Bergegar bumi seraya beratus-ratus ekor gajah menghentakkan kaki mengiringi pertabalan raja baru kerajaan Modèra menggantikan Ayahanda yang telah mangkat. Kini Raja Chongkorn ii sah diangkat sebagai pemerintah ulung kerajaan Gajah Putih itu.
Pelbagai acara keramaian yang telah diatur sempena pertabalan diraja demi menunjukkan betapa gahnya kerajaan Modèra dimata jajahan mereka. Walaupun hakikatnya berlaku pergolakan dalam institusi diraja yang mengakibatkan terbunuhnya raja tua yang malang. Biarpun baginda sudah memerintah hampir 60 tahun, kekuatan baginda dalam menyatukan anak-anak ternyata gagal. Putera sulong baginda yang bernama Choprikorn kini hilang membawa diri. Segalanya berpunca dari perbalahan keluarga yang menghiris hati sang abang yang lantas mengangkat kaki menuju ke destinasi yang tidak diketahui.
Anak kedua baginda pula mempamerkan identiti berbeza berbanding abangnya yang sering beralah. Dia yang kini bergelar raja, lebih fokus dalam pengambilalihan kuasa walau dengan apa cara sekalipun. Langkah awal Chongkorn adalah meniupkan angin fitnah bahawa abangnya cuba untuk membunuh raja tua. Lantas si raja tua yang lurus hanya menurut akan khabar angin itu. Maka berlaku berbalahan sehingga sang abang berlalu pergi. Bukan pangkat yang diingininya, jauh sekali harta. namun dihiris pula perasaan dengan tuduhan palsu. Anak Chongkorn yang sakit juga dimomokkan dengan khabaran sang abanglah puncanya. Walaupun asbabnya direka sendiri oleh Chongkorn. Begitulah kejamnya raja baru Modèra hingga sanggup menyakiti anak sendiri demi kuasa.
Setelah sang abang pergi, maka mudahlah si adik membuat perancangan sehingga terkorbannya raja tua.
********************
Sudah sepuluh purnama Choprikorn merentas sempadan. Biarpun dia berseorangan sepanjang perjalanan, dia sering di layan mesra oleh penduduk kota serta kampung yang dilaluinya. Hampir semua rakyat menyanjungi beliau kerana sifat kasih dan adilnya. Maka mudahlah sang abang untuk menumpang semalam dua sepanjang perjalanannya.
Genap tiga ratus hari beliau berjalan, maka sampailah Choprikorn di sempadan akhir jajahan takluk Modèra. Sebelum beliau melepasi garisan sungai Kadas, sempat juga dia memaling melihat kerajaan ayahandanya buat kali terakhir. Langkahan kakinya selepas ini pastinya amat perit dan berbahaya. Dihadapannya kini terbentang luas kerajaan Melayu Melaka yang selama beratus tahun menjadi musuh kepada kerajaan ayahanda.
Perlahan-lahan dia melangkah menyusuri sungai Kadas. Jelas terasa sejuknya air yang mengalir dari gunung. Dengan debaran yang semakin memuncak beliau bergerak memasuki wilayah Chihtu yang dikuasai puak Batak. Baru beberapa ratus meter dia berjalan, ada mata-mata yang seakan sedang memerhati.