webnovel

Berbaloikah?

Editor: EndlessFantasy Translation

Fikiran Meng Hao rasa sangat berkecamuk. Dia berdiri di atas kipas yang baru saja dia dapatkan dan menggunakan kekuatan rohani sebanyak yang dia mampu untuk melarikan diri dengan kelajuan yang tinggi. Dia takut jika dia sedikit lambat, dia akan diserang dan dirompak.

"Pertamanya aku telah menyinggung Si Aneh Song," keluh Meng Hao, "dan kemudian Sekta Takdir Ungu Lembayung... Tapi itu bukan salah aku, mereka memaksa aku untuk berdagang." Dalam fikirannya, dia tidak bersalah. Pada saat itu, dia tidak punya pilihan selain mendagangkan lembing itu.... Sambil mengeluh berulang kali, dia memaksa dirinya untuk bergerak lebih cepat, semakin dekat ke banjaran Pergunungan Perisai Negeri.

"Aku perlu mencari tempat untuk bersembunyi buat seketika, jika ada yang dapat mengejar aku, aku akan berada dalam bahaya..." Meng Hao mengerutkan kening. Kekuasaan kipas itu kian menghilang dan dia jatuh ke tanah. Sambil menyimpan kipas itu, Meng Hao mula berlari.

"Bilakah aku boleh mencapai tahap Pengukuhan Asas? Selepas itu aku pasti akan dapat terbang!"

Dua hari telah berlalu, Meng Hao tidak ada masa langsung untuk berehat. Dia hanya melarikan diri sambil memikirkan bagaimana dia tidak berehat langsung semenjak dikejar oleh Shangguan Xiu dari Gunung Daqing. Tetapi, dia tiada pilihan lain. Memikirkan apa yang akan terjadi jika dia tidak melarikan sangat mengerikan untuk difikirkannya.

Sementara itu, jauh di banjaran Gunung Perisai Negeri, di atas dataran tinggi di sebelah gunung khazanah, Wu Dingqiu mengangkat sebiji batu Go sambil tersenyum lebar. Setelah berfikir tidak kurang daripada sejam, dia dengan perlahan meletakkan sebiji batu Go itu di papan.

Dengan muka seperti besi, Si Aneh Song mendengus dingin dan menghempas sebiji batu Go ke papan.

"Si Aneh Song, asas Pertapaan kamu sangat hebat. Kamu tidak harus bersikap seperti ini" kata Wu Dingqiu sambil mengusap janggutnya dan ketawa. Dia kelihatan tenang seperti air. "Pertapa daripada generasi kita seharusnya dapat memupuk Qi kita dan menenangkan minda kita. Walaupun gunung-ganang runtuh di sekeliling, ekspresi kita tidak seharusnya berubah. Tetapi, tengok diri kamu ini! Adakah kamu benar-benar tidak selesa kerana seseorang yang tidak penting daripada generasi muda? "

"Jika situasi kita berubah, kamu juga akan bertindak begini," kata Si Aneh Song dengan dingin.

"Semestinya tidak! Jika aku, Wu, berada di dalam situasi ini, aku akan memujinya dan tidak akan merasa marah. Dalam Sekta Takdir Ungu Lembayung, kami memupuk pembawaan kami dan tidak akan membiarkan perkara seperti ini membuat kami marah. Jangan marah Si Aneh Song, tetapi jika macam ini Pertapaan kamu, kamu perlu belajar sesuatu dengan Sekta Takdir Ungu Lembayung." Wu Dingqiu ketawa, jelas sangat gembira dengan dirinya sendiri.

"Macam inilah," kata Wu Dingqiu. "Selepas kita selesai permainan Go ini, kamu boleh ikut aku ke Sekta Takdir Ungu Lembayung. Aku akan membenarkan kamu membaca Manual Pertapaan Moral kami dan kemudian kamu akan memahami apa yang dimaksudkan dengan memupuk Qi dan menenangkan minda." Senyuman Wu Dingqiu begitu lebar sehingga kedutan muncul di mukanya.

Si Aneh Song mendengus. Dia malas hendak berkata apa-apa dan hanya sekadar merenung jauh. Senyuman Wu Dingqiu semakin melebar dan dia juga merenung jauh. Tidak lama kemudian, dua susuk tubuh dapat dilihat berkejaran ke arah mereka melalui hutan. Mereka adalah Qian Shuihen dan Lu Song. Mereka memegang lembing waja dengan erat ketika mereka semakin menghampiri dataran tinggi. Mereka diikuti oleh sekumpulan kecil pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang lain.

Qian Shuihen dan Lu Song melangkah ke dataran tinggi dan kedua-duanya mula bercakap pada masa yang sama.

"Salam, Pemimpin Wu. Saya telah menyelesaikan tugasan itu, saya telah memperolehi barang berharga itu melalui proses pertukaran."

"Salam, Pemimpin Wu, mujurlah saya tidak gagal dalam misi saya, saya berjaya membuat pertukaran untuk lembing ini."

Wajah Si Aneh Song menjadi muram ketika gelak tawa Wu Dingqiu kedengaran.

"Cemerlang. Tahniah buat kamu berdua." Dia ketawa. "Aku dengan sendiri akan memasukkan kamu berdua ke dalam Sekta Dalaman. Kamu berdua tidak menimbulkan sebarang masalah kepada budak itu, kan?"

"Saya dengan gembira ingin melaporkan kami telah membuat pertukaran yang adil," kata Qian Shuihen dengan tergesa-gesa. Di sebelahnya, Lu Song mengangguk dengan bersungguh-sungguh, kelihatan sangat teruja. "Kami tidak menimbulkan masalah kepadanya." 

"Si Aneh Song, mari kita lihat lembing suci yang berharga ini." Wu Dingqiu ketawa. Dia melibas lengan bajunya dan lembing waja itu terbang ke arahnya.

Sejurus ia menyentuh tangannya, ekspresi Wu Dingqiu berubah. Matanya berkelip ketika dia memeriksa lembing itu dengan lebih teliti. Si Aneh Song yang sedang muram juga melihat lembing itu dengan teliti. Tiba-tiba matanya mula bersinar. Dia melihatnya dengan mulut terbuka dan lalu tersenyum.

Ekspresi Wu Dingqiu kelihatan sangat menakutkan. Tidak kira dari aspek mana dia melihat lembing itu, itu lembing biasa. Tidak mahu mempercayai itu benar, dia menghalakan lembing itu pada binatang Syaitan secara rawak di kaki gunung. Makhluk itu tidak langsung menyedarinya.

Ekspresi di wajahnya berubah menjadi lebih menakutkan. Dia mengangkat kepalanya dengan perlahan dan memandang dingin ke arah Qian Shuihen and Lu Song.

"Apa yang kamu tukarkan untuk lembing ini?" tanya Wu Dingqiu, sepatah demi sepatah.

Kelihatan gugup, Qian Shuihen berkata, "Saya telah memberi dua ribu Batu Rohani, tujuh Pil Rohani Bumi, salah satu Ceracak Neraka Sekta, dan... dan Pil Rentas Penara."

Wajah Wu Dingqiu kelihatan lebih mengerunkan.

Seterusnya, Lu Song berkata: "Saya memberikan seribu lima ratus Batu Rohani, tiga Pil Rohani Syurga, satu kipas berharga dan pil sakti." 

Si Aneh Song ketawa terbahak-bahak. Itu gelak tawa yang melegakan, seolah-olah semua kemurungannya yang terpendam daripada beberapa hari lepas tiba-tiba hilang.

Wu Dingqiu sudah cukup marah, tetapi ketika dia mendengar harga yang telah dibayar oleh kedua pengikutnya dan gelak ketawa Si Aneh Song, kemarahannya meletus. Dia tiba-tiba meraung marah. "Si bodoh tak berguna! Ini ialah lembing palsu!"

Raungan itu bergema seperti guruh dan menghancurkan papan Go. Rekahan muncul di permukaan gunung. Qian Shuihen dan Lu Song jatuh ke tanah dengan darah yang menyembur keluar daripada mulut mereka. Kepala mereka berputar ketika satu perkataan Wu Dingqiu bergema di dalam hati mereka.

"Palsu..." Mereka terkejut.

Perkataan ini tersebar di semua arah bersama dengan suara raungannya dan didengari hampir ke separuh banjaran Gunung Perisai Negeri sehingga sampai ke Bandar Peradaban Timur.

Akhirnya berita ini didengari oleh Sun Hua dan dia berasa sangat keliru. Selepas seketika, ekspresinya berubah dan kelihatan seperti terkejut.

"Lembing itu palsu?" Dia memandang kawan-kawannya dan mereka mula menyedari apa yang telah berlaku.

"Tidak mungkin lembing waja itu palsu, mungkinkah...?"

Di dalam Astaka Ratusan Khazah, Qiao Ling sedang memperkenalkan barangan sakti kepada seorang Pertapa ketika dia mendengar bunyi bising di luar. Dia kagum apabila dia teringat kembali pada lembing waja Meng Hao dan dia mempamerkan riak wajah yang aneh.

Di sebelah tungku pil, lelaki pertengahan umur itu membuka matanya dan matanya berkelip dengan ungkapan yang mengejek. Tanpa berkata apa-apa, dia menutup matanya kembali.

Jauh dari dataran tinggi Pergunungan Perisai Negeri, Meng Hao menundukkan kepalanya dan berlari lebih cepat.

Gelak tawa Si Aneh Song kedengaran di seluruh pergunungan itu. Wajah Wu Dingqiu kelihatan sangat mengerikan. Dia, seorang pemimpin Sekta Takdir Ungu Lembayung telah diperdayakan oleh seorang Pertapa di tahap Pemekatan Qi. Walaupun dia tidak terlibat secara langsung, dia pasti akan malu jika perkara ini tersebar.

Wu Dingqiu hendak mengesan dan mencari Meng Hao dengan segera. Dia berpaling untuk melihat Qian Shuihen dan Lu Song, yang berdiri di sana ketakutan. Dia rasa meluat, tetapi dalam hatinya dia mengeluh. Pengikut-pengikut ini telah menghabiskan masa mereka di dalam Sekta dan tidak mempunyai pengalaman berurusan dengan orang luar. Mereka masih mentah, tidak berpengalaman dan tidak mampu menangani tipu muslihat.

Dengan hembusan dingin, dia melemparkan lembing waja ke tanah. Dia mengambil beberapa langkah ke hadapan dan menggunakan derianya untuk mencari Meng Hao. Tetapi, langkahnya dihalang oleh Si Aneh Song yang sedang ketawa dengan senang hati.

"Rakan Taois Wu, janganlah marah," kata Si Aneh Song. "Sekta Takdir Ungu Lembayung kamu menekankan keperluan untuk memupuk Qi dan menenangkan minda demi membentuk pembawaan seseorang. Jangan biarkan perkara kecil seperti ini membangkitkan kemarahan kamu. Dengan pertapaan seperti ini, kamu harus melakukan sedikit kajian dalam Manual Pertapaan Moral Sekta kamu." Si Aneh Song ketawa berbahak-bahak. Sebelum ini, Wu Dingqiu telah menghalangnya pergi walaupun puas Si Aneh Song memberikan alasan. Sekarang, sudah pasti Si Aneh Song akan melakukan perkara yang sama kepada Wu Dingqiu.

"Kamu..." wajah Wu Dingqiu semakin mengerunkan dan dia menatap Si Aneh Song dengan tajam. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa.

"Kamu telah merosakkan papan Go ini, sekarang kita tidak dapat menyelesaikan pertarungan kita," kata Si Aneh Song dengan senyuman. "Macam inilah: kamu nak bawa aku ke Sekta Takdir Ungu Lembayung, bukan? Jom kita pergi! Kita boleh berbual dan bermain Go selama berbulan-bulan." Kemurungan telah hilang sepenuhnya daripada hati Si Aneh Song. Melihat Wu Dingqiu seperti ini, dia sangat gembira. Dia sudah tidak peduli lagi mengenai khazanah yang telah diambil Meng Hao. Apa yang paling penting baginya ialah rupa kemarahan dan penghinaan yang dialami Wu Dingqiu.

Dia menarik dan memegang Wu Dingqiu dengan niat tidak mahu melepaskannya.

Wu Dingqiu menjadi murung. Dia merenung tajam Si Aneh Song, kemudian mengeluh panjang. Dia tahu lelaki itu tidak akan membiarkannya mengejar Meng Hao. Dia menghentak kakinya dengan marah, kemudian membenarkan Si Aneh Song menariknya ke udara.

"Kamu yang tidak berguna tidak akan dapat bersaing," kata Wu Dingqiu, melihat ke bawah Qian Shuihen dan Lu Song yang sedang mengigil. "Kenaikan tahap ke Sekta Dalaman terbatal. Kembali ke Sekta dan segera bermeditasi sendirian!" Pengikut lain menyaksikannya dengan wajah pucat.

"Celaka kamu Meng Hao," kata Lu Song sambil menundukkan kepalanya dan wajahnya merah padam. "Aku tak akan lupakannya, bangsat!" Dia mengetapkan giginya ketika dia mengingati ekspresi malu-malu Meng Hao dan matanya dipenuhi kemarahan yang melampau. Dia belum pernah bertemu orang yang kurang ajar sepanjang hidupnya. Lembing itu jelas palsu. Wajahnya kelihatan penuh kekesalan ketika dia memikirkan betapa banyak dia telah bayar untuk lembing itu. Ketika dia memikirkan tentang kehilangan peluang untuk memasuki Sekta Dalaman, dia menjadi sangat marah sehingga dia hampir memuntahkan darah.

"Tidak tahu malu! Bedebah! kata Qian Shuihen sambil memikirkan barangan berharganya. Dia mengambil lembing waja itu. "Meng Hao, kamu orang jahat!" Sewaktu dia memikirkan kegagalannya memasuki Sekta Dalaman, dia hampir hendak menjadi gila. Kemudian, apabila dia memikirkan semua pil perubatan dan barangan saktinya, kebenciannya terhadap Meng Hao semakin bertambah.

Kedua-dua mereka saling berpandangan, mempamerkan riak yang penuh dengan kekesalan.

"Kita akan letakkan lembing ini di dalam Sekta untuk mengingatkan kita mesti membunuh Meng Hao!"

Keinginan membunuh terpancar di mata mereka. Namun, ujian kebolehan telah berakhir dan mereka dikehendaki kembali ke Sekta. Dendam dan niat untuk membunuh Meng Hao hanya boleh disembunyikan di dalam hati mereka dan tidak mungkin akan terpadam.

Sementara itu, Meng Hao rasa takut setengah mati dan merasakan dia telah disalah anggap. Sambil mengeluh, dia meningkatkan kelajuannya dan berlari secepat mungkin selama tujuh hari berturut-turut. Akhirnya dia menemui gua Dewa di satu pergunungan. Keletihan, dia duduk bersila dan mula bermeditasi sambil melakukan latihan pernafasan.

"Berbaloikah...?" Dia mengeluh pada dirinya sendiri. Dia keletihan setelah berhari-hari melarikan diri kerana terlalu takut ditangkap. Sekarang, dia sangat penat.

Dua hari kemudian pada waktu subuh, dia membuka matanya dan mulai berlari lagi. Selama setengah bulan, dia tidak berani membiarkan siapa pun melihatnya. Akhirnya, jauh di pergunungan yang terpencil, ketika dia merasa selamat, dia menggunakan pedang terbang untuk mengukir sebuah gua. Dia mengurungkan dirinya di dalam gua itu untuk bermeditasi.

Next chapter