webnovel
avataravatar

Kembalikan Kontrak Itu Kepada Yurou!

Editor: EndlessFantasy Translation

Majlis rasmi menandatangani kontrak dengan HF akan diadakan pada 9 pagi dan akan disiarkan secara langsung serta diumumkan secara rasmi kepada orang ramai. Mengenai perang antara Tangning dan Mo Yurou, nampaknya, HF menyebelahi Tangning.

Tiga tahun sudah berlalu semenjak Tangning menghadiri majlis seperti ini. Dia hampir terlupa rasanya. Tetapi, sebaik sahaja dia memakai gaun berwarna putih krim dengan potongan belakang yang rendah dan barang kemas yang ditaja HF, Tangning kembali berseri dengan keyakinan.

Long Jie meninggalkan rumahnya dengan awal dan memandu ke Regensi Hyatt. Sebagai pembantu Tangning, Mo Ting memberikannya kebenaran khas untuk memasuki vila mereka bila-bila masa sahaja. Dia sudah menyediakan gaun untuk Tangning…tetapi sebaik sahaja dia memasuki bilik pakaian besar yang disediakan oleh Mo Ting untuk Tangning, dia tidak dapat mempercayainya.

"Dia memang benar-benar presiden Hai Rui, pemurah dengan citarasa hebat!" Long Jie memuji.

Tepat pada masa itu, Mo Ting keluar dari bilik pakaiannya sendiri. Sebaik sahaja dia melihat Tangning, dia berpusing kepada Long Jie. "Saya ada sesuatu yang perlu dikatakan pada Tangning."

"Okey, saya akan keluar sebentar." Long Jie begitu memahami dan berpusing keluar. Dia menutup pintu bilik itu.

Tangning berdiri di hadapan cermin dan tersenyum manis kepada Mo Ting. Dia kelihatan segar dan anggun bak bunga lili yang sedang berkembang. Sukar untuk seseorang tidak memberi seluruh perhatian padanya.

"Apa yang abang mahu katakan pada saya?"

Mo Ting tidak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia melangkah ke arah Tangning dan memeluknya dari belakang. Kemudian, dia mengarahkan leher Tangning menghadapnya supaya bibir Tangning boleh ditutupi bibirnya. "Saya mahu cium kamu dan lebih penting…saya mahu memuja kamu."

"Saya akan lewat." Tangning juga tidak mahu berpisah dengan bibir Mo Ting.

"Saya akan menonton siaran langsung…"

Tangning mengangguk puas hati. Dia mencangkukkan tangannya pada tangan Mo Ting sambil mereka berjalan keluar dari vila tersebut beriringan. Sejujurnya, sesiapa yang melihat pasangan tersebut akan percaya bahawa mereka merupakan pasangan serasi. Tangning seperti salju putih yang melambangkan rasa suci manakala Mo Ting menggoda seperti malam kelam yang berbahaya.

Long Jie terpegun dengan pasangan kekasih itu, inilah bagaimana pasangan berkahwin patut kelihatan…bukan seperti si Han Yufan yang tidak guna itu, begitu tidak sedap dipandang.

Seketika kemudian, Tangning menaiki kereta dengan bantuan Long Jie. Dalam perjalanan, Long jie bercakap sambil memandu, "Tandatangan kontrak itu akan diadakan pada jam 9 pagi. Kita patut tiba pada 8.50 pagi, cukup sesuai."

"Aturan kamu sentiasa tepat." Tangning tunduk ke bawah dan meleret skrin telefonnya.

"Kapal terbang pada pukul 3 petang dan Mo Yurou sudah mengaturkan anti-peminat untuk memberhentikan kamu di lapangan terbang. Dalam kalangan peminatnya, mereka sudah membincangkan rancangan untuk membuatkan kamu nampak teruk. Salah seorang daripada mereka akan mencari peluang untuk memalukan kamu manakala yang lain akan menjadi orang lalu lalang bertujuan untuk menyerongkan tanggapan orang ramai terhadap kamu." Long Jie mengerutkan hidungnya dengan jijik. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang dibuat oleh murid sekolah rendah dan malangnya, perbuatan tidak matang seperti inilah yang selalu mencederakan orang lain.

"Bagaimana kamu tahu mengenai semua maklumat ini?" Tangning agak terkejut.

"Sebab saya sudah menyuruh Xiao Hao menyorok dalam kalangan mereka…" Long Jie menggumam bangga. "Kita biarkan kanak-kanak ini gembira buat seketika. Selepas video itu dikeluarkan, kita tengok muka siapa yang tertampar lebih deras."

Tangning ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Mo Yurou sememangnya mempunyai kemampuan untuk mengumpulkan anti-peminat. Dalam perbandingan, jumlah peminatnya yang aktif kelihatan begitu sedikit. Namun, masih ada beberapa orang yang bersemangat menunggu kemunculannya di lapangan terbang.

Tepat pada 8.50 pagi, Tangning tiba di hotel di mana tandatangan kontrak tersebut diadakan. Dia berjalan melalui karpet merah di hadapan para wartawan.

Long Jie memilih untuk tiba pada pukul 8.50 pagi kerana jika mereka tiba lebih awal, Tangning akan merendahkan dirinya sendiri. Pada masa yang sama, dia perlu memastikan mereka tidak lewat. Jadi, Long Jie sudah merancang masa untuk semuanya dengan sempurna.

"Tangning, selepas permohonan maaf terbuka kamu, kamu menghilangkan diri. Apabila kamu muncul lagi, kamu mengambil kontrak Mo Yurou. Adakah ini semua rancangan kamu?"

"Mo Yurou mengeluarkan gambarnya yang bekerja keras untuk berdiri pagi ini. Adakah dia menuduh kamu mencuri tawarannya?"

"Tangning, adakah kamu merancang untuk membuat kemunculan kembali?"

Tangning tersenyum sepanjang masa tanpa memberi jawapan kepada sebarang soalan daripada para wartawan. Selepas memasuki hotel tersebut, dia mendengar dengan teliti mengenai aturan HF dan bekerjasama dengan baik.

Pada masa yang sama, Han Yufan yang sepatutnya menghadiri majlis tandatangan tersebut tidak dapat berbuat demikian kerana dia sibuk. Jadi, Tangning ditemani pembantunya. Hal ini memberi tanggapan kepada orang ramai bahawa Tangning dan Syarikat Hiburan Tianyi tidak mempunyai hubungan baik. Namun, Han Yufan sememangnya sibuk. Dia sibuk ditahan oleh Mo Yurou. Perempuan itu tidak akan sekali-kali membenarkan Han Yufan untuk menghadiri majlis tersebut dan menyokong Tangning.

Syarikat Hiburan Hai Rui –

Mo Ting duduk di dalam pejabatnya menonton siaran langsung tersebut. Pada kaca televisyen, Tangning tidak kelihatan mendesak. Dia begitu diam dan cantik, tetapi sukar untuk diabaikan. Sebaik sahaja tandatangan kontrak itu berakhir, Mo Ting menelefon pembantunya melalui interkom. "Petang ini, hantar empat orang pengawal peribadi untuk melindungi Tangning sepanjang masa sehingga dia menaiki kapal terbang."

"Ya, Presiden."

Mo Ting tahu mengenai tawaran jurucakap ini bahawa semuanya kelihatan berjalan lancar pada permukaannya. Namun, kenyataannya, dugaan berliku akan tiba.

Selepas majlis tandatangan kontrak tersebut, Tangning dan pengasas HF duduk untuk makan tengahari bersama-sama. Jam 1 petang, Tangning meninggalkan hotel tersebut menuju terus ke lapangan terbang. Semakin dekat mereka dengan lapangan terbang, Long Jie semakin gementar. "Tangning, saya akan buat yang terbaik untuk melindungi kamu. Kamu juga perlu melindungi diri sendiri."

"Long Jie, kamu fikir saya tidak bersiap sedia?" Tangning tersenyum seperti biasa. Buat masa sekarang, semuanya dalam kawalan mereka. Apa yang perlu dilakukan? Tiga tahun lalu, dia sudah melalui segalanya.

Tidak lama kemudian, Long Jie keluar dari kereta terlebih dahulu. Selepas mengeluarkan bagasi, dia membantu Tangning keluar. Pada awalnya, tiada orang perasan akan kehadiran mereka. Namun, selepas mereka memasuki lapangan terbang, sekumpulan peminat dengan jambakan bunga berlari ke arah mereka untuk mengucapkan selamat. Bunga-bunga tersebut ditolak pada Tangning. Namun, sebelum sempat dia memegang bunga tersebut, bunga dan hadiah itu jatuh berselerak ke atas lantai.

Dengan segera, semua orang terkaku. Dengan memakai kaca mata dan topeng muka, peminatnya kecewa apabila melihat hadiah mereka dilayan sebegitu. "Tangning, apa maksud semua ini? Kami beri kamu bunga kerana kami sukakan kamu. Sanggup kamu buang semua ini ke atas lantai? Selebriti yang terkenal pun tidak sanggup layan peminat mereka seperti ini. Apatah lagi orang yang belum terkenal seperti kamu!"

Tangning tahu mereka datang untuk mencetuskan masalah. Jadi dia segera meminta maaf. "Maafkan saya. Saya tidak dapat memegangnya tadi. Saya tidak sengaja!"

"Konon lah kamu tidak sengaja! Ianya jelas bahawa itu memang niat kamu!"

"Saya juga nampak! Kamu sengaja membuang hadiah itu semua."

Anti-peminat tersebut mula menyalakan api spekulasi antara orang lalu lalang. Mereka berkata, "Dengan personaliti kamu sahaja, bagaimanalah kamu boleh dibandingkan dengan Yurou? Yurou sering menyapa peminatnya dengan senyuman mesra, dan menawarkan untuk mengambil gambar dengan mereka. Kamu fikir dengan menandatangani satu kontrak, kamu akan dapat menggantikan dia?"

Semakin ramai orang berkerumun dan bilangan orang yang curiga mula bertambah. Dalam sekelip mata, Tangning dikelilingi oleh lebih daripada 100 orang.

Dengan bilangan orang ramai yang makin bertambah, anti-peminat membuat keputusan untuk memulakan langkah kedua rancangan mereka. Selepas mengumpulkan orang ramai lebih rapat, mereka mula menolak dan menyodok Tangning. "Kenapa kamu rasa yang Yurou boleh kekal terkenal selama tiga tahun sementara kamu menjadi berita lama? Saya sedar sekarang, ianya mesti kerana kamu mempunyai personaliti yang teruk. Lihatlah Yurou yang begitu baik dalam perbandingan."

"Kembalikan kontrak itu kepada Yurou!"

"Saya setuju…awalnya, saya agak sukakan kamu. Tapi kamu terus membuang bunga yang diberi oleh peminat kamu ke atas lantai. Kamu tidak boleh dibandingkan dengan Yurou walau sedikit pun. Kamu tidak layak mengambil kontrak Yurou. Cara kotor apa yang kamu gunakan? Beritahu kami…"

Next chapter