak tu jangan tak makan tengah hari pula. Rin dah masakan lauk untuk mak makan. Mak jangan nak makan sisa sambal nasi lemak tu ya? Perut mak tu tak tahan pedas," Shadrina pula berpesan sambil membawa kedua-dua bakul di atas meja makan itu ke muka pintu dapur.

Mak Timah bangkit berdiri. Beg Shadrina dicapai lalu dibawa ke muka pintu. Terasa sengal setiap sendi-sendi tulangnya. Maklumlah, sudah berusia.

"Kamu dah beritahu Cikgu Shahril yang kamu ada temuduga hari ni?" tanya Mak Timah sambil mengheyak punggung di atas kerusi plastik yang ada di luar pintu dapur.

Shadrina memandang emaknya, sekilas. Tangannya laju mengikat bakul berisi nasi lemak dan kuih-muih di tempat duduk belakang basikal.

"Tak, mak. Rin tak nak menyusahkan dia. Kalau Rin bagi tahu dia, mesti dia akan hantar dan ambil Rin nanti. Terganggu pula kerja dia. Cukuplah pertolongan yang dia dah bagi pada kita selama ni mak."

Bakul yang satu lagi diletak pula ke dalam bakul di hadapan basikal.

"Kalau kamu terima lamaran dia, tak perlulah kamu nak bersusah-susah macam ni, Rin. Kamu senang, mak pun tumpang senang. Mak nak lihat kamu senang."

Shadrina terdiam sejenak. Kemudian, dia mengeluhan halus. Nampaknya, emaknya masih berharap dia dan Shahril bersatu. Tapi, dia memang benar-benar tidak mampu untuk memenuhi kehendak emaknya itu.

"Mak, Rin minta diri dulu," pinta Shadrina sambil menyambut begnya di tangan Mak Timah.

Mak Timah akur dengan jawapan anaknya itu yang tidak berkaitan langsung dengan kata-katanya tadi. Jelaslah, yang anaknya itu tidak boleh menerima Shahril lebih dari seorang guru di dalam hidupnya.

"Hati-hati," pesan Mak Timah lalu tangannya disalam dan dikucup sayang oleh Shadrina. Dia mengusap beberapa kali kepala anaknya itu dengan diiringi doa agar nasib baik sentiasa menyebelahi Shadrina. Sampai bila anaknya itu mahu meniaga kuih muih? Anaknya berhak memilih jalan hidup yang dia inginikan.

"Baiklah mak. Mak jangan lupa kunci pintu ya? Kalau nak makan, Rin ada tinggal sikit kuih apam dan lepat pisang. Kalau mak bosan, boleh makan kuih tu sambil tengok TV."

"Iya…" balas Mak Timah, bangga kerana memiliki seorang anak seperti Shadrina. Terlalu menyayanginya lebih dari segala-galanya.

Shadrina melangkah menuju ke basikalnya. Begnya disangkut pada bahu. Kemudian basikalnya mula ditunggang.

"Mak, Rin pergi dulu. Assalamualaikum," pamit Shadrina lalu mula mengayuh basikalnya.

"Waalaikumussalam." Ucap salam Shadrina dijawab sekadar di hujung bibir.

Ya ALLAH, kau berilah kejayaan dan kebahagian kepada satu-satunya zuriat yang KAU amanatkan kepada aku itu di dunia dan di akhirat ni Ya ALLAH. Sesungguhnya aku mahu dia lebih senang dari kehidupannya sekarang. Pohon Mak Timah di dalam hati pada yang Khalik sambil memandang kelibat Shadrina yang semakin menjauh.

# # # #

ROTI yang sudah siap dibakar disusun di atas piring. Kaya berperisa pandan di atas rak kecil di sebelah periuk nasi dicapai lalu dia melangkah bersama piring dan kaya tadi menuju ke meja makan. Kelihatan emaknya sedang menuang kopi susu panas ke dalam cawannya.

"Ayah tak turun lagi ke mak?" tanya Zenia sambil duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan emaknya.

Puan Hanifah tidak terus menjawab. Teko diletak di tengah meja terlebih dahulu.

"Abah kamu awal-awal pagi lagi dah keluar pergi kerja. Ada meeting dengan orang dari pejabat Felda katanya," jawab Puan Hanifah sambil menghirup sedikit minumannya.

"Ooo… awal pula abah keluar hari ni?"

"Haah, dia kena pergi pejabat Felda dekat Kota Tinggi. Sebab tu dia kena bertolak awal." Jelas Puan Hanifah sambil mencapai mangkuk berisi mihun goreng masakannya kemudian disenduk ke atas pinggan.

Diam.

Zenia menyapu kaya dipermukaan roti bakar. Selesai sahaja, roti itu mula dijamah.

"Mak ada masak lebih mihun goreng ni. Bawalah sikit ke pejabat. Mak bekalkan dalam dua bekas ya? Satu untuk kamu, satu lagi kamu bagilah Shafiz. Lepas tu cakaplah, kamu yang masak mihun goreng ni, okey?" cadang Puan Hanifah pada anak bungsunya itu.

Dia hanya ada dua orang anak hasil perkahwinannya dengan suaminya. Yang sulung lelaki. Kini menetap di Dubai – bekerja di sana. Zenia pula yang bongsu. Apa yang membimbangkan dia ketika ini bila satu-satunya anak gadisnya itu masih membujang kala usia sudah mencencah 30 tahun. Bimbang gelaran anak dara tidak laku bakalan melekat pada Zenia kelak.

"Huk! Huk! Huk!"

Zenia terbatuk-batuk selepas mendengar kata-kata emaknya itu. Gelas berisi susu segar sejuk diteguk bagi melancarkan kerongkongnya yang tiba-tiba terasa sesak.

"Apa mak ni? Nia dah penatlah mak, nak buat semua ni. Baru kelmarin Nia bagi emak dia kek coklat. Tak kan kali ni nak bagi lagi kut?"

"Itu kamu bagi mak dia. Kali ni, kamu bagi Shafiz pula." Puan Hanifah tetap tidak akan mengalah. Dia cuma mahu menolong anaknya itu bertemu jodoh.

"Ala, sama aje. Dia orang tu anak-beranak. Bagi mak dia, garenti sampai ke Shaf juga, mak. Dahlah kek tu mak beli, lepas tu duk kata kat Mak cik Zainab, Nia yang buat. Kalau tiba-tiba dia nak belajar buat kek coklat tu dengan Nia macam mana? Tak ke haru-biru nanti? Nia ni mana tahu buat kek-kek macam tu semua? Buat bahulu pun, bantat!"

Zenia meluahkan apa yang dipendamnya selama ini. Dia tahu niat emaknya itu baik ingin menyatukan dia dengan Shafiz. Tapi, cara emaknya itu dianggap tidak kena. Andai rancangan emaknya itu menjadi, niaya hidupnya nanti! Jika Shafiz tiba-tiba mengidam mahu makan kek coklat masakannya, bagaimana?

"Kita ni hidup di zaman moden, kan? Maklumat semua di hujung jari. Kamu Google ajelah resepi kek coklat tu dekat internet. Lagipun, dah ada jual tepung kek coklat segera kat kedai tu. Tinggal bancuh, adun, bakar. Dah pun siap. Terus ngap!" tetap Puan Hanifah tidak mahu mengalah.

Zenia menyambung kunyahannya.

"Amboi mak, sejak tahu main Facebook ni, dah tahu semua benda dalam internet tu, kan?" perli Zenia.

"Haruslah nak oi, gunakan kemudahan yang abah kau dah sediakan. Kalau mak boleh cari resepi masakan kat internet, tak kan kamu tak boleh, kut?"

Zenia berdengus halus. Rotinya digigit lagi.

"Nia ni busylah mak. Banyak kerja dekat ofis tu."

"Ya lah tu, kerja untuk kesenangan orang lain. Kalau kamu kahwin dengan si Shaf tu, ada juga faedahnya. Kamu kayakan laki kamu sendiri. Jadi, tak reti-reti nak kahwin dengan si Shaf tu? Muda-muda lagi dah ada syarikat sendiri. Senang hidup kamu kalau kamu kahwin dengan dia."

Akhirnya, terluah juga niat sebenar Puan Hanifah untuk anaknya itu.

"Mak ni." Zenia terus mengeluh bila isu ini mula berbangkit. Bukan dia tidak mahu berkahwin dengan Shafiz. Kalau Shafiz mahu berkahwin dengan dia, memang dia mahu! Tapi permasalahannya sekarang, mahukah Shafiz menikahinya?

"Masalahnya mak, si Shaf tu nak ke, kahwin dengan anak mak ni?" sambungnya sambil mengunyah habis sisa roti bakarnya.

"Sebab tu lah mak nak kamu tambat hati dia. Tunjuk yang kamu ni pandai memasak, prihatin dan beria nak jaga dia," jawab Puan Hanifah lalu melangkah ke dapur. Beberapa saat kemudian, dia muncul dengan dua bekas plastik yang sama saiz.

Zenia hanya mencebik sambil menghabiskan sisa minumannya.

"Kamu tu umur dah 30, tahun ni. Kamu nak tunggu sampai bila baru nak berlaki? Nak tunggu tikus bertanduk?" sindir Puan Hanifah, langsung tidak memikirkan perasaan anak gadisnya itu yang semakin sensitif. Apa yang dia tahu, dia mahu Zenia dan Shafiz berkahwin!

Dua bekas plastik berisi mihun goreng tadi dimasukan ke dalam beg kertas bersama dua batang sudu dan garfu.

Zenia menjeling siling. Malas mahu bersuara lagi. Apa-apa sahajalah. Nasib baik wanita di hadapannya itu emaknya. Jika orang lain, pasti dia sudah memaki. Perlukah dia berpura-pura menjadi orang lain yang tahu segalanya demi menambat hati Shafiz?

Hazel Jay

Cik_Bintangcreators' thoughts
Next chapter