webnovel

Koma Selama Empat Hari

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci terjaga apabila mendengar telefonnya berdering. Dia membuka mata dan menyedari pagi sudah menjelma. Jam menunjukkan pukul 8 pagi. Dia menjawab panggilan itu yang datang daripada Cheng You. Dia tertanya kenapa wanita itu menelefonnya. "Hello?"

"Puan? Saya… saya tahu Puan pasti sedang bersedih, tapi perkara ini dah tak boleh ditangguhkan lagi. Boleh Puan datang ke syarikat jam 2 petang ini?"

"Syarikat…" Syarikat Li Sicheng. Su Qianci sudah terlupa tentangnya. Disebabkan Li Sicheng sudah tiada, tiada sesiapa untuk menguruskan syarikatnya. Keadaan di sana pasti sedang kacau-bilau. Dia bangun lalu mendengar apa yang diberitahu Cheng You.

"Ya, selepas berita tentang Encik Li keluar, saham Syarikat Li terus jatuh merudum. Ahli lembaga pengarah sedang mendesak untuk mengundi CEO baru. Disebabkan Encik Li miliki 55.3% saham syarikat dan Puan adalah pewarisnya, saya harap Puan boleh datang ke mesyuarat ahli lembaga pengarah. Boleh?"

Cheng You tidak pernah menyangka seseorang yang sehebat Li Sicheng akan pergi secara tiba-tiba. Dia telah menangis selama berhari-hari sehingga seakan hampir buta. Dia telah berada di sisi bosnya itu selama bertahun-tahun dan Li Sicheng bukan sahaja menghargainya, malah melayannya dengan baik. Sewaktu Li Sicheng masih bujang, Cheng You turut menyimpan perasaan kepadanya. Lagi pula Li Sicheng adalah lelaki yang dipandang tinggi dan disayangi oleh ramai orang. Walaupun dia tidak mempunyai keberanian untuk memikat lelaki itu, mustahil untuk mengatakan dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap Li Sicheng.

Walau bagaimanapun, Cheng You tahu dia masih mempunyai kehidupan dan kerja untuk diuruskan. Setelah pemergian Li Sicheng, banyak perkara diuruskan olehnya sendirian. Namun walaupun dia merupakan orang kedua selepas Li Sicheng yang bertanggungjawab dengan pengurusan syarikat, dia tidak boleh mengambil alih tugas itu buat selama-lamanya. Baru sahaja beberapa hari sejak Li Sicheng pergi, tetapi ahli-ahli lembaga pengarah sudah mendesak untuk memilih presiden syarikat yang baru. Malah ada juga beberapa orang yang mengugut untuk menjual saham mereka dan meninggalkan syarikat itu. Pergi jahanamlah Syarikat Li!

Li Sicheng memulakan syarikat itu daripada tiada apa-apa dengan usaha yang sangat gigih. Apa pun yang berlaku, Cheng You tidak akan membiarkan syarikat itu jatuh begitu sahaja. Namun tidak kira betapa berkuasanya Cheng You, dia masih tetap hanya seorang pembantu.

"Okey, tengah hari nanti saya datang."

"Baik, kami tunggu Puan."

*****

Selepas panggilan ditamatkan, Su Qianci masuk ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi, dia melihat satu nombor telah menelefonnya berkali-kali. Ia nombor dari ibu kota. Adakah Rong Haiyue yang menelefonnya? Lelaki itu mengalami kecederaan yang serius pada hari kejadian dan Su Qianci tidak mendengar lagi beritanya sejak itu.

Su Qianci menelefon kembali dan panggilannya segera dijawab. Tetapi selama beberapa saat, tiada antara mereka yang memulakan perbualan.

Selepas seketika, Su Qianci mendengar satu suara. "Qianci?"

Ia suara wanita dan dia ialah Rong Xuan.

"Ada apa-apa yang kamu perlukan?"

Rong Xuan diam seketika sebelum berkata, "Rong Haiyue alami kecederaan serius. Kulit di seluruh tubuhnya terbakar teruk, jadi dia tak dapat pergi melawat kamu. Dia baru saja sedar." Rong Xuan diam lagi sebelum menyambung, "Dia koma selama empat hari."

Terbakar teruk, koma selama empat hari. Walaupun Su Qianci belum mempunyai perasaan kasih kepada ayah kandungnya itu, dia tetap berasa sedih apabila mendengar keadaan Rong Haiyue.

"Dia mahu jumpa kamu," kata Rong Xuan perlahan dan seakan teragak-agak.

Su Qianci mendengarnya dengan jelas. Apa yang sedang Rong Xuan lakukan? Adakah wanita itu takut dia akan menolak?

Next chapter