"Khazanah ini mesti ada sejarah yang istimewa." Meng Hao menghayun pedang kayu itu, kemudian menusukkannya ke dalam tanah. Pedang itu terbenam dengan mudah. Meng Hao menarik pedang itu keluar sambil tersenyum. Kini dia berasa lebih gembira.
Tiba-tiba, dia mendongakkan kepalanya kerana terkejut. Dia dapat merasai yang tenaga rohani di dalam Gua Dewa itu tiba-tiba sahaja menjadi lebih nipis berbanding sebelum ini. Sebenarnya, tenaga itu seolah-olah telah lenyap sepenuhnya.
Walaupun memang pada mulanya jumlah tenaga rohani itu tidak banyak, tetapi mustahil untuk semuanya terus lenyap. Tenaga Rohani merupakan tenaga Qi langit dan bumi, dan berdenyut melalui pelbagai banjaran gunung yang bertindak seperti arteri. Sekta Reliance salah satu tempat yang berfungsi seperti itu. Agak mustahil untuk tenaga rohani lenyap secara tiba-tiba tanpa sebab.
Meng Hao berasa curiga. Lantas dia menstabilkan auranya dan menumpukan perhatiannya bagi meningkatkan derianya. Tiba-tiba, dia melihat kembali pada pedang kayu itu dengan perasaan tidak percaya. Dia baru menyedari yang kesemua tenaga rohani di dalam ruang itu telah diserap oleh pedang kayu itu.
"Pedang ini...boleh menyerap tenaga rohani?" Meng Hao terkejut. Seketika kemudian, dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan sebiji Batu Rohani. Setelah meletakkannya di sebelah pedang itu, dia memerhatikan Batu Rohani itu perlahan-lahan menjadi gelap dalam masa sepuluh helaan nafas.
Dia mengambil Batu Rohani itu kembali, berasa sedikit sedih di atas kehilangan sebiji Batu Rohani, tetapi juga teruja pada masa yang sama.
"Pedang ini... Benar-benar satu khazanah yang hebat." Dia menatap pedang itu dengan satu tekad. Perlahan-lahan dia menghiris salah satu jarinya. Dengan mudah jarinya terbelah. Meng Hao menumpukan asas Pertapaannya. Memang benar seperti yang dijangka. Dia dapat merasai tenaga rohani di dalam tubuhnya disedut keluar melalui luka itu secara berterusan.
Dia berasa sangat teruja. Dia menutup luka di jarinya. Dalam sekelip mata sahaja, kecederaan itu telah pulih dan Meng Hao memandang kembali pedang itu sambil ketawa berdekah-dekah.
"Kalau aku guna pedang ini untuk melawan pengguna kuasa ajaib, aku hanya perlu melukakan mereka sahaja. Kemudian, tenaga rohani mereka akan disedut dengan pantas. Malangnya aku hanya ada sebilah sahaja pedang seperti ini. Jika aku ada dua, sepuluh, atau seratus bilah pedang sebegini, aku boleh menyedut tenaga rohani lawan aku dengan lebih pantas. Betapa hebatnya keadaan itu nanti...?" Dia terbayangkan dirinya menggunakan seratus pedang kayu yang semuanya menikam tubuh Wang Tengfei.
Kembaranya ke dalam gunung hitam itu dan penggunaan semua Batu Rohani itu memang sangat berbaloi.
Dengan itu, dia menarik nafas panjang dan mengeluarkan cermin tembaganya.
"Berapa banyak agaknya Batu Rohani..." Dia teragak-agak sebentar, tetapi dia tidak boleh berhenti berfikir tentang kehebatan pedang itu. Dia meletakkan pedang itu di atas cermin. Sebaik sahaja pedang itu menyentuh permukaannya, cermin itu bercahaya dan pedang itu disedut ke dalamnya. Meng Hao tidak pernah melihat kejadian ini berlaku sebelum ini dan dia menjadi agak terkejut. Dia cuba menghentikan cermin itu, tetapi dia terlalu perlahan. Pedang kayu itu telah tiada.
"Apa yang sedang berlaku? Tak guna betul cermin ini. Aku lalui banyak kesukaran untuk dapatkan pedang itu, kamu, kamu... Baiklah. Bertenang, bertenang..." Dia tercungap-cungap sekejap dan memaksa dirinya untuk bertenang. Setelah berfikir sejenak, dia mengeluarkan sebiji Batu Rohani dan meletakkannya di atas cermin itu dan ia hilang.
"Adakah ia sudah mulakan proses penyalinan?" Dada Meng Hao berdebar dan dengan cemas, dia meletakkan sebiji Batu Rohani lain. Satu, dua, tiga... Meng Hao berasa tawar hati. Cermin itu boleh diibaratkan seperti lubang yang sangat dalam. Baru sahaja beberapa ketika masa berlalu, dua ratus biji Batu Rohani telah diserap masuk ke dalam cermin itu.
"Tak guna, tak guna..." Dia mahu berhenti, tetapi dia enggan menerima hakikat yang dia telah sampai ke tahap ini, tapi tidak ada hasil. Dia juga tahu jika dia berputus asa sekarang, ini bermaksud dia sudah tidak mempercayai kuasa cermin itu untuk membuat penyalinan.
Dia hanya terpaksa menahan kekecewaannya dan meletakkan lebih banyak Batu Rohani lagi. Tiga ratus , empat ratus, hingga ke seribu biji. Wajahnya pucat. Tangannya menggeletar sewaku dia mengeluarkan sebiji lagi Batu Rohani.
"Bila benda ini akan tamat, cermin? Kamu mahu rampas semua Batu Rohani yang aku baru dapat?" Dia mengetap giginya. Dia sudah pun meletakkan seribu biji Batu Rohani. Dia tidak boleh berputus asa sekarang. Dengan mata yang merah seperti kaki judi, dia meletakkan lebih banyak Batu Rohani. Ketika dia meletakkan batu yang kedua ribu, cermin itu mula bersinar terang dengan cahaya pelbagai warna yang menandakan proses penyalinan telah bermula. Meng Hao terpaku. Dia merenung kosong ke arah cahaya pelbagai warna itu yang menghilang perlahan-lahan dalam masa beberapa saat.
Setelah cahaya itu hilang, terdapat dua pedang kayu yang sama di atas cermin itu.
Ketika dia melihatnya, mukanya menjadi kurang pucat. Dia mengambil pedang-pedang itu dengan perasaan yang bercampur-baur antara sedih, marah dan sakit hati. Dia hanya boleh menenangkan diri sendiri sahaja.
"Tidak mengapa, tiada masalah", dia mengomel sendirian dengan giginya diketap. "Apalah sangat dua ribu biji Batu Rohani itu? Hal yang remeh sahaja. Kita tidak akan dapat benda baharu tanpa melepaskan benda lama. Memang sangat berbaloi untuk memiliki dua bilah pedang kayu." Dia menyebut perkataan "remeh" itu dengan sedikit kepahitan. Dia cepat-cepat menyimpan cermin itu semula dan memandang semula dua bilah pedang kayu itu. Dia duduk sebentar memikirkan kuasa kedua-dua bilah pedang itu. Perlahan-lahan, dia mula bertenang.
Matanya dipenuhi dengan keazaman sekali lagi. Selepas beberapa ketika, dia menyimpan dua bilah pedang kayu khazanah itu. Bagi Meng Hao, pedang kedua itu bernilai dua ribu biji Batu Rohani.
Dengan gelak ketawa yang pahit, dia duduk bersila untuk bertafakur, menantikan tenaga rohani di dalam Gua Dewa itu kembali. Tiba-tiba, dia membuka matanya dan mengambil Teras Syaitan di dalam beg saktinya.
"Walaupun aku baru capai peringkat kelima Pemekatan Qi, siapa tahu berapa banyak asas Pertapaan aku boleh meningkat kalau aku ambil pil ini..."
Dengan penuh nekad, dia menelan Teras Syaitan itu dan memejamkan matanya. Tubuhnya mula bergetar. Teras Syaitan itu terurai menjadi limpahan tenaga rohani pekat dan terus membanjiri jiwa Meng Hao.
Ketumpatan tenaga rohani itu melampaui apa-apa pil ubat yang pernah Meng Hao makan. Malah, langsung tidak boleh dibandingkan dengan apa-apa sekalipun. Teras itu meledak dengan cahaya putih, menyelubungi seluruh tubuh Meng Hao. Darah tersembur dari mulutnya dan tubuhnya bergetar. Tetapi dia tetap bertahan dan tasik Teras itu menjadi semakin besar dan besar. Beberapa ketika kemudian, Meng Hao mengalami satu perasaan tidak terbatas.
Dengan setiap denyutan, dia berasa sangat sakit dan tubuhnya bergetar dengan lebih kuat lagi. Wajahnya menjadi pucat lesi dan dia mengetapkan giginya sekuat mungkin.
Kemudian, tasik Teras itu mula berpusar dan bergelodak. Satu kuasa rohani yang menakjubkan mula terbentuk. Walaupun berada dalam kesakitan, Meng Hao dapat merasakan asas Pertapaannya berkembang dari tahap awal peringkat kelima ke tahap pertengahan. Masa terus berlalu, tetapi dia tidak pasti sudah berapa lama tempoh waktunya. Dengan tasik Teras yang berombak ganas itu, asas Pertapaannya meningkat lebih tinggi sehingga sampai ke puncak peringkat kelima.
Kemudian, telinganya berdesing dan asas Pertapaannya sudah menembusi peringkat kelima dan memasuki... Peringkat keenam Pemekatan Qi!
Peningkatan itu tidak sekadar berhenti di tahap awal peringkat keenam, malah terus meningkat hingga ke tahap pertengahan peringkat keenam. Kemudian, mula berhenti dengan perlahan-lahan. Pakaian Meng Hao telah menjadi abu. Hanya beg sakti sahaja yang kekal di sisinya. Kotoran hitam telah memenuhi tubuhnya, tetapi jika dilihat dengan teliti, kulitnya berkilau dengan jelas seolah-olah sinaran mentari pagi dipancarkan darinya.
Rambutnya menjadi lebih panjang hingga mencecah bahu dan dia juga telah menjadi lebih tinggi. Tubuhnya bukan lagi lemah dan tidak bermaya, tetapi tinggi dan langsing.
Kulitnya masih lagi gelap, tetapi air mukanya bersinar dengan satu kekuatan yang sukar dihuraikan. Sangat luar biasa.
Tasik Terasnya menggelegak dan berpusar-pusar memenuhi seluruh tubuhnya. Jauh di dalam Tasik Teras, Teras Syaitan itu mula bertenang. Entah kenapa, teras ini tidak terurai, tetapi hanya kekal di situ dan tidak bergerak.
Jika Teras Syaitan ini hanya kekal tidak bergerak, tidak perlulah dia mempedulikannya. Tetapi sewaktu asas Pertapaannya mencapai peringkat keenam, telinganya berdesing dan dalam desingan itu, dia dapat merasai tarikan sejenis Warisan yang terasa asing padanya. Nampaknya ini berpunca daripada Teras Syaitan itu dan sudah terpahat di dalam otaknya seperti dicacah dengan besi panas.
Ini pasti sebuah warisan darah daripada Naga Hujan Bersayap yang ditinggalkan demi anak-anaknya yang muda dan lemah. Sedang ajal mula menghampirinya, Warisan itu digabungkan ke dalam Teras Syaitannya. Ular sawa Syaitan itu pasti berniat untuk memakannya setelah selesai bersalin kulit. Maka, sudah tentu Wang Tengfei yang memiliki kaitan Darah dengan Warisan tersebut, mendambakan benda yang sama. Malangnya... Meng Hao berjaya merebutnya dahulu.
Tiba-tiba Meng Hao bermimpi yang dia sedang terbang di angkasa, mengingkari langit ketujuh, menggegarkan bumi, dikelilingi pusaran angin dan awan. Dia adalah Raja langit dan jika haiwan terbang lain melihatnya, haiwan itu akan menggigil seperti tidak layak untuk terbang serta akan membiarkan dia membunuh mereka.
Dia raja langit, Terpilih, disembah oleh semua makhluk. Suasana ini kelihatan seperti di zaman purba, bertahun lamanya dari sekarang.
Perasaan terbang di langit itu menjadikan Meng Hao hampir naik gila dan hampir jatuh cinta dengan perasaan tersebut. Dia terbang untuk jangka masa yang lama. Sepanjang masa itu, banyak haiwan ganas melarikan diri ketakutan dan dan ramai orang sujud menyembah di atas tanah.
Dengan angin dan bumi di bawahnya, hanya langit sahaja yang menyainginya, tetapi kini dia sudah menjadi sama kuat dengan langit.
Kemudian, dia tiba di sebuah tasik. Dia menundukkan kepala untuk melihat dirinya. Dia ialah seekor naga. Panjangnya beberapa puluh ribu meter dan memiliki sepasang sayap raksasa yang setiap satunya juga berukuran beberapa puluh ribu meter panjang. Dia memiliki kuasa luar biasa yang dapat membentuk dunia.
Kepalanya kelihatan ganas dan garang. Dia mempunyai ekor yang sangat panjang. Semuanya bergabung bersama untuk membentuk jasad kemuliaan tanpa sempadan yang mencipta denyutan di dalam minda Meng Hao. Otaknya seolah-olah dibelah dan kedengaran satu suara.
"Aku Naga Hujan Bersayap zaman purba!" Suara ini mengisi mindanya, dunia dan menyebabkan semuanya menggigil. Kesemua makhluk hidup meraung. Naga Hujan Bersayap telah lama lenyap dari muka bumi ini, tetapi beberapa warisnya masih wujud. Walaupun mereka mungkin lemah, tetapi Warisan itu masih wujud.
Pada waktu yang sama, di Gunung Timur Sekta Reliance, di dalam Dewa Guanya, wajah Wang Tengfei menjadi gelap. Api kemarahan di dalam hatinya hampir membuatkannya menjadi gila. Dia telah merasai kegagalan dan ini sesuatu yang sukar diterimanya. Tidak kira berapa kali dia cuba menggunakan Titisan Darah itu untuk mengesan Warisan itu atau pihak lawannya, tetap tidak mendapat apa-apa. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kini.
"Kamu sudah jumpa?" tanya Wang Tengfei. Dia memendamkan kemarahan di dalam hatinya sambil mendongak untuk melihat pemuda yang berdiri di hadapannya. Selain Shangguan Song, pemuda itu turut sama menemaninya.