webnovel

Sekumpulan Orang yang Berbakat

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Institut Ernst. Akademi ahli sihir yang terbaik di seluruh benua Yulan.

Institut Ernst terletak di kawasan desa kira-kira 20 kilometer selatan Ibu Kota Suci, Kota Fenlai. Institut Ernst diasaskan dan kewangannya disokong oleh Gereja Cahaya. Sudah tentu, kota ini sememangnya kaya dan bijak melaburkan wang. Luas kawasannya mencecah sepuluh kilometer keliling. Akademi yang besar ini hampir sama dengan luas sebuah kota.

Di luar Institut Ernst, tidak ada tanda kehadiran manusia yang ketara, yang kelihatan cuma banjaran gunung kosong sahaja.

Restoran, kedai pakaian, bar-bar dan lain-lain industri semuanya terletak di dalam kawasan kampus. Boleh dikatakan para pelajar Institut Ernst menghabiskan seluruh masa mereka di dalam kampus.

"Wah, gaya hidup yang mengagumkan." Linley berdiri di hadapan pagar Institut Ernst. Dia menghela nafas dengan penuh emosi.

Pagar utama Institut Ernst selebar lima puluh meter. Di atas pintu gerbang itu kelihatan sebuah binaan berbentuk bulan sabit yang sangat besar dikelilingi pelbagai aksara ajaib yang pasti akan ditelah sebagai sangat kompleks. Berdasarkan kerumitan aksara ajaib tersebut, sesiapa yang melihatkan tentu dapat menebak kekuatan dan kekuasaan formasi ajaib yang melindungi Institut Ernst.

Sekarang, suasana di pintu utama Institut Ernst amat meriah. Terdapat barisan kakitangan akademik, dan kelihatan seorang pemuda bersama surat kemasukan serta bukti pengenalan dirinya. Proses pengambilannya telah pun dimulakan. Linley segera mengambil dokumennya dan menuju ke bahagian pemprosesan.

'Kelas bermula secara rasmi pada 9 Februari. Hari ini 8 Februari. Berdasarkan kertas pemberitahuan, pelajar perlu tiba sebelum 9 Februari. Memandangkan pemuda di hadapan saya ini tiba pada hari ini, aku pasti dia juga tinggal berdekatan dengan Institut.' Linley berkata kepada dirinya.

Pemuda di hadapan Linley sebenarnya boleh digambarkan sebagai seorang kanak-kanak. Dia lebih rendah berbanding Linley dan kelihatan seorang lelaki tua di sisinya.

"Hai, saya dari Empayar O'Brien dan nama saya Reynolds (Lei'nuo)." Pelajar yang sedang diproses kemasukannya dan kini berada di hadapan Linley tiba-tiba berpaling dan menyapa Linley dengan ramah.

Apabila mendengar dia dari Empayar O'Brien, Linley tergamam. "Empayar O'Brien?"

Empayar O'Brien, salah sebuah daripada empat empayar terbesar yang terletak di timur Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, sementara Institut Ernst terletak di sebelah baratnya. Untuk pergi ke Institut Ernst, seseorang perlu mengelilingi Banjaran Gunung Makhluk Ajaib melalui laluan utara atau selatan. Melainkan pahlawan tahap kesembilan ataupun tahap Dewa, tiada seorang pun yang berani merentasi banjaran gunung tersebut.

Banjaran Gunung Makhluk Ajaib lebih dari 10 ribu kilometer panjang.

Bagi seseorang yang datang dari Empayar O'Brien, keseluruhan perjalanan ialah sejauh kira-kira 20 ribu kilometer. Jika mereka melalui timur empayar, perjalanan mereka tentu lebih jauh.

Perjalanan sejauh 20 ribu kilometer memerlukan lebih kurang setahun untuk diselesaikan.

"Nama saya Linley. Saya dari kerajaan Fenlai." Linley dengan sopannya berkata kepada budak lelaki yang bernama Reynolds itu.

Mata Reynolds berkedip dan dia mengeluh kecewa. "Kerajaan Fenlai? Pasti perjalanan kamu selesa. Saya menghabiskan masa setahun untuk tiba di kerajaan Fenlai dari rumah. Kamu tidak mengambil masa yang lama."

"Benar. Perjalanan saya untuk ke sini dari rumah hanya memakan masa separuh hari sahaja." Linley menjawab jujur.

"Wahhh..." Riak wajah Reynolds lucu sekali.

Salah seorang daripada mereka mengambil masa setahun perjalanan. Seorang lagi hanya memerlukan separuh hari sahaja.

"Pelajar sekalian, lekas." Salah seorang pentadbir ujian memberi arahan.

Salah satu proses pengambilan pelajar baru ialah dengan mengambil semula ujian ahli sihir. Institut Ernst bimbang jika seseorang mencuri surat kemasukan dan memalsukan pendaftaran.

"Saya datang." Reynolds berlalu untuk mengambil ujian tersebut.

Apabila melihat keputusan Reynolds, Linley terpempan.

Budak lelaki bernama Reynolds itu mempunyai daya tarikan intipati unsur yang sangat tinggi... manakala intipati spritualnya…

"Reynolds, lapan tahun. Intipati spiritual, 32 kali ganda lebih kuat berbanding rakan sebaya. Tahap luar biasa."

Mendengarkan nombor tersebut, mata Linley tersembul. Tetapi pentadbir ujian nampak sangat tenang, sedikit pun tidak terkejut.

"Linley, kenapa dengan kamu? Kagum dengan nombor tersebut?" kata Reynolds dengan nada acuh tak acuh. "Inilah dia Institut Ernst. Setiap tahun, mereka hanya menerima 100 orang pelajar dari seluruh benua Yulan. Siapa antara mereka yang tidak berbakat? Keputusan saya dikira sederhana jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain."

"Tetapi Institut Ernst memilih kasih kepada Kesatuan Suci. Mereka menerima 50 orang pelajar daripada Kesatuan Suci sahaja dan 50 orang selebihnya daripada keempat-empat empayar besar lain. Tak adil sungguh." Reynolds mengeluh.

Linley ketawa mendengar rungutan Reynolds.

Institut Ernst diasaskan oleh Gereja Cahaya. Sudah tentu ia memberi keutamaan kepada Kesatuan Suci.

"Giliran saya." Linley berlari ke arah pentadbir ujian.

Reynolds mengerutkan hidungnya. "Budak bernama Linley ini datang dari Kesatuan Suci. Pasti mudah bagi dia untuk diterima berbanding saya. Saya pasti dia tidak berbakat seperti saya." Reynolds berkata dengan yakin sekali.

Tetapi apabila pentadbir ujian membaca laporan keputusan Linley, Reynolds berasa terkejut.

"Intipati spiritual tinggi, daya tarikan intipati unsur luar biasa? Dan memiliki daya tarikan dua unsur iaitu unsur tanah dan angin?" Reynolds terdiam tidak terkata.

Daya tarikan intipati unsur tahap luar biasa sudahlah jarang ditemui, tetapi Linley bukan sahaja mempunyai dua unsur, malah mempunyai daya tarikan luar biasa bagi kedua-dua intipati unsur tanah dan angin. Inilah bakat sebenar, lebih hebat daripada dirinya. Tambahan pula, ahli sihir dua unsur sangat berkuasa.

"Reynolds, janganlah berdiri termangu-mangu di sana. Jom pergi." Linley ketawa.

"Oh." Reynolds muda setahun daripada Linley tetapi jika dinilai dari fizikalnya, dia solah-olah tiga tahun lebih muda.

Linley dan Reynolds menerima kad pelajar Institut Ernst dan kunci bilik mereka. Di Institut Ernst, semua pelajar, tidak kira kekayaan dan latar belakang ekonomi, perlu tinggal bersama. Yuran pengajian dan kediaman ialah percuma.

Walau bagaimanapun…

"Hei, kamu perlu bayar yuran pengajian?" Apabila Linley melihat lelaki tua yang menemani Reynolds mengeluarkan wang untuk membayar yuran pengajian, dia berasa sangat terkejut.

Hillman yang berada di sebelah Linley ketawa. "Linley, pengecualian yuran pengajian dan yuran kediaman hanyalah untuk rakyat Kesatuan Suci sahaja. Mereka yang lain perlu membayar kadar yuran yang tinggi.

Reynolds mengangguk sama.

Lelaki tua di sebelahnya tersenyum ke arah Linley. "Benar. Peraturan ini bukan cuma untuk Institut Ernst iaitu akademi ahli sihir nombor satu di benua Yulan. Peraturan ini sama seperti Akademi O'Brien. Pengecualian sepenuhnya hanya diberikan kepada pelajar dari Empayar O'Brien tetapi ia mengenakan yuran astronomi kepada pelajar yang datang dari tempat lain."

Linley tidak dungu. Dia segera memahaminya.

"Linley, tuan muda saya mempunyai kunci kediaman sama seperti kamu. Kamu berdua tentu tinggal di kediaman yang sama. Saya harap pada masa akan datang, kamu berdua akan saling membantu," kata lelaki tua itu.

Reynolds berkata dengan nada tidak gembira. "Baiklah, Atuk Lomu (Lu'mu). Atuk boleh pulang sekarang. Saya sudah pun tiba di Institut Ernst."

"Pak Cik Hillman pun baliklah sama. Saya boleh menjaga diri." Linley senyum ketika bercakap dengan Hillman dan Hillman mengangguk kembali berpuas hati. "Linley, kalau begitu, Pak Cik pulang dulu. Kamu berusaha bersungguh-sungguh." Hillman memberi galakan.

Linley senyum dan mengangguk.

"Linley, jom pergi." Reynolds menarik tangan Linley dan mula berlari masuk ke institut.

"Selamat tinggal, Pak Cik Hillman."

Hillman dan orang tua itu memerhatikan kedua kanak-kanak itu masuk ke dalam institut. Lama selepas itu, barulah mereka pulang.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Cik Hillman, Linley dan Reynolds beriringan masuk ke Institut Ernst. Institut Ernst dipenuhi dengan kawasan pokok yang teduh, tasik, jambatan batu, bangunan purba… Aura purba menyelubungi seluruh kawasan. Daripada saiz pokok saka yang bersamaan dengan tujuh pemeluk orang dewasa, kita dapat membayangkan usia tempat itu.

"Tempat ini benar-benar menakjubkan. Ia tak menjolok mata seperti institut-institut yang baru. Inilah yang dikatakan sebagai 'kecanggihan'." Mata Reynolds memerhatikan keadaan sekeliling sambil dia bercakap.

Di kawasan Institut Ernst, buat kali ini sahaja, terdapat banyak tanda arah yang memberitahu pelajar lokasi setiap tempat. Sudah tentu ia untuk membantu para pelajar baru.

"Linley, mari kita cari bilik kita." Reynolds menarik tangan Linley, bergegas ke arah asrama mereka.

Bilik nombor 1987.

Linley dan Reynolds sudah pun selesai menguruskan proses kemasukan mereka, satu demi satu. Setiap bilik menempatkan empat orang pelajar. Apabila Linley dan Reynolds tiba di pekarangan asrama, mereka menghela nafas terpegun. Sekilas pandang, kelihatannya seperti ada beribu-ribu asrama tunggal.

Dalam beribu-ribu asrama, terdapat beberapa asrama rekaan pangsapuri dua tingkat.

"1987, 1987…" Linley dan Reynolds memeriksa setiap nombor asrama berlari tidak henti ke arah selatan.

Setiap kawasan asrama dibina secara tersusun, bermula dari 0001, dengan setiap baris menempatkan 100 asrama tunggal. Ketika Linley tiba di baris 20, dia nampak asrama 1901. Dan ketika mereka terus berjalan ke arah timur, Reynolds mula tercungap-cungap, hingga akhirnya mereka tiba di asrama bernombor 1987.

ตอนถัดไป