webnovel
avataravatar

Ikatan Tidak Terlerai

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci mengetap giginya dan tersedar dia tidak mampu menceritakan perkara yang berlaku. Sekarang di mata orang ramai, dia ialah seorang balu. Sejak hampir empat tahun lalu, selepas Li Sicheng tiada, dia telah membesarkan anak-anaknya sambil menguruskan Syarikat Li. Di laman-laman web terbesar termasuk Weibo, kecantikan dan kejayaannya sering menerima pujian tinggi. Walaupun dia tidak kisah dengan populariti itu, tetapi dia tahu di sebalik pangkat tinggi dan perwatakan baiknya, ada keluarga Li.

Sekarang dia mempunyai ikatan yang tidak terlerai dengan keluarga Li. Mana mungkin dia boleh membiarkan cerita seperti itu diketahui ramai? Dia tidak sanggup. Riak wajah Su Qianci bertukar kecewa dan hatinya runtun. Adakah lelaki itu telah meneliti semua perkara ini sebelum cuba mencabulnya? Jika benar apa yang difikirkannya… Bermakna perkara ini akan berulang-ulang lagi… Su Qianci mengeluh dengan perasaan jengkel dan berjalan kembali ke dewan.

Acara pembidaan itu sudah sampai ke tahap kemuncak. Li Jinnan hanya melihat Su Qianci yang kelihatan sedang memikirkan sesuatu yang lain tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia membuat bidaan terakhir dan membuatkan suasana menjadi kecoh.

"Kamu pasti Encik Li?"

"Ya."

Daerah Gu Du Ming pasti akan menjadi milik Syarikat Li.

Keadaan sekeliling menjadi semakin riuh-rendah dan membuatkan Su Qianci berasa pening.

Selepas seketika, akhirnya Li Jinnan memanggilnya. "Hei?" Su Qianci mendongak dengan wajah bingung. "Kita berjaya dapatkannya, tapi harganya lebih sedikit daripada bajet."

"Berapa?"

Li Jinnan menunjukkan harganya. Su Qianci melihatnya sekilas dan menyedari ia lima kali ganda harga asal. Ia masih dalam jangkaannya.

Su Qianci mengangguk, tetapi kepeningannya bertambah teruk. "Tak apa. Kamu uruskan yang selebihnya. Saya rasa kurang sihat."

"Kenapa ni?" Dahi Li Jinnan berkerut. Dia mahu merasa dahi Su Qianci, tetapi merasakan ia akan kelihatan tidak sopan pada mata orang ramai.

Su Qianci tidak risau akan keselamatannya kerana bersama Li Jinnan. Jadi dia tidak meminta Shuang Yu untuk datang bersama. Sekarang dia mula berasa tidak selesa. Su Qianci menyedari riak wajah Li Jinnan yang risau. "Saya cuma rasa serabut sedikit. Kamu pergilah uruskannya dulu. Panggil saya bila dah selesai. Saya mahu duduk di sini sebentar."

Li Jinnan mengangguk. "Okey." Kemudian dia berjalan ke hadapan manakala orang-orang di dewan itu mula beredar.

Su Qianci duduk dengan mata separuh terbuka. Ramai yang menyedari kehadirannya, tetapi kebanyakan mereka tidak berani untuk menyapanya. Presiden Su yang dipandang mulia dan terkenal itu mempunyai reputasi yang tinggi. Sejak beberapa tahun lepas, kecantikan dan umurnya yang masih muda menarik perhatian ramai lelaki, tetapi Su Qianci tidak pernah mengendahkan mereka. Tambahan pula pengawal peribadi perempuannya sentiasa mengikutinya ke mana sahaja. Walaupun pengawal peribadi itu tiada bersamanya sekarang, tuan muda keluarga Li itu juga tidak boleh diambil mudah.

Tetapi walaupun para lelaki kurang selesa untuk menghampirinya dan berbual, para wanita tidak perlu kisah tentang itu.

Tang Qing menghampiri Su Qianci lalu menbongkok sedikit dan memandang wanita itu dengan riak wajah bimbang. "Presiden Su."

Mata Su Qianci yang hampir tertutup membuatkan dia tidak menyedari Tang Qing datang menghampirinya. Mendengar panggilan itu, dia terus membuka mata. Walau bagaimanapun, di hadapan matanya kelihatan satu wajah yang seakan mayat hidup dan membuatkannya terkejut dalam ketakutan. Wajah Tang Qing tegang dan pucat seperti bedak, manakala bibirnya merah menyala dan menyeramkan.

Next chapter