Sebilah lembing waja telah memperdayakan para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung.
Sebilah lembing perak telah memperdayakan Sun Hua dan Liu Daoyun serta menyebabkan perselisihan di antara dua Sekta yang hebat.
Kalaulah ayah Si Gempal mengetahui tentang hal ini, dia pasti akan teruja. Lembing waja, perak dan emas itu telah ditempa oleh pekerja terlatihnya.
Kalaulah Si Gempal mendengar tentang hal ini, dia pasti akan berasa sangat kagum.
Meng Hao tidak sangka betapa bergunanya lembing perak itu. Para pengikut Sekta Arus Berliku dan Sekta Badai Salju telah pun berhenti mengejarnya dan kini, walaupun kalau mereka mahu memburunya kembali, mereka tak akan mampu menjejaki dirinya.
Namun, wajahnya masih lagi muram. Dia berdiri di atas kipas khazanah itu dan mengeluarkan Teras Syaitan. Ding Xin masih lagi mengejarnya di atas daun gergasi dengan wajah yang serius. Demi membunuh Meng Hao, dia sanggup memburunya hingga ke penghujung dunia jika perlu.
Jika ini kejar-mengejar yang biasa, Meng Hao mampu membawa dia berpusing-pusing dalam bulatan, memandangkan jumlah besar Teras Syaitan yang dimilikinya. Tetapi dia cedera parah dan itu menjadikan dirinya dalam keadaan sukar. Teras Syaitan itu hanya cukup untuk dia bertahan.
Dia boleh menahan kecederaannya untuk sementara waktu, tetapi lambat-laun dia tak akan berdaya menahannya lagi. Bila tiba masanya, kecederaan itu boleh membawa maut.
Tetapi, dia lebih terkilan apabila dia diserang anak panah dari belakang dan memaksanya melindungi diri dengan menggunakan kipas khazanah itu. Keadaan jadi lebih bahaya apabila dia hampir berhenti meluncur dan terpaksa mendarat di tanah lalu berlari. Ini mengurangkan kelajuan dan ketangkasannya. Mujurlah tanah itu padat dilitupi hutan dan apabila dia sampai ke puncak gunung seterusnya, dia boleh melompat naik atas kipas khazanah itu lagi.
Seperti Liu Daoyun, Ding Xin juga tidak mampu untuk terus terbang sehingga terpaksa turun ke tanah sekali-sekala dan mencari kawasan yang sesuai untuk mula meluncur sekali lagi.
"Kau takkan terlepas," Ding Xin bersuara dengan sebuah senyuman dan mata yang bercahaya. "Kalau kau menyerah diri dengan aman, aku boleh bawa kau kembali ke Sekta dan biar mereka yang menghukum kau."
"Hal saya dan Sekta Takdir Ungu Lembayung ini agak istimewa sedikit," Meng Hao membalas sambil terus memecut ke hadapan. "Sahabat Tao Ding, awak faham maksud saya?"
"Aku tidak perlu faham," Ding Xin menjawab dengan tenang dan dia semakin tekad. "Kalau aku bawa kau balik ke Sekta, Orang Lama Sekta pasti akan hukum kau. Sekta Ungu Lembayung salah sebuah sekta terhebat di Wilayah Selatan. Biasanya, mereka akan bertindak adil dan nampak yang mana benar atau salah."
"Apa yang berlaku hari itu di luar kawalan saya," Meng Hao cuba menjelaskannya. "Qiu Shuihen dan Lu Song yang paksa saya jual barang saya itu. Saya sudah cakap yang itu cuma sebilah lembing biasa, tetapi mereka mendesak juga. Malah mereka telah mengancam saya! Awak tidak boleh salahkan saya!" Meng Hao telah tiba di puncak bukit yang agak tinggi. Dia mengeluarkan kipas khazanah itu dan mula meluncur sekali lagi.
"Kenapa itu bukan salah kau?" Ding Xin bertanya dengan tenang seperti biasa. Dia terus mara ke hadapan dengan pantas. "Kau boleh patahkan lembing itu ketika itu juga dan keluarkan khazanah yang sebenar. Jadi semua ini takkan berlaku." Dia menepuk beg saktinya dan sebuah busur kayu hitam muncul di tangannya. Dia menariknya ke belakang dan melepaskan anak panah ke arah Meng Hao.
Meng Hao telah menggunakan barang sakti untuk melindungi dirinya dan menghasilkan bunyi dentuman. Dia ketawa sambil membatukkan darah. Darah pada giginya itu telah membuatkan senyumannya menjadi lebih ganas.
"Ini yang awak maksudkan dengan 'bertindak adil'?" dia bersuara. Matanya bersinar dengan niat bunuhnya dan dia tidak bercakap apa-apa lagi. Dia menolak kipas khazanah itu ke hadapan dengan lebih pantas selepas menelan sebiji Teras Syaitan.
Beberapa jam telah berlalu. Tengah hari berganti petang. Meng Hao sangat penat, tetapi dia tahu adegan kejar-mengejar ini mungkin akan berterusan selama berhari-hari. Dia dapat lihat daripada mata ganas pemburunya itu yang mempermainkan dia dengan kejam.
Dia ialah mangsa buruan yang tak akan terus dibunuh, tetapi dipermainkan. Walaupun dia sudah mula naik gila kerana diseksa sebegitu rupa, dia akan dipukul dengan sekali hentam.
Meng Hao dan Ding Xin bergerak dengan sangat pantas sehingga tanah Negeri Zhao di bawah mereka menjadi kabur. Masa terus berlalu. Asas Pertapaan peringkat kelapan Pemekatan Qi Meng Hao berada di tahap yang hampir mahu kering. Dia terus menelan Teras Syaitan, tetapi itu hanyalah merosakkan tubuhnya sendiri. Malah, darahnya juga telah berbau busuk dengan udara Syaitan.
Bagi seorang Pertapa, ini pada dasarnya sengaja merosakkan asas Pertapaan diri sendiri. Meng Hao tidak pernah mendengarnya sebelum ini, tetapi dengan apa yang dilihatnya, dia kini sudah mulai faham. Malangnya, dia tiada pilihan lain.
Ding Xin sedar apa yang sedang berlaku. Jadi dia sengaja memperlahankan kejarannya. Matanya terpancar perasaan ingin tahu, seolah-olah dia ternampak sebuah mainan yang menarik.
"Aku benar-benar mahu tahu apa yang berlaku jika kau makan terlalu banyak Teras Syaitan sehingga seluruh aura kau menjadi aura Syaitan? Setelah aku membunuh kau, adakah aku akan jumpa Teras Syaitan tahap lapan di dalam mayat kau?" Ding Xin ketawa.
Mata Meng Hao berurat-urat setelah mendengar kata-kata itu. Wajahnya menjadi semakin suram.
Dia bukanlah jenis orang yang bercakap banyak sewaktu bertarung. Tadi dia cuba menjelaskan perkara sebenar, tetapi pihak lawannya tidak mahu ambil peduli. Setelah itu, dia tidak membuka mulut pun. Ini benar-benar seperti ketika dia menentang Wang Tengfei. Dia tidak meraung atau menjerit; dia menghadapi segala-galanya dengan berdiam diri.
Dia terus melarikan diri untuk seketika waktu dengan memaksa diri sehingga ke batas kelajuannya. Akhirnya, di hadapan sana, dia sudah dapat melihat Gunung Daqing. Dia telah bersembunyi selama setengah tahun dan akhirnya dia kembali ke gunung itu sekali lagi. Sejarah akan berulang.
Ketika dia terus melarikan diri, dia dapat melihat sebuah tasik yang luas yang kelihatan seperti cermin. Tasik itu ialah Laut Utara.
Matanya bercahaya sewaktu dia melihatnya.
"Laut Utara..."
Meng Hao teringat tentang kapal kecil, orang tua dan gadis muda itu serta tentang cara Laut Utara mendedahkan Tao!
Pandangannya semakin tajam dan dia telah mengubah haluannya ke arah tasik itu.
Dia terus meluncur di atas kipas berharga itu dan di belakangnya, Ding Xin masih mengejeknya. Dia agak seronok memaksa buruannya untuk terus memakan Teras Syaitan.
"Aku tidak pasti kenapa dia ini mempunyai banyak Teras Syaitan, tetapi tidak mengapa. Aku akan paksa dia beritahu aku sebelum dia mati. Apa-apa pun, aku benar-benar ingin lihat rupa tubuh badannya setelah dia makan sebanyak itu." Dia tersenyum sambil memijak daun gergasinya dan meneruskan pemburuan.
Mereka berdua terus kejar mengejar untuk beberapa ketika sehingga sebuah bunyi letupan kedengaran di udara. Sebaik sahaja mereka melayang di atas permukaan Laut Utara, Meng Hao menepuk beg saktinya dan mengeluarkan jaring hitam.
Jaring itu membesar dengan serta-merta sehingga diameternya lebih kurang sembilan meter lebar dan dilancarkan ke arah Ding Xin. Ding Xin terus menyelak lengan bajunya yang lebar itu dan sebuah manuskrip jed berwarna ungu lembayung telah terbang keluar serta bertukar menjadi puting beliung ungu lembayung. Puting beliung itu telah membuat jaring itu berpusing-pusing. Meng Hao seperti telah hilang kawalan terhadap jaring itu dan ia telah terbang jauh.
"Kau memang tidak cekap kerana menggunakan khazanah tidak berguna seperti ini," Ding Xin bersuara dengan dingin. Jaring itu kelihatan seperti luar biasa, jadi dia terpaksa menggunakan manuskrip jed sebentar tadi. Dia tidak sangka ia boleh ditewaskan dengan satu langkah sahaja.
Mata Meng Hao bercahaya. Dia menggigit lidahnya sendiri dan meludahkan sedikit darah. Wajahnya kelihatan lebih pucat daripada sebelum ini. Sewaktu dia bergerak merentasi permukaan Laut Utara itu, riak terhasil di permukaan air seolah-olah ada angin kencang yang bertiup merentasinya dan ia sudah tidak tenang lagi.
Kipas itu berhenti setelah dia tiba di tengah-tengah tasik itu. Itu kali pertama dia berhenti sejak dia diburu oleh Ding Xin. Dia berpusing sambil menepuk beg saktinya dan sebuah gulungan lukisan muncul di dalam tangannya. Matanya bersinar dengan memancarkan niat membunuh.
Dia takkan melarikan diri lagi. Dia akan bertarung dengan Ding Xin, Pertapa peringkat kesembilan Pemekatan Qi!
Meng Hao memang tidak dapat menandinginya, tetapi dia akan melawan. Dia terpaksa bertarung. Dia tidak boleh terus berlari begini. Jadi, jika dia tidak melawan, dia akan mati. Hanya ada satu pilihan sahaja... bertarung!
"Jadi, kau tidak melarikan diri lagi," Ding Xin bersuara sambil menghampiri Meng Hao. Dia tersenyum sinis sewaktu dia melihat pandangan membunuh di dalam mata Meng Hao. Dia menghayunkan jarinya dan sebuah cahaya ungu lembayung muncul di hadapannya serta bertukar menjadi seekor burung dengan serta-merta. Dia mengibaskan sayapnya dan meluru ke arah Meng Hao.
Mata Meng Hao bercahaya. Sebaik sahaja burung berwarna ungu lembayung itu muncul, gulungan lukisan itu bergetar dan suara ngauman haiwan-haiwan dapat didengari. Meng Hao bertarung sedaya-upaya dengan asas Pertapaannya. Mungkin kerana kuasa Syaitan yang sangat banyak di dalam tenaga rohaninya sehinggakan ngauman haiwan-haiwan itu kedengaran amat menakutkan. Empat jalinan kabut muncul dan menjadi empat ekor haiwan Syaitan yang meluru ke arah burung berwarna ungu lembayung itu.
Pada waktu yang sama, Meng Hao telah bergerak selangkah ke hadapan. Kipas khazanah di bawah kakinya terlerai dan bulu-bulunya berputar mengelilinginya. Kemudian bulu-bulu itu dilancarkan ke arah Ding Xin seperti pedang terbang.
Meng Hao tidak berundur. Sebilah pedang terbang muncul di bawah kaki untuk menyokongnya dan dirinya sendiri meluncur ke arah Ding Xin.
"Jangan berlagak sangat," Ding Xin bersuara dengan ketawa yang sinis dan mata yang mencemuh. Tangan kanannya meliang-liuk menunjukkan corak jampi dan kemudian dia menekan dahinya. Sebuah pusaran telah muncul disertai dengan bunyi deruan.
"Aura Takdir Ungu Lembayung!"
Qi Ungu Lembayung yang pekat telah melimpah keluar dari dalam pusaran itu dan dengan sekelip mata bertukar menjadi sebuah gelung berwarna ungu lembayung yang membesar dan terbang ke arah Meng Hao.
Bunyi guruh terus bergema dan menyebabkan bulu-bulu di sekeliling Meng Hao jatuh rebah. Bunyi deruan yang sangat kuat itu menyebabkan dia muntah darah. Namun, kedegilan terpancar di dalam matanya. Dia menepuk beg saktinya dan dalam seratus pedang terbang muncul dan dilancarkan ke arah Ding Xin.
Hujan pedang meluru ke hadapan memenuhi langit. Cahaya daripada aura pedang itu memenuhi langit dan tiba pada Ding Xin dalam sekelip mata. Namun senyumannya semakin sinis.
"Terburu-buru betul," dia bersuara sambil menepuk beg saktinya. Sebuah cahaya merah muncul dan bertukar menjadi pemukul berwarna merah. Dia memutarkan pemukul itu dan angin ribut merah yang menderu muncul hingga dapat memecahkan hampir seratus pedang terbang itu. Banyak daripadanya terus hancur.
Angin itu memukul Meng Hao dan dia memuntahkan lebih banyak darah. Tetapi, dalam serpihan seratus pedang terbang itu, telah muncul dua pedang kayu. Pedang-pedang itu menembusi angin merah dan meluru ke arah Ding Xin.
Ding Xin berkerut. Jari-jarinya meliang-liuk menunjukkan corak jampi dengan pantas sambil dia berundur ke belakang.
Meng Hao mengangkat tangan kanannya ke udara dengan niat membunuh.
Jari telunjuknya menunjuk ke atas dan tiba-tiba jaring hitam yang ditebarkan tadi membesar hingga menjadi tiga puluh meter saiznya. Kemudian jaring jatuh ke bawah dengan sangat pantas.
Semua ini agak sukar untuk digambarkan, tetapi semuanya berlaku dalam sekelip mata. Riak Wajah Ding Xin berubah serta-merta dan sebelum sempat dia bertindak, jaring besar itu telah memerangkap dirinya. Kemudian dua bilah pedang kayu dilancarkan ke arahnya dan kelihatan seperti akan menikam dadanya.
Sebenarnya, Meng Hao baru sahaja mendapat ilham untuk taktik itu. Walaupun tidak sempurna, tetapi itulah yang terbaik yang dia dapat fikirkan dalam masa yang singkat itu. Malah, dia terpaksa menggunakan bulu kipas khazanahnya dan mengorbankan banyak pedang terbang dalam percubaannya untuk melekakan pihak lawannya. Dia melakukan semua ini dengan hanya satu matlamat iaitu mengalihkan tumpuan pihak lawannya dan ternyata ia berjaya.