webnovel

Jejaka Bermata Merah

QUOTES:

"The saddest thing about betrayal is that it never comes from your enemies."

••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

Pada malam itu, cuaca sangat buruk. Hujan turun dengan lebat disertakan dengan dentuman guruh yang bergema.

Seluruh Kerajaan Inkana dibasahi dengan air hujan dan semua penduduk berlindung di kediaman masing-masing.

Tapi seorang gadis terlihat sedang berjalan seorang diri di sebuah lorong yang sepi. Dia sedang membawa sebuah bakul di tangan kanannya sementara di tangan kanannya pula membawa sebatang payung.

Wanita ini ialah Asteria. Dia sedang dalam perjalanan dari sebuah kedai buah untuk kembali ke dorm. Asteria sudah tahu hari akan hujan jadi dia sudah membawa payungnya sebelum keluar tadi.

Kerana semua orang ada di dalam kediaman masing-masing, jalan raya pun kosong. Beberapa buah kedai ada yang sudah ditutup dan masih ada yang dibuka.

Ketika Asteria melintasi sebuah lorong yang sunyi dan agak sempit, langkahnya terhenti. Kepala Asteria menoleh ke arah lorong tersebut. Tadi sepertinya dia ada mendengar suara yang mencurigakan dari lorong itu.

Asteria menunggu untuk beberapa saat. Dia mahu memastikan jika apa yang dia dengar tadi betul atau tidak.

Tiba-tiba, dari arah lorong itu, seorang lelaki yang bertubuh kecil melayang ke arah Asteria, seolah-olah dia dibaling oleh seseorang pula.

Asteria terkejut melihat lelaki itu tiba-tiba melayang. Badannya secara automatik terundur beberapa langkah ke belakang. 

Lelaki itu terjatuh tepat di hadapan kaki Asteria dalam keadaan lemah.

Percikan air yang terhasil, mengenai hujung skirt yang dipakai oleh Asteria, menyebabkan skirtnya menjadi basah. "Aduh, basah lagi!" Keluh Asteria.

Ingin dia memarahi lelaki tadi tapi ketika melihat lelaki itu terbaring di atas jalan dan tidak bergerak sama sekali, Asteria membatalkan niatnya. Sebaliknya, dia memandang ke arah sekumpulan orang yang sedang keluar dari lorong tadi.

Patutlah kenapa tiba-tiba lelaki ini terbuang dari sana, rupanya orang-orang ini yang melakukannya. 

Asteria melangkah ke hadapan dan berhenti di samping lelaki yang pengsan tadi. Dengan wajah yang serius, dia memerhati setiap wajah kumpulan tadi. "Berhenti! Pergi dari sini jika kamu semua tidak mahu terluka."

Bukannya takut dengan Asteria, malah kumpulan ini mentertawakan dia kerana berani menyuruh mereka untuk pergi. Kumpulan lelaki ini terdiri daripada 5 orang lelaki dan Asteria hanya berseorangan. Jika mereka menyerang Asteria, Asteria tentu akan kalah.

Asteria tahu mereka meremehkan dirinya bila melihat mereka sedang mentertawakannya dengan suara yang keras. Ini membuatkan Asteria menjadi sedikit kesal. Seperti kata pepatah, don't judge a book by it's cover.

"Cik, cik lah yang seharusnya pergi dari sini jika cik tidak mahu sesuatu yang buruk akan berlaku kepada cik. Ini adalah urusan kami. Cik tak perlu peduli..." kata salah seorang dari lelaki itu yang mempunyai tubuh yang berisi dari yang lain.

Asteria tidak merasa takut terhadap mereka. Melihat bagaimana mereka meremehkan kekuatannya, membuatkan amarah Asteria menjadi tinggi. Dia tidak suka melihat ada orang yang meremehkan kekuatannya hanya kerana dia seorang gadis.

Asteria ingin membuatkan mereka mengubah fikiran mereka jika seorang wanita bukanlah lemah seperti yang mereka sangka. Mereka akan menyesal jika mereka menganggap aku adalah seorang perempuan yang lemah...

Belum pun Asteria mengatakan apa-apa, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang memegang kakinya. Saat Asteria menunduk ke bawah, dia melihat lelaki yang tidak sedarkan diri sebentar tadi sudah pun membuka mata dan sedang menyentuh kakinya.

Dalam keadaan lemah, lelaki itu berkata, "Cik, pergi dari sini. Usah pedulikan saya kerana sekejap lagi, bantuan saya akan tiba. Cik pergilah... Saya akan baik-baik saja..."

 "Kau dengar itu? Dia juga tidak mahu kau ada di sini. Lebih baik kau dengarkan apa yang dia katakan jika kau tidak mahu keadaan kau lebih teruk dari dia..."

Asteria memandang beberapa saat ke arah lelaki tadi. Jika aku tinggalkan dia di sini, tiada yang tahu apa yang akan terjadi kepadanya. Mungkin saja nyawa dia akan melayang di sini jika aku pergi meninggalkannya..

"Cik akan menyesal jika cik tetap mahu tinggal di sini...." Salah seorang dari lima orang lelaki itu melangkah menghampiri Asteria. Bibirnya terpamer segaris senyuman sinis dan raut wajahnya dipenuhi dengan aura jahat.

Lelaki itu mengangkat tangan kanannya untuk menyentuh wajah Asteria yang masih menunduk memandang ke bawah.

Namun belum sempat dia menyentuh wajah Asteria, tiba-tiba sahaja dia merasakan badannya melayang ke atas sebelum dibuang ke arah dinding bangunan di belakangnya. Seluruh badannya terasa sakit selepas terhentak di dinding tersebut.

Melihat rakan mereka yang terbuang secara tiba-tiba itu membuatkan empat orang lelaki yang lain menjadi termangu-mangu. Sebentar tadi mereka melihat air yang mengangkat rakan mereka dan membalingnya ke dinding.

Semuanya terjadi dalam sekelip mata.

Asteria yang mengawal air di sekelilingnya tadi untuk membuang lelaki tadi ke dinding. Dia tidak mahu wajahnya disentuh oleh lelaki seperti itu. Lalu dengan menggunakan Elemen Air, dia membuang lelaki itu jauh darinya.

Asteria memandang empat orang lelaki yang lain pula. Dia menggerakkan jari telunjuknya ke arah air di sekelilingnya. Dari pergerakannya ini, muncullah empat sesungut kecil yang serupa dengan akar tumbuhan naik ke atas. 

Air yang berbentuk sesungut ini bergerak ke arah empat orang lelaki tadi, membuat lilitan yang ketat di leher mereka sekaligus menekan mereka ke dinding. Kerana kekurangan oksigen, muka empat orang lelaki itu berubah menjadi merah. Nafas mereka tersekat-sekat. Mereka mencuba untuk bercakap tapi tiada suara yang keluar di mulut mereka.

Melihat mereka berada di ambang kematian membuatkan Asteria sedikit puas hati tapi Asteria tidak berniat untuk membunuh mereka. Setelah melihat mereka hampir mati, Asteria segera menghilangkan sesungut air tadi.

Tubuh empat orang lelaki tadi jatuh terjelopok ke atas jalan raya yang digenangi sedikit air. Terlihat mereka terbatuk-batuk sambil memegang leher mereka sendiri.

"Pergi, dan jangan ganggu lelaki ini lagi." 

Hanya satu ayat sahaja dan empat orang lelaki itu pergi meninggalkan tempat itu. Mereka juga membawa rakan mereka yang pengsan bersama. Tidak mungkin mereka akan melawan Asteria yang memiliki Elemen Air.

Melihat Asteria berjaya mengalahkan mereka membuatkan senyuman kecil terpamer di bibirnya. Dia memandang jarinya yang digunakan untuk membuat sesungut air tadi. 'Aku tak sangka aku akan berjaya membuat satu gerakan yang kuat hanya dengan menggunakan jari telunjuk aku sahaja. Adakah ini bermaksud aku sudah semakin kuat?'

Kegembiraan Asteria tidak lama apabila dia teringat akan lelaki yang berada di dekatnya tadi. "Oh ya... Saya harus memeriksa keadaan dia juga. Dia terlihat cedera teruk tadi..."

Lelaki yang dimaksudkannya itu masih terbaring di atas jalan dan matanya kembali tertutup. Wajahnya sudah bertukar menjadi pucat. Asteria tidak melihat sebarang kesan darah di tubuhnya jadi dia tidak mempunyai sebarang luka terbuka.

Asteria memandang sekeliling untuk melihat apakah ada orang yang akan lalu di kawasan tersebut. Kata lelaki itu, bantuan akan segera tiba tapi sehingga sekarang Asteria tidak melihat sesiapa.

"Saya harus memindahkan dia ke tempat yang teduh sedikit."

Asteria menggunakan Elemen Air miliknya untuk mengangkat lelaki itu dan memindahkan dia ke kawasan yang terlindung dari hujan. Asteria menjumpai sebuah kedai kopi yang sudah tutup, di mana di hadapan kedai itu terdapat sebuah tempat khas untuk pengunjung kedai itu menikmati kopi mereka di luar kedai.

Kerana itulah, dipasangkan sebuah atap lagi di kawasan itu. Asteria meletakkan lelaki itu ke atas meja yang bersih. 

Setelah itu, Asteria meletakkan bakul buah-buahan dan payung yang dipegangnya ke tepi. Lalu dia memandang ke arah hujung skirtnya yang sudah basah kuyup. 'Aku kena cepat kembali ke dorm dan tukar baju. Jika aku terus berada di luar ini, demam aku nanti.'

Asteria menoleh ke arah lelaki tadi. Nampaknya lelaki itu sudah tidak sedarkan diri sepenuhnya dan Asteria tidak tahu jika lelaki itu baik-baik sahaja. Dia masih bernafas tapi nafasnya terlihat begitu lemah.

Melihat keadaan lelaki itu seperti itu mengingatkan Asteria kepada kematiannya di kehidupan yang sebelum ini. Menunggu masa kematian seorang diri tanpa ada sesiapa di sampingnya. 

'Mesti ada family dia yang sedang menunggu dia di rumah. Jika lihat dari wajahnya, dia lebih muda dari umur Lizzie. Keluarga dia mesti sangat risau dengan keadaannya saat ini.' 

Ada satu penyesalan yang melekat di hatinya selain daripada dendamnya terhadap Laura, iaitu bertemu dengan orang tuanya sebelum dia meninggal dunia. Sekarang ini, Asteria memahami perasaan ahli keluarga si lelaki itu jika tidak dapat berjumpa untuk kali terakhir.

Asteria memandang tangan kanannya untuk seketika. Jika dia mahu menyelamatkan lelaki tersebut, dia harus menggunakan kekuatan Healing yang dimilikinya untuk menyembuhkan lelaki itu.

'Aku akan merasa bersalah jika aku tinggalkan dia mati di sini...' 

Asteria meletakkan telapak tangan kanannya ke atas dada lelaki itu. Dia menarik nafas yang panjang sebelum dia menutup mata. Fokus Asteria tertumpu sepenuhnya untuk menyembuhkan lelaki tadi.

Setelah beberapa saat, tangan kanannya mula mengeluarkan cahaya berwarna biru lembut, di mana ia bersinar dari kecil sehinggalah menjadi besar.

Malangnya belum sempat Asteria menyembuhkan lelaki itu, tangannya direntap kasar oleh seseorang. Serentak dengan itu, dia ditarik ke belakang sehingga Asteria hampir terjatuh.

Mata Asteria yang tertutup tadi menjadi terbuka kerana fokusnya diganggu oleh seseorang. Terkejut dia melihat ada seorang jejaka yang tinggi dan memiliki mata bersinar merah sedang memandangnya dengan tajam. Ditambah lagi dengan wajahnya yang sangat dingin.

'Mata merah? Ini pertama kali saya melihat ada orang yang mempunyai mata bersinar seperti ini...' gumam Asteria dalam hati.

"Apa yang ingin kau lakukan pada dia? Apa kau cuba untuk membunuh dia?" tanya jejaka bermata merah itu. Genggaman di tangan Asteria menjadi ketat, membuatkan Asteria kesakitan.

Asteria menggunakan Elemen Airnya untuk menolak jejaka tersebut menjauh darinya. Melihat Asteria boleh menggunakan Elemen Air, si jejaka bermata merah itu menjadi terkejut. Dia pun turut mengangkat tangannya dan ingin menyerang Asteria semula.

Tapi Asteria segera menghentikan lelaki itu. "Berhenti! Saya bukan orang jahat."