webnovel

Apabila Su Qianci tidur, kesakitannya masih amat terasa. Walau bagaimanapun, di pertengahan malam, dia tiba-tiba merasakan sesuatu yang panas diletakkan di perutnya, serta merta mengurangkan rasa sakit itu dan membantu dia tidur dengan nyenyak.

Jam telah menunjukkan pukul 8 pagi sebaik dia terbangun pada keesokan paginya. Su Qianci terkejut apabila menyedari dia telah terlewat.

Aduh! Hari ini dia ada kelas yang diajar oleh pensyarah garang yang sentiasa mencatat kehadiran. Jika pensyarah itu mendapati dia tidak hadir ke kelas, habislah dia. Su Qianci pantas bangun untuk bersiap. Kesakitannya sudah terasa lebih berkurangan berbanding kelmarin.

Su Qianci sudah siap memakai pakaian untuk ke kelas apabila Nenek Rong datang dan membawakannya segelas air suam. "Tak perlu pergi. Tuan Li sudah beritahu pensyarah Puan sakit."

Su Qianci terkejut mendengarnya. "Di mana dia?"

"Dah pergi kerja. Tapi saya baru telefon Tuan dan dia kata dia akan pulang selepas kerjanya selesai."

Sebaik mendengar bahawa pensyarah itu sudah diberitahu, Su Qianci berasa lega. Selepas minum air, dia terus berbaring kembali di atas katil lalu tertidur. Waktu sudah tengah hari apabila dia bangun buat kali kedua. Su Qianci menjamah sedikit makan sebelum menghidupkan laptopnya dan membuka ruang perbualan.

Lu Yihan sudah menghantarkan kepadanya kertas cadangan.

Walau bagaimanapun, apa yang menarik perhatian Su Qianci adalah permohonan untuk menjadi rakan daripada L.

Siapa L?

Su Qianci memeriksa profilnya dan mendapati tiada apa-apa maklumat diletakkan di situ. Walaubagaimanapun, pengguna itu telah mendaftar sejak lapan tahun yang lalu. Su Qianci teragak-agak sebentar sebelum menerimanya. Kemudian, dia mula membaca kertas cadangan yang dihantar oleh Lu Yihan kepadanya. Ketika dia baru menghabiskan separuh kertas cadangan tersebut, mesej dari Lin Wanting muncul. "Su Qianci, kamu di sana?"

Su Qianci berasa agak jengkel sebaik melihat nama itu. Selepas kejadian sewaktu majlis pertemuan semula, Su Qianci telah mendengar apa yang terjadi kepada Lin Wanting. Perempuan itu menerima nasib yang teruk. Tetapi dia layak menerimanya. Namun, Su Qianci memutuskan untuk menjawab.

"Ya."

"Apa nombor akaun kamu? Saya akan pulangkan duit kamu semula."

"Bagaimana kamu boleh ada duit yang banyak?"

"Saya akan berkahwin. Kamu belum tahu?"

"?"

"Terima kasih kepada kamu. Jika bukan kerana kamu, saya tak akan dapat berkahwin dengan ahli keluarga Ding. Jika bukan saya yang pergi ke bilik Ding Haibo malam itu, hidup kamu mesti sudah hancur. Kamu tak rasa kamu sepatutnya berterima kasih kepada saya? Tetapi walaupun kamu dah lakukan perkara itu kepada saya, saya masih mahu ajak kamu ke majlis perkahwinan saya. 10 haribulan, bulan depan," Lin Wanting bercakap panjang lebar, dan Su Qianci dapat merasakan setiap perkataannya berbaur kebencian lalu kekal berdiam.

Lin Wanting menyambung, "Kamu tidak berani untuk berhadapan dengan saya?"

"Kamu tahu bagaimana mengeja perkataan malu? Simpan duit itu untuk kecederaan akan datang. Saya dengar Ding Haibo itu buaya darat."

Lin Wanting menghentak papan kekuncinya dan menjerit, "Perempuan sial!" Dia mengambil sebatang pen lantas menikam gambar Su Qianci yang berada di atas mejanya. Walau bagaimanapun, di sebelah gambar itu terdapat sekeping gambar lain yang hampir hancur. Ia adalah gambar Liu Anan. "Saya tidak akan berhenti selagi saya tidak bunuh kamu berdua!"

Próximo capítulo