webnovel

Mengukir Batu (Bahagian 1)

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Sinaran mentari musim bunga yang hangat menyinari empat sahabat bilik asrama 1987, yang sedang bermalas-malasan di halaman belakang.

Yale, George dan Reynolds sedang berbual kosong. Sekarang, Yale dan George telah berusia 16 tahun, manakala Reynolds pula 14 tahun. Ketinggian mereka bertiga meningkat secara mendadak, malah Reynolds, yang paling rendah antara mereka kini telah mencapai ketinggian 1.6 meter. Yale yang paling tinggi antara mereka dengan ketinggian mengagumkan 1.9 meter.

"George, tak perlu berpura-pura depan kami berdua. Bro Keempat pun sudah hilang dara. Kenapa kamu dan Bro Ketiga masih hendak berpura-pura? Begini, hujung bulan ini, apa kata kamu dengan Bro Ketiga pergi ke "Syurga Air Jed" di Kota Fenlai. Saya akan tanggung semua perbelanjaan kamu. Saya akan pastikan keselesaan kamu berdua, dan saya jamin perempuan-perempuan itu semua masih dara. Setuju?" Memegang dua batu pemberat bersaiz kecil, Yale sedang melakukan senaman dada sambil ketawa selepas berkata begitu.

Berat kedua-dua batu pemberat itu mungkin sekitar 20 hingga 30 paun setiap satu. Linley memang tidak suka pemberat seringan itu.

George ikut sama ketawa. "Bos Yale, berhenti paksa kami. Apa kata kamu berdua pergi ke Syurga Air Jed sementara saya dan Bro Ketiga pergi minum. Bukankah idea itu lebih baik?"

Reynolds mengejek dari tepi, "George, kamu bukan lelaki sejati."

George hanya mampu ketawa tidak berdaya.

Tiba-tiba, bunyi derap kaki kedengaran dari luar halaman. Yale meletak batu pemberat ke bawah dan meluru keluar sebelum berkata, "Saya rasa itu Bro Ketiga. Cepat, masa untuk makan…" Sebelum dia habis bercakap, Yale tiba-tiba senyap.

Dia nampak Linley melangkah ke depan, memikul sebuah batu besar di atas bahunya, dengan ketinggian sekurang-kurangnya tiga kaki dan dengan berat seratus paun.

Akan tetapi, jelas sekali Linley memikul batu tongkol itu dengan mudah. Yale, George, dan Reynolds hanya mampu memandang dengan mulut ternganga. Linley dengan mudah meletak batu tongkol itu ke satu sudut di halaman. Bunyi dentaman dari batu yang dihempas ke tanah membuat hati mereka bergetar.

"Apa jadah? Bro Ketiga, saya tahu kamu kuat, tapi macam mana kamu boleh sekuat ini?" Yale merenung batu tongkol itu. "Batu tongkol itu bergeronggang?" Sambil bercakap, Yale maju ke depan sambil menghulurkan tangannya, dan cuba mengangkat batu tongkol tersebut.

*Hrrrrrrrrgh!*

Yale mengguna semua kekuatannya, dan seluruh wajahnya bertukar warna merah tua, namun batu tongkol itu seperti telah berakar ke bumi kerana ia langsung tidak mahu berganjak.

"Bos Yale, jangan bazirkan tenaga kamu. Tak mungkin kamu boleh mengalihnya." Linley tertawa.

Kekuatan fizikal Yale lebih rendah dari pahlawan tahap pertama. Mustahil dia boleh mengangkatnya.

Reynolds memandang batu tongkol itu dengan mata terbuntang. Menghela beberapa nafas kerana terkejut, dia tiba-tiba memalingkan kepalanya dan merenung Linley dengan tanda tanya. "Hei, Linley, kenapa kamu bawa batu tongkol sebesar ini balik ke asrama? Oh, saya tahu!" Mata Reynolds bercahaya. "Saya pernah tengok pahlawan perkasa menggunakan tangan mereka mengangkat batu tongkol sebagai latihan mengangkat berat. Adakah kamu membuat persediaan untuk latihan mengangkat berat, Linley?"

"Batu tongkol sebesar ini boleh melenyek saya menjadi pes daging." George merenung batu tongkol itu. Dia juga menghela beberapa nafas kerana terkejut sebelum memandang Linley dengan penuh tanda tanya. "Bro Ketiga, kenapa kamu bawa batu tongkol besar ini balik ke apartmen kita?"

Linley tersenyum memandang ketiga-tiga sahabatnya, dan hanya menjawab dengan dua perkataan, "Mengukir batu!"

Berdasarkan apa yang Doehring Cowart katakan, ukiran dia kini telah layak untuk dipamerkan di dewan biasa. Sungguhpun begitu, setiap satu ukiran mengambil masa yang lama untuk disiapkan, dan selalunya satu hari sahaja tidak mencukupi. Sebelum ini, dia boleh mengukir dengan tenang di gunung belakang tanpa perlu risau untuk melakukan kesilapan. Tetapi sekarang berbeza.

"Mengukir batu?"

Reynolds, George, dan Yale semua merenung tepat ke arah Linley, perasaan terkejut bermain dalam mata mereka.

"Kenapa, mengejutkan sangat ke?" Linley memandang ketiga-tiga sahabatnya.

Reynolds terus bersuara, "Bukan, ia tak mengejutkan. Tapi sangat mengejutkan! Kita berempat sudah tinggal bersama selama enam hingga tujuh tahun, tapi saya tak pernah nampak kamu mengukir batu sebelum ini. Kamu merancang untuk mula berlatih hari ini?"

Linley ketawa, "Siapa kata saya tak pernah berlatih sebelum ini? Saya telah berlatih mengukir batu di gunung belakang selama lebih lima tahun. Tapi kali ini, selepas saya siapkan satu ukiran, saya merancang untuk membawanya ke Galeri Proulx untuk dipamerkan di sana. Tengok jika ia boleh dijual untuk duit."

Mereka perlu mengumpulkan sejumlah duit untuk membolehkan adik lelakinya, Wharton, mempunyai dana yang mencukupi dan pergi bersama Pak Cik Hiri ke Empayar O'Brien bagi memohon kemasukan dan latihan. Oleh sebab itu, puak Baruch telah menghabiskan semua dananya.

Namun dengan segalanya yang berlaku, Hogg tetap gembira.

Jadi kenapa kalau keluarganya memufliskan diri mereka sendiri? Anak lelaki sulungnya, Linley, ialah pelajar Institut Ernst. Selepas menamatkan pengajian, dia pasti akan menjadi ahli sihir handalan. Wharton, anak bongsunya pula berkemungkinan untuk menjadi Pahlawan Berdarah Naga.

Hogg dapat membayangkan permulaan era kegemilangan puak Baruch!

"Galeri Proulx?" Apabila mendengar pernyataannya, Yale dan mereka yang lain memandang Linley dengan terkejut.

Linley ialah kebanggaan bilik asrama mereka, bilik asrama 1987. Walaupun baru sahaja berumur lima belas tahun, dia sudah pun memasuki gred lima di Institut Ernst. Dia dan Dixie juga telah disanjung sebagai "Dua Genius Terhebat Institut Ernst". Yale dan rakan lain mengakui Linley sebagai seorang genius, tetapi…

Mengukir batu ialah sejenis seni yang sangat terperinci.

Ramai yang bersusah payah berlatih berdekad-dekad lamanya, tapi masih dianggap sebagai pengukir biasa. Sebagai satu karya seni yang sangat kuno dan sudah lama bertapak di muka bumi ini, mana mungkin seni mengukir batu mudah untuk dikuasai? Bagaimana Linley berani mengimpikan karya seninya akan dipamerkan di galeri seni, lebih-lebih Galeri Proulx yang terkemuka?

"Bro Ketiga, jangan menaruh harapan begitu tinggi." George bergurau dengan gaya memujuk.

"Linley, saya risau… arca kamu, ada orang akan beli ke nanti?" Reynolds berkerut, wajahnya kelihatan tidak percaya.

Yale ketawa dengan kuat. "Kenapa kamu semua cakap begitu? Bro Ketiga, teruskan dan pamerkan arca kamu. Asalkan kamu ada barang pameran, saya akan belanjakan sepuluh ribu emas untuk beli dan bantu meluaskan kemasyhuran kamu."

"Saya berkata benar." Linley mengeluarkan pahat lurus dari dalam pakaiannya.

"Pahat lurus?" kata Reynolds, tergamam. "Linley, nampaknya kamu sudah buat sedikit persediaan. Tapi suatu ketika dahulu, saya juga telah bersedia untuk belajar mengukir batu, jadi saya tahu banyak alatan yang diperlukan termasuklah pahat lurus, pahat rama-rama, pahat segi tiga, pisau mangkuk jed, dan alatan tukang seperti gergaji. Mengapa kamu hanya sediakan satu alatan sahaja?"

George, Reynolds, dan Yale tahu serba sedikit berkenaan perkara asas tentang seni.

Linley tidak cakap banyak.

Dengan pahat lurus di tangannya, Linley secara spontan mula menenangkan fikirannya. Rohnya boleh merasa intipati tanah mengalir dalam batu tongkol di hadapannya, malah dia boleh mengesan setiap ira batu ini walaupun samar-samar. Sambil tersenyum, Linley mula memahat.

Pahat berkilat itu membiaskan cahaya mentari menyebabkan mata Reynolds dan mereka yang berada di situ mengecil. Namun begitu, mereka semua tetap terus memerhatikan batu tongkol tersebut.

*Whoooooosh!*

Di mana sahaja bayang-bayang pahat itu mendarat, serpihan besar batu akan ikut jatuh.

"Mana mungkin ini terjadi?" Yale melihat dengan penuh kagum. "Biasanya sebilah gergaji diperlukan untuk memotong serpihan sebesar itu. Dia boleh memotong serpihan itu hanya menggunakan pahat lurus. Kekuatan pergelangan tangannya begitu menakjubkan!" Di sebelahnya, Reynolds dan George terdiam kaku.

Kekuatan pergelangan tangan?

Linley memahat dengan sangat tenang dan setiap potongan dilakukan dengan begitu sempurna. Semua ini tidak boleh dicapai dengan hanya kekuatan pergelangan tangan.

Linley begitu tenang bagaikan air dalam terenang. Pahat lurus yang berada dalam tangan kirinya digunakan untuk mengukir di semua bahagian batu tongkol itu tanpa henti. Serpihan demi serpihan jatuh ke tanah bagaikan rintik hujan. Gaya mengukir Linley mengukir yang begitu bersahaja dan elegan itu sangat mengasyikkan apabila ditonton.

"Bro Ketiga, dia…"

Yale, George dan Reynolds saling bertukar pandangan. Pada ketika itu, jauh di sudut hati mereka, mereka merasakan mungkin Linley benar-benar mahir dalam pengukiran batu.

Tenang. Bersahaja. Damai.

Linley sangat suka perasaan yang dirasainya ketika mengukir batu. Pada peringkat sekarang, Linley tidak perlu memikirkan cara atau kekuatan yang diperlukan pada satu-satu bahagian. Pahat lurus dalam tangannya dengan semula jadi akan mengenakan daya yang secukupnya. Semua ini berlaku secara spontan.

'Sekolah Pahat Lurus'?

Tiada sekolah mengukir lain yang mengajar kaedah semudah ini. Semua pakar di sekolah lain perlu mempertimbangkan alatan yang harus digunakan untuk setiap bahagian bagi menghasilkan sebuah arca. Memikirkan semua itu sudah cukup memenatkan.

Kaedah mengukir batu Linley yang tenang tanpa banyak kawalan ini telah membantu intipati spiritualnya untuk terus berkembang ibarat cendawan selepas hujan. Perasaan perkembangan secara semulajadi ini membahagiakan Linley dan membuat dia berasa betul-betul selesa.

Tangan kanan Linley tiba-tiba berhenti.

Debu yang berterbangan dan serpihan batu kecil mengambil masa sedikit lama untuk dibersihkan. Biarpun begitu, satu garis bentuk makhluk merangkak sudah kelihatan pada batu tongkol itu.

"Kenapa kamu semua berdiri termangu-mangu di situ? Semua terkejut?" Linley ketawa sambil menoleh untuk memandang Yale dan lain-lain. "Saya baru saja buat garis bentuk ringkas. Masih ada banyak masa dan usaha yang perlu saya curahkan selepas ini. Jom, kita pergi makan tengah hari dulu."

Yale, George dan Reynolds saling berpandangan.

Hanya berdasarkan apa yang Linley baru tunjukkan, mereka bertiga sebulat suara bersetuju…

"Genius," kata Yale dengan kagum.

"Seorang genius dalam lautan pakar," tambah George.

Mencapai kecekapan seperti Linley hanya dalam tempoh lima hingga enam tahun dianggap sebagai kejadian yang hanya berlaku sekali dalam satu abad biarpun dalam kalangan batu sendiri.

ตอนถัดไป