webnovel

Awal Pagi di Sebuah Pekan

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Pekan Wushan merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di Kerajaan Fenlai, di barat Gunung Gergasi Ajaib, iaitu gunung terbesar Benua Yulan.

Walaupun matahari telah terbit di Pekan Wushan, kedinginan udaranya yang nyaman masih lagi terasa. Biarpun begitu, hampir semua warga pekan kecil ini telah keluar untuk bekerja. Malah, kanak-kanak enam atau tujuh tahun juga sudah bangkit untuk melakukan senaman pagi rutin harian mereka.

Di sebuah kawasan lapang timur pekan Wushan, kehangatan sinaran matahari pagi melewati pokok-pokok sekelilingnya dan membiaskan cahaya ke kawasan itu.

Ada sekumpulan besar kanak-kanak di situ, kira-kira seratus hingga dua ratus orang ramainya. Kanak-kanak itu dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan dibahagikan kepada beberapa barisan. Pandangan mereka kosong dan mereka berdiri dengan senyap. Di bahagian utara, kumpulan kanak-kanak lingkungan enam tahun berbaris. Kumpulan tengah dibarisi kanak-kanak dalam lingkungan sembilan hingga dua belas tahun. Manakala barisan di bahagian selatan terdiri daripada remaja berumur tiga belas hingga enam belas tahun.

Di hadapan kanak-kanak tersebut, berdiri tiga orang lelaki pertengahan umur yang bertubuh tegap. Ketiga-tiganya memakai baju lengan pendek serta berseluar dipotong ala kadar.

"Jika kamu mahu menjadi pahlawan yang kuat, kamu mesti bekerja keras sejak dari kecil," ketua lelaki pertengahan usia itu berkata dingin dengan kepala didongakkan dan tangan disilangkan di belakang. Pandangan dingin dan tajam dihalakan ke arah kanak-kanak di bahagian utara. Bibir kesemua kanak-kanak enam ke tujuh tahun itu terkatup rapat. Mata bulat mereka merenung lelaki itu, namun tiada sesiapa pun berani bersuara.

Ketua mereka bernama Hillman. Dia merupakan kapten pengawal puak Baruch, puak bangsawan yang memiliki pekan Wushan.

"Kamu hanya rakyat biasa. Kamu tiada akses kepada mana-mana manual rahsia yang mengajar kamu cara memperoleh Qi-tempur. Jika kamu mahu dihormati, satu-satunya jalan yang ada ialah cara lama – melatih tubuh kamu serta meningkatkan kekuatan diri. Faham?!"

Hillman melemparkan pandangannya ke semua kumpulan.

"Faham." Serentak mereka menjawab.

"Bagus." Hillman mengangguk puas hati. Mata kanak-kanak enam tahun tampak keliru manakala mata setiap remaja di situ menjadi sangat tekad. Mereka faham maksud tersirat Hillman.

Hampir setiap lelaki dari Benua Yulan bekerja keras dari usia yang sangat muda. Bila dewasa, mereka yang malas bersenam akan dipandang rendah! Wang dan kuasa – perkara yang menentukan status seorang lelaki! Seorang lelaki tanpa kuasa akan dipandang rendah malah oleh kaum wanita.

Jika mahu membanggakan ibu bapa, dipuja kaum wanita dan hidup bahagia, maka mereka harus menjadi pahlawan yang hebat!

Mereka hanya rakyat biasa. Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai akses kepada mana-mana buku berharga yang mengajar seni membina Qi-tempur. Satu-satunya cara untuk berjaya ialah berlatih dari usia yang muda bagi meningkatkan kekuatan! Melalui keperitan dan kerja keras! Mereka perlu berusaha lebih keras daripada golongan bangsawan itu. Semua tenaga dan keringat perlu dicurahkan untuk menguatkan diri mereka!

"Apabila matahari terbit di waktu pagi, semua hidupan kembali segar dan bertenaga. Ini masa terbaik untuk menyerap tenaga semula jadi dari persekitaran dan memperbaiki keadaan badan kamu. Seperti biasa, jarakkan kedua belah kaki sejajar dengan bahu kamu. Bengkokkan sedikit lutut kamu dan tekan pinggang dengan kedua belah tangan. Mulakan 'Postur Membina Qi'. Apabila kamu memulakan postur tersebut, jangan lupa 'fokuskan tumpuan, tenangkan minda dan bernafas seperti biasa'". Hillman mengarah dengan tegas.

'Postur Membina Qi' adalah cara bersenam paling mudah namun paling berkesan. Ini berdasarkan pengalaman generasi-generasi terdahulu.

Kumpulan kanak-kanak yang terdiri daripada dua ratus orang itu segera memulakan 'Postur Membina Qi'.

"Ingat, fokuskan tumpuan, tenangkan minda dan bernafas seperti biasa!" tegas Hillman sambil berjalan di antara kanak-kanak itu.

Dengan sekali pandang, dia tahu semua ahli kumpulan remaja di selatan melakukan postur dengan tenang dan bernafas seperti biasa. Oleh sebab itu, mereka semua berjaya mengekalkan postur yang stabil dan teguh. Jelas sekali, tahap kemahiran 'Postur Membina Qi' mereka semakin baik.

Namun, sebaik sahaja pandangannya dialihkan kepada kumpulan di utara, dia melihat pinggang dan lutut mereka dibengkokkan dengan canggung dengan kaki yang lemah dan longlai. Hillman yakin postur mereka tidak stabil dan tidak bertenaga.

Hillman berkata kepada dua lelaki pertengahan umur lain, "Kamu berdua uruskan kumpulan selatan dan kumpulan tengah, saya akan jaga kanak-kanak paling muda."

"Baik, Kapten." Kedua-dua lelaki pertengahan umur itu patuh akan arahan kapten mereka dan segera memerhatikan kedua-dua kumpulan tersebut. Sekali-sekala, mereka akan menendang kaki remaja-remaja itu bagi memeriksa untuk melihat siapa yang berdiri dengan stabil dan yang tidak.

Hillman berjalan ke arah kumpulan kanak-kanak utara. Mereka terus gementar.

"Alamak, Ketua Raksasa dah datang!" bisik Hadley, budak kecil berambut perang dan bermata besar.

Hillman berjalan di antara kanak-kanak itu. Dia merenung mereka dengan wajah dingin tetapi dalam hatinya, dia mengeluh. "Kanak-kanak ini terlalu muda. Mereka masih belum arif dan kekuatan mereka masih belum terbentuk. Saya tak boleh terlalu mendesak mereka. Namun, mula bersenam dari kecil adalah baik untuk mereka. Jika mereka berusaha keras sejak kecil, peluang mereka untuk hidup akan lebih tinggi semasa di medan perang nanti."

Dan dalam mendidik kanak-kanak, cara paling berkesan ialah dengan menanam minat ke dalam diri mereka! Jika dia terlalu memaksa mereka, ia akan memberi kesan negatif!

"Berdiri teguh semua!" tegur Hillman dengan tegas.

Dengan pantas mereka berdiri tegak, membusungkan dada dan memandang lurus ke hadapan.

Senyuman kecil terukir di bibir Hillman. Dia kemudian berjalan ke depan dan membuka bajunya. Garis-garis yang merentasi otot-otot di tubuhnya membuat mata kanak-kanak itu terbeliak. Malah kanak-kanak kumpulan tengah dan kumpulan selatan juga tidak melepaskan peluang mengagumi badannya.

Selain daripada otot yang sempurna, bahagian atas badan Hillman terdapat banyak parut daripada pisau, pedang, dan banyak kesan luka lama yang lain. Mereka memandang parut-parut tersebut dengan mata yang bersinar-sinar.

Parut pisau. Parut pedang. Itu adalah pingat bagi seorang lelaki!

Mereka sangat mengagumi Hillman. Hillman seorang pahlawan pangkat keenam yang perkasa, seorang pahlawan yang luar biasa! Biarpun di bandar-bandar besar, dia tetap akan menjadi individu yang hebat. Di pekan kecil Wushan, dia seorang lelaki yang dihormati oleh setiap orang.

Melihat sinar mata kumpulan kanak-kanak itu, Hillman tidak dapat menyembunyikan senyumannya. Dia memang ingin mereka memujanya lalu menjadikan dirinya sebagai contoh supaya mereka lebih bermotivasi dan bersemangat waja!

"Mari hangatkan lagi keadaan!" Hillman mengulum senyum. Dia kemudian berjalan di depan sebuah batu besar seberat tiga hingga empat ratus paun.

Hillman menggenggam batu tersebut dengan sebelah tangan. Dia mengangkatnya dengan tenang. Batu besar seberat tiga ratus paun itu seakan-akan ringan seperti kayu dalam tangannya. Mulut mereka ternganga, mata mereka terbuntang melihatnya.

"Terlalu ringan! Lorry, jika awak ada masa lapang selepas latihan, dapatkan beberapa batu besar untuk saya." Dengan bersahaja, Hillman melempar batu itu sejauh beberapa meter. Boom! Batu itu terhempas di sebelah pokok besar lalu menggegarkan tanah. Hillman berjalan perlahan di depan beberapa jenis batu.

"Hah!"

Hillman menarik nafas dalam. Semua urat pada badan berototnya tersembul keluar apabila dia menumbuk batu kebiruan berhampiran. Penumbuknya melibas angin dan menghasilkan bunyi deruan. Semakin besar mata mereka terbuntang. Tumbukan padu Hillman memecahkan batu besar itu.

Dush! Bunyi buku lima menghentam batu mendebarkan jantung mereka.

Batu biru itu sangat keras!

Batu biru itu bergegar. Tiba-tiba, enam ke tujuh retakan muncul pada batu itu seterusnya terbelah kepada empat hingga lima serpihan dengan bunyi 'peng'. Tangan Hillman tidak cedera walaupun sedikit.

"Kapten menggerunkan seperti biasa." Lorry, salah seorang daripada dua orang lelaki pertengahan umur itu ketawa sewaktu Hillman menuju ke arah mereka semula.

Lelaki seorang lagi, Roger, juga berjalan menyertai mereka. Biasanya, semasa kumpulan kanak-kanak berlatih 'Postur Membina Qi', mereka bertiga akan berehat dan berbual sambil memastikan tiada sesiapa yang bermalas-malasan.

Hillman ketawa sambil menggelengkan kepalanya. "Tidaklah. Semasa berkhidmat dalam tentera, saya berlatih bertungkus lumus setiap hari. Sewaktu perang pula, saya terlibat dalam pertarungan fizikal yang sengit. Sekarang saya cuma merehatkan dan meregangkan otot sedikit setiap pagi. Tenaga saya sudah tak seperti dulu."

Kumpulan kanak-kanak itu melihat Hillman dengan penuh rasa kagum.

Batu biru yang besar itu pecah dengan satu tumbukan. Batu seberat tiga ratus hingga empat ratus paun itu pula dilempar dengan mudah. Kuasa apakah yang dimiliki beliau?

Hillman berpaling memandang kumpulan kanak-kanak itu. Beliau berpuas hati dengan reaksi mereka.

"Ingat, walaupun kamu tak berjaya memperoleh Qi-tempur, secara dasarnya, jika kamu mampu mencapai sepenuh potensi tubuh badan kamu, kamu masih berpeluang menjadi pahlawan tahap keenam! Apabila berkhidmat dalam tentera, pahlawan tahap keenam dengan mudah dilantik menjadi pegawai pangkat pertengahan dan boleh mendapatkan buku panduan tentera yang mengajar cara membina Qi-tempur! Sekalipun kamu tak berjaya menjadi pahlawan tahap keenam dan hanya menjadi pahlawan biasa tahap pertama, kamu masih layak untuk memasuki tentera. Ingat! Jika seseorang tak berjaya menjadi pahlawan walaupun kelas pertama, dia bukan lelaki sejati!

"Jika kamu lelaki sejati, kamu seharusnya yakin diri, hadapi sebarang cabaran dan berani dalam apa jua keadaan!"

Mendengar kata-kata itu, senyuman terbit pada bibir semua kanak-kanak enam dan tujuh tahun itu. Mereka memaksa diri agar tidak menunjukkan sebarang perasaan. Kata-kata itu adalah mantera Hillman yang sering diulangnya. Acap kali dia mengingatkannya kepada semua kanak-kanak tersebut.

"Berdiri tegak, semua. Cuba lihat cara para senior kamu dan bandingkan dengan cara kamu berdiri!" tegur Hillman.

Semua kanak-kanak enam tahun itu dengan pantas cuba mengubah postur mereka agar lebih stabil.

Mereka mengetap gigi apabila merasakan kaki mereka mula kejang. Namun, tak lama selepas itu, postur kanak-kanak enam hingga tujuh tahun itu mula goyah. Selepas bertahan beberapa ketika, seorang demi seorang mula terjelepok dan duduk di atas tanah.

Wajah Hillman tetap dingin dan tidak menunjukkan perasaannya. Namun, di sudut hatinya dia sangat berpuas hati akan pencapaian kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun itu.

Tidak lama kemudian, seorang demi seorang, beberapa orang kanak-kanak berusia 10 tahun dari kumpulan tengah mula terduduk keletihan.

"Bertahan seberapa lama yang kamu mampu. Saya tidak akan memaksa kamu. Suatu masa nanti, jika kamu lebih lemah berbanding rakan-rakan kamu, salahkan diri kamu sendirilah," kata Hillman dengan dingin.

"Hah?" Lorry tiba-tiba merenung tajam, tergamam melihat kumpulan kanak-kanak di utara.

Pada waktu itu, ramai kanak-kanak kumpulan tengah sudah jatuh terduduk, tetapi di kumpulan utara, seorang kanak-kanak berusia enam tahun masih lagi bertahan.

"Ini hari pertama Linley menjalani latihan. Siapa sangka prestasi dia mengagumkan sebegini?" kata Lorry, kagum. Di sebelahnya, Roger dan Hillman mula perasan. Mereka memandang ke arah utara dan terlihat seorang budak berambut perang masih teguh berdiri. Bibirnya diketap, tangannya digenggam erat hingga buku jarinya berwarna keputihan.

Hillman memandang budak itu dengan penuh rasa kagum.

'Budak yang hebat!' puji Hillman dalam diam. Walaupun baru enam tahun, dia dapat mengekalkan 'Postur Membina Qi' selama tempoh kanak-kanak 10 tahun.

Linley, nama penuhnya Linley Baruch, anak sulung dan pewaris puak Baruch yang memerintah pekan Wushan. Puak Baruch adalah puak lama. Dahulu, puak itu sangat besar tetapi selepas beberapa ribu tahun, ahlinya hanya tinggal tiga orang: pemimpin puak, Hogg Baruch, dan dua orang anak lelakinya. Anak sulungnya bernama Linley Baruch, berumur enam tahun. Anak bongsunya, Wharton Baruch, baru berusia dua tahun. Isterinya meninggal dunia sewaktu melahirkan Wharton. Datuk Linley pula meninggal dalam pertempuran.

Kaki Linley menggigil. Walaupun tekadnya kuat, tenaga otot kakinya telah digunakan sepenuhnya dan mula menggigil tanpa kawalan. Akhirnya, dia jatuh terduduk.

"Linley, bagaimana keadaan kamu?" Hillman sambil berjalan ke arahnya sambil tersenyum.

Linley senyum menampakkan taring kecilnya. "Saya baik-baik saja, Pak Cik Hillman." Sebagai kapten pasukan pengawal Baruch, Hillman melihat Linley membesar. Oleh sebab itu, mereka berdua sangat rapat.

"Syabas. Kamu seperti seorang lelaki sejati." Hillman mengusap kepala Linley. Rambutnya terus menjadi kusut bagai rumput ditiup angin.

"Haha." Linley tersengih lebar. Dia sangat gembira menerima pujian Hillman.

Selepas berehat seketika, mereka meneruskan latihan. Aturan latihan kanak-kanak enam dan tujuh tahun lebih mudah berbanding bagi para remaja yang sangat ketat.

Seluruh kumpulan kanak-kanak itu, termasuk kanak-kanak enam dan tujuh tahun, berbaring dengan kepala dan kaki mereka masing-masing di atas batu. Mereka bergantung pada kekuatan pinggang semata-mata bagi memastikan badan kekal lurus.

"Pinggang dan paha membentuk rantau segi tiga." Hillman menunjukkan kawasan itu dengan tangannya. "Kawasan ini adalah nukleus setiap orang, Kelajuan dan kekuatan lahir dari nukleus segi tiga ini, menjadikan kawasan ini sangat penting."

Hillman bercakap sambil berjalan di antara ahli kumpulan dan memastikan pergerakan mereka betul.

"Kuatkan kawasan itu! Pinggang kamu perlu lurus!" teriak Hillman.

Pinggang mereka diluruskan dengan segera. Ini adalah latihan pertama Linley. Kepala dan kaki kecilnya lurus di atas batu, tetapi pada ketika itu, Linley merasakan otot pinggangnya semakin tegang dan panas.

"Tahan! Saya perlu bertahan! Saya yang terbaik!" Linley terus menerus memberi semangat kepada dirinya. Tubuh Linley sangat kuat sejak bayi lagi. Dia hampir tidak pernah sakit. Walaupun begitu, dia tetap berusaha keras, maka kejayaannya tidaklah begitu menghairankan.

* Berdebap! * Seorang kanak-kanak terjatuh.

Namun begitu, batu-batuan yang mereka gunakan sebagai bantal dan alas kaki hanya setinggi dua puluh sentimeter. Oleh itu, walaupun mereka jatuh, ia tidak begitu menyakitkan. (Di Benua Yulan, tukang emas menggunakan panjang standard 1 meter = 10 decimeter = 100 sentimeter = 1000 milimeter.)

* Berdebap! Berdebap! * Semakin lama, semakin ramai kanak-kanak tidak mampu bertahan lagi.

Linley mengetap giginya. Dia dapat merasakan otot pinggangnya telah mencapai had ketahanannya. Kawasan itu hampir menjadi kebas. 'Badan saya rasa sangat berat. Saya hampir hilang kawalan ke atasnya. Bertahan… Bertahan sedikit lagi.' Pada waktu itu, dalam kalangan kumpulannya, hanya Linley seorang yang masih bertahan.

Hillman memandang ke arah Linley. Dia terkejut dan gembira melihat perkembangan Linley.

"Lorry!" jerit Hillman secara tiba-tiba.

"Kapten." Lorry berdiri tegak menunggu arahan daripada Hillman.

"Esok, sediakan pewarna khas. Semasa mereka menjalani latihan kekuatan pinggang, letak dahan di bawah pinggang mereka dan warnakan dahan tersebut. Jika mereka malas dan membiarkan pinggang mereka menyentuh dahan itu, warna akan melekat pada badan mereka. Kesukaran aturan latihan mereka akan ditingkatkan dua kali ganda," arah Hillman.

"Baik, Kapten." Lorry tidak dapat menyembunyikan senyumannya. Diam-diam dia ketawa. "Kapten ada-ada sahaja idea untuk mengenakan budak-budak ni. Habislah mereka nanti."

Biar betul?

Kesakitan ketara pada wajah kanak-kanak 10 tahun. Biasanya, mereka masih boleh mencari jalan untuk mengelat. Mendengarkan idea Hillman, mereka tidak lagi berpeluang untuk berbuat demikian.

Sambung Hillman lagi, "Untuk pengetahuan kamu, apabila seseorang pahlawan melatih Qi-tempurnya, dia akan menyimpan Qi-tempur sebesar penumbuk itu di kawasan bawah di pusat. Kawasan ini adalah sebahagian daripada segi tiga yang saya sebut tadi. Saya harap kamu faham pentingnya menguatkan kawasan segi tiga itu. Sekiranya kamu gagal, seluruh tubuh kamu akan gagal, tak kira betapa kuat bahagian badan kamu yang lain."

Penting bagi semua kanak-kanak untuk memiliki jurulatih yang mahir dan Hillman sememangnya seorang pahlawan yang hebat. Dia tahu bahagian latihan yang penting dan cara meningkatkan kesukaran secara berperingkat. Dia tahu menyesuaikan peralatan yang perlu digunakan mengikut usia. Sekiranya terlalu sukar, tubuh kanak-kanak akan terjejas.

"Qi-tempur?"

Apabila mendengar kata-kata Hillman, terbeliak mata semua anak muda yang ada, termasuk kanak-kanak yang sedang berehat di tepi.

Semua rakyat biasa sangat bersemangat mempelajari Qi-tempur. Malah Linley yang berketurunan bangsawan juga bersemangat.

"Berdebap!"

Linley akhirnya tidak dapat bertahan lagi. Walaupun begitu, dia masih menggunakan tangannya untuk menopang badan sambil berguling dan beralih dari situ.

"Sungguh menyegarkan!" Pinggang Linley terasa kebas hingga ke tulang dan matanya mengecil sedikit kerana tubuhnya rasa terlalu selesa.

"Berapa lama saya berjaya bertahan?" kata Linley sambil melihat sekelilingnya.

Semua kanak-kanak enam tahun telah tumbang. Malah separuh daripada kanak-kanak 10 tahun itu juga telah jatuh. Walau bagaimanapun, semua remaja berumur 14 tahun masih bertahan. Wajah Hillman tetap dingin seperti biasa.

"Kamu harus ingat, tubuh kamu ibarat sebuah bekas seperti gelas wain. Qi-tempur adalah wainnya! Jumlah wain yang mampu ditampung gelas bergantung kepada saiznya. Begitu jugalah tubuh badan kita. Keupayaan seseorang untuk membina Qi-tempur bergantung kepada tahap latihannya. Biarpun seseorang itu memiliki akses kepada buku Qi-tempur yang bagus, jika badannya terlalu lemah, dia tak akan dapat menyimpan banyak Qi-tempur. Oleh hal demikian, dia tetap tak akan menjadi pahlawan yang kuat," Hillman menyampaikan nasihat penting kepada semua kanak-kanak itu.

Ramai pahlawan, oleh kerana tidak mendapat bimbingan yang baik di usia muda, hanya memahami hubungan antara Qi-tempur dan kekuatan badan apabila telah dewasa. Namun disebabkan faktor usia, pemahaman itu tidak membantu mereka semasa latihan.

Ramai generasi terdahulu tersilap memilih haluan dan dari situ mereka menimba pengalaman. Hillman cuma menyampaikan semua pengalaman itu. Ibarat hembusan angin musim bunga yang menyegarkan hidupan dengan membawa hujan, Hillman menyerapkan pengalaman-pengalaman penting itu ke dalam minda semua kanak-kanak yang ada. Dia tidak mahu mereka juga tersalah memilih haluan.

Setelah menjalani latihan 'Postur Membina Qi', bahagian pinggang, punggung, paha, bahu, dan bahagian tubuh lain akan bersatu dengan harmoni. Kini, hampir semua kanak-kanak duduk santai di atas tanah. Program latihan Hillman hampir sempurna dari segi tahap kesukaran bersesuaian dengan setiap kumpulan umur.

"Latihan hari ini sudah berakhir," ucap Hillman.

Aturan latihan Pekan Wushan dipatuhi dengan ketat. Mereka menjalani latihan dua kali pada setiap hari iaitu pada waktu subuh dan pada waktu senja.

"Pak Cik Hillman, ceritalah kepada kami lagi!" jerit kumpulan kanak-kanak itu sebaik saja latihan tamat. Setiap hari, usai latihan subuh, Hillman akan bercerita tentang zaman perkhidmatan tenteranya atau kisah-kisah yang berlaku di benua itu.

Semua kanak-kanak itu tinggal di pekan tersebut sejak kecil, oleh itu, suka mendengar cerita tentang dunia tentera.

Hillman tersenyum. Dia gemar bercerita kepada kanak-kanak. Ini adalah cara membuat mereka bersemangat untuk berlatih. Hillman percaya memupuk semangat untuk berlatih membantu mereka mencapai keputusan yang lebih baik.

"Hari ini, saya akan bercerita tentang keturunan Empat Pahlawan Agung yang terkenal di seluruh benua ini," kata Hillman dengan wajah yang penuh kekaguman.

Kanak-kanak itu terus memasang telinga, mata mereka bersinar cemerlang. Linley, duduk di atas tanah, jantungnya berdegup kencang. "Empat Pahlawan Agung yang terkenal?" Linley turut memasang telinga dan memandang Hillman tanpa berkelip.

Mata Hillman nampak teruja. Namun begitu, suaranya tetap tenang. "Di benua kita, beribu-ribu tahun yang lalu, ada empat orang Pahlawan Agung yang hebat. Keempat-empat Pahlawan Agung ini memiliki kuasa yang setanding dengan naga gergasi. Mereka boleh berjalan melalui sejumlah angkatan tentera yang besar dan dengan mudah memenggal kepala mana-mana jeneral! Pahlawan Agung ini juga dikenali sebagai Pahlawan Berdarah Naga, Pahlawan Api Violet, Pahlawan Berbelang Harimau dan Pahlawan Abadi!"

"Para pahlawan dibahagikan kepada sembilan tahap. Saya yang hanya seorang pahlawan tahap keenam pun mampu menghancurkan batu-batu besar dan menumbangkan pokok besar! Sedangkan pahlawan tahap kesembilan di negara kita Fenlai sudah dianggap pakar tingkat teratas. Di atas pahlawan tahap kesembilan adalah Empat Pahlawan Agung. Kebolehan mereka melepasi pahlawan tahap kesembilan dan dianggap tahap kemuncak seorang pahlawan. Mereka boleh dikatakan dalam kategori tahap Dewa!" cerita Hillman penuh teruja. "Pahlawan legenda tahap Dewa mampu mencairkan bongkah ais besar, menghasilkan ombak ganas, menghancurkan gunung-ganang, memusnahkan bandar dan jutaan penghuninya serta menjatuhkan meteor jatuh dari langit! Mereka benar-benar tidak dapat dikalahkan, memiliki kuasa yang tertinggi."

Sunyi. Semua kanak-kanak tergamam mendengar cerita Hillman.

Hillman menunjukkan jarinya ke arah gunung di bahagian timur laut.

"Lihatlah Wushan. Tinggi, bukan?" Hillman tersenyum.

Mendengar kata-kata Hillman, ramai kanak-kanak terus ketakutan. Mereka segera mengangguk. Ketinggian Wushan melebihi seribu meter dan ukur lilitnya seribu meter. Dari kaca mata manusia, Wushan memang gunung yang besar.

"Tetapi pahlawan tahap Dewa boleh memusnahkan Wushan dalam sekelip mata," kata Hillman tegas.

Pahlawan tahap keenam hanya boleh menghancurkan batu, tetapi pahlawan tahap Dewa tertinggi ini boleh menghancurkan sebuah gunung! Mulut semua kanak-kanak itu ternganga dan mata mereka terbuntang. Mereka terkejut dan terbit rasa takut dalam hati mereka terhadap pahlawan tahap Dewa itu. Namun begitu, timbul juga rasa keinginan dalam hati mereka.

"Memusnahkan gunung?" Kata-kata Hillman memberi kesan mendalam terhadap Linley.

Tidak lama kemudian, kumpulan kanak-kanak itu pulang ke rumah masing-masing. Hillman, Roger dan Lorry adalah yang terakhir meninggalkan medan latihan. Hillman tersenyum melihat mereka bersurai meninggalkan medan latihan dalam kumpulan-kumpulan kecil.

"Mereka harapan dan masa depan bandar Wushan," kata Hillman sambil tersenyum.

Roger dan Lorry juga memandang ke arah kumpulan kanak-kanak itu. Di benua itu, hampir semua anak rakyat biasa terpaksa bertungkus lumus berlatih sejak usia kecil. Melihat mereka, Roger dan Lorry teringat zaman muda mereka.

"Kapten Hillman, kamu pasti jauh lebih hebat sewaktu zaman muda kamu. Di bawah bimbingan kamu, saya percaya pekan Wushan akan menjadi pekan paling kuat di rantau kita, menandingi lebih kurang 10 pekan lain," kata Lorry sambil tersenyum.

Kemahiran seorang jurulatih menentukan masa depan sesebuah tempat .

"Oh, Kapten, bagaimana kamu tahu perihal kuasa pahlawan tahap Dewa atau Empat Pahlawan Agung itu?" Lori tiba-tiba teringat untuk bertanya.

Hillman tersengih malu, "Sebenarnya saya sendiri tidak pasti mengenai tahap kehebatan Empat Pahlawan Agung itu. Lagipun, mereka hanyalah legenda. Kali terakhir mereka dilihat sudah bertahun-tahun lamanya."

Lorry dan Roger terkejut. "Kamu tak tahu dan mereka-reka cerita kepada kanak-kanak itu?"

Hillman tersenyum kecil. "Walaupun saya tidak jelas tentang kekuatan Empat Pahlawan Agung, namun saya tahu tentang kehebatan ahli sihir tahap Dewa. Seorang ahli sihir yang telah mencapai tahap Dewa boleh melakukan teknik magik haram untuk membunuh seluruh anggota tentera puluhan ribu ramainya dan memusnahkan seluruh pekan. Saya jangka pahlawan tahap Dewa tentu tak kurang hebatnya."

"Yang paling penting, saya menceritakan kisah ini supaya mereka bekerja lebih keras lagi. Kamu tak nampak wajah mereka yang kagum terhadap kisah itu? "Hillman tersenyum girang.

Lorry dan Roger tergamam.

...

"Jumpa nanti, 'Ley!"

"Jumpa lagi, Hadley!"

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Hadley, rakan baiknya, Linley berjalan sendirian pulang ke rumahnya. Tidak lama kemudian, kelihatan estet milik keluarga Baruch.

Tanah di mana manor Baruch sebenarnya agak luas. Ada lumut tumbuh dan pokok Ivy menjalar pada dinding manor itu. Dinding-dinding itu dipenuhi tempoh garis waktu yang dilaluinya. Manor Baruch yang terletak di pekan Wushan adalah rumah pusaka puak Baruch. Rumah pusaka yang telah wujud lebih dari lima ribu tahun itu telah menjalani banyak ubah suai namun tetap teguh berdiri.

Walaupun demikian, disebabkan kemerosotan harta, kewangan puak Baruch terjejas teruk. Pada zaman akhir kegemilangannya, mereka terpaksa bergantung kepada harta yang diperoleh sebelumnya. Lebih daripada setahun ratus lepas, ketua puak pada waktu itu membuat keputusan semua ahli puak harus tinggal di laman hadapan manor. Mereka mendiami sepertiga kawasan laman itu. Kawasan manor yang lain tidak perlu lagi diuruskan. Dengan cara itu, mereka boleh menjimatkan perbelanjaan.

Namun, walaupun langkah-langkah ini telah diambil, ketika bapa Linley, Hogg Baruch, mengambil alih, mereka masih perlu menjual harta milik keluarga agar dapat bertahan.

Pintu besar manor itu terbuka.

'Pahlawan tahap Dewa?' Semasa berjalan, Linley masih memikirkannya. 'Adakah aku mampu menjadi pahlawan sebegitu suatu hari nanti?'

"Linley." Kedengaran suara Hillman dari belakangnya. Langkah Hillman, Roger, dan Lorry akhirnya berjaya menyainginya.

Linley berpaling dan dengan gembira berkata, "Pak Cik Hillman!"

Selepas itu, Linley menarik nafas panjang. Dia mengangkat kepalanya lalu berkata dengan penuh semangat, "Pak Cik Hillman, adakah pahlawan tahap Dewa benar-benar kuat? Bagaimana pula dengan saya? Bolehkah saya menjadi pahlawan tahap Dewa?" Seperti kanak-kanak lain, Linley menyimpan hasrat itu di sudut hatinya.

Hillman tergamam. Begitu juga Roger dan Lorry.

Pahlawan tahap Dewa?

"Besar betul impian budak ini. Negara Fenlai mempunyai jutaan rakyat. Walaupun begitu, selepas berabad-abad lamanya tiada seorang pun pahlawan tahap Dewa berjaya dihasilkan. Jika kamu mahu menjadi pahlawan tahap Dewa..." Hillman tahu betapa sukarnya menjadi pahlawan tahap Dewa.

Hillman sedar peritnya dia berlatih untuk menjadi pahlawan tahap keenam. Berapa banyak pertempuran hidup dan mati yang dialaminya. Menjadi pahlawan tahap enam pun sudah sukar. Pahlawan tahap tujuh, lapan dan sembilan, tentu lebih sukar. Inikan pula pahlawan tahap Dewa? Dalam mimpi pun dia tidak berani membayangkan dirinya menjadi seorang pahlawan sehebat itu.

Di hadapannya, Linley menanti dengan semangat yang berkobar-kobar.

"Linley, Pak Cik Hillman yakin dengan kamu. Pak Cik pasti kamu akan berjaya menjadi pahlawan tahap Dewa," tegas Hillman sambil merenung tepat ke mata Linley. Kata-kata semangat itu membuat mata Linley bersinar. Sebuah keinginan terbit dalam hati Linley.

Sebuah keinginan yang tidak akan pernah padam!

"Pak Cik Hillman, mulai esok, bolehkah saya berlatih bersama kumpulan sepuluh tahun?" Linley tiba-tiba bertanya.

Hillman, Roger, dan Lori semua menatap Linley dengan dengan riak yang terkejut.

"Ayah saya selalu berpesan, jika kamu menjadi seseorang yang tak mampu ditandingi, kamu mesti bekerja lebih keras daripada orang lain." Tanpa sedar Linley mengajuk cara bapanya bercakap.

Hillman tiba-tiba tersenyum. Dia telah melihat kesan latihan Linley hari ini. Walaupun Linley baru berumur enam tahun, daya fizikalnya mampu menandingi kanak-kanak sembilan tahun. Dia tersenyum sambil mengangguk. "Baiklah, tetapi kamu tak boleh mengelat. Kamu harus sedar ini bukan komitmen satu atau dua hari. Ia akan menjadi aturan latihan jangka masa yang panjang."

Linley mengangkat kepala kecilnya dengan bangga. Dengan yakin, dia tersenyum. "Pak Cik Hillman, saya akan buktikannya."

Ini merupakan pagi yang lazim di pekan Wushan. Pagi-pagi seterusnya berjalan seperti hari ini. Kumpulan anak muda Wushan akan mengikuti Hillman, pahlawan tahap keenam, dan berlatih bertungkus lumus di bawah bimbingannya. Satu-satunya perbezaan adalah Linley yang berusia enam tahun kini berlatih bersama kumpulan tengah yang berusia sepuluh tahun.

ตอนถัดไป