webnovel

Pertempuran di Langit (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Subuh keesokan harinya.

Sama seperti hari-hari lain, kawasan lapang di timur pekan Wushan kini dipenuhi dengan anak-anak muda. Hillman dan dua orang lagi tenaga pengajar belum lagi tiba. Semua kanak-kanak di situ bersemangat berborak. Sememangnya, topik yang menjadi perbincangan mereka ialah pertempuran yang mengejutkan semalam.

"Makhluk ajaib semalam sangat berkuasa. Apabila Pak Cik Hillman dan yang lain berdiri di hadapan, saya berada di belakang mereka, mengintai dari jauh. Kamu semua tidak tahu. Ketika makhluk ajaib itu membenamkan kuku tajamnya di tanah, batu-batu di jalan berkecai menjadi serpihan. Dan rumah-rumah runtuh seakan-akan diperbuat daripada lumpur." Di tengah-tengah kanak-kanak itu, Hadley yang terkenal dengan mulut murainya menceritakan kejadian yang berlaku semalam dengan petah dan beria-ia. Tangannya melambai-lambai dan gerak isyarat badannya seolah-olah dia melihat pertempuran itu dengan matanya sendiri.

Kesemua kanak-kanak itu melihat Hadley dengan mata yang terbuntang.

"Hadley, semalam kamu berada bersama kami di bahagian timur. Kamu sendiri tidak berani untuk pergi ke sana. Bagaimana mungkin kamu melihat pertempuran tersebut?" Remaja berusia 13 tahun berambut perang itu mendengus.

Mereka yang lebih tua tidak mudah terpedaya. Tidak seperti kanak-kanak yang berusia tujuh dan lapan tahun.

Hadley merenung remaja 13 tahun tersebut. Sambil membuntangkan matanya dia berkata, "Faura, kamu tidak percaya pada saya? Bilakah saya, Hadley pernah menipu sesiapa?"

Remaja berambut perang bernama Faura itu berkata dengan nada mengejek, "Semua orang tahu kamu suka bercakap besar. Bila kamu bercakap benar? Hei semua, apa pendapat kamu? Adakah Hadley pernah bercakap benar?" Faura berkata kepada kanak-kanak di sebelahnya.

Para remaja berusia 12 ke 15 tahun itu semuanya tertawa. "Tepat sekali. Budak nakal Hadley ini sering berkata perkara yang mengarut."

Beberapa orang kanak-kanak yang lebih tua berdiri di sebelah Faura.

Hadley segera berkata, "Kamu semua tidak percaya pada saya? Baiklah, kamu tidak perlu percaya!" Dengan berang, Hadley menoleh ke belakang mencari sesuatu sehinggalah dia ternampak Linley. Matanya bersinar lalu dia berkata, "Tetapi semua orang di sini tahu selain Pak Cik Hillman dan dua orang tenaga pengajar, Linley juga melihat pertempuran tersebut. Kata-kata Linley selalunya benar. Biar Linley beritahu kamu apakah saya berkata benar ataupun tidak."

"Tuan Muda Linley?" Para belia itu menoleh ke arah Linley.

Kanak-kanak di pekan Wushan sangat menghormati Linley. Pertama, Linley merupakan pewaris puak Baruch dan yang kedua, Linley yang baru sahaja berusia lapan tahun itu mampu bersaing dengan para remaja berusia 13 dan 14 tahun. Di benua Yulan yang dilanda peperangan, kehebatan Linley menyebabkan semua kanak-kanak di pekan Wushan mengaguminya.

"Tuan Muda Linley melihat segalanya. Tentulah kami percaya semua yang dikatakan oleh Tuan Muda Linley." Anak-anak muda itu mengangguk setuju.

Mereka yang berusia tiga belas dan empat belas tahun lebih matang. Mereka tahu Linley golongan bangsawan, bukan seperti mereka. Hampir semua daripada mereka memanggilnya sebagai 'Tuan Muda Linley'. Hanya Hadley dan yang lain berusia tujuh dan lapan tahun masih memanggilnya 'Linley' tanpa mempedulikan kesopanan.

"Beritahu mereka, Linley! Adakah saya menipu? Beritahu mereka apa yang berlaku!"

Linley berasa tidak berdaya. Bagaimana Hadley boleh menariknya ke dalam perbualan mengarut itu?

"Makhluk ajaib itu dikenali sebagai naga Veloci. Ia merupakan makhluk ajaib tahap ketujuh dan sememangnya kuat. Badannya diliputi sisik yang keras, tidak dapat ditembusi senjata biasa. Makhluk ajaib itu juga memiliki ekor bak belati yang kuat dan cakar yang tajam. Ekor dan cakarnya memusnahkan batu-batu jalan dan batu asas jalan seperti kertas. Bahkan ia mampu mengeluarkan api dari mulutnya yang sangat panas sehingga mampu merekahkan batu." Jujur Linley bercerita.

Semua kanak-kanak itu senyap mendengar cerita Linley.

"Sebenarnya kamu semua tahu betapa kuatnya naga Veloci itu sewaktu kamu melihatnya. Tidak perlu saya ceritakan dengan terperinci," kata Linley sambil tersenyum.

Kanak-kanak yang lebih tua menganggukkan kepala mereka.

Sebaik sahaja mereka melihat naga Veloci pada tempoh hari, mereka ketakutan. Badannya yang sangat besar itu kelihatan seperti gunung. Sisik merah bersaiz besar pada tubuhnya tentunya sangat tebal.

"Kamu dengar bukan? Saya sudah beritahu kamu, naga Veloci itu makhluk yang kuat!" Hadley menjerit kuat.

Anak muda bernama Faura itu melirik ke arahnya dan hendak mengatakan sesuatu.

"Pak Cik Hillman sudah datang." Linley melihat Hillman, Roger dan Lorry sedang berjalan ke arah mereka dan segera bersuara. Semua kanak-kanak itu terus bertenang dan berbaris kepada tiga kumpulan dengan teratur.

Padang latihan tersebut kembali sunyi. Hanya kedengaran langkah Hillman dan dua orang tenaga pengajar lagi.

Hillman dan dua orang lagi tenaga pengajar berjalan di hadapan tiga kumpulan tersebut, menghadap mereka. Hillman tersenyum dan segera memperkatakan apa yang bermain di minda semua kanak-kanak itu. "Semua orang tentu tahu apa yang berlaku semalam, bukan?"

"Ya." Mendengar kata-kata Hillman dan melihat betapa tenangnya Hillman, kanak-kanak itu menjawab dengan bersungguh-sungguh.

"Bagus." Wajah Hillman tiba-tiba bertukar serius. "Makhluk yang besar itu dikenali sebagai naga Veloci. Ahli sihir yang berada di atasnya juga seorang yang kuat. Tetapi kamu semua perlu tahu satu perkara!"

Renungan Hillman menjadi tajam apabila dia melihat wajah kanak-kanak itu, seorang demi seorang. "Ahli sihir misteri itu turut membina kuasanya secara berperingkat, bermula dari tahap bawah. Untuk menundukkan naga yang kuat itu, dia mengambil masa yang lama dengan berusaha dan bekerja keras! Jika kamu mahu makhluk seperti itu menjadi milik kamu, maka kamu perlu bekerja keras dari sekarang!"

"Setiap daripada kamu mempunyai potensi untuk menjadi seorang yang perkasa. Tetapi persoalannya, adakah kamu sanggup bekerja keras?"

Kata-kata Hillman sangat jelas dan keras seperti paku. Renungannya sangat tajam dan serius.

Kanak-kanak itu semua tersenyap tetapi masing-masing tenggelam dalam imaginasi mereka sendiri. Renungan mereka kelihatan bersinar dengan pandangan yang berbeza.

"Sudah sampai masanya kamu mulakan senaman pagi. Sama seperti biasa – menghadap matahari dan mulakan latihan penyerapan qi." Hillman memulakan program harian mereka. Ketiga-tiga kumpulan kanak-kanak itu pun memulakan latihan penyerapan qi itu.

Hillman mengarahkan mereka melakukan senaman berbeza berdasarkan kemampuan setiap skuad. Di bawah pengawasan mereka bertiga, kanak-kanak itu semua menyempurnakan setiap latihan tersebut. Hari ini, atmosfera di medan latihan itu berbeza sekali. Tiada seorang pun kanak-kanak yang merungut penat.

Setiap seorang daripada mereka bersemangat dan mereka juga berlatih dengan gigih!

'… lima puluh… lima puluh satu…' Linley mengira dalam fikiran sambil berbaring mendatar di atas tanah, menyokong badannya dengan hujung jari satu tangan dan juga hujung jari kaki. Seluruh anggota badannya menjadi tegang. Dia sedang melakukan latihan tekan tubi dengan lima jari.

Latihan itu bukan sahaja menguatkan tapak tangannya tetapi juga memperbaiki kekuatan jarinya dan juga sikunya. Kaedah ini sungguh mudah dan berkesan.

Jika seseorang mahu menjadi pahlawan yang kuat, lazimnya mereka perlu berlatih membina Qi-tempur. Keupayaan membina Qi-tempur pula ditentukan oleh kekuatan dan ketegapan badan seseorang. Mereka yang mempunyai tubuh yang kuat boleh membina Qi-tempur yang lebih hebat.

'Oleh sebab saya memiliki darah naga, saya tidak boleh berlatih Qi-tempur. Pilihan yang saya ada ialah menjadi lebih kuat berbanding orang lain.' Sinaran mata Linley amat tajam. Jari-jari tangannya menekan ke tanah, sangat kuat dan tidak bergoyah bagaikan akar tua. Dia membuat latihan tekan tubi satu per satu. Menakjubkan kerana ramai anak muda di sebelahnya sudah kepenatan.

'98, 99...'

Linley tetap bertahan.

"Latihan pagi ini telah tamat." Hillman berkata dengan suara yang kuat menghadap kanak-kanak itu.

Selepas mengumumkannya, Hillman menarik nafas lalu berfikir. 'Cerita apakah yang harus aku sampaikan kepada mereka hari ini?' Setiap hari selepas latihan pagi, Hillman akan menceritakan satu kisah kepada mereka. Ini sudah menjadi rutin.

"Pak Cik Hillman, kami…"

Kedengaran suara seorang budak.

Tetapi ketika itu, tidak habis kanak-kanak itu berkata, Hillman yang sedang memandang ke bawah untuk berfikir tiba-tiba berasa aneh. Dia mendongak. Pada waktu itu, ketiga-tiga kumpulan kanak-kanak itu sudah memandang ke arah timur. Mata mereka terbeliak dan mulut mereka ternganga luas. Roger dan Lorry juga sedang melihat ke arah timur dengan pandangan yang penuh kagum.

"Eh?" kata Hillman terkejut. Dia juga berpaling dan memandang ke arah timur.

Di sebelah timur, tidak jauh dari situ, dalam dua atau tiga ratus meter di udara, seekor naga besar berwarna hitam berpusar di langit. Badannya sekurang-kurangnya 100 meter panjang. Mata naga hitam itu menyamai saiz roda kereta kuda. Sisiknya yang berwarna hitam berkilat mampu melahirkan rasa takut ke dalam hati mereka. Sayapnya yang sepanjang 100 meter mengepak lembut tetapi setiap pergerakannya mengandungi kuasa yang menakjubkan.

Makhluk ajaib – Naga Hitam!

Próximo capítulo