webnovel

Mod Sangat Sukar, Penyelesaian Pertama!

Editor: EndlessFantasy Translation

Mata semua orang bercahaya selepas mendengar apa yang dikatakan Zhang Yang!

Walaupun mereka menyatakan yang mereka tidak kisah sekiranya mereka tidak dapat menyelesaikan dungeon ini, tetapi, kalau ada sedikit kemungkinan untuk menyelesaikannya, setiap seorang dari mereka pasti sanggup menyertainya jika diberi peluang! Kalau mereka berjaya menewaskan bos ini, mereka akan mencapai pengumuman pelayan 'Penyelesaian Pertama' untuk Makam Bangar. Bukankah kemenangan terbesar yang boleh dicapai mana-mana pemain ialah apabila nama mereka diumumkan bertubi-tubi dalam mesej merah dalam rangkaian pelayan? 

Zhang Yang berkata, "Tengok tu, nampak tak ruang kosong di dinding tu? Selepas aku memulakan pertarungan, aku mahu kamu semua teruskan dengan strategi asal dan tewaskan 2 makhluk suruhan itu. Semua pemain jarak jauh termasuk penyembuh akan kemudian bersembunyi dalam ruang kosong itu sementara aku mengalahkan barisan depan pertahanan! Aku cuba tadi dan perasan yang sekitar ruang itu tak ada <Lubang Lahar> dan <Semburan Api> bos itu hanya akan terkena pada aku seorang. Penyembuh, kau perlu pulihkan aku sahaja!"

"Kami macam mana?" Hari Bayangan, Api Merah, dan Kematian Bersalji bertanya dengan teragak-agak.

"Yang lain-lain… Setiap orang mesti selamatkan diri sendiri!" jawab Zhang Yang dengan bersahaja.

"Abang sulung, kejam tu!" Kematian Bersalji mengadu terang-terangan.

"Zhan Yu, jahatnya kau! Kau tahu yang serangan senjata aku lebih bagus, sanggup kau ketepikan aku. Wuu wuu wuu, Salji Lembut, tolonglah terima aku dan jadilah milik aku!" tangis Hari Bayangan.

Zhang Yang membuat sedikit perkiraaan. Dia mendapati yang kerosakan asas <Semburan Api> adalah 500 dan dengan kemahiran pasif pengurangan 20% kerosakan Pelindung, dia hanya akan menerima 400 kerosakan daripada kemahiran itu. HP dia buat masa ini adalah 520 dan selagi penyembuh menjalankan tugas mereka dan memastikan HP dalam keadaan baik, bos ini pasti akan dapat ditewaskan. 

"Mari kita cuba!" Zhang Yang mengeluarkan pedang dan menanda 2 Pengawal Diraja itu dengan ikon bintang dan matahari.

"Aku mula!" Zhang Yang melangkah ke depan.

<Serangan! >

Apabila <Sambaran Melintang> diaktifkan dan Zhang Yang berjaya mengawal aggro, dia menjerit sebagai signal bermulanya serangan seperti bunyi hon peperangan.

Selepas beberapa ketika, kedua-dua makhluk suruhan itu berjaya dikalahkan.

"Bagus! Bergerak sekarang, pemain jarak jauh dan penyembuh! Cepat masuk ke dalam lubang itu!" jerit Zhang Yang.

"Hehe. Cepat masuk ke dalam lubang itu! Aku suka!" Han Gemuk tersenyum menggatal sementara pemain lelaki yang lain turut tertawa kegatalan.

Komen itu dianggap lawak seketika dan pasukan itu cepat-cepat memasuki ruang itu satu persatu.

Zhang Yang bergerak masuk ke lubang itu dan berdiri menghalang ruang masuk sambil melindungi pemain di belakangnya. Han Gemuk tertawa dan berkata, "3 orang di luar tu, semoga kau dilindungi Tuhan!"

"Penyembuh! Sembuhkan aku saja. Sesiapa di dalam tidak akan terkena kerosakan dan kau boleh abaikan mereka bertiga di luar! HP aku akan turun mendadak kerana aku hanya boleh menggunakan <Hadangan > untuk mendapatkan imuniti serangan. Penyembuh, beri perhatian pada waktu dan minum dari periuk biru. Kita akan tewas kalau periuk biru kau habis sebelum kita menewaskan bos!" Zhang Yang berhenti seketika dan berkata, "Salji Lembut, jangan jampi <Perisai Suci> selagi aku belum beri arahan!"

"Okey!" janji Salji Lembut.

"Baik. Penyerang jarak jauh, beri kerosakan sebanyak mungkin! 3 pemain di luar, cuba beri kerosakan sebanyak yang kau boleh sebelum kau mati!" Zhang Yang memusingkan pedangnya dan menikam bos itu. Disebabkan Zhang Yang perlu berada di depan ruang itu, dia tidak dapat mengelak banyak serangan kerana ruang yang sempit itu, jadi dia hanya boleh memaksimum penggunaan kemahiran pertahanannya iaitu <Hadangan >. Walaupun dia ada 31 mata Pertahanan, ia tidak cukup untuk bertahan dengan 200 serangan bos itu. Jadi, dia perlu menyerap semuanya dan ini menyebabkan nyawanya menurun seperti air terjun. 

Nasib baik penyembuh mematuhi arahannya dan hanya memulihkan HP Zhang Yang serta tidak memulihkan yang lain-lain. Tiada apa-apa yang perlu ditakuti kalau penyembuh menjalankan penyembuhan dengan betul. 

'Ding! Dadarerda menggunakan <Lubang Lahar>, berterusan selama 120 saat!'

Nasib baik hanya ada satu lubang api di bahagian kiri bos itu sementara yang lain-lain muncul jauh dari penyerang jarak dekat. Selagi penyerang jarak dekat terus berjaga-jaga, mereka tidak akan mengalami kerosakan.

"Salji Lembut! Jampi perisai sekarang!" Zhang Yang memberi arahan dengan pantas apabila dia melihat bos itu menghentikan serangannya dan ada palang kemajuan yang muncul di atas kepalanya.

Salji Lembut serta-merta menghayun tangan kecilnya dan satu perisai lut cahaya muncul menyelubungi Zhang Yang. <Perisai Suci> ialah satu jampi yang serta-merta dan tiada tundaan dalam bacaan jampinya!

'Hong!' Dadarerda membuka mulutnya dengan luas dan menyembur rantaian api.

'-320!' Satu teks merah besar terapung di atas kepala Zhang Yang yang menunjukkan dia mengalami kerosakan. HP asalnya 389 menurun ke 69 HP. Kerosakan asas <Semburan Api> adalah 500. Kerosakan itu menurun ke 320 mata. 20% daripadanya ditolak dengan kemahiran pasif Zhang Yang dan 80 kerosakan diserap oleh <Perisai Suci>.

Dengan Zhang Yang yang berfungsi sebagai perisai di hadapan, ahli pasukan yang lain-lain selamat daripada kerosakan. Namun, keadaannya berbeza bagi 3 pemain di luar.

Bos itu sedang menolak mereka ke arah dinding dan memandangkan permainan video ini tidak mempunyai fungsi yang membenarkan sesiapa menembusi dinding, mereka bertiga terperangkap dengan dinding di belakang mereka. Mereka terpaksa menghadapi serangan bos itu terang-terangan kerana tiada tempat lain yang boleh mereka tuju. 

'Ding! Pemain Kematian Bersalji telah mati!'

'Ding! Pemain Api Merah telah mati!'

'Ding! Pemain Hari Bayangan telah mati!'

"Wuu wuu wuu, sedihnya!" Hari Bayangan menangis dalam saluran pasukan, "Salji Lembut, tolong pujuk aku!"

Salji Lembut hanya membalas dengan menghantar simbol senyuman dalam saluran pasukan. 

Zhang Yang tersenyum kebimbangan. 'Perbualan 'menggoda' antara Hari Bayangan dan Salji Lembut ini mungkin ada motif tersembunyi. Ia seperti mereka sedang cuba menimbulkan perasaan meninggi diri dalam diri Zhang Yang yang akan membuatkan dirinya cuba menarik perhatian Salji Lembut.' Zhang Yang terfikirkan ini sementara tangannya terus bergerak laju. Pedangnya dihayun tanpa henti dan HP bos itu mula menurun!

Pertarungan dengan bos itu yang pada asalnya sangat sukar telah menjadi sangat mudah disebabkan pepijat bumi itu. Walaupun kawasan itu dipenuhi <Lubang Lahar>, tiada sesiapapun dalam lubang itu yang tercedera. Han Gemuk dan yang lain-lain hanya perlu terus menyerang, menyerang, dan menyerang tanpa risau apa-apa! 

80%, 70%... HP bos itu menurun dengan laju.

Zhang Yang memeriksa MP Kesedihan Lautan dan Salji Lembut dan hatinya tenang. Ia cukup untuk bertahan sehingga bos ini ditewaskan. 

60%, 50%… 10%, nampaknya ada harapan!

"Abang Zhan Yu, kita buat perjanjian. Selepas bos ini ditewaskan, boleh ke kita menggunakan 'Syurga yang Hilang' sebagai nama pasukan dalam pengumuman? Sudah tentu, ia bukan tanpa sebarang ganjaran. Bagaimana kalau kami pindahkan 100 ribu ke akaun kau sebagai bayaran?" Api Merah menghantar mesej peribadi kepada Zhang Yang.

Ia tidak munasabah kalau dia menggunakan 100 ribu dolar hanya untuk pengumuman pelayan. Namun, kalau Zhang Yang setuju, Api Merahlah yang akan mendapat keuntungan.

Pada ketika ini, 'Keajaiban Tuhan' mempunyai 4 juta pengguna atas talian dan daripada itu, 2 juta pengguna berpusat di China. Itu bukan jumlah yang kecil. Pengumuman pelayan ialah satu iklan yang bagus untuk Syurga yang Hilang. Bayangkan berapa ramai ahli baru yang mereka boleh terima selepas iklan sebegitu? 

Tambahan pula, persatuan itu ditaja. Pasti akan ada ganjaran yang menanti untuk mereka kalau mereka berjaya mendapatkan pengumuman pelayan dan jumlah itu pasti akan melebihi 1 juta!

'Siapa lagi yang boleh terfikirkan perjanjian yang menguntungkan sebegitu kalau bukan Api Merah?'

Zhang Yang terfikirkan ini dan berkata, "Aku tak nak duit. Aku nak 10 ribu kepingan emas!"

Buat masa ini, tiada lagi servis pertukaran antara kepingan emas dan matawang sebenar. Namun, ada pertukaran matawang dalam permainan video yang sulit! Memandangkan tahap pemain masih dikira rendah dan pengeluaran matawang dalam permainan video ini lebih rendah daripada itu, satu keping emas bernilai 10 hingga 13 dolar. Ini bermaksud 10 ribu kepingan emas bernilai 100,000 dolar. 

Api Merah langsung tidak teragak-agak dan berkata, "Setuju! Tapi penghasilan kepingan emas sangat rendah sekarang. Aku perlukan beberapa hari untuk mengumpulkan 10 ribu kepingan emas!"

"Baik, setuju!" Zhang Yang menerimanya dan menyerahkan kedudukan ketua pasukan kepada Api Merah. Pertarungan itu hampir ke kemuncak dan semua telah mendengar notifikasi sistem itu tetapi tidak memberi apa-apa reaksi.

Walaupun Zhang Yang setuju dengan perjanjian itu, dia mempunyai beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum dia menerimanya. Pertama, penyelesaian dungeon pertama ini langsung tidak adil. Kedua, dia mahu kekal senyap dan tidak mahu menarik terlalu banyak perhatian. Ketiga, dia perlu mengumpulkan jumlah kepingan emas yang banyak untuk dijadikan simpanan untuk rancangannya akan datang!

Api Merah terkejut dengan reaksi Zhang Yang yang pantas itu. Dia berkata, "Cepatnya kau serahkan kedudukan ketua kepada aku. Kau tak takut aku tipu kau?"

"Keh keh, aku percaya kau!" Zhang Yang hanya menyatakan benda yang semua ingin dengar. Sebenarnya, dia percaya yang seseorang yang pandai seperti Api Merah tidak akan bermusuh dengannya semata-mata untuk 10 ribu kepingan emas.

5%, 4%, 3%, 2%, 1%!

Ratusan Tembakan menembak serangannya yang terakhir dan Dadarerda mengaum buat kali terakhir sebelum ia jatuh.

'Ding! Anda dan pasukan anda telah membunuh Dadarerda! Menerima 12,050 EXP (50 mata Bonus Pasukan)!'

'Ding! Tahniah, anda telah menerima Penyelesaian Pertama Makam Bangar (Mod Sangat Sukar)!'

'Ding! Sebagai ketua pasukan, sila namakan pasukan anda untuk disenaraikan dalam Senarai Penyelesaian Pertama Dungeon Mod Sangat Sukar!'

Satu kotak input muncul dalam pelayar Api Merah. Sudah tentu dia tidak teragak-agak untuk menaip 'Syurga yang Hilang'. Notifikasi merah serta-merta membanjiri saluran perbualan pelayan.

"Pengumuman Pelayan: Pasukan 'Syurga yang Hilang' telah berjaya menyelesaikan Makam Bangar (Mod Sangat Sukar) dan menerima Penyelesaian Pertama pengumuman pelayan (Pelayan China)! Nama mereka akan terukir selama-lamanya di Papan Pencapaian Penyelesaian Pertama Mod Sangat Sukar!"

"Pengumuman Pelayan: Pemain Api Merah (Ketua Pasukan) telah menerima ganjaran kerana menjadi yang pertama dalam menyelesaikan (pelayan China) Makam Bangar (Mod Sangat Sukar)! Menerima ganjaran sistem 10 kepingan emas, 1mata Nilai Kemahiran, dan mata reputasi semua kaum meningkat ke 500 mata!"

"Pengumuman Pelayan: Pemain Zhan Yu (Ahli Pasukan) telah menerima ganjaran kerana menjadi yang pertama dalam menyelesaikan (pelayan China) Makam Bangar (Mod Sangat Sukar)! Menerima ganjaran sistem 10 kepingan emas, 1 mata Nilai Kemahiran, dan mata reputasi semua kaum meningkat ke 500 mata!"

"Pengumuman Pelayan…"

Keadaan tiba-tiba menjadi tegang apabila saluran perbualan pelayan dipenuhi dengan pengumuman itu.

"Biar betul? Aku belum lagi lepas Mod Normal dan seseorang telah menerima Penyelesaian Pertama dalam Mod Sangat Sukar?"

"Aku tak keluar-keluar lagi dari Kampung Pemula!"

"Dari mana pemain hebat ini datang? Ini baru hari kedua dan Penyelesaian Pertama Mod Sangat Sukar telahpun diambil!"

"Syurga yang Hilang. Ada sesiapa yang pernah dengar nama tu?"

"Haha, Syurga yang Hilang tu nama persatuan kami! Persatuan kami mempunyai pengalaman dalam pengurusan dan kami ada peraturan ganjaran dan hukuman yang baik. Kau semua baru saksikan kekuatan persatuan kami dan kami kini sedang menerima kemasukan pemain baru! Persatuan Tahap 1 hanya boleh mempunyai 10 ribu pemain. Tempat ialah terhad, jadi ia atas polisi siapa cepat dia dapat. Jangan lepaskan peluang ini!"

"Permintaan untuk mengasuh bayi!"

"Permintaan untuk mengangkat barang!"

"Permintaan untuk pelukan!"

Di bawah pengurusan Api Merah, ahli persatuannya merata-rata mengembara sejak pengumuman pelayan itu dan mengambil peluang untuk mencari pemain yang lebih berkemahiran. 

Próximo capítulo