webnovel

Perang Penuh Kemenangan

Editor: EndlessFantasy Translation

Dengan segera, berita Han Yufan dan Mo Yurou menjadi buah mulut orang ramai. Usaha mereka dengan PR sebelum ini menjadi sia-sia. Memandangkan Han Yufan dan Tangning merupakan pasangan bertunang, video itu mendedahkan Mo Yurou sebagai pihak ketiga yang mengganggu mereka. Jadi, dia segera dibenci sebagai perosak rumah tangga yang dimaki semua orang.

Pada masa ini juga, seorang daripada pengamal media mendedahkan bahawa kejadian penggantian Bintang Tiara juga merupakan idea Han Yufan dan Mo Yurou di mana Tangning terpaksa menggalas semua kesalahan.

Masyarakat internet menjadi kecoh.

Pada petangnya, berita lebih besar mengenai kejadian di lapangan terbang tersebut dikeluarkan.

Tangning sebelum ini dikritik kerana tidak menghormati peminatnya dan menyebabkan orang ramai yang lalu-lalang membencinya. Namun, selepas video Mo Yurou disebarkan, Laman Peminat Rasmi Mo Yurou memuat naik satu kenyataan menjelaskan seluruh kejadian tersebut bukan salah Tangning. Mereka turut memberitahu bahawa peminat telah merancang seluruh kejadian tersebut terlebih dahulu. Malah, para peminat tersebut menyatakan bahawa perbuatan tersebut dilakukan hanyalah semata-mata untuk menyokong Mo Yurou. Nasib baiklah mereka sudah sedar bahawa idola yang mereka dilindungi, langsung tidak berbaloi untuk dilakukan sedemikian.

Paling penting, bukti tentang pembantu Mo Yurou memberikan butiran terperinci mengenai jadual Tangning secara rahsia kepada kelab peminat itu juga dimuat naik. Rakaman yang menunjukkan perbincangan mereka mengenai rancangan untuk apa yang dilakukan di lapangan terbang juga dikongsi..

Akhirnya, surat penjelasan bagi pihak Tangning dikeluarkan untuk menjelaskan bahawa Tangning tidak membaling jambakan bunga ke atas lantai. Mereka juga memuji Tangning yang sopan dan memohon maaf dengan ikhlas walaupun dia tahu dia sedang difitnah. Lebih mustahak lagi, apabila dia dilindungi polis, Tangning begitu mengambil berat dengan meminta pihak polis tidak berkasar kerana bimbang jika ada yang tercedera.

Semua ini dikeluarkan oleh Kelab Peminat Rasmi Mo Yurou yang bermakna kelab peminat Mo Yurou kini hanyalah sekumpulan askar yang tewas. Malah, peminat setianya juga kini tidak mempedulikan dia. Bagaimanakah orang akan mempercayai Mo Yurou lagi? Pihak media berterusan menjadi negatif, peminat mula menghinanya. Syarikat yang pernah menggunakan Mo Yurou sebagai jurucakap pula segera membawa turun iklan mereka dan menghantar surat kepada peguam syarikat.

Melihat pada semua perkara ini, Mo Yurou tahu dia sudah musnah…dia benar-benar sudah musnah!

"Yurou, kamu perlu kekal tenang. Kamu masih ada anak dalam kandungan kamu. Dengan anak ini, kamu tidak perlu takut mengenai Presiden Han enggan patuh pada kamu. Jika pada akhirnya kamu tidak dapat menjadi peragawati terkenal sekalipun, kamu masih boleh menjadi isteri kepada CEO Tianyi." Pembantu Mo Yurou cuba menenangkannya selepas melihat dia membaling semua benda ke atas lantai. "Jangan rosakkan tubuh kamu. Perjalanan kamu masih panjang."

Mendengarkan hal ini, Mo Yurou bersetuju dengan penjelasan pembantunya. Jika Tangning membuat kemunculan kembali sekali pun, apa akan jadi? Dengan anak dalam kandungannya, dia masih ada peluang untuk menang.

...

Sebaik sahaja mereka keluar dari perut pesawat, Tangning menerima panggilan telefon daripada Mo Ting. Long Jie segera menyemak perkembangan perang yang sedang berlaku. Keadaan di pihak mereka kelihatan baik. Pihak yang hina itu nampaknya tidak berpeluang untuk membalas balik.

"Patutkah saya mengucapkan tahniah kepada isteri saya di atas perang penuh kemenangan ini?" Mo Ting duduk di atas kerusi di pejabatnya dengan susuk wajahnya yang disinari sinar mentari terbias dari tingkap pejabatnya. Dia kelihatan kacak seperti biasa.

Tangning ketawa lembut dan menjawab nakal, "Patutkah abang ucapkan tahniah pada saya setiap kali saya membuat sebarang tindakan?"

"Kamu tidak dapat meneka kah? Saya hanya mencari alasan untuk menelefon kamu…"

Hati Tangning tersentuh. "Sayangnya saya tidak dapat pulang ke rumah malam ini." Dia menjawab dengan bisikan perlahan.

"Kalau kamu beritahu yang kamu rindukan saya, keajaiban mungkin berlaku." Mo Ting mengusik. "Kamu mahu cuba?"

"Kalau tiada keajaiban sekali pun, saya tetap rindukan kamu." Tangning membalas serius tetapi kerana dia tiba tiba berasa segan, dia segera memutuskan panggilan sebelum Mo Ting sempat membalas. Di hujung talian sebelah sana, Mo Ting ketawa lalu segera memanggil Lu Che masuk ke biliknya melalui interkom.

"Aturkan saya satu penerbangan ke Liusen, secepat mungkin. Kemudian, kemaskan semua dokumen yang saya perlu tandatangan supaya saya boleh bawa mereka bersama saya semasa penerbangan."

Tangning langsung tidak tahu bahawa ada kejutan untuknya.

Selepas keluar daripada kapal terbang, Tangning segera menuju ke lokasi penggambarannya. Memandangkan kontraknya turut memasukkan iklan media cetak, walaupun ianya sudah malam, Tangning masih masuk ke studio.

Bersama dengannya merupakan beberapa orang peragawati asing yang akan terlibat di dalam iklan itu. Kesemua mereka sangat profesional. Apabila melihat Tangning berdiri tanpa sebarang riak, jurugambar tersebut tiba-tiba berasa runsing jika Tangning dapat memenuhi jangkaan mereka atau tidak. Iklan cetak itu memerlukan gaya para peragawati ditangkap dalam masa yang singkat dan mempunyai tahap kesukaran yang tinggi. Dalam sesaat, peragawati perlu menunjukkan riak emosi yang sesuai dengan produk tersebut. Ini merupakan ujian sebenar untuk kebolehan berlakon seorang peragawati.

Malangnya, tubuh Tangning terselindung di sebalik gaun labuh yang dipakainya. Jadi, tiada sesiapa dapat melihat kelebihan bentuk tubuhnya. Apabila dia menukar pakaian dan melangkah keluar baru lah semua orang dapat melihat ukuran tubuhnya yang sempurna. Semua orang di dalam studio tersebut terpegun. Baik ketinggiannya atau ukuran tubuhnya, semuanya memenuhi taraf antarabangsa.

Dengan gaun hitam potongan A bercorak kasual dan dipadankan dengan jaket denim gelap, Tangning memberikan aura seksi.

Tetapi air mukanya…

Jurugambar tersebut masih bimbang. Jadi dia segera berjalan ke arah Tangning untuk menerangkan padanya. "Gambar yang akan ditangkap hari ini mempunyai gaya sedikit liar. Seperti kucing liar yang keluar bersiar-siar pada waktu malam…"

"Saya faham…" Tangning mengangguk tenang.

Jurugambar tersebut tidak menerangkan lebih lanjut. Kualiti peragawati Asia sememangnya begini. Tiada gunanya untuk menyimpan harapan.

"Mari, semua orang ambil posisi. Ayuh mulakan dengan penggambaran individu, Jason!"

Setiap peragawati yang dipanggil berjalan untuk berdiri di hadapan skrin. Dengan cepat dan profesional, mereka menyelesaikan penggambaran mereka. Tangning merupakan yang terakhir. Kerana dia merupakan yang terakhir, dia di bawah tekanan yang lebih tinggi. Lagipun, daripada segi rupa, dia tidak dapat dibandingkan dengan peragawati asing. Jika lakonannya tidak cukup pantas, seluruh penggambaran tersebut akan gagal.

"Tangning!"

Mendengarkan panggilan jurugambar tersebut, Tangning berjalan ke hadapan skrin dengan memakai gelang tangan HF daripada koleksi 'Malam Menawan' mereka. Jurugambar tersebut berterusan menerangkan pada Tangning mengenai bagaimana dia patut kelihatan untuk mencapai gaya liar tetapi Tangning hanya tersenyum sambil mengangguk faham. Salah satu perkara yang dibenci jurugambar tersebut ialah orang yang berlakon faham apabila mereka langsung tidak memahami benda itu. Lalu, sambil menarik kamera dan berundur ke belakang, dia berkata, "Mari cuba beberapa gambar percubaan dan tengok macam mana ianya jadi."

"Tidak apa. Ianya okey. Mari mulakan penggambaran terus." Tangning meminta.

Melihatkan keyakinannya, jurugambar tersebut menjangkakan satu jenaka. Dengan sedikit negatif, dia memberi amaran. "Kamu yang minta. Kalau saya sudah mula, tiada peluang kedua."

"Okey." Tangning menjawab dengan tenang seperti biasa.

Peragawati lain merasakan Tangning menggali kuburnya sendiri. Dia terang-terang sudah diberi peluang…tetapi dia menolaknya. Apa yang difikirkannya?

"Kalau begitu, jom mulakan…" Jurugambar tersebut melambai sambil memandangnpada Tangning tanpa sebarang jangkaan.

Tangning mengangguk, kemudian…

…sewaktu orang lain berkumpul di sekelilingnya untuk menyaksikan dia memalukan dirinya sendiri…dalam sekelip mata, dia seolah-olah memasuki alam yang berbeza, mengejutkan semua orang yang melihat. Mereka hanya mampu memandang apabila Tangning mengangkangkan kakinya dengan begitu semula jadi, menggenggam tangan kirinya di sekeliling pergelangan tangan kanannya dan membuka bibirnya dengan lembut. Sewaktu dia menggigit jari tengah pada tangan kirinya, semua orang terpegun melihat sinar pada matanya – ianya begitu mengancam. Berbanding dengan bagaimana dia kelihatan seperti seorang yang lemah sebelum ini, dia kelihatan seolah-olah bertukar kepada manusia yang berbeza!

Apa yang mengagumkan orang lain adalah gelang pada pergelangan tangannya yang kelihatan seperti memberinya tenaga liar. Produk tersebut dan Tangning begitu serasi bersama-sama, seolah-olah menjadi satu…

Jurugambar tersebut kehilangan kata-kata. Di manakah HF menjumpai permata seperti ini? Tahap profesionalismenya sama taraf dengan peragawati terkenal antarabangsa!

Next chapter