webnovel

Su Qianci telah tidur nyenyak semalaman, tetapi masih merasakan tidak cukup tidur. Dia berasa berat untuk bangun awal pagi keesokannya. Sebaik merasakan tangan Li Sicheng memicit hidungnya, Su Qianci mengerutkan dahi dan memukul tangan itu. Tetapi tangannya terus ditangkap dan digunakan untuk menariknya bangun. Su Qianci membuka mata sambil memuncungkan bibirnya. Dia memandang suaminya di hadapannya dan menundukkan kepala. "Mengantuknya…" 

"Tidurlah dalam kapal terbang nanti," kata Li Sicheng sambil menariknya bangun. "Hari ni kita nak ke ibu kota. Kamu dah lupa?"

"Jangan… Bukan harini, kita pergi esoklah." Su Qianci menarik selimut kembali.

Li Sicheng hanya tersenyum. "Kamu akan cakap macam tu juga esok. Bangun, saya tolong kamu pakai baju."

"Hei…" Su Qianci memaut leher suaminya. "Nanti saya muntah di dalam kapal terbang."

"Semalam kamu beritahu Rong Haiyue kita akan sampai waktu tengah hari. Kamu nak mungkir janji?"

Mendengar kata-kata itu, Su Qianci akhirnya bangun dan mengangkat tangan supaya Li Sicheng dapat menanggalkan bajunya.

Li Sicheng mencubit hidung isterinya. "Dah semakin malas." Walaupun berkata begitu, dia tetap membantu Su Qianci menanggalkan pakaian dengan sabar. Su Qianci langsung tidak membuka matanya. "Okey dah."

"Oh!" Su Qianci membuka mata dan terus ke bilik air. Selesai mandi, dia melihat Li Sicheng sudah menyiapkan barang-barang yang perlu dibawanya. "Jom."

"Tunggu. Saya nak pakai mekap sekejap."

"Tak boleh, tak ada mekap. Ibu mengandung perlu jauhkan diri daripada benda-benda sebegitu."

"Tapi kulit muka saya teruk. Tengoklah!" rungut Su Qianci. "Pucat, kusam dan hodoh."

"Tak hodoh. Kamu lebih cantik daripada kebanyakan orang yang pakai mekap."

"Betul?"

"Betul."

"Kalau macam tu saya akan pakai gincu saja."

Li Sicheng menghampiri isterinya dan mengambil gincu itu. Kemudian dia mengangkat Su Qianci dan berkata, "Jom! Sarapan kemudian kita terus pergi."

Su Qianci memuncungkan bibirnya, tetapi dia tidak akan dapat menandingi kekuatan Li Sicheng. Selesai bersarapan, mereka menaiki teksi ke lapangan terbang. Sewaktu di dalam kapal terbang, Su Qianci tidak dapat tidur dan memanggil suaminya. "Abang."

"Ya?"

"Perasaan saya kuat mengatakan yang anak kita memang kembar. Semalam saya mimpi anak lelaki dan anak perempuan kita ajak saya bermain. Satu lagi, mereka minta kamu berikan nama kepada mereka."

Li Sicheng menoleh ke arah isterinya sebaik mendengar kata-kata itu. Wajah yang kebiasaannya dingin itu tersenyum. "Saya?"

"Ya!" Su Qianci memandangnya dengan penuh harapan. "Nama rasmi mesti akan diberi oleh Atuk. Kamu boleh beri nama panggilan mereka."

Li Sicheng kelihatan sedang berfikir. Su Qianci berkata dengan tidak sabar-sabar, "Bagaimana kalau Li Dabao dan Li Erbao?"

Li Sicheng memandang isterinya selepas terdiam seketika.

"Tak pun Li Baobao, Li Beibei?" Su Qianci memberi cadangan lain. "Biasanya nama panggilan budak-budak macam ni kan?"

"Tidurlah sekejap. Biar saya fikirkan dulu." Li Sicheng jelas tidak menyukai nama-nama yang dicadangkan isterinya.

Su Qianci memuncungkan bibirnya lalu menarik selimut sebelum membelakangi suaminya itu. Li Sicheng senyum dan mula berfikir sambil bersandar pada tempat duduknya. Perjalanan mereka mengambil masa selama tiga jam dari Kingstown ke ibu kota. Sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota, waktu sudah menjelang tengah hari.

Mood Su Qianci kelihatan baik. Sebaik sahaja kapal terbang mereka mendarat, dia membuka tali pinggang keselamatannya dan bertanya dengan teruja, "Dah ada nama yang kamu fikir?"

Next chapter