webnovel

Qin Chu memegang pen hitam di tangannya sambil memusing-musingkan pen itu tanpa sepatah kata.

Lebih kurang dua puluh orang eksekutif di dalam bilik itu turut diam menahan nafas mereka kerana bimbang jika mereka mengganggu fikirannya. Suasana agak tegang.

Selepas seketika, Qin Chu membuka mulutnya dan berkata, "Kes itu? Saya sudah batalkan."

"Hah? Batalkannya? Kenapa Presiden Qin? Jabatan kami mengambil masa tiga bulan untuk menyediakan draf kertas cadangan selepas setahun meluangkan masa untuk merangka perbelanjaan dan metrik perniagaan. Ianya memang akan menguntungkan dan sudah diluluskan oleh Pengerusi."

Mendengarkan kata-kata itu, Qin Chu mengangkat kepalanya dan melihat sambil lalu pada Pengarah Pembangunan Tanah sebelum berkata, "GK di bawah kuasa saya sekarang dan saya tidak perlu menjelaskan keputusan saya. Jika kamu tidak boleh terima perkara ini, serahkan saja surat perletakan jawatan kamu."

Dengan kata-kata terakhir yang diucapkannya, dia melemparkan pen itu ke atas meja, menakutkan dan mendiamkan semua orang.

Qin Chu terus keluar dari bilik mesyuarat.

Dia tahu projek Rumah Manor Padang Hijau akan menguntungkan. Tetapi, dia juga tahu jika mereka perlu meneruskannya, Sekolah Tinggi Kedua perlu dipindahkan. Tiada sesiapa tahu betapa pentingnya Sekolah Tinggi Kedua padanya. Sama macam tiada sesiapa tahu betapa sayangnya dia pada gadis bernama Huo Mian.

Di dalam pejabat presiden –

"Presiden Qin. Tadi ada panggilan untuk kamu. Saya mengangkatnya tetapi dia tidak memberitahu siapa dia."

Pembantunya Yang, berhati-hati menyerahkan telefon bimbit kepadanya.

Saat Qin Chu melihat nama pemanggil, kehangatan terus memenuhi matanya yang dingin.

Dia segera membuat panggilan semula.

"Mian, kamu mencari saya?"

"Qin Chu, mari berbincang." Di sebelah talian sana, Huo Mian sudah bertenang daripada keadaan marahnya.

"Boleh. Saya akan jemput kamu. Kamu di mana?"

"Kamu tidak perlu buat begitu. Jumpa saya di Kafe en Seine di Jalan Separuh Gunung."

"Baiklah, saya akan ke sana sekarang."

Selepas mengakhiri panggilan, bibir Qin Chu mengukir senyum. Dia seolah-olah manusia yang berbeza dengan dirinya di dalam bilik mesyuarat.

Rahang Yang hampir jatuh kerana terkejut.

Presiden baru itu sudah digajikan hampir seminggu. Tetapi, Yang tidak pernah melihat dia tersenyum kepada sesiapa, walaupun Pengerusi.

Tetapi, panggilan ini membuatkan bosnya tersenyum. Oh wah…

Nampaknya, pemanggil itu adalah seseorang yang penting bagi presiden. Setiausaha itu membuat nota di dalam kepalanya untuk memberi perhatian kepada nombor tersebut pada masa akan datang.

Qin Chu memandu Audi R8nya ke tempat pertemuan mereka. Dia tiba dalam masa kurang dari 15 minit. Huo Mian sudah pun menunggu di dalam.

Dari kejauhan, dia melihat Huo Mian duduk di tepi jendela.

Dia hanya dapat melihat sisi wajah Huo Mian. Tetapi, melihat itu sahaja sudah cukup membuatkan hatinya bergetar gementar.

Selama tujuh tahun yang lalu, Huo Mian sentiasa di dalam fikirannya. Memikirkan gadis itu hampir membuatkan dia gila.

Dia menahan desakan di dalam hatinya dan perlahan-lahan berjalan masuk.

Huo Mian berpakaian ringkas. Sebelum bertemu Qin Chu, dia sudah pulang ke pangsapurinya untuk menukar baju.

Dia memakai seluar putih kosong dan kemeja-T berwarna kuning. Gaya itu memang ringkas, tetapi menawan.

Huo Mian juga malas memakai solekan melainkan ianya urusan istimewa. Baginya, menyapu bahan kimia pada mukanya membuatkan ianya melekit dan memandangkan solekan tidak memberi kesan anti-penuaan, dia malas untuk bersusah-payah memakai solekan.

Qin Chu melangkah dan duduk di hadapannya.

Fikiran Huo Mian kembali ke realiti dan bertanya dengan tenang, "Apa yang kamu mahu minum?"

"Saya mahu apa yang kamu pesan." Qin Chu menjawab.

"Tapi saya hanya minum air kosong."

"Kalau begitu, saya minum air kosong juga." Qin Chu bertegas.

Huo Mian berasa tidak terdaya sewaktu dia melambai pelayan dan berkata, "Maafkan saya, bolehkah saya memesan air kosong?"

Dia berpusing semula, merenung wajah di hadapannya yang begitu dikenali tetapi terasa jauh. Kemudian, dia perlahan-lahan membuka mulutnya.

"Qin Chu."

"Mhm."

"Mari berbincang."

"Baiklah."

"Apa yang kamu mahukan daripada saya?"

"Saya mahu kita kembali seperti mana kita sebelum ini." Qin Chu berkata tanpa berfikir lama.

"Ha, itu mustahil Qin Chu. Keadaan sudah berbeza sekarang. Semuanya sudah berbeza." Huo Mian tersenyum pahit.

"Saya tumpang simpati mengenai bapa tiri kamu. Saya baru tahu baru-baru ini."

Apa yang mengejutkan, Qin Chu memohon maaf dengan gaya yang sangat ikhlas.

Huo Mian yang sudah lama mengenali Qin Chu tahu betapa bangga dirinya dia. Mengaku kesalahannya adalah satu bebanan besar buat Qin Chu.

"Orang yang sudah mati tidak boleh hidup kembali. Apa yang boleh dilakukan dengan memohon maaf?"

"Saya boleh membetulkannya untuk kamu." Qin Chu menambah.

Huo Mian merengus. "Betulkannya untuk saya? Dengan apa, nyawa kamu? Atau duit kamu? Kamu tahu tak yang emak saya mendapat darah tinggi semalam selepas kamu berjumpanya dan dia dimasukkan ke hospital? Kami sudah ada satu kematian dalam keluarga, apa lagi yang kamu mahukan? Kamu mahu saya mati juga? Kemudian, kamu akan gembira, bukan?"

Next chapter