webnovel

CERITA PENDEK

TAJUK: ROH BAYI GENTAYANGAN

NUKILAN: Kupa Kerdil

Nota; cerita ini diinspirasikan daripada kes-kes pembuangan bayi.

****************************************************************************************

SUATU malam, Res duduk termenung menatap langit gelap yang melitupi alam dari anjung rumahnya. Tidak satu pun bintang menghiasi ruangan angkasa gelap yang terbentang luas di atas sana. Ianya gelap seperti jalan hidupnya yang hanya ditemani sunyi. Sesekali, pandangan Res melayang ke sekitar rumahnya. Rumah banglo mewah yang berlatar belakangkan sebuah tasik, sungguh indah jika dipandang dari luaran. Namun, tiada sesiapa yang tahu akan kisah suka duka di rumah kediaman Res itu.

Pertengkaran di antara kedua orangtuanya yang membawa kehancuran dalam keluarganya, masih segar dalam ingatan Res. Setiap kata-kata yang terungkap dari mulut orangtuanya, terngiang-ngiang di telinga Res.

"Kau ingat aku tak tahu ke yang kau ada perempuan simpanan kat luar!" bentak mak, menghempaskan telefon Vivo ayah ke lantai. Hancur berkecai skrin telefon ayah.

"Ya, memang ada! Aku dah lama tak tahan dengan perangai kau ni. Setiap kali aku balik kerja, kau asyik membebel je. Tiada lelaki yang tahan dilayan macam ni. Cuma orang yang takde perasaan je nak tahan dengan kau!"

"Isteri mana yang tak marah? Tiap-tiap hari kau balik lambat! Pukul 1, pukul 2... kadang-kadang esok pagi baru balik. Kau buat apa kat ofis tu, ha? Menyundal dengan setiausaha kaulah tu, kan?"

"Aku kerja cari duit! Nak bagi korang makan kat rumah ni. Bukannya pergi menyundal, bangang!"

"Ah! Alasan tu dah basilah. Balik-balik itu je alasan kau bagi kat aku. Macamlah aku tak tahu perangai setiausaha kau tu macam mana."

"Puiiik!"

Ayah meludah mak.

"Pi mampuslah dengan cemburu buta kau tu! Mulai dari sekarang, kau bukan lagi isteri aku. Lagi satu, aku akan keluar dari rumah ni. Aku dah tak tahan tinggal sebumbung dengan kau!"

Ayah menapak langkah satu per satu menaiki tangga ke tingkat atas. Mak pula masih dengan bebelan panjangnya di aras bawah. Res menyorok di sebalik pintu biliknya, memerhatikan pergaduhan besar di antara kedua orangtuanya. Sesekali, mak menyeka air matanya. Ayah sudah nekad hendak meninggalkan rumah.

"Beginikah hidup berumahtangga? Janji yang mereka sama-sama lafazkan dikhianati begitu saja. Tidak bolehkah mereka selesaikan dengan cara yang lebih baik? Macam mana dengan nasib aku ni? Aku anak tunggal mereka. Mereka langsung tak fikirkan aku," getus Res.

Res menutup pintu biliknya. Perlahan-lahan, Res duduk menyandarkan belakangnya, kedua belah tangannya menekup telinga. Res cuba memekakkan telinga, namun suara lantang mak masih berhasil menembusi deria pendengarannya.

"Kalau kau tinggalkan rumah ni, aku juga akan keluar dari sini!"

Itulah kali terakhir Res mendengar suara emaknya. Sejurus kemudian, mak Res juga turut meninggalkan rumah banglo itu.

'Kenapa keluargaku berpecah belah macam ni? Satu per satu, ayah dan mak tinggalkan aku,' Res menangis teresak-esak dalam biliknya.

Rumah banglo yang dahulunya dipenuhi dengan gelak tawa dan gurau senda kini menjadi sepi. Res ditinggalkan bersendirian di situ. Res langsung tidak diberi hak untuk bersuara. Res diketepikan oleh mereka, seolah-olah Res sama sekali tidak wujud. Sedangkan Res adalah hasil daripada bibit-bibit cinta dan perkahwinan mereka.

Seminggu kemudian, barulah ayahnya menghubungi Res.

"Res... ayah minta maaf. Ayah terpaksa tinggalkan kamu. Ayah betul-betul dah tak boleh nak bersabar dengan mak kau."

"Tak bolehkah ayah dengan mak berbaik? Ayah dan mak tak kesian kat Res ke? Korang berdua langsung tak fikirkan tentang Res, kan?"

"Ya, Res... ayah tahu, ayah salah. Tapi, kalau mak kau tidak terlalu menekan ayah masa tu, ayah takkan tinggalkan kamu. Res nampak sendiri kan, macam mana mak kamu layan ayah selama ni?"

"Kalau mak dengan ayah bawa berbincang baik-baik, semuanya tidak akan jadi macam ni. Sekarang, siapa nak jaga Res? Duit yang ada dalam tangan Res pun, tinggal berapa ringgit aje lagi."

"Bukan mak kau masih tinggal kat rumah tu ke?"

"Mana ada? Mak pun dah keluar dari rumah."

"Takpelah, nanti ayah masukkan duit dalam akaun Res setiap bulan. Res jaga diri dan urus rumah tu baik-baik. Kalau ada apa-apa yang kurang, Res telefon je ayah."

"Ya... Baiklah."

Seperti yang dijanjikan, tiap-tiap hujung bulan ayah Res akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Res. Namun, ayahnya tidak sekalipun pernah pulang untuk menjenguk Res. Emaknya pula, entah hilang ke mana. Emaknya langsung tidak mengirimkan khabar berkenaan dirinya.

"Res, malam ni kita keluar lagi? Aku dapat seorang kenalan baru. Dia ajak nak jumpa kat pub malam nanti."

"Seorang je ke? Untuk aku, takde? Mana best."

"Kau tak payah risaulah Res, lelaki tu bawa teman dia. Aku jamin, kau pasti suka!"

Keadaan Res yang tinggal hanya sebatang kara, membuatkan dirinya hilang arah tujuan. Res terumbang-ambing dalam kesunyian tanpa bimbingan kedua orangtuanya. Res meninggalkan alam persekolahan yang sepatutnya akan tamat pada tahun itu. Res mulai berjinak-jinak keluar malam bersama beberapa temannya untuk melarikan diri dari kesunyian yang bertapak di hati. Duit yang dikirimkan oleh ayahnya, dihabiskan untuk berfoya-foya. Res juga telah merelakan kesuciannya diragut oleh lelaki-lelaki tampan yang baru dikenalinya setiap kali berkunjung ke pub. Sehinggalah pada suatu hari, Res disahkan hamil 4 bulan.

"Phia... Macam mana nih? Aku tak nak lahirkan anak ni. Aku tidak mahu anak ni terima nasib macam aku. Lagipun... aku langsung tak tahu siapa ayah anak dalam kandunganku ni."

"Kau jangan risau, Res. Aku akan carikan ubat untuk gugurkan kandungan tu. Tapi... dosa tu kau kena tanggung sendirilah."

'Sephia tak sedar ke yang dia turut terlibat dengan perbuatan keji ni. Dia yang syorkan semua ni kat aku,' bisik hati kecilnya.

Sephia yang membantunya untuk menggugurkan kandungan. Sephia telah memberikan Res pil yang sangat berkesan! Walaupun sakitnya bukan alang kepalang, namun Res tidak pernah serik. Sudah tiga kali Res membunuh anak di dalam rahimnya. Janin yang sudah cukup sifatnya, dibungkuskan dengan plastik hitam, lalu ditenggelamkan ke dasar tasik di belakang rumahnya.

Betapa besarnya impak perceraian kedua orangtuanya. Res terjerumus ke dalam lembah hitam kerana diabaikan dan ditinggalkan oleh mereka.

'Kenapa kamu degil sangat! Aku tidak inginkan kamu. Kamu akan jadi macam aku!'

Perut buyungnya yang kian memboyot, dipukul berulang kali.

KINI, Res hamil lagi untuk kali ke-empat. Sudah pelbagai cara dicuba Res untuk menjatuhkan kandungannya, namun kesemuanya tidak berkesan. Selama tiga bulan Res tidak keluar dari rumahnya. Hanya Sephia sahaja yang sering menjenguknya di rumah banglo mewah kediaman Res. Res mengalami sakit-sakit badan yang sangat teruk, terpaksa mengesot untuk bergerak ke sana ke mari. Kepalanya juga sukar untuk didongakkan, seolah-olah dia sedang menampung bebanan berat di belakang tengkuknya. Ditambah pula dengan pelbagai kejadian dan bunyi-bunyi pelik yang sering mengganggunya, Res semakin tertekan.

"And I feel so lonely, yeah... there's a better place than this, emptiness..."

Bunyi nada dering telefonnya mengejutkan Res. Nama Sephia tertera di papan skrin telefon, Res segera menerima panggilan itu.

"Hello, Res. Malam ni aku bermalam kat rumah kau boleh tak?"

"Eh... kenapa pula tak boleh? Eloklah kau bermalam kat sini, sekurang-kurangnya ada juga teman aku bersembang."

"Okey, tapi... aku datang lewat sikit, takpe kan? Aku dah janji dengan teman lelaki aku..."

Belum sempat Sephia menghabiskan kata-katanya, Res sudah pun memotong perbualan.

"Aku faham. Pergilah layan teman lelaki kau tu dulu, aku akan tunggu kau datang. Pintu depan tu aku tak kunci, kau masuk ajelah nanti."

"Thank you, Res. Kau memang sahabat yang paling baik."

"Ya... Ya... kau jangan lupa bawakan aku makanan, tahu? Anak sial kat dalam perut aku ni tak henti-henti nak meragam, dari tadi asyik lapar je. Geram betullah!"

"Okey, bos. Tenang... aku akan bawakan makanan yang sedap-sedap untuk kau nanti."

Kedengaran suara Sephia terkekek di hujung talian, dan mereka pun mengakhiri perbualan telefon.

Perlahan-lahan, Res mengesot ke arah pintu utama. Kunci pada pintu itu, dibiarkannya terbuka.

'Hmm... Baik aku pergi baring-baring sekejap. Nak tunggu budak Sephia tu datang, entah jam berapa baru sampai.'

Ketika Res menuju ke biliknya, tangan yang digunakan untuk mengheret tubuhnya tersentuh takungan air di hadapan pintu biliknya. Entah, dari mana datangnya air itu. Kelihatan ada beberapa lagi takungan air di atas lantai biliknya.

"Hujan tak turun, siling tak bocor, dari mana pula datangnya air ni? Airnya pun kehijau-hijauan, dah macam warna air kat tasik belakang tu je..." getus Res.

Dia menggapai sehelai tuala di dalam bakul, kemudian membersihkan kesemua takungan air itu. Setelah selesai, Res memanjat naik ke katil, lalu berbaring.

Belum pun sempat Res menutup kelopak matanya, bunyi televisyen yang tiba-tiba dihidupkan mengundang resah di hati Res.

'Siapa pula hidupkan televisyen ni? Takkan Sephia? Katanya datang lewat sikit...'

"Phia, kau ke tu? Boleh tak perlahankan sedikit bunyi televisyen tu? Bising sangatlah!" pekik Res, matanya melilau ke luar bilik mencari kelibat Sephia.

Televisyen itu terus dimatikan, namun tiada sahutan dari Sephia. Keadaan menjadi sunyi senyap. Res tidak mengalihkan pandangan matanya. Dia menanti dengan penuh debaran, kalau-kalau Sephia muncul di depan pintu biliknya.

"Phia! Janganlah main-mainkan aku!" Res mulai berasa takut. Telapak tangannya berpeluh sejuk, bulu romanya kian menegak. Dia dapat merasakan seolah-olah ada seseorang sedang memerhatikannya.

"Ya TUHANku, apa benda tu?" Res cepat-cepat menarik selimutnya. Dia baru sahaja melihat susuk tubuh seorang bayi merangkak laju di hadapan pintu biliknya yang terbuka luas.

Ketakutan mulai menyelubungi diri Res. Sekujur tubuhnya mengeletar, mengikut rentak degupan jantungnya yang berdetak kencang. Res tidak pernah berdoa kepada TUHAN seumur hidupnya, akan tetapi saat ini dia mulai berdoa.

"Ya TUHANku, jauhkanlah benda-benda itu daripadaku. Jangan biarkan mereka menggangguku, aku takut... Aku mohon ya TUHAN..." Tunggang terbalik doa yang dilafazkan oleh Res.

Sebelum ini, Res cuma diganggu oleh bunyi-bunyi pelik yang berlaku dalam rumahnya. Tetapi kali ini, benda yang sering mengganggunya mulai menampakkan diri 'mereka'.

"Apa sebenarnya yang kamu nakkan daripada aku!" jerit Res, cuba mengumpulkan keberaniannya.

"Prangggg!"

Kedengaran bunyi sesuatu terjatuh dari arah ruang tamu. Tidak lama selepas itu, suara tangisan bayi berkumandang memenuhi ruangan rumah banglo mewah tersebut. Pintu biliknya yang terbuka luas ditenung oleh Res.

"Aku kena tutup pintu tu!" getus, Res.

Dengan perasaan takut yang membuak-buak, Res tetap menggagahkan diri untuk menghadapi situasi tersebut.

"Bukkk!"

Res, jatuh terjelepuk di lantai biliknya saat bergegas turun dari katil. Dengan sedaya upaya dia berusaha mengesot tubuhnya ke arah pintu.

"Chakk, chakk, chakk..."

Kedengaran bunyi plastik seakan-akan sedang dironyok-ronyokkan. Res mempercepatkan pergerakannya.

Kelihatan bungkusan plastik berwarna hitam sedang bergolek laju ke arah pintu bilik Res. Ada sesuatu di dalam plastik itu yang meronta-ronta ingin keluar dari bungkusan yang diikat kemas.

"Bam!"

Res menutup pintu bilik dan cepat-cepat menekan kuncinya.

"Huh... Nasib baik sempat," keluh Res. Dia bersandar pada belakang pintu biliknya.

"Bam! Bam! Bam!"

Bergegar pintu bilik Res akibat diketuk kuat dari luar. Entah dari mana datangnya air yang meresap masuk dari celah-celah bawah pintu. Habis kain batik Res dibasahi air hijau itu.

"Pergi! Jangan ganggu aku! Tolonglah... Aku mohon..." pinta Res,diiringi esak tangis.

Ketukan itu terhenti. Res menghela nafas pendek dan perlahan-lahan kembali ke atas katil.

"Tok... Tok... Tok..."

Pintu biliknya diketuk lagi. Namun kali ini, ketukannya agak perlahan. Res membatukan dirinya di atas katil.

"Res... ini aku, Sephia. Kau okey ke?" kedengaran suara Sephia di luar pintu bilik.

Tanpa berlengah-lengah, Res segera membuka pintu. Kelihatan Sephia sedang tercegat di muka pintu bersama seorang gadis sebaya mereka.

"Res, kenapa nih?" Sephia terkejut melihat Res yang ketakutan. Tubuhnya masih menggigil, matanya melilau ke sana ke mari.

"'Me-mereka' datang n-nak... ka-kacau a-aku..." jawab Res, terketar-ketar.

"'Mereka'? Siapa 'mereka'? soal Sephia, bingung. Dia melihat ke sekeliling, tiada sesiapa pun di sana selain mereka bertiga.

"Takpe, kau relax dulu. Kejap lagi kau ceritakan kat kami," Sephia dan temannya memapah Res ke atas katil.

"Res, ini kawanku, Vella," Sephia memperkenalkan perempuan di sebelahnya kepada Res.

Vella dan Res berbalas senyuman.

"Panggil Vell aje," kata Vella.

Wajah Vella kelihatan sedikit gelabah. Sejak dari tadi dia asyik memerhatikan Res, seakan-akan ternampak sesuatu pada tubuh Res.

"Tadi Res kata lapar, kan? Ni, aku ada bawakan makanan untuk kau dan baby dalam tu," Sephia mengacungkan bibirnya pada perut buncit Res.

"Tak payahlah kau nak baik sangat dengan anak kat dalam perut aku ni, kejap lagi anak ni pun akan lesap juga," Res menarik muka masam. Dia tidak suka membahaskan tentang kandungannya.

"Yelaaah... tunggu kejap ya, aku ambilkan piring," Sephia meletakkan bungkusan makanan itu ke atas meja kecil yang terletak di sudut bilik Res.

"Phia, aku ikut ya? Aku nak ke tandas," kata Vella.

Mereka berdua meninggalkan Res di dalam bilik.

"Phia, aku rasa ada yang tak kenalah dengan Res tu," Vella berbisik di telinga Sephia.

"Maksud kau?" tanya Sephia.

"Err... sebelum ni, Res memang macam tu ke? Maksud aku, Res tak boleh berjalan?" serba salah Vella menanyakan hal itu kepada Sephia.

"Tak, Vell. Res sebenarnya boleh berjalan. Tapi... entahlah, sejak dia mengandung ni, dia terus jadi macam tu. Katanya... kedua belah kakinya terasa berat, nak berdiri pun payah, inikan pula nak berjalan. Kepalanya pun sama juga. Tengkuknya sakit dan berat sampaikan dia susah nak mendongak ke atas. Aku pun rasa pelik, kenapa dia tiba-tiba jadi macam tu," panjang lebar penjelasan dari Sephia.

"Ohh... ye ke? Aku ingatkan... Res tu lumpuh. Phia, kalau aku bagitahu sesuatu, kau percaya tak?"

"Apa dia?" tanya Sephia, penuh minat.

"Phia... aku boleh nampak 'mereka'. Aku juga tahu kenapa Res tak boleh berjalan."

"'Mereka' itu siapa? Orang sama macam yang Res katakan tu ke?" Sephia menggaru kepala. Sekali lagi dia bingung tentang siapa 'mereka'.

"'Mereka' yang dimaksudkan tu ialah roh bayi gentayangan. Aku tidak tahu apa kaitannya dengan Res, tapi roh bayi itulah yang jadi penyebab atas keadaan Res sekarang. Kedua belah kakinya dipaut oleh dua roh bayi. Di belakang tengkuknya pula ada seorang sedang bertenggek. Wajah mereka sungguh menggerunkan! Tubuh mereka sudah mengembang macam dah lama terendam dalam air."

"Hisshh... betul ke, Vell? Merinding pula bulu romaku," Sephia merapatkan dirinya dengan Vella.

"Kita kena bantu Res, Phia. Dia tak boleh dibiarkan lama-lama macam tu, apatah lagi sekarang ni dia sedang mengandung."

"Macam mana kita nak tolong, Res? Oh... ya, kau kan boleh nampak roh-roh tu? Kau cakap ajelah dengan 'mereka', jangan ganggu Res."

"Aku tak boleh, Phia. Aku hanya boleh nampak 'mereka', tapi aku tidak ada kebolehan nak berkomunikasi dengan mana-mana roh."

"Habis tu, kita nak buat macam mana?"

"Prangg!"

Kedengaran bunyi kuat seperti benda terjatuh dari arah kamar mandi. Sephia dan Vella terloncat akibat terkejut.

"Apa tu, Vell?" Sephia menghimpit Vella. Rasa takut mula bertapak dalam diri Sephia, apatah lagi dia sudah mengetahui kehadiran roh bayi gentayangan di dalam rumah banglo Res.

"Mungkin itu Res, kot? Jom pi tengok, manalah tahu dia terjatuh ke apa?"

"Kau jangan Vell... aku takut ni."

"Aku ada, kau nak takut apa? Kau kan dah biasa dengan keadaan rumah ni. Cepatlah!"

Vella menarik lengan Sephia. Mereka bergegas menuju ke arah tandas yang terletak bersebelahan dengan ruang dapur.

Perlahan-lahan, Sephia menguak pintu tandas yang sudah pun terbuka sedikit.

"Res... kau kat dalam ke?" takut-takut Sephia menyeru Res.

"Chakk, chakk, chakk..."

"Vell... bunyi apa tu?" Lekas-lekas Sephia bersembunyi di belakang Vella.

"Shhh..." Vella memberi isyarat untuk diam.

Tirai yang menutupi bahagian tab mandi diselak perlahan oleh Vella. Kelihatan bungkusan plastik berwarna hitam terapung-apung di dalam tab mandi yang penuh dengan air.

"Apa benda ni?" Vella menarik bungkusan plastik itu, lalu meletakkannya ke atas lantai.

Sephia mundur setapak ke belakang, tubuhnya merapati dinding kamar mandi. Dia tidak berani menghampiri bungkusan itu, apatah lagi hendak menyentuhnya. Dia hanya mampu memerhatikan Vella yang cuba membuka ikatan plastik tersebut.

"Vell... tak payahlah buka, aku takutlah..." kata Sephia.

Belum pun sempat Vella meleraikan ikatan bungkusan itu...

"Phia, Vell... korang berdua buat apa kat situ? Kata nak ambil piring, lama aku tunggu. Aku lapar sangat ni," Res tiba-tiba muncul di depan kamar mandi.

Sephia dan Vella serentak menoleh.

"Kami terdengar bunyi sesuatu. Tengok... kami terjumpa benda ni..."

Vella cuba menunjukkan bungkusan plastik yang ditemui mereka, namun bungkusan itu sudah pun lesap entah ke mana. Ianya hilang begitu sahaja. Vella memeriksa di setiap sudut kamar mandi, tapi bungkusan tersebut tidak kelihatan di mana-mana.

"Mana pula perginya bungkusan tadi?" Sephia dan Vella tertanya-tanya. Mereka yakin itu bukan sekadar khayalan mereka.

"Prangg! Prangg! Prangg!"

Ketiga-tiga mereka saling berpandangan. Bunyi kuat yang baru sahaja mereka dengar datangnya dari arah bilik tidur Res.

"Kita kena keluar dari sini! 'Mereka' tengah mengamuk!" kata Vella.

Tanpa membuang masa, Sephia dan Vella segera membawa Res keluar dari rumah banglo itu.

"Kita kena bawa Res ke rumah makcikku, mungkin dia boleh bantu Res," kata Vella. Dia menghidupkan enjin kereta, lalu memecut laju meninggalkan pekarangan rumah banglo tersebut.

"Apa sebenarnya yang sedang berlaku?" tanya Res.

"Kau sedang diekori oleh roh bayi gentayangan! 'Mereka' tidak mahu lepaskan kau, Res. Roh-roh itu sentiasa akan bersama-sama dengan kau," jawab Vell.

Res terkedu mendengar kata-kata Vella. Dia tidak habis-habis berfikir kenapa roh bayi gentayangan itu datang mengganggunya. Sephia pula sudah tidak mampu untuk berkata apa-apa. Tubuhnya menggigil ketakutan. Dia trauma dengan kejadian yang menimpa mereka.

Setengah jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di halaman rumah makcik Vella. Rumahnya terletak di sebuah perkampungan yang agak terpencil.

Sebaik sahaja melihat kehadiran mereka bertiga, makcik Vella yang kelihatan sudah agak berumur itu menjemput mereka masuk ke dalam rumah.

"Maafkan kami, makcik Tia, sebab kacau makcik malam-malam buta begini. Kami datang nak minta bantuan makcik. Kawan kami ni diganggu oleh roh bayi gentayangan," Vella menyampaikan hajat mereka datang ke sana.

"Makcik nampak, Vella. Roh itu sedang menempel di tubuh kawan kamu. Pasti ada kesalahan yang dia dah buat," makcik Tia memandang tepat ke anak mata Res. Dia tahu ada rahsia hitam di sebalik kejadian itu.

Air mata Res mulai bergenangan di kelopak matanya. Dia pun mula menceritakan hal yang sebenar.

"Aku dah bunuh 'mereka'. Sudah tiga kali aku menggugurkan kandunganku. Semua janin yang aku gugurkan telah pun cukup sifatnya. Tapi, aku tak inginkan mereka. Aku tak mahu suatu hari nanti, mereka akan terima nasib yang sama macam aku. Ditinggalkan oleh orangtua, dibiarkan terumbang-ambing tanpa arah tuju dan akhirnya memilih jalan hidup yang bergelumang dengan dosa macam aku. Aku tahu, aku sangat kejam! Tapi, aku dah tak ada pilihan lain."

Res mengakhiri pengakuannya dengan tangisan sebak.

"Kamu sebenarnya ada banyak pilihan. Kamu tak sepatutnya bunuh bayi-bayi itu. Kalau kau tidak inginkan mereka, lahirkan sahaja dan serahkan kepada badan kebajikan ataupun berikan kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak. Kamu sepatutnya bersyukur, kamu diberi peluang untuk mengandung. Di luar sana, masih ramai pasangan yang tidak cukup bertuah hendak menimang cahaya mata macam kamu. Sekarang tengok, apa yang dah jadi? Kamu dihantui oleh bayi kamu sendiri," makcik Vella sempat melontarkan nasihat.

"Di mana kamu kuburkan ketiga-tiga bayi kamu? Jasad mereka mesti dikebumikan seperti layaknya seorang manusia," kata makcik Tia.

"Aku tenggelamkan mereka ke dasar tasik," jawab Res.

"Ya, TUHAN. Kenapa kamu begitu kejam...?" ujar makcik Tia.

Sephia dan Vella yang hanya berdiam diri sedari tadi, turut terkejut. Sephia tidak menyangka, Res sanggup berbuat demikian. Dia hanya memberikan pil menggugurkan kandungan kepada Res. Namun, bayi yang telah digugurkan itu diurus sendiri oleh Res.

"Kamu kena pergi ke tasik tu! Bawa jasad bayi-bayi itu keluar. Kuburkan mereka seelok-eloknya. Jikalau tidak, roh bayi gentayangan itu akan terus menganggu kamu," kata makcik Tia dengan tegas.

Setelah mendengar nasihat makcik Tia, mereka bertiga bergegas kembali ke rumah banglo Res. Mereka langsung menuju ke tasik yang terletak di belakang rumah banglo itu.

"Siapa nak selam jasad bayi-bayi tu?" tanya Sephia. Riak wajahnya menunjukkan bahawa dia tidak sanggup hendak masuk ke dalam tasik.

Kedua-dua mereka memandang Res. Tidak mungkin mereka menyuruh Res untuk masuk ke dalam tasik.

"Biar aku yang selam mayat-mayat tu," kata Vella.

Tanpa berlengah, Vella segera terjun ke dalam tasik. Nasib baiklah, Vella agak berani. Sephia dan Res menanti Vella di pinggir tasik. Agak lama juga mereka menunggu. Beberapa minit kemudian, Vella timbul di permukaan tasik bersama tiga bungkusan plastik hitam.

"Cepat! Kita kena kuburkan mereka," ujar Vella.

Malam itu juga mereka menguburkan ketiga-tiga mayat bayi tersebut. Res memohon keampunan kepada TUHAN, serta mendoakan agar roh bayi-bayi itu tenang di sisi-NYA. Dia berjanji akan menjaga dan membimbing anak dalam kandungannya yang bakal dilahirkan kelak dengan sebaik-baiknya.