webnovel

Perkembangan (Bahagian 1)

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Angin musim bunga bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun pokok poplar berhampiran kawasan lapang di luar pekan Wushan kelihatan menghijau. Di kawasan lapang itu kelihatan sekumpulan anak muda sedang gigih menjalani latihan. Hampir setahun telah berlalu sejak Ujian Darah Naga dijalankan ke atas Linley. Kini, dia sudah berusia lapan tahun. Sepanjang tempoh itu, jelas pada Hillman, Linley semakin giat berlatih!

"Bagus, Linley! Tahan lagi, cuba tahan lagi!" Hillman memberinya semangat.

Linley hanya memakai seluar. Bahagian atas badannya lencun dibasahi peluh. Tubuhnya tegang bagaikan tali busur yang diregangkan terbaring di tanah. Tangannya tegak ibarat batang pokok menahan tubuh dari lantai manakala seluruh anggota badannya yang lain tidak bergerak. Dia menyokong badannya dengan menahan menggunakan tangannya dan juga hujung jari kakinya seperti sedang melakukan tekan tubi! Keseluruhan badannya mengeras!

Latihan ini dinamakan 'Tegangan Statik'

Latihan yang ringkas tetapi sangat berkesan. Seseorang yang dapat bertahan dalam posisi sebegini selama sejam maka badannya mampu menahan pedang ataupun sabit.

Titis, titis!

Butir-butir peluh mengalir daripada dahi Linley. Peluh mengalir masuk ke mata kirinya dan dia mengerenyet kepedihan.

"Ley budak yang hebat. Walaupun baru berusia lapan tahun, keupayannnya melakukan latihan 'Tegangan Statik' setanding remaja 13 tahun." Beberapa orang kanak-kanak yang sudah berputus asa baring terbongkang di atas tanah sedang berbual sambil memerhatikan Linley.

"Teruskan, Ley! Bertahan untuk kami semua! Kalahkan remaja 13 tahun itu!" Kanak-kanak berambut keemasan bernama Hadley menjerit dari tepi.

"Ya! Teruskan, Ley!" Kanak-kanak lain turut memberi semangat kepadanya.

Hubungan Linley dengan kanak-kanak yang lain sangat baik. Walaupun Linley datang dari keluarga bangsawan, dia melayan anak-anak rakyat biasa dengan baik. Dia juga sering membantu mereka ketika sesi latihan.

'Aku harus bertahan. Bertahan.' Linley berulang kali mengingatkan dirinya.

Kata-kata bapanya pada tahun yang lalu belayar di mindanya. "Linley, kita keluarga Pahlawan Berdarah Naga. Sebagai ahli keluarga Pahlawan Berdarah Naga, kamu memiliki kelebihan dan juga kekurangan! Kelebihannya, walaupun ketumpatan darah naga dalam tubuh kamu tak mencapai tahap yang diperlukan, badan kamu tetap lebih kuat berbanding orang biasa. Mungkin sangat sukar bagi orang biasa untuk menjadi pahlawan tahap keenam jika mereka hanya bergantung pada latihan. Namun ia lebih mudah untuk diri kamu."

"Namun begitu, ada juga kekurangannya. Keturunan Pahlawan Berdarah Naga tak berupaya menjalani latihan Qi-tempur mengikut kaedah biasa. Ini kerana darah yang mengalir dalam tubuh badan kita hanya serasi dengan kaedah 'Manual Rahsia Darah Naga'. Kaedah itu bertentangan dengan cara membina Qi-tempur yang lain. Malangnya, hanya mereka yang memiliki tahap darah naga tertentu sahaja mampu berlatih menggunakan kaedah yang terkandung dalam 'Manual Rahsia Darah Naga'. Oleh itu, kamu tak akan boleh membina Qi-tempur."

"Walaupun begitu, secara teorinya, sesiapa yang melatih tubuh mereka boleh mencapai tahap keenam. Tapi, itu cuma teori. Sebenarnya, tak ramai yang berjaya melakukannya. Tetapi keadaan berbeza buat kita. Walaupun ketumpatan darah naga dalam darah kita sedikit, tahap permulaan kita lebih tinggi berbanding orang biasa. Hanya dengan latihan, kita berupaya menjadi pahlawan tahap keenam. Moyang kamu berjaya menjadi pahlawan tahap ketujuh hanya dengan berlatih!"

Linley ingat setiap kata-kata bapanya dengan jelas.

Linley berkata dengan suara geram kepada dirinya, 'Aku lebih kuat daripada orang lain hanya kerana aku berdarah pahlawan naga. Memandangkan aku tak boleh membina Qi-tempur, pilihan yang aku ada sekarang ini hanyalah bekerja dengan lebih keras! Moyang pun dapat menjadi pahlawan tahap ketujuh, jadi aku boleh… Boleh menjadi pahlawan tahap kelapan. Mungkin juga tahap kesembilan! Tiada apa yang mustahil!'

Pahlawan tahap kelapan!

Pahlawan tahap kesembilan pasti dianggap seorang pakar paling hebat di seluruh kerajaan Fenlai. Walaupun pahlawan tahap kelapan tidak dapat mengembalikan kegemilangan keluarga Baruch, namun pastinya dia dapat memulihkan keadaan puak Baruch secara dramatik.

"Aku kena bertahan!" Linley mengetap giginya.

Ketika itu, Linley merasakan ototnya seakan digigit semut. Seluruh badannya terketar-ketar dan setiap ototnya menggeletar.

Setelah lama bertahan, akhirnya…

* Gedebuk! *

Linley keletihan lalu rebah ke tanah.

"Leganya." Terbaring di lantai, badannya kembali tenang. Linley dapat merasakan seluruh tubuhnya kebas. Selepas menjalani latihan, otot-otot di badannya semakin kuat. Walaupun pertumbuhan tersebut tidak kelihatan selepas sekali dua latihan, namun dalam jangka masa yang panjang, kesannya akan semakin ketara.

Hillman yang berdiri di bahagian tepi mengangguk puas hati.

Wajahnya berubah dingin sebaik sahaja mengalih pandang ke arah kumpulan remaja 14 dan 15 tahun. "Kamu semua harus bertahan! Linley baru berusia lapan tahun sementara kamu hampir dewasa. Jangan biarkan kanak-kanak berusia lapan tahun mengalahkan kamu!"

Setelah sesi latihan pagi berakhir, Linley lantas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya dan berjalan pulang ke manor Baruch. Jika orang asing melihatnya, pasti mereka menyangka dia berumur 11 atau 12 tahun, bukannya budak berusia lapan tahun.

Keturunan Baruch benar-benar berbeza dengan orang lain.

"Abang!" Sebaik saja melihat kelibat Linley, Wharton yang mungil bergegas menuju ke arah abangnya.

"Nanti dulu, Wharton. Badan Abang berpeluh. Abang bersihkan diri dahulu, ya?" kata Linley sambil mengusap muka Wharton.

Wharton mengeluh. "Saya tahu lepas bersihkan diri, Abang akan mulakan pelajaran dengan Ayah."

Sebagai anak golongan bangsawan, pembelajaran Linley bermula sejak kecil. Puak Baruch yang berusia lima ribu tahun amat mementingkan pendidikan. Mereka mungkin lebih tegas berbanding keluarga diraja negara lain.

"Jangan begitu, Wharton. Abang akan main dengan kamu tengah hari nanti." Linley tertawa.

Wharton hanyalah budak kecil manakala Linley sudah matang.

Selepas membersihkan diri dan menukar pakaian bersih, Linley segera ke bilik membaca. Bapanya, Hogg Baruch sudah duduk di hadapan sebuah meja dengan postur badan yang tegak. Di hadapan Hogg terdapat tiga buah buku besar.

"Ayah!" sapa Linley sambil menunduk hormat.

Hogg mengangguk dingin. Linley segera berjalan ke sebelah bapanya.

"Semalam, Ayah ada terangkan sejarah beberapa negara di benua Yulan. Ayah mahu kamu ceritakan semula kepada Ayah."

Inilah Hogg yang sebenar.

Peristiwa di mana dia mendakap Linley yang sedang menangis jarang sekali berlaku. Satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan sikap Hogg terhadap Linley, iaitu tegas. Hogg seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam semua perkara. Dia sekali-kali tidak membenarkan Linley melakukan kesalahan tanpa hukuman.

"Baik, Ayah," kata Linley tenang.

"Di benua Yulan, terdapat tiga kawasan yang berbahaya. Kawasan pergunungan pertama adalah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Kawasan Pergunungan pula dikenali sebagai Banjaran Gunung Matahari Terbenam. Seterusnya, kawasan hutan belantara iaitu Hutan Kegelapan. Ketiga-tiga kawasan berbahaya ini sangatlah luas. Banjaran Gunung Makhluk Ajaib merentasi seluruh kawasan benua, dari utara hingga ke selatan, meliputi hampir 10,000 kilometer. Di dalamnya terdapat banyak makhluk ajaib termasuklah makhluk tahap Dewa yang memiliki kuasa untuk 'meruntuhkan langit dan menghancurkan bumi'. Disebabkan kawasan pergunungan ini, benua Yulan dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Di barat Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, terdapat 12 buah kerajaan dan 32 duci. Kerajaan dan duci tersebut tertakluk kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama, Kesatuan Suci di mana kerajaan Fenlai merupakan kerajaan utama. Bahagian kedua pula Kesatuan Gelap di mana kerajaan Heishi merupakan kerajaan utama. Kedua-dua kesatuan ini bertentangan antara satu sama lain dan sentiasa berperang kerana salah satunya dikawal oleh Gereja Cahaya manakala satu lagi dikawal oleh Kultus Bebayang."

"Di bahagian timur Banjaran Gunung Makhluk Ajaib pula terdapat empat empayar, enam kerajaan besar dan duci yang tak terkira banyaknya! Empat empayar ini sangat besar dan tidak berada di bawah pengaruh Kesatuan Suci mahupun Kesatuan Gelap. Di kesemua empayar tersebut, undang-undang maharaja ialah mutlak. Mana-mana empayar sama hebatnya dengan Kesatuan Suci."

"Empat empayar ini merupakan Empayar Yulan di tengah, Empayar Rhine di tenggara, Empayar Rohault di timur dan juga Empayar O'Brien yang terletak di bahagian utara." Setelah menjelaskan semuanya tanpa henti, Linley membenarkan dirinya bertenang.

"Itu saja?" Dahi Hogg berkerut.

Linley mahu menyambung semula namun kata-katanya dipotong oleh Hogg. "Biar Ayah soal kamu. Dalam Kesatuan Suci kita, ada berapa kerajaan dan duci?"

"Dalam Kesatuan Suci terdapat enam buah kerajaan dan lima be… tujuh be…" Berkerut dahi Linley cuba mengingat kembali.

Berapakah duci yang terdapat dalam Kesatuan Suci? Ingatan Linley samar-samar. Dia tidak pasti sama ada lima belas ataupun tujuh belas. Dia tidak dapat memastikannya.

"Aduhai!"

Dengan wajah yang dingin dan tegas, Hogg mengeluarkan rotan kayu. Linley dengan patuh menghulurkan tangannya.

Matanya dikecilkan. Kedengaran bunyi libasan ketika Hogg merotan tangan Linley dengan kayu itu. Muncul garisan merah di tapak tangannya. Linley hanya mengetap giginya dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi.

"Linley, kamu harus ingat, kita tinggal di dalam Kesatuan Suci. Kamu mesti tahu segalanya tentang Kesatuan Suci!" Hoog memandang dingin anaknya itu. "Di keseluruhan benua Yulan, entiti yang paling penting ialah empat empayar dan dua perikatan."

Linley menangguk.

Walaupun kata-kata ayahnya ringkas, Linley memahami maksud tersiratnya.

"Di hujung bahagian utara, Kesatuan Suci berkongsi sempadan dengan Empayar O'Brien. Manakala di bahagian selatan pula, Kesatuan Gelap bersilang dengan Empayar Yulan. Di bawah pimpinan Gereja Cahaya, Kesatuan Suci tidak gentar dengan mana-mana empayar."

Linley bersetuju dengan penjelasan ayahnya.

Semalam, banyak buku yang dibacanya. Dia jelas Kesatuan Suci merupakan 'pusat budaya' bagi keseluruhan benua Yulan. Pada masa yang sama, dari aspek kekuatan ekonomi, ia setanding dengan Empayar Yulan menjadikan keduanya entiti tersebut paling berkuasa di dunia.

Tambahan pula, ia mendapat sokongan dari pihak Gereja Cahaya.

Kesatuan Suci benar-benar menggerunkan.

"Hari ini kita akan belajar tentang seni," Hogg berkata dingin. "Sebagai seseorang berketurunan bangsawan, kamu mestilah memahami dan menghargai seni. Seni memberikan aura kemartabatan kepada golongan bangsawan!" Hogg menarik keluar sebuah buku sebesar penumbuk lalu membukanya.

"Pada tahun 3578 kalendar Yulan, Pengukir batu Agung Proulx dilahirkan…"

Hogg terus menerus mengajar Linley. Linley pula berusaha keras menghafal fakta-fakta tersebut. Dia tidak mahu menghampakan bapanya.

ตอนถัดไป