webnovel

BAB 16 : Runtuhan Kuasa 1525

Angin sejuk mencengkam hingga ke tulang sum sum. suhunya kini mencecah 5 darjah selsius. Bagi penduduk asal Wilayah Barat Malaya, musim sejuk yang muncul setahun sekali ini adalah perkara biasa dan persediaan menghadapinya menjadi satu kemestian. Jika gagal menyediakan kayu api yang secukupnya serta baju tebal sebagai pelindung diri, pastinya pelbagai kemungkinan bakal menimpa.

Tok Pepatih yang masih berjaga malam itu merenung jauh sambil memikirkan nasib yang bakal menimpa tanahairnya itu. Peperangan yang telah berlarutan, begitu menguji segala aspek dalam dirinya. Biarpun emosinya sangat terganggu, dia perlu kekal tenang bagi mengemudi bala tentera yang jumlahnya mencecah jutaan orang. Semangat dan fokus pengikut-pengikutnya perlu diasah selalu. Dia yakin kemenangan akan memihak kepadanya.

Nun jauh beratus kilometer dari lokasi Tok Pepatih, kelihatan cahaya-cahaya merah yang menerangi kawad bala tentera Jeneral Balongron. Irama dari drum dan gong yang dibawa sambil para perajurit melaungkan lagu semangat kedengaran sehingga ke seluruh pelusuk wilayah barat. Barang siapa yang terdengar akan gema muzik itu pastinya berasa amat takut dan gentar. Penduduk kampung serta bandar-bandar kecil segera berangkat pindah setelah terdengar laungan amaran itu. Ini memudahkan lagi laluan tentera Modēra menuju ke sempadan utama.

Perutusan dari penjaga wilayah utara sudah sampai ke tangan Tok Pepatih. Kekalahan yang tragis telah pun berlaku. Pahlawan-pahlawan Malaya yang gugur mempertahankan tanahair diberi penghormatan terakhir. Strategi peperangan yang dirumus dari utusan wilayah Utara itu segera diambilkira. Kekuatan musuh yang berkurangan 40 peratus itu dianggarkan masih sukar untuk dipatahkan. Malah, Tok Pepatih sedar bahawa moral tentera sedikit terganggu setelah beberapa kampung halaman di bakar serta penduduk yang terkorban adalah saudara mara mereka. Tok Pepatih lantas menghantar beberapa Ketua Perajurit untuk menaikkan semangat mereka bagi membalas serangan dengan sepenuh hati. Darah perlu dibalas dengan darah.

***************************

Semenjak dari semalam Aduka Alam tidak tidur. Dia bertungkus lumus berkhidmat untuk menyelamatkan seluruh makhluk bukan sahaja manusia malah juga makhluk dari dunia undead yang bersatu membentuk dinding bagi mengekang kemaraan Tentera Roah. Buat masa ini mereka telah berjaya menangkis serangan musuh yang masih belum diketahui kekuatannya. Segala ilmu dan kekuatan yg dimiliki dikerah sehabis daya. Malah, kesan parut dan luka yg masih berbau darah jelas membuktikan usaha mereka memperoleh kemenangan.

Dimensi yang mereka duduki kini sudah bercampur aduk dek kerana kerakusan raja zalim Chongkorn ii. Dia yang dahulunya sekadar pelarian buangan negaranya sendiri kini terjebak akan perjuangan negara yang asalnya bergelar musuh. Masih segar dalam ingatannya sejak lima tahun yang lalu, dia dan tiga orang perantis yang diberi ilmu jurus tertinggi bagi mengekang kemaraan makhluk mistik. Pada mulanya dia agak pelik kerana tiada sebarang ancaman pada zaman itu. Malah musuh yang bakal ditentangnya adalah manusia biasa. Hinggalah dia sedar bahawa musuh yang dimaksudkan oleh gurunya adalah makhluk pengembara dimensi, iaitu Roah. Jika dia lebih arif pada waktu itu, pasti dia akan berusaha sehabis baik mengumpul semua pahlawan bagi mewujudkan bala tentera. Tapi kini semua sudah terlambat.

Dengan kejatuhan sebahagian besar kerajaan Melayu Melaka, maka hilanglah juga begitu ramai pahlawan yang merupakan manusia. Sungguh bodoh insan bernama Chongkorn hingga terpedaya dengan tipu daya makhluk dari cakerawala yang entah dari mana. Makhluk yang dikatakan diketuai oleh 'seorang' permaisuri jelita bernama Permaisuri Alya itu memperdaya adiknya untuk menggempur kerajaan sesama manusia bagi memudahkan aksi 'finale' menjajah bumi. Seraya itu Aduka Alam atau nama asalnya Choprikorn menumbuk tanah tanda marah. Dia cuba memejamkan mata untuk mengembalikan tenaganya yang hilang.

Rakan-rakan seperjuangan yang lain kelihatan tidak berdaya dan tidak kurang mengalami kecederaan. Mereka kini berada di Kota Sulaiman setelah menyusuri Potal Axaria bagi mengelak serangan bertali arus makhluk Roah. Biarpun kota itu telah lumpuh sepenuhnya, sekurang-kurangnya tiada makhluk roah di situ. Manusia yang dibawa dari tahun 2025 agak sukar menyesuaikan diri apatah lagi ramai yang tercedera. Bahkan mereka masih terkejut dengan apa yang terjadi serta kini mereka seakan berada di alam yang lain.

Aduka cuba mengingat kembali kejadian demi kejadian yang menimpa wilayah timur kerajaan melayu itu. Bermula serangan Si Luncai dari lautan serta tewasnya Jandak Pertapa hinggalah hilangnya bang Tuah bersaudara. Ketiadaan lima pahlawan itu semasa pencerobohan Si Luncai amat terkesan sehingga Kota Sulaiman dengan mudah dibedil armada kecil. Luncai yang berjaya merampas batu Inara milik Sang Saka Putih lantas membunuh paus itu. Kuasa yg dimiliki penjenayah itu amat hebat dan berbisa. Jandak Pertapa terpaksa berjuang hingga tidak berdaya lagi. Mujur beberapa penduduk berjaya menyelinap untuk menyelamatkan pemimpin mereka itu ke tempat yang selamat.